A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, December 4, 2015

Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2015 Kelmarin....




Ingin saya perbetulkan kefahaman kebanyakan masyarakat terhadap OKU. OKU bukan hanya dikaitkan dengan golongan kurang upaya fizikal sahaja terutama yang berkerusi roda, masalah dalam penglihatan dan juga pendengaran.




Terdapat kelompok lain yang dilupakan masyarakat, sedangkan mereka juga dikategorikan sebagai golongan OKU iaitu mereka yang mengalami MASALAH PEMBELAJARAN.  Kebiasaannya golongan bermasalah pembelajaranlah yang sering dilupakan masyarakat tentang kelainan keupayaan mereka. Hinggakan mereka dianggap insan tipikal yang bermasalah.


Faktor ini disebabkan keadaan fizikal mereka yang kelihatan normal jika  dipandang secara lahiriahnya. Sedangkan hakikatnya, mereka mempunyai kecerdasan otak yang tidak seimbang dengan usia biologikal individu berkenaan (seperti down syndrome dll), juga merangkumi mereka yang terjejas kemampuan pembelajaran seperti AUTISME, HYPERAKTIF, DYSLEXIA.


Oleh itu, jangan pernah kita bayangkan OKU itu hanya mereka yang berkerusi roda sahaja, yang berjalan dengan tongkatnya sahaja. Ada insan yang kelihatannya 'segar-bugar', aktif ke sana ke mari, namun di sebaliknya mengalami masalah yang harus diberi perhatian.


Post yang ini hanya bertujuan untuk memperbetulkan kefahaman pihak-pihak yang masih kabur tentang kategori-kategori OKU. Semoga mendapat sesuatu darinya......


Yang ini lebih tepat rasanya.....

Sunday, November 29, 2015

Jan Jan Jala Itik, Jala Ayam......



Permainan dulu-dulu...Jan Jan Jala Itik

Permainan ini tidak bermodalkan wang ringgit. Bermain di halaman rumah, beraktiviti sambil bernyanyi. Seramai mana pun boleh menyertai permainan ini. Dua orang berdiri berhadapan sambil berpegang tangan, diangkat tangan yang berpegangan tadi ke atas (bertindak sebagai perangkap). Sementara kawan-kawan yang lain beratur melalui 'perangkap' sambil bersama-sama menyanyikan lagu yang agak lucu liriknya. Seterusnya apabila lagu habis dinyanyikan, sesiapa yang sedang melalui 'perangkap' tersebut akan 'ditangkap'.

Namun permainan ini boleh dipelbagai carakan. Bagaimana cara sekali pun ianya dimainkan, tujuan utama ialah untuk melatih anak-anak bermain mengikut giliran dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Bercerita tentang permainan ini juga, di sini ingin saya kongsikan lirik lagu tradisi yang digunakan bagi mengiringinya. Bagi masyarakat pantai barat seperti di negeri Perak, nyanyian yang biasa dilagukan mengiringi permainan ini adalah seperti berikut liriknya :

                                                            "Jan Jan jala Itik, Jala Ayam
                                                              Berapa lubang kancil
                                                              Seratus Lima Puluh
                                                              Singgah Dayang Singgah
                                                              Makan Sirih mulut merah"

Namun dikhabarkan bahawa masyarakat pantai timur menyanyikan lagu 'Wau Wau Pepeh' untuk permainan ini. Perlu diingatkan bahawa,  'Wau Wau Pepeh' merupakan lagu daerah masyarakat di negeri Pahang. Tidak hairanlah ianya dinyanyikan juga oleh masyarakat di Terengganu memandang kedua negeri ini terletak bersempadan. Beginilah liriknya lagu 'Wau Wau Pepeh'

                                                             "Wau wau pepeh
                                                               Wau pepeh hujung galah
                                                               Masuk keluar masuk
                                                               Hulubalang buka pintu
                                                               Cak la lok la lok
                                                               Cak la lok la lok"

Inilah yang dikatakan, lain padang lain belalangnya. Perbezaan yang begini melahirkan warna-warni dalam masyarakat. Cuma apabila sudah tidak dilagukan, maka dikhuatiri suatu ketika nanti ianya lenyap ditelan arus pemodenan.

Orang dulu tiada kemampuan untuk mendapatkan permainan canggih sebagaimana generasi sekarang. Kemampuan kewangan agak terhad. Penawaran juga terhad. Berbanggalah dengan kreativiti mereka generasi 50an, 60an. Mereka mampu menggunakan apa yang di sekitaran, tanpa meminta-minta ibubapa untuk dibelikan itu dan ini. Mereka lebih kreatif dan mampu 'hidup' walau di mana mereka tercampak.

