Pages - Menu

Thursday, February 28, 2013

Terapi Pertuturan



Bukan semua manusia dianugerahi kebolehan bertutur. Jadi, bagi kita yang memiliki nikmat yang amat berharga ini, maka jagalah pertuturan kita seharian supaya disenangi sesama manusia dan dirahmati oleh-Nya. Ingatlah bahawa sesungguhnya lidah itu ada kalanya lebih berbisa dari mata pisau yang tajam!
                                     
Namun demikian, terdapat juga golongan tertentu yang tidak dikurniakan kebolehan bertutur seperti orang lain. Malahan golongan ini perlu dibantu untuk diperbaiki masalah pertuturan mereka agar dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna di dalam masyarakat. Kes-kes seperti ini biasanya akan dirujuk ke sesi terapi pertuturan di hospital-hospital kerajaan mahupun yang dikelola oleh pihak swasta. Golongan ini terdiri dari mereka yang mengalami masalah :


                    a)  KECELARUAN BAHASA
                       - Kecelaruan bahasa reseptif (pemahaman)- kesukaran memahami serta mengikut
                          arahan juga berinteraksi
                       - Kecelaruan bahasa ekspresif (lafaz)- kesukaran membuat ayat panjang
                          bersesuaian dengan umur
                          Terdapat juga masalah ini berlaku di kalangan orang dewasa seperti
                          pesakit strok

                    b)  KECELARUAN PERTUTURAN (pelat)
                         Sukar menuturkan perkataan dengan betul
                      -  menggantikan satu bunyi kepada bunyi yang lain
                         Contohnya : susu - 'cucu'
                      -  menghilangkan sukukata pertama
                         Contohnya :  minum - 'num'

                    c)  PERTUTURAN YANG KURANG LANCAR (Gagap)
                      - Bercakap dengan menyebut sukukata berkali-kali, tertahan-tahan mahupun
                         terhenti-henti
                         Contohnya : sa sa sa saya makan nasi

                    d)  KECELARUAN SUARA
                      - Individu yang sukar menjana suara yang bersesuaian hingga menjejaskan
                         kualiti suara menjadi garau,serak juga suara berangin

                    e)  KESUKARAN MENELAN
                      - Susah atau sakit untuk menelan makanan disebabkan penyakit,
                         masalah sistem saraf atau penghidap strok
                         

Merujuk kepada kes-kes yang tersebut di atas, maka antara kumpulan yang lazimnya disyorkan untuk menjalani terapi pertuturan bagi membantu mengatasi masalah masing-masing antaranya termasuklah :

                    a)  Kanak-kanak Autisme
                    b)  Kanak-kanak Down Syndrome
                    c)  Kanak-kanak Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD)
                    d)  Seseorang yang mengalami masalah sumbing bibir dan lelangit
                    e)  Seseorang yang mengalami serangan angin ahmar (strok)
                    f)  Seseorang yang mengalami Traumatic Brain Injury
                    g)  Individu yang mengalami masalah pendengaran
                    h)  Individu yang mengalami masalah gagap,sengau dan pelat


Masalah pertuturan yang dihadapi oleh kumpulan-kumpulan yang tersebut di atas tidak  bersamaan antara satu sama lain. Lain kumpulan lain pula pendekatannya. Di sini, saya hanya ingin membincangkan Terapi Pertuturan di kalangan kanak-kanak autisme yang biasanya mengalami masalah pengulangan, penggantian konsonan dan ada juga yang pelat. Pegawai Pemulihan Pertuturan akan membuat penilaian menyeluruh dan melihat potensi kanak-kanak autisme tersebut untuk berkomunikasi.

