Arjuna Hamba....Muhammad Syahmi Asyraff |
Ramai juga yang bertanya bagaimana mendidik anak autisme hingga berjaya seperti Syahmi?Alhamdulillah..... jika ramai yang kata Syahmi autisme yang berjaya kerana kata-kata +ve sahabat-sahabat di luar sana juga merupakan doa buat anak saya. Semoga anak saya benar-benar menjadi insan berjaya suatu masa nanti...InshaAllah.
Sebenarnya Syahmi didiagnose sebagai Mild Autisme. Mengalami kelewatan dalam pertuturan, menghadapi masalah sensory terhadap bunyi yang melampau, objek-objek yang bersaiz luarbiasa, mengalami hypotonia (low muscle tone), anxiety, eye contact yang kurang menyakinkan serta pergaulan sosial yang amat terbatas. Namun, Syahmi bukanlah tergolong dalam genius autisme. Dia mempunyai keupayaan intelektual sederhana. Kelebihan dia sebenarnya lebih kepada fokus terhadap sesuatu yang digemarinya serta memory yang menakjubkan.
Harus diingat juga bahawa di kalangan mereka yang disahkan mengalami autisme, beberapa peratus darinya tidak mengalami masalah gangguan intelektual. Kebolehan mereka dalam pembelajaran sama seperti keupayaan mereka yang tipikal walaupun mereka masih terikat dengan masalah-masalah lain seperti pergaulan sosial dan sebagainya. Namun pendekatan dalam pengajaran mungkin sedikit berbeza kerana mereka lebih kepada pembelajaran yang berbentuk visual.
PIBG sebagai saluran untuk kita berhubung rapat dengan guru-guru juga ibubapa yang lain |
Ibu Syahmi seorang surirumah sepenuh masa. Mempunyai masa untuk mengekori setiap aktiviti Syahmi. Ibu juga AJK PIBG sekolah aliran perdana juga PIBG PPKIBP. Tujuannya untuk mengeratkan sillaturrahim dengan guru-guru juga ibubapa yang lain. Kekadang wujud rasa kurang senang/kurang faham warga sekolah dengan kekerapan ibu berada di sekolah. Sebagai ibubapa, kita harus membezakan kehadiran kita ke sekolah sebagai 'bantuan' atau pun 'gangguan' kepada pihak sekolah.
UPSR 2014.....beberapa hari ibu memperuntukkan masa supaya sentiasa ada di sekolah bersama-sama ibubapa lain mendoakan agar anak-anak tenang menjawab kertas-kertas peperiksaan |
Menghadirkan diri di Majlis Temu Murni murid Tahun 6 (2014) |
Perkhemahan Pulau Redang....ibu juga turut sama bagi membantu si anak yang berhadapan dengan masalah sensori serta sosialnya |
Majlis Tilawah ...setiap tahun (2012,2013, 2014) ibu sentiasa ada untuk membantu mengawal emosi si anak baik di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri |
Bercakap tentang hal ehwal akademik, ibu akan memastikan kerja sekolahnya disiapkan setiap hari, memastikan juga surat menyurat pihak sekolah untuk tindakan ibubapa diambil perhatian, luahan hati si anak didengari. Jika ada yang membuli, silalah diselesaikan secepat mungkin, berbincang dengan guru atau berbincang dengan si pembuli secara baik.
Jam 10.00pm waktu si anak balik dari kelas tambahan.....ibu sentiasa ada menunggu di kawasan sekolah walau kecut perut berseorangan di perjalanan |
Pergi dan balik dari sekolah kena on time. Ke kelas tambahan sebelah malam, membuatkan ibu kecut perut kerana laluan gelap berisiko untuk bertemu dengan manusia durjana! Pernah juga tiba-tiba belakang kereta di ketuk dengan kaki payung oleh orang kurang siuman yang lalu lalang di situ. Sabar ajelah....Syahmi juga dimasukkan ke kelas tuition swasta selama beberapa bulan. Alhamdulillah, dia diterima baik oleh guru-guru di sana. Cuma Syahmi tidak mesra pada air cond yang kuat dalam kelas tersebut. Sering mengadu sakit kepala apabila separuh jalan kelas berlangsung (kelas selama 3 jam).
Di awal-awal 2014, ibu amat bimbang dengan prestasi Syahmi bagi subjek Bahasa Melayu (2), Kertas Kefahaman. Semenjak di Tahun 4 lagi, dia jarang-jarang sekali memperolehi A dalam subjek ini. Dia boleh menjawab bahagian kefahaman dengan baik tapi dia amat terkebelakang apabila berhadapan dengan perbendaharaan kata, penanda wacana, bahasa istana, simpulan bahasa juga peribahasa. Kurang membaca, kurang berbual dengan rakan sekeliling menyebabkan dia bermasalah di bahagian ini.