Wallahualam.












Wednesday, November 25, 2015

Muazzin Ar-Rasul...





Di sisi Islam, tiada perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, kaya atau miskin seseorang. Yang dinilai hanyalah ketakwaan seseorang kepada pencipta-Nya. Bilal Bin Rabah r.a merupakan muazzin pertama umat Islam. Beliau merupakan lelaki berkulit hitam yang mempunyai suara 'emas'. Dilahirkan 43 sebelum Hijrah di daerah Al-Sarah pinggir Kota Mekah.

Ketaatan beliau kepada Islam tiada tandingannya. Diseksa oleh tuannya Umayyah bin Khalaf yang merupakan musuh Islam dengan pelbagai seksaan. Namun beliau tetap menyebut "Ahad, Ahad" (Allah itu Satu, Allah itu Satu) walau diletakkan di bawah panas mentari dan ditelanjangi lalu dipakaikan dengan baju besi serta dipukul, diletakkan juga batu besar di dadanya hingga tidak mampu langsung bergerak. Penyeksaan demi penyeksaan tidak pernah menggugat ketaatannya pada Islam.

Beliau dikatakan orang yang pertama memeluk Islam di kalangan orang biasa. Beliau sentiasa bersama Rasulullah s.a.w semenjak dibebaskan dari cengkaman tuannya Umayyah. Beliau berhijrah bersama Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah serta sanggup berjuang bersama baginda dalam peperangan besar seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq dan lain-lain lagi. Setelah Masjid Nabawi selesai dibangunkan, Bilal Bin Rabah r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w menjadi muazzin yang pertama apabila azan ditetapkan.

Demikianlah kehebatan Bilal Bin Rabah r.a, hingga pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w bersabda :
"Wahai Bilal, perbuatan khusus apa yang telah engkau lakukan sehingga aku mendengar suara langkah mu berjalan di depan ku di syurga. Lantas Bilal menjawab, " Aku memastikan diri ku sentiasa dalam keadaan berwuduq Ya Rasululullah".

Kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w memberi tamparan hebat kepada beliau. Beliau enggan lagi mengumandangkan azannya kerana berasa sedih yang amat sangat terhadap kehilangan orang yang amat dikasihi dan dirinduinya itu. Beliau berhijrah ke Syria untuk berjihad.


Masjid Nabawi di Madinah

Azan beliau yang terakhir sekali ialah ketika beliau menziarahi makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi, dimana beliau didatangi dua orang cucu baginda iaitu Husain dan Hassan yang merayu beliau mengumandangkan azannya. Maka demi kedua cucu Rasulullah s.a.w, beliau mengumandangkan azan dengan suara gementar dan sayu lalu berduyun-duyunlah orang ramai datang ke Masjid Nabawi ketika itu. Mereka menangis kerana kerinduan terkenangkan azan yang sama berkumandang ketika Nabi Muhammad s.a.w masih ada. Sesungguhnya, azan Bilal Bin Rabah r.a amat dirindui di kalangan umat di Madinah mahupun penduduk langit.

Di saat-saat kematian beliau, isterinya bersedih lalu berkata yang membawa maksud suatu kesedihan, namun Bilal menjawab dengan lafaz yang bermaksud sukacita kerana besok saya akan bertemu dengan orang yang saya rindui iaitu Muhammad s.a.w serta para sahabatnya.

Bilal Bin Rabah r.a dikatakan meninggal dunia di Damsyik dalam usia 63 tahun. Wallahualam


Monday, November 23, 2015

Moderator.....



Kali ini menjadi moderator...Seminar Anak Istimewa Satu Anugerah

Berdebar juga kalau diberi tugasan mengejut, tugasan yang tak pernah dibuat seumur hidup. Tapi bila memikirkan untuk kemudahan semua dan ilmu yang ada tentang anak istimewa, diyakinkan diri bahawa ibu mampu juga lakukan. Bila lagi, kalau bukan sekarang...ya tak?

Tugasan yang dimaksudkan, menjadi moderator forum 'Kisah Ku' yang mengisi salah satu slot dalam Seminar Anak Istimewa Satu Anugerah yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kelolaan LPPKN di Auditorium Maidam, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.