Kebiasaannya beberapa bentuk pengajaran yang dilihat amat berkesan untuk membantu kanak-kanak autisme antaranya :


                    a) PENGAJARAN SECARA TERUS

                    -   Umpamanya latihan membunyikan vokal


Sebut betul- betul ...... aaaa, eeee. iiiii, oooo, uuuu


                    b) PENGAJARAN MENERUSI AKTIVITI

                     -  Permainan yang dapat menarik minat kanak-kanak
                         untuk berinteraksi

                   
Alat bantu yang mudah untuk dibuat sendiri di rumah!


                    c) PENGAJARAN BERDASARKAN PERSEKITARAN

                    -  Sebarang objek di persekitaran juga boleh membantu mewujudkan
                        interaksi dua hala
                     

Pengajaran yang lebih santai
           

Namun, terapi pertuturan tidak harus terhenti hanya di bilik terapi pertuturan. Aplikasikan  idea tersebut semasa di rumah supaya proses ini berkesinambungan bagi menampakkan perkembangan yang lebih baik terhadap si anak autisme.

Sesungguhnya tiada yang mustahil selagi kita berusaha, yakinlah anak-anak autisme juga boleh!

Saturday, February 23, 2013

Diagnosa Yang Berubah?



Autisme,  kadang-kala membuatkan ramai pihak yang keliru. Jangan hairan, sebilangan masyarakat kita yang tidak ambil peduli sama sekali tentang apa itu autisme! Malahan mereka yang berada di bidang perubatan juga, tidak semua yang berpengetahuan dan arif tentangnya.


Ini disebabkan autisme itu sendiri yang berada di dalam spektrum di mana tiap seorang dari mereka tidak mengalami simptom yang betul-betul menyamai antara satu sama lain. Ada yang verbal dan tidak kurang juga yang non-verbal, manakala ada yang mengalami masalah dalam pembelajarannya, sementara di pihak yang satu lagi amat tinggi pencapaian akademiknya. Faktor inilah yang menyebabkan autisme itu boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

                     
Gambaran yang lebih mudah difahami
                   

Terdapat ibubapa yang tertanya-tanya dengan  hasil diagnosa yang berubah oleh mereka yang berkepakaran seiring dengan perkembangan kanak-kanak tersebut dari masa ke masa. Mungkin di awal pemerhatian, kanak-kanak tersebut di diagnose sebagai Mild Autisme, kemudian apabila masa beranjak kanak-kanak tersebut telah mula menunjukkan perubahan yang lebih positif seperti kebolehan akademik yang sangat memberangsangkan maka ia didiagnosa sebagai High Function Autisme/AS.



Ilustrasi yang menarik !


Terdapat juga perdebatan oleh pihak-pihak tertentu tentang perbezaan antara High Function Autisme dengan Asperger Syndrome. Wujud pendapat yang mengatakan bahawa, kedua-duanya berada di bawah satu bumbung dan hampir menunjukkan ciri-ciri autisme yang sama namun yang membezakan keduanya adalah  faktor kebolehan berkomunikasi dimana Asperger Syndrome tidak mengalami sebarang kelewatan semenjak awal usia manakala golongan High Function Autisme adalah sebaliknya.


Lebih mudah untuk difahami
                             
Negara kita ternyata mengalami masalah kekurangan tenaga pakar khususnya Pakar Perunding Psychiatrist, menyebabkan kesukaran buat ibubapa untuk mendapatkan hasil diagnosa yang cepat dan tepat. Jarak masa yang panjang untuk menunggu 'Q' antara satu temujanji ke temujanji yang seterusnya turut memburukkan keadaan. Apatah lagi dengan meningkatnya kes-kes berkaitan secara drastik akhir-akhir ini.


Sebagai ibubapa, jangan menoleh ke belakang lagi apabila kita telah mengetahui terdapatnya kelainan dalam perkembangan anak-anak. Menangani autisme adalah melalui proses intervensi awal.  Walau apa hasil diagnosa yang diperolehi, tiada ubat-ubatan untuk menyembuhkan autisme. Peranan ibubapa terutamanya, sangat membantu anak-anak autisme bagi menjalani kehidupan yang lebih baik di masa akan datang. Persiapkan masing-masing dengan ilmu tentang dunia warna-warni autisme serta bertindaklah dengan segera. Masih ada sinar di hujung sana...In Sha Allah
                           

Monday, February 18, 2013

Aku Kaya....Aku Kaya di Tahun Baru Cina!!!