Apa yang dilakukan, setiap hari ibu akan memperkenalkannya sekurang-kurangnya 1 perkataan baru pada si anak. Kalau dua/tiga lagi bagus. Kalau selama sepuluh bulan, dah berapa jumlahnya? Begitu juga dengan peribahasa dan simpulan bahasa. Ibu akan mengepit buku walau ke mana-mana, kedai makan, jalan-jalan ke mana-mana dengan tujuan untuk memastikan ada ilmu yang akan masuk walau sedikit. Kalau ibu lupa, Syahmi yang akan ingatkan ibunya, "Ibu ada bawak buku?" katanya.
Trial UPSR : Syahmi telah mula menunjukkan kemampuan.... keputusannya 5A |
Berjalan-jalan ke mana-mana pun merupakan ilmu buatnya. Apa yang dilihat di persekitaran merupakan visual terbaik buat si anak melihat secara langsung. Cuma kita kena rajin melayan si anak berbual walaupun topic yang diminatinya, pelik, di luar dari kebiasaan mereka yang sebaya dengannya..
Ibu juga membina post-post tertentu ke dalam blog bagi meluaskan kefahaman si anak terhadap sudut-sudut yang menjadi kelemahannya dalam menjawab Bahasa Melayu Kertas 2. Berkongsi pengetahuan dengan kawan-kawan sekolahnya melalui post-post UPSR dalam AUTISM A GIFT FROM HEAVEN sambil memperkenalkan autisme kepada mereka. Umpama sambil menyelam, minum air....
Autism A Gift From Heaven : UPSR Kata Kerja Hampir Sama Maksudnya |
Ibu tidak begitu khuatir dengan subjek-subjek yang lain kerana Syahmi mampu menerima pengajaran dari guru-guru di sekolah juga pemantauan ibu di rumah. Dia mudah mengingati dan memahami sesuatu pelajaran terutamanya yang sealiran dengan minatnya seperti subjek Sains, Matematik, Bahasa Inggeris serta Pendidikan Islam.
Setinggi-tinggi penghargaan pada guru-guru yang mengajarnya, kerjasama mereka dalam membantu anak ini amat saya hargai. Cikgu Norliza, Cikgu Fatimah, Cikgu Zabedah dan Sir Wahab...jasa tuan/puan hanya Allah yang dapat membalasnya. Cikgu Rosma Jasni selaku Guru Pendamping selama Syahmi belajar di Sek Keb Seri Budiman II, tiada perkataan yang dapat digambarkan rasa terima kasih ibu atas hubungan selama bertahun-tahun. Beliau bukan sahaja guru, beliau juga menjadi 'bahu' tempat ibu meluahkan resah gundahnya. Gembira bersama, susah senang sama dirasa.
Terima kasih cikgu-cikgu semua.... |
Guru Pendampingnya (Guru Penddikan Khas)... Cikgu Rosma Jasni |
Pihak sekolah juga berperanan besar dalam membentuk kerohanian pelajar-pelajar termasuk Syahmi. Awal-awal pagi sekitar 7.20am, semua pelajar Tahun 6 telah berkumpul di surau sekolah untuk bacaan Yasin kemudian disusuli dengan solat sunat hajat dan diakhiri dengan solat sunat dhuha setiap hari (kecuali hari perhimpunan diadakan). Rutin ini dilakukan dari bulan Januari hinggalah sesi persekolahan ditutup pada bulan November yang lalu. Program yang seumpamanya telah membentuk Syahmi dalam menghafaz Surah Yasin dengan baik serta memberi keyakinan untuk Syahmi mengimamkan solat juga.
Pelajar juga guru-guru keluar dari surau setelah selesai bacaan Yasin, solat sunat hajat juga solat sunat dhuha |
Doa dari semua guru-guru, ibubapa mengiringi murid-murid sebelum masuk ke bilik peperiksaan |
Kejayaan Syahmi Calon Berkeperluan Khas (CBK) dan rakan-rakannya dirai dengan cara yang luarbiasa, dengan lensa kamera dari media ternama negara termasuk RTM dan TV3 |
Ibu tidak menganggap Syahmi autisme yang berjaya, cuma ibu bersyukur atas pencapaiannya hingga kini. Syahmi amat bernasib baik jika dibandingkan dengan saudara-saudara autismenya di luar sana dengan keadaan yang severe dan sebagainya. Memperolehi keputusan 5A dalam UPSR yang lalu, merupakan kemuncak kejayaan persekolahannya di peringkat rendah. Masih jauh lagi perjalanan anak ini. Masih banyak lagi sudut-sudut tertentu yang perlu diperbaiki.
Ibu udah lali dengan salahfaham masyarakat terhadap insan sepertinya. Ibu tahu ramai yang kurang senang apabila ibu sering berbicara tentang autisme. Tapi ibu tidak akan jemu untuk memberi kefahaman pada mereka walau sering dipandang sebelah mata. Biarlah apa orang nak kata, ibu peduli apa?
0 comments:
Post a Comment