Program Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kelolaan LPPKN
bersempena sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 1 Malaysia

Ibu dah berumur, ibu dah hampir nak mencecah 50 tahun. Sejarah ibu dulu-dulu pernah menjadi pembahas sekolah. Pernah berpengalaman menghadapi saat-saat berhadapan dengan orang ramai. Pernah merasai saat 'malu' yang tidak terhingga apabila idea kehabisan separuh jalan.

Semua itu menjadi kenangan. Opah di kampung pernah berkata, "Kamu ni boleh ganti Rafidah Aziz" katanya ketika zaman persekolahan ibu. Sayang sekali harapan Opah berkubur begitu sahaja. Segalanya berkubur apabila ibu masuk ke alam pekerjaan dan berkahwin, lalu kemudiannya berhenti kerja atas alasan untuk memberi tumpuan terhadap keluarga.

Kata-kata seorang ibu merupakan doa. Tidak mustahil 'masin mulut' Opah, kebolehan ibu 'bercakap' menyerlah ketika usia 'senja'nya. Semoga kebolehan dimanfaat ke jalan yang baik...aamiin

Friday, November 20, 2015

'Trigger Finger'



"Anak saya mengalami masalah Autisme + 'Trigger Finger' ", begitulah yang dikhabarkan oleh seorang ibu tentang anak syurganya yang memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR 2015 yang lalu. Ini menyebabkan si anak sukar menjawab soalan bertulis, namun alhamdulillah masalah tersebut tetap tidak menghalang si anak untuk menempa kejayaan cemerlang.  Apakah yang dinamakan 'Trigger Finger'?


Jari kaku 'terkunci' dalam keadaan membengkok
 ke arah tapak tangan


Masalah ini juga dikenali sebagai STENOSING TENOSYNOVITIS. Berlaku keradangan pada tendon yang menyebabkan jari mengalami kekakuan seolah-olah 'terkunci', membengkok ke arah tapak tangan.

Mereka yang berisiko mengalami masalah ini biasanya golongan yang berkerja menggunakan gerakan genggaman tangan, pesakit diabetis, rheumatoid artritis juga di kalangan wanita yang berusia 40an dan ke atas. Namun puncanya yang sebenar masih belum diketahui.


SIMPTOM :

         -     Kekejangan di jari terutama di waktu pagi
         -     Terasa bunyi 'pop' atau 'klik' ketika jari digerakkan
         -     Pangkal jari yang sakit (bahagian tapak tangan) mungkin terdapat bengkakkan kecil
         -     Tiba-tiba jari kaku dalam keadaan membengkok kemudian melurus kembali dengan bunyi
                'pop' atau 'klik'
         -     Tidak mampu meluruskan jari yang bengkok
         -     Kesukaran beraktiviti seperti memotong kuku, memberus gigi, menulis dan sebagainya

Kebiasaannya melibatkan ibu jari, jari manis atau jari tengah. Boleh berlaku lebih kepada satu jari atau jari di kedua-dua belah tangan.


Normal


Tendon membengkak


Tendon yang  membengkak menyukarkan untuk melalui salur pelindung
yang mengelilingi tendon ketika jari dibengkokkan


BAGAIMANA TERJADI :


Dalam keadaan biasa, tendon dengan permukaan yang licin dapat bergerak melalui terowong tendon tanpa halangan. Namun jika berlaku keradangan, koyak atau penurunan fungsinya disebabkan faktor usia atau penggunaan secara berlebihan, maka terjadilah :

               -   Tendon membengkak
               -   Penyempitan dalam salur pelindung yang mengelilingi tendon

Keadaan ini menyebabkan berlakunya penyempitan salur pelindung dan menghalang kelancaran tendon melaluinya.



KAEDAH MERAWATI :


Beberapa kaedah disyorkan untuk membantu mereka yang menghadapi masalah ini di peringkat awal seperti ubat antiradang, memakai penganduh, fisioterapi, senman jari, merendam jari dalam air suam juga teknik urutan.

Peringkat akhir biasanya kaedah pembedahan disyorkan kepada pesakit. Hanya pembedahan kecil, membuka saluran yang sempit bagi memudahkan pergerakan tendon.


Wallahualam


Wednesday, November 18, 2015

Lama Tak Jumpa...




Cikgu Rosma dan Cik Fazima (PPM) gambar terkini (18.11.2015)

Lama tak bertemu muka dengan kedua-duanya. Cikgu Rosma masih berkhidmat di Sek Keb Seri Budiman 2 sementara Cik Fazima (PPM) dengar khabarnya telah berpindah ke Sek Keb Bukit Bayas.. Kombinasi keduanya, mendidik Syahmi di Pra PPKIBP (2008), kemudian menjadi tempat 'berlindung' jika Syahmi dalam kesusahan walau Syahmi telah diinklusifkan dari Tahun 1 hingga ke Tahun 6 di aliran perdana.