Kampung Cina, Kuala Terengganu

Masih belum terlambat untuk memperkatakan tentang Tahun Baru Cina yang disambut pada 10hb February 2013 yang lalu. Tanglung masih bergantungan di sepanjang jalan. Yang pasti, aku kaya.....aku kaya! Kaya dengan limau mandarin pemberian teman-teman berketurunan Cina......hehehe



Bangunan lama dihiasi ukiran yang cantik


Komuniti masyarakat Cina di Kuala Terengganu tidak seramai mana. Namun mereka sangat unik serta pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran yang majoritinya di kalangan masyarakat Melayu. Perempuan tua kemas memakai kain batiknya sementara yang lelaki memakai kain pelikat. Mereka juga tidak kekok makan menggunakan tangan serta fasih berdialek Melayu Terengganu.


Mengkagumi pelbagai budaya masyarakat majmuk di Malaysia
                     
                     
Namun, bagi Syahmi seseorang yang teristimewa di dalam lipatan kenangannya masih pada  seorang guru berbangsa Cina, Teacher Hua Hwee Ling. Jasa beliau terhadap perkembangan Syahmi semasa diinklusifkan di mainstream (2009), amat kami hargai. Selamat menyambut Tahun Baru Cina buatnya. Semoga Teacher Ling terus suksess dalam perkhidmatannya sebagai seorang guru di Pendidikan Khas.



Teacher Ling dan Syahmi
                     

Saturday, February 16, 2013

Sensory Integration Disorder (SID)


Syahmi - 3 tahun laaa.....

Tujuh tahun pertama usia kanak-kanak merupakan tempoh dimana deria berintegrasi dengan pesatnya, mencari pelbagai pengalaman untuk dihantar ke otak bagi diproses. Disebabkan faktor ini, kanak-kanak suka menjelajah perkara-perkara baru yang kekadang membuat kita sebagai penjaganya 'menggeleng kepala' dengan keletah mereka.


Integrasi deria berlaku secara semulajadi dengan tidak kita sedari. Seluruh deria akan memberi informasi untuk dikelola dan disaring oleh otak lalu bertindakbalas terhadapnya. Deria yang dimaksudkan termasuklah deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau, rasa, vestibular (pergerakan,graviti dan balance) dan proprioseptif (otot dan sendi). Kanak-kanak yang mengalami proses integrasi sensori secara optimum akan melahirkan insan dewasa kelak yang berkemahiran dalam komunikasi, berkemahiran di bidang akademik, mempunyai kepercayaan diri dan sebagainya.


Namun, kebanyakan kita tidak mengalami integrasi deria yang sempurna sepenuhnya. Maka tidak hairanlah dalam perhubungan kita seharian, hadirnya manusia dengan tingkahlaku yang berbeza seperti ada yang pendiam, ada yang cerewet dan sebagainya. Apatah lagi bagi golongan tertentu yang diakui mengalami masalah Sensori Integration Disorder (SID) termasuklah mereka yang berada di bawah  AUTISME SPECTRUM DISORDER.


                           

Apa yang dimaksudkan dengan Sensory Integration Disorder (SID)? Ia membawa makna gangguan neurologi yang menyebabkan ketidakupayaan otak untuk mengintegrasikan  informasi yang diterima dari deria individu secara berkesan. Terdapat 3 kemungkinan berlakunya gangguan ini iaitu ;


                             i. Bila mana otak tidak menerima mesej yang dihantar,
                                disebabkan terputusnya sel-sel neurons
                             ii. Mesej yang diterima tidak konsisten
                            iii. Mesej yang diterima konsisten tetapi tidak sempurna
                                bersambung dengan mesej dari deria yang lain

       
Gangguan ini menyebabkan individu tersebut akan bertindak di luar dari kebiasaan samada berkarektor hypersensitive (over-responsive) atau hyposensitive (under-responsive) kepada rangsangan. Terdapat juga individu yang mengalami kesan yang sangat minima dan bagi mereka yang serius terjejas maka pastinya akan mengganggu fungsi kehidupan seharian. Simptom Sensory Integration Disorder (SID) antaranya ialah :


i. ISU BIASA - gangguan biasa yang bersangkutan dengan tujuh system deria manusia.

