Muhammad Syahmi Asyraff bin Samsul Muariff |
Assalamualaikum....
Bukan mudah seseorang ibu/ayah untuk menerima kenyataan mempunyai seorang anak yang mengalami ketidaksempurnaan di sisi manusia. Oleh kerana setiap kejadian merupakan kehendak dari-Nya, sebagai hamba kita mesti belajar menerima ketentuan-Nya dengan redha.
Syahmi, mula-mula didiagnose ketika usia 5 tahun oleh Pakar Perunding Psychiatrist Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah pada tahun 2007. Memulakan persekolahan di tadika biasa, kemudian diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut setelah guru-guru di sana mengesan beberapa 'kelainan' ada padanya.
Beberapa bulan kemudiannya, Syahmi disahkan mengalami 'Mild Autisme' setelah melalui beberapa sesi perjumpaan dan pemerhatian dengan pihak yang berkepakaran. Saya mendaftarkannya ke JKM sebagai pemegang kad OKU, lalu memulakan pembelajarannya di Pra Pendidikan Khas di SK Seri Budiman II.
Simptom-simptom autisme yang ada pada dirinya seperti :
1. Lewat pertuturan (mula bertutur ketika usia 5 thn)
2. Lemah eye-contact (mengelakkan pertembungan mata)
3. Lemah skill motor halus (lambat menulis, mewarna, melukis dll)
4. Lemah skill motor kasar (berbasikal, berlari dll)
5. Masalah sensory (sangat sensitif pada bunyi, makanan)
6. Masalah sosial (lebih suka menyendiri)
7. Low Muscle Tone (tapak kaki rata, keadaaan struktur kaki
yang berbeza dari yang tipikal)
8. Anxiety
Pihak hospital mengesyorkan Syahmi dibawa untuk menjalani terapi pertuturan di hospital. Sementara ibubapa melakukan kesinambungan terapi di rumah bagi mempercepatkan perkembangan positifnya. Tiada kajian yang menunjukkan bahawa autisme boleh disembuhkan sepenuhnya. Seseorang individu autisme hanya boleh dibantu untuk diminimakan kekurangan yang mereka alami dengan terapi serta pendedahan dengan masyarakat.
Setakat ini, Syahmi telah banyak menampakkan perubahan serta berjaya meminimakan kekurangan yang ada padanya. Namun untuk membandingkan keupayaan anak ini dengan anak-anak tipikal yang seusia dengannya, tidak adil rasanya kerana anak ini mengalami masalah gangguan neurologi semulajadi yang kompleks hingga memberi kesan kepada bahagian-bahagian tertentu dalam kehidupan sehariannya.
Alhamdulillah, anak ini lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan insan senasib dengannya, kerana dikurniakan kebolehan untuk menerima pembelajaran akademik seiring dengan anak tipikal yang seusia. Namun saya pasti Syahmi tergolong dalam IQ biasa, bukan autisme genius seperti Albert Einstein. Saya terpaksa menekankannya di sini disebabkan persepsi banyak pihak yang keliru dan menganggap anak autisme tergolong dalam kumpulan manusia genius. Malahan hakikat menunjukkan bahawa tiada insan autisme yang benar-benar bersamaan antara satu sama lain. Mereka berada dalam spektrum masing-masing.
Apabila menceritakan tentang keadaan Syahmi ketika bersekolah, saya lebih menekankan kepada kekurangan yang ada padanya supaya lebih mudah guru-guru dan warga sekolah keseluruhannya mengetahui siapakah Syahmi. Beberapa bahagian yang menampakkan kekurangan yang ada padanya dibandingkan dengan anak-anak seusia dengannya seperti :
a. Mengalami masalah pertuturan, kadang kala sukar difahami pihak lain. Hanya
menggunakan ayat pendek. Jika menerangkan sesuatu, akan mengambil
sedikit masa untuk mengatur ayat terbaik yang termampu olehnya.
b. Boleh menerima arahan yang pendek, ringkas serta satu persatu. Seboleh-
bolehnya kena diperingatkan semula sekiranya menampakkan dia kurang faham.
c. Tidak mengalami masalah hyper tetapi dia tergolong dalam hypo autisme iaitu agak
pasif bila beraktiviti. Mempunyai otot yang tidak cukup 'firm' bagi melakukan
kerja. Mempunyai struktur kaki yang berbeza dari biasa (banana feet) juga mengalami
masalah tapak kaki rata.
d. Tidak mampu membaca ekspresi muka pihak lain. Tidak boleh menilai seseorang
samada pihak yang satu lagi sedang marah, bingung, bengang dan sebagainya.
e. Lurus hingga kadang-kala memerangkap diri sendiri. Sering dibuli, dijadikan
'kambing hitam'. Mudah pihak lain untuk memanupulasinya.
f. Tidak boleh menerima tekanan yang berlebihan, kebiasaannya dia akan menangis
dan memberontak (merungut-rungut).
g. Lebih cenderung untuk bersendirian, dan akan diketepikan oleh kawan-kawan
kerana sikapnya yang sedemikian. Jika berbual, topiknya tidak menjadi kegemaran
rakan-rakan seusia. Lebih cenderung untuk bercerita tentang obsessnya sahaja.
h. Bermasalah dengan kemahiran motor halus seperti mengetuk paku, menggenakan
butang di pakaian, menggunting dan sebagainya.
i. Cepat bosan dengan topik yang tidak menjadi kegemarannya mahupun topik
yang telah dibincang dan telah difahaminya. Mudah letih dan kadang kala tertidur di
dalam kelas.
j. Cepat resah, gelisah, bimbang apabila berhadapan dengan keadaan yang bukan
menjadi rutinnya. Tidak boleh menjangka apa yang akan terjadi.
k. Masih mengalami masalah sensory terhadap bunyi kilat dan petir. Reaksinya akan
menunjukkan ketakutan yang berlebihan dari sepatutnya, gelisah, kelam kabut dan
jantung yang berdegup laju.
l. Mengalami masalah pencernaan dan sensitif terhadap jenis-jenis makanan seperti
produk tenusu. Kesannya, sering mengalami ketidakselesaan seperti kembung
perut dan akan mengadu sakit perut.
Semoga penerangan ini dapat membantu pihak sekolah untuk memahami Syahmi Anak Berkeperluan Khas - Autisme. Pengalamannya dari masa ke masa berada dalam masyarakat merupakan pengajaran terbaik untuk anak ini memperbaiki kekurangan diri demi masa hadapannya. Semoga kehadiran anak istimewa di sekolah ini, dapat diterima seadanya.
Sekian, Terima Kasih.
0 comments:
Post a Comment