اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, January 19, 2015

Belayar Sendirian....



Sendirian menghadapi cabaran.....

Tahun 2015, Syahmi tidak lagi dibawah naungan PPKI. Sudah tiba masanya kamu sendirian mengendalikan kehidupan di sekolah. Tiada lagi guru pendamping kamu dari PPKI. Belajar menangani cabaran kehidupan bersama warga sekolah yang asing dengan dunia anak istimewa. Sesungguhnya, melangkahkan kaki ke sekolah menengah cabarannya tentulah lebih hebat dari sekolah rendah dulu.


Tapi ibu/ayah tahu, kamu tak segusar ibu/ayah, kerana kamu masih mentah dengan kerenah dunia luar. Pengalaman hidup masih cetek untuk menilai permainan manusia di luar sana. Nasihat demi nasihat diberi, ingatan demi ingatan diulang-ulang supaya kamu bersedia menghadapi situasi dari semasa ke semasa. 


Kisah 'songkok'....

Kelmarin Syahmi telah mula mengadu, kawannya minta songkoknya untuk dipakai disebabkan empunya diri terlupa memakainya ketika ke sekolah. Mungkin pelajar berkenaan telah mula sedar, Syahmi target mudah untuk dibuli. Tapi nasib baik Syahmi mampu menggunakan pemikirannya dengan berkata "Kalau awak pakai songkok saya, nanti saya yang dipersalahkan kerana tidak memakai songkok di sekolah". Kejadian tersebut berlalu begitu sahaja tanpa pengetahuan gurunya. 


Jauh saujana mata memandang....kelas Syahmi berdekatan dengan
surau sekolah (kubah surau berwarna kuning)

Syahmi juga minta dihantarkan ke sekolah lebih awal dari biasa disebabkan jarak pintu masuk sekolah dengan kelasnya agak jauh. Kira-kira 8 minit masa diambil jika berjalan kaki. Kemudian berpatah balik ke tapak perhimpunan setiap pagi yang tentunya memakan masa. Nampaknya dia telah mula sedar akan tanggungjawabnya sebagai pelajar dan tidak mahu dirinya didenda berjalan kaki mengelilingi padang sekolah jika terlewat sampai ke tapak perhimpunan.


Syahmi, namanya kini mula menjadi sebutan guru-guru Tingkatan 1, Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Bukan kerana kecemerlangan pelajarannya, dia tidak secemerlang mana, tapi lebih kepada dia anak istimewa. Guru-guru ambil cakna tentang 'kelainan' yang ada padanya supaya tindak-tanduknya tidak disalahanggap, juga masalahnya dapat ditangani oleh masyarakat sekolah secara tepat.


Saya berharap, anak saya sentiasa dilindungi-Nya dari unsur-unsur yang kurang baik. Ditemukan dengan insan sekeliling yang baik-baik serta di kalangan mereka yang mengerti....aamiin.

2 comments:

syida said...

All the best, syahmi. semoga sentiasa di bawah rahmat dan perlindungan Allah..amiin

Smsaroni said...

Terima kasih syida....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...