ii. SENTUHAN - sangat peka terhadap tekstur pakaian juga label pakaian.Tindakbalas melampau apabila disentuh.

iii. PENDENGARAN -  bunyi yang nyaring/kuat akan 'menyakitkan' telinganya. Ada juga yang mengadu sakit kepala apabila mendengar bunyi-bunyi seperti mesin drilling, bunyi dari mesin kisar dan sebagainya. Biasanya mereka akan cuba menutup kedua belah telinga.

iv.  PENGLIHATAN -  fokus kepada benda-benda kecil tapi gagal memahami keseluruhan imej.

v.  ORAL -  amat terhad dengan pemilihan makanan. Suka menghidu, menjilat, mengunyah sesuatu objek yang tidak boleh dimakan. Enggan menggunakan ubat gigi juga memberus gigi.

vi.  BAU -  amat terganggu dengan bau-bau tertentu seperti minyak wangi, aroma masakan dan sebagainya. Sukar membezakan bau-bauan.

vii.  VESTIBULAR (atur pergerakan) - mengelak menggunakan alat-alat permainan
seperti yang terdapat di taman permainan juga takut pada ketinggian. Sangat  mengidamkan pergerakan yang pantas dan berputar.
       
viii.  PROPRIOSEPTIF (atur kedudukan badan) - kekok menulis, begitu juga dengan aktiviti fine motor skills yang lain juga gross motor skills  kerana aktiviti ini melibatkan fungsi otot.


                         
Untuk membantu golongan yang mengalami masalah  Sensory Integration Disorder, di sekolah umpamanya lakukanlah  aktiviti :


i. Meniru cara pergerakan binatang, berlari seperti kuda, berenang seperti ikan (tukar arah ke depan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan) bertujuan bagi melatih vestibular  kanak-kanak tersebut.


Berenang


ii.  Permainan Hopscotch.              


Hopscotch
                     

iii.  Pencarian Harta Karun.

Cari Harta Karun

iv.  Menggunakan peralatan di taman permainan kanak-kanak.


Panjat, bergelunsur dan sebagainya



v. Mengangkat berat, iaitu objek yang bersesuaian dengan kanak-kanak.


'Mengangkat kerusi'



vi.  Lakukan aktiviti dalam bilik darjah seperti mencuci papan hitam, membersihkan meja, menaikkan kerusi ke atas meja dan sebagainya.


Mencuci papan hitam

vii.  Aktiviti kreatif yang menggunakan visual seperti ballon volleyball, bubble games, Frisbee dan seumpamanya.



'Ballon Volleyball '


vii.  Pilihlah makanan yang rangup serta kenyal contohnya popcorn, licorice dan sebagainya untuk menguatkan otot, mulut dan rahang.



Rangup!

                             
Memahami fungsi tiap-tiap deria amat perlu untuk menangani Sensory Integration Disorder. Aktiviti menolak, menarik, mengangkat, melompat, berguling dan sebagainya merupakan antara  gerak kerja yang dapat membantu kanak-kanak SID untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di hari muka. Sebagai ibubapa kepada anak-anak autisme, amat perlu untuk kita mendapatkan ilmu samada melalui pembacaan mahupun bantuan dari mereka yang berkepakaran seperti Occupational Therapist.


 Bertindaklah segera.......

                               

Sunday, February 10, 2013

Bila Anggota Badan Berbicara....



                         Para ulama ada menceritakan bahawa jika seseorang manusia yang kian menghampiri saat kematiannya maka tanda-tanda yang nampak oleh kita pada anggota badannya iaitu keadaan 'telinganya yang layu' juga 'jatuh hidungnya'.

                         Bagaimana pula dengan petanda awal anggota badan seseorang bertindakbalas dengan masalah kesihatan tertentu? Namun fakta ini tidak terbukti sejauh mana kebenarannya kerana saya memperolehinya hanya melalui pembacaan di laman-laman tertentu di internet. Kesahihannya? Tanyalah pada Tuan/Puan Doktor......


Tanya sama doktor!