Selama 7 tahun Syahmi di SKSB 2, sakit perutnya, sakit kepalanya,  semua dibawah pemerhatian mereka kerana Syahmi lebih selesa menggunakan kemudahan yang ada di kelas cikgu (Kelas Pra PPKIBP) sama ada tandas atau 'pembaringan'nya. Kalau di aliran perdana, sakit peningnya tiada siapa yang peduli.

Setahun sudah Syahmi meninggalkan kedua-dua insan yang banyak berjasa ini. Ingatan tak pernah luput, sesekali kami berhubung di alam maya. Semoga kedua-duanya sihat sejahtera selalu, terus menabur jasa kepada anak-anak syurga yang lain. Sesungguhnya mereka sangat mendambakan pendidik seperti kamu berdua.......


Pra PPKIBP 2008 SK Seri Budiman 2

Monday, November 16, 2015

'Ziarah Kasih' ke Taman Sinar Harapan


Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu menziarah penghuni Taman Sinar Harapan,
Bukit Besar, Kuala Terengganu

Jumaat lepas, 1st time saya berkunjung ke Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, Kuala Terengganu bersama-sama Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu. Taman Sinar Harapan berfungsi sebagai sebuah tempat perlindungan sebenarnya kepada anak-anak yang mengalami Masalah Pembelajaran dari usia 1-14 tahun dimana anak-anak ini tiada tempat bergantung (samada memang ketiadaan ibubapa mahupun saudara mara, atau anak-anak yang diabaikan keluarga) bagi meneruskan kehidupan. Di sana mereka dilatih untuk berdikari, bagi yang mampu belajar, disekolahkan ke sekolah-sekolah yang mempunyai sektor Pendidikan Khas berhampiran.

Untuk pengetahuan, di Malaysia terdapat beberapa buah lagi Taman Sinar Harapan yang berfungsi seumpamanya. Namun golongan yang disasarkan berbeza dari satu taman ke taman yang lain. Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, Kuala Terengganu dikhususkan kepada anak-anak yang mengalami Masalah Pembelajaran sahaja. Mereka datang dari segenap pelusuk negara, termasuk Johor, Kelantan dan lain-lain lagi.

Dewan Penyayang menerima kunjungan Persatuan Sahabat  Faqeh Terengganu

Mendengar taklimat oleh pihak Taman Sinar Harapan

Taklimat disampaikan oleh wakil Taman Sinar Harapan

Ketika lawatan ke asrama dilakukan, kami dipertemukan dengan anak-anak ini. Gembiranya mereka apabila dihulurkan buah tangan, sesegera itulah mereka meminta kita untuk dibukakan pembalut makanan berupa biskut dan sebagainya untuk dimakan. Terharu dengan nasib anak-anak ini yang kehidupannya hanya bertemankan rakan-rakan senasib juga kakitangan Taman Sinar Harapan. Namun di wajah mereka tetap ceria.


Buah tangan buat anak-anak di Taman Sinar Harapan

Sedikit sumbangan wang tunai yang berjaya dikumpulkan oleh persatuan
juga cenderamata disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu
Saudara Zaidan Abdullah kepada Pengetua Taman Sinar Harapan

Mereka gembira dengan kehadiran kita semua walau pertama kali bertemu. Mereka perlukan perhatian kita sebenarnya. Mereka juga perlukan kasih sayang ibubapa dan keluarga. Kebanyakan anak-anak Bermasalah Pembelajaran tidak menunjukkan kekurangan dari segi fizikal. Namun terdapat juga segelintir yang kelihatannya amat menyentuh hati. Hanya mampu berada di katil tanpa sebarang kata-kata, keadaan fizikal yang amat menyedihkan. Ya Allah, kebahagiaan yang abadi menunggu mereka di sana...InshaAllah

Sayangnya gambar-gambar penghuni tidak dibenarkan untuk diambil oleh pelawat. Hanya kenangan menyaksikan insan-insan istimewa ini yang dikira bernasib baik kerana dapat berlindung di tempat yang selesa dengan layanan yang amat memuaskan. Semoga suatu masa ada diantara mereka yang boleh berdikari, hidup dalam masyarakat seperti insan-insan lain.


Keratan akhbar Sinar Harian 30.11.2015



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...