20 tahun sekejap sahaja....alhamdulillah. Makin matang, makin dikurniakan kesabaran dalam menempuhi cabaran. Rambut makin memutih merupakan peringatan dari-Nya bahawa masa kian menghampiri. Syukur alhamdulillah buat sekian kalinya.
Mengenang kisah lalu, suka, sedih, malu semua ada rasanya. 5hb March 1995 merupakan hari ke tiga umat Islam beraya. Sengaja dipilih hari ketika umat Islam masih hangat beraya bagi memastikan sanak saudara yang jauh juga dapat bersama menghadirkan diri di majlis perkahwinan kami.
Memang ramai yang datang. Dari K.L turun, dari utara tanahair pun ada. Meriah hingga ke petang. Kami memecah tradisi orang kampung ketika itu, buat kenduri kahwin secara kontrak. Empat ribu ringgit boleh menampung makan minum jemputan kira-kira seribu orang.
Warna tema hijau, hiasan bilik hijau 'kepala itik', pelamin kuning emas, persalinan pengantin juga hijau. Bunga telur ketika itu lebih kepada pasu-pasu kecil dari negeri China. Berminggu saudara mara berkampung di rumah untuk membuat persediaan hari perkahwinan juga menyambut hariraya puasa beberapa hari sebelumnya. Sibuk amat dirasa, namun menggembirakan semua.
Hiasan bilik tidur....warna hijau 'kepala itik'... |
Semua tinggal kenangan. 20 tahun usia perkahwinan, banyak mengajar kami menjadi manusia yang sentiasa bertolak ansur. Lebih dipentingkan kini, hanyalah anak-anak. Masa depan mereka, sambil muhasabah diri. Usia makin meningkat, ramai saudara mara, sahabat dan taulan yang telah pergi mendahului diri.
Agar diberi-Nya masa lagi untuk memperbaiki kekurangan diri sebelum menutup mata. Semoga jodoh kami berkekalan hingga ke jannah...aamiin
0 comments:
Post a Comment