                      1)  BIBIR, yang dikatakan berkaitan dengan fungsi
                           penghadaman

                  - Bibir yang pucat - sistem penghadaman yang lemah,
                     perut mengandungi angin

                  - Bibir yang pecah - perut mengandungi banyak
                    bahan toksin



                      2)  MULUT dan LIDAH, yang dikatakan berkaitan
                       dengan jantung dan peredaran darah


                  -  Lidah atau gusi bengkak, sakit - jantung bermasalah
                      seperti lemak berlebihan
   
                  -  Lidah atau tisu mulut pecah(ulser) - menandakan
                      darah mengandungi asid berlebihan

                  -  Mulut berbau - penyeimbangan fungsi perut untuk
                     penyingkiran toksin



                       3)  TELINGA yang dikatakan berkaitan dengan
                             buah pinggang

                   -  Telinga tersumbat - buah pinggang yang
                       mengandungi toksin berlebihan

                   -  Telinga berdengung- sedang merawat
                       buah pinggang yang lemah



                        4)  KULIT

                   -   Peluh masin - badan mengandungi asid urik
                        berlebihan

                   -   Peluh berbau - badan menyingkirkan toksin melalui
                        perpeluhan

                    -  Ruam dan Bisul - badan menyingkirkan toksin yang
                       berlemak dan tidak larut dalam air

                    -  Kulit gatal dan ruam -  penyingkirin toksin melalui
                        kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang
                        mengandungi bahan kimia



                         5)  MATA yang dikaitkan dengan masalah hati

                     -  Mata menjadi merah - menandakan paras
                        toksinyang tinggi dan badan sedang
                        menyingkirkan toksin berkenaan

                     -  Mata menjadi kabur - sering berlaku di waktu
                         pagi menandakan proses penyeimbangan
                         hati
                     -  Mata bertahi -  fungsi hati lemah, proses
                         pembuangan toksin berlaku serta
                         menunjukkan badan mengandungi
                         asid berlebihan

                     -  Keluar air mata -  gangguan emosi atau
                         bebanan kerja

                       
                         6)  HIDUNG yang dikaitkan pula dengan
                             permasalahn paru-paru dan kerongkong

                      -  Selsema memberi maksud penyingkiran toksin
                          di bahagian kerongkong jika diikuti dengan
                          demam bermakna badan juga mengandungi
                          lebihan asid

                      -  Hidung menjadi sebu iaitu proses penyeimbangan
                          alahan
 
                      -  Bersin menyingkirkan bendasing atau menyeimbangkan
                          alahan
                       
                   
             
                         7)   AIR KENCING DAN NAJIS


                      -  Kencing berwarna kuning pekat -menandakan
                          tubuh kekurangan air

                      -  Kencing berwarna kemerah-merahan - memberi
                          makna terdapat jangkitan pada pundi kencing

                      -  Kencing berdarah bermakna sakit batu karang
                          kegagalan buah pinggang

                      -  Najis berdarah - mengalamai masalah usus seperti
                          usus  luka mahupun penyakit yang lebuh serius
                          seperti kanser

                      -  Cirit-birit bermakna keracunan makanan

                      -  Sembelit pula bermakna proses pembuangan
                          toksin dari usus kecil

    


                         8)  SENDI-SENDI TANGAN DAN KAKI
                       

                         Sendi sakit

                      -  rasa panas menunjukkan luka di bahagian sendi
                            berkenaan atau tanda-tanda gout

                      -  tidak rasa panas menandakan rheumatisme

                         Kebas tangan

                     -  Pengaliran darah di bahagian atas badan
                         tidak lancar
                 
                         Kebas kaki

                      -  Pengaliran darah di bahagian bawah badan
                          tidak lancar

                      -  Jika kebas di kiri tangan dan lengan
                          berlarutan menunjukkan masalah jantung

                      -  Sakit tapak kaki menunjukkan buah pinggang
                          bermasalah. Boleh juga disebabkan kurangnya
                          bersenam atau duduk terlalu lama

                      -  Sakit tumit kaki menunjukkan lemah fungsi
                         alat kelamin



                         Sesiapa juga boleh menyuarakan pendapatnya, mungkin berdasarkan pengalaman masing-masing mahupun dari cakap-cakap mereka yang lebih dahulu makan garam. Namun kesahihan fakta-fakta di atas perlulah disahkan oleh mereka yang lebih arif dalam bidang perubatan. Sebaik-baiknya lakukan pemeriksaan berkala supaya sebarang masalah kesihatan dapat dihidu lebih awal. 

Thursday, February 7, 2013

Setahun di Pra Pendidikan Khas (2008)..............


                       Hina sangatkah Pendidikan Khas? Mungkin bagi yang tidak mempunyai anak istimewa, mereka merasakan Pendidikan Khas adalah institusi buat anak-anak yang tiada harapan lagi untuk menjadi manusia cemerlang. Tapi bagi kami ibubapa anak-anak istimewa, inilah antara institusi yang diletakkan harapan tinggi untuk membentuk anak-anak kami menjadi insan yang berguna.
               
               
                       Seperti anak-anak istimewa yang lain, Syahmi juga pernah melalui saat-saat menjadi murid di Pra PPKIBP, penuh dengan kasih sayang, dilimpahi perhatian oleh guru-gurunya, bergembira dengan aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan anak istimewa serta berusaha meningkatkan suasana pembelajaran sebenar bagi persediaan ke alam persekolahan di tahun hadapannya.


                       Inilah antara rentetan pengalaman Syahmi di Pendidikan Khas, walau hanya setahun di sana namun besar kesannya terhadap pendidikan anak ini. Bermula dengan tangisan yang tiada hentinya setiap kali masuk ke kelas di awal-awal persekolahannya, hinggalah  keluar melangkah kaki dengan pengharapan untuk digandingkan bersama-sama dengan murid tipikal di aliran perdana sebagai pelajar inklusif.


Penampilan pertama Syahmi (kanan sekali) di pentas
semasa Hari Guru (2008)
                     

Menyertai rombongan ke Taman Burung,  Ajil, Kuala Berang


Syahmi dan Falah pernah menjadi rakan karib semasa di Pra PPKIBP

Ada yang Down Syndrome dan ada yang Autisme, namun mereka
 tetap anak-anak istimewa 


Majlis Harijadi Anak-Anak Pra PPKIBP


Bersama guru kesayangan Cikgu Rosma Jasni


Rakan-rakan se kelas hanya 5 orang tapi sudah cukup
untuk menguji kesabaran gurunya, Cikgu Rosma juga Pembantu Cik Fazima


Syahmi di Hari Anugerah Kecemerlangan 2008


Akhirnya berjaya menjadi 'graduan'
dari Pra PPKIBP (2008)


Sunday, February 3, 2013

Shortcut Yang Tidak Baik Untuk Tumbesaran Bayi



Kononnya untuk memudahkan pergerakan Syahmi....
memudahkan ibu dan ayahnya juga

Suatu ketika dulu, saya pun pernah buat silap. Jangan jadi seperti saya yang memilih jalan shortcut untuk memudahkan pergerakan si anak. Kononnya untuk menggalakkan anak saya supaya cepat berjalan. Sedangkan di sebaliknya penggunaan baby walker ini dapat membantutkan tumbesaran si bayi. Kebaikan yang sekelumit telah mengaburkan mata ibubapa terhadap masa hadapan anak-anak.


Rekod Kesihatan Yang Dibekalkan oleh
Kementerian Kesihatan
Malaysia
Malangnya ramai dari kita yang tidak ambil peduli......

Tumbesaran semulajadi yang sepatutnya dilalui oleh
setiap bayi

Hakikat yang sebenarnya, proses-proses seperti meniarap, menjulur, merangkak, memanjat, bertatih serta  berjalan merupakan rahsia Ilahi yang jika kita perhalusi sebab musababnya maka kita tidak akan memilih jalan shortcut. Umpamanya apabila baby walker digunakan, maka proses merangkak kanak-kanak akan terbantut kerana baby lebih pantas bergerak dengan bantuan baby walker yang beroda. Maka peluang dia untuk explore pengalaman merangkak terhenti di sini.


Merangkaklah sayang........

Sesungguhnya segala kejadian dari-Nya tiada yang sia-sia, penuh dengan hikmah yang kadang kala tidak terungkap oleh kita hamba-Nya. Merangkak merupakan proses untuk membantu menguatkan otot kanak-kanak supaya bersedia untuk berjalan. Dalam proses ini, kanak-kanak akan belajar mengawal imbangan dirinya atas tangan dan lutut serta mencari akal untuk  bergerak ke depan dan ke belakang dari posture ini untuk mendorong dirinya dengan menggunakan lutut.


Tahukah kita merangkak adalah berhubungan dengan perkembangan tubuh bayi  termasuk koordinasi antara mata dan tangan, ketajaman penglihatan di kemudian hari serta kemampuan membaca dan menulis. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kurangnya seseorang bayi merangkak adalah berhubungan dengan gangguan pemusatan perhatian/ADHD dan autisme. Sebagai ibubapa jangan ambil mudah!
                
                  
Tidak hairanlah ada negara-negara di dunia seperti Kanada umpamanya, mengharamkan baby walker di pasaran. Selain dari faktor di atas, kemalangan juga sering dilaporkan berlaku terhadap bayi-bayi seperti kejadian patah tangan, pecah kepala dan sebagainya kerana bayi terjatuh akibat kelalaian seketika ibubapa.



Tawaran yang hebat di pasaran.....pelbagai warna,
pelbagai bentuk

Dengan penawaran di pasaran yang pelbagai warna dan bentuk, tentulah baby walker menarik perhatian ibubapa bagi mendapatkannya. Namun, marilah kita berfikir sejenak tentang keburukan penggunaannya berbanding dengan faedahnya yang hanya seketika.


Sama-sama kita renungkan.......
               
                  .

Friday, February 1, 2013

Si Cilik Saintist Autisme.....



Ujikaji Sains 
             
Subjek Sains memang interesting! Menurut kata anak autisme saya yang berada di Tahun 5, SK Seri Budiman II, belajar matapelajaran Sains seronok bila melakukan ujikaji tertentu. Kalau cikgu hanya bercakap tanpa aktiviti.....tentu blurrrr si anak ini. Apa tidaknya, bila cikgu membincangkan berkenaan topik pembiakan.....misalnya pokok buluh tentulah dari rebungnya. Sedangkan anak-anak zaman kini tidak pernah ambil kisah tentang kewujudan rebung dalam kehidupan seharian.

Ujikaji pertama Tahun 5 tentang topik Mikroorganisme bagi membuktikan kewujudan fungi yang hidup serta membiak. Murid-murid diarahkan untuk menyediakan sekeping roti yang direnjis-renjiskan dengan sedikit air lalu dimasukkan ke dalam palstik lutsinar. Dibiarkan beberapa hari dan dicatatkan pemerhatian bermula hari 1 hingga hari ke 5.


Arahan , hasil  lakaran dari pemerhatian


Hasil Ujikaji  Syahmi......
                           
Kita harus menerima hakikat bahawa proses pembelajaran yang diterima secara optimal oleh seseorang individu biasa adalah melalui beberapa kaedah iaitu secara intelektual (belajar dengan memecah masalah dan merenung), somatis (belajar dengan bergerak dan berbuat), auditori (belajar dengan bercakap dan mendengar) juga visual (belajar secara melihat serta mengamati dan menggambarkan).


Bukan niat saya untuk berangan tinggi melangit agar anak autisme saya menjadi seorang saintist suatu masa nanti. Cuma untuk menyatakan bahawa anak autisme lebih memerlukan kepada pengajaran yang menitikberatkan elemen seperti melakukan gerak kerja dan visual iaitu pengamatan mata bagi membantu golongan ini menerima pembelajaran secara lebih berkesan.


Luangkan masa kita untuk mereka. Apakata kita ke kampung, mulakan untuk memperkenalkan mereka dengan riwayat buluh yang bermula dari rebungnya. Tinggalkan dunia gadget yang menjadi obsessi mereka buat sementara waktu. Untuk menjadi saintist, bukan hanya mengadap gadget 24 jam!

                   
Tahukah anak-anak kita,  rebung
 juga boleh dimakan?