A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, October 20, 2016

Redha ke Oscar...




Filem Redha akhirnya ke Anugerah Oscar sebagai calon dalam kategori Best Foreign Language Film,
Feb tahun depan. Tahniah kepada produksi filem tersebut, terutama kepada Pengarahnya,
 YM Tunku Mona Riza dan seluruh yang menjayakan filem ini.
Kerja keras anda semua berbaloi-baloi.

Filem Redha akhirnya dicalonkan ke Anugerah Oscar mewakili negara kita tahun hadapan kategori Best Foreign Language Film. Bukan senang sesebuah filem untuk dipertandingkan di sana. Sebelum ini hanya beberapa filem terbaik sahaja yang pernah terpilih hingga ke peringkat ini seperti Puteri Gunung Ledang dan Bunohan.

Mendapat pencalonan sahaja telah membuatkan kami semua bangga, sesungguhnya Redha telah menyemarakkan lagi kesedaran autisme di negara kita.

Selamat berjaya....

Tuesday, October 11, 2016

Bukan Saudagar Minyak Angin



Post kali ini bukan bertujuan untuk menjual produk. Hanya berkongsi informasi tentang mereka yang berada dalam kategori autisme ini dikhabarkan sering mengalami masalah kembung perut/perut berangin. Ada pihak yang mengaitkan permasalahan ini berlaku disebabkan oleh faktor 'leaky gut'.

Syahmi amat sensitif dengan pemakanan berasaskan produk tenusu mahupun gandum. Reaksinya, masalah kembung perut/perut berangin. Dari usia setahun lagi, kami ibubapanya memerhatikan perkembangan ini. Jadi, kami terpaksa mencari minyak angin yang serasi dengannya untuk membantu mengeluarkan angin dalam badan secara alami.

Zaman bayinya, Syahmi sangat serasi dengan Minyak Herba keluaran sebuah jenama terkenal. Bertahun juga menjadi pengguna produk tersebut. Harganya boleh tahan mahalnya. Namun bila di usia persekolahan saya bertemu produk baru yang lebih mampu dibeli iaitu produk tempatan dari Terengganu, Minyak Akar Kayu (Minyak Pak Ali) keluaran Mak Wan.


Keserasian hingga kini...(harga hanya RM7 sebotol)

Terbongkarlah rahsia yang terpendam sekian lama, Syahmi akan membawa botol kecil minyak ini setiap hari ke sekolah bagi menangani masalah kembung perut/perut berangin (bila perlu). Sebelum ke sekolah, Syahmi akan memastikan minyak di sapu di bahagian perutnya. Di rumah pula, kami memastikan ada sebotol untuk kegunaan harian. Begitu juga ketika perjalanan jauh, balik kampung umpamanya. minyak ini mesti dibawa sekali.

Ketika usianya 8-10 tahun, sering ditertawakan kawan dalam kelas
kerana masalah membuang angin

Kebelakangan ini juga kami turut menyapu dan mengurut ke bahagian betisnya dengan minyak ini supaya dapat mengurangkan masalah kekejangan otot betis terutama ketika musim hujan (sejuk). Masalah tapak kaki rata Syahmi menyebabkan dia kerap mengadu kekejangan di bahagian betis.

Tiap individu autisme tidak betul-betul sama permasalahannya. Perhatikan anak autisme kita supaya dapat membantu mengurangkan masalah mereka dari awal. Jika permakanan tertentu sering menyebabkan mereka kurang selesa seperti kembung perut/perut berangin, maka cubalah mengurangkan pengambilannya. Gantikan dengan sumber yang lain namun masih mengandungi khasiat yang serupa.

Carilah produk yang serasi, tidak semestinya yang mahal sahaja dapat menyelesaikan masalah. Produk ini hanya digunakan untuk kegunaan luaran sahaja. Alhamdullilah sangat membantu Syahmi. Wallahualam

Monday, October 10, 2016

Yan Dah Pergi...Innalillahiwainnailaihirojiun




Bukan sering bertemu pun, hanya sekali, tahun 2012 dulu ketika Majlis Hari Raya Autisme Malaysia. Namun pertemuan di maya hampir setiap hari. Sama-sama 'sekapal', senasib, ibubapa yang mempunyai anak istimewa autisme.

Jarak tak menghalang keakraban. Sering bertanya khabar, memberi perangsang, sentiasa cuba memudahkan urusan sahabat senasib. Last sekali conversation antara kami pada 23hb July lalu. Conversation yang 'tergantung', mungkin dia di sana dalam kesakitan atau ada hal lain yang hendak diuruskannya.

Haryanti Tasmiran, seorang ibu kepada 2 orang anak, seorang putera (autisme) dan seorang lagi puteri. Akhirnya Yan pergi jua pada 8hb Okt 2016 yang lalu setelah beberapa bulan bertarung dengan penyakitnya, kanser tulang tahap 4. Tinggallah suami dan anak-anak. Tinggallah ahli keluarga terdekat serta sahabat handai.

Yan bukan sebarang IBU, beliau telah lama berusaha untuk memberi keyakinan kepada anaknya yang istimewa juga yang tipikal untuk menempuh kehidupan lebih cemerlang. Afif, telah pun berjaya memperolehi sijil sebagai Instructor/Coach TKD (OKU) pertama di negara kita. Afif juga sangat berbakat sebagai pelukis.

Pengajaran dari kisah ini, jadilah seorang IBU yang bijak, mendidik anak-anak sebaik mungkin, membantu sahabat yang perlukan bantuan, menjadi isteri yang solehah buat si suami demi menjadi hamba yang taat mengikut perintah-Nya.

Kini Yan telah di sana. Segala kebaikan mu menjadi sebutan semua. Ramai yang mendoakan kebahagiaan mu. InshaAllah...sesungguhnya Dia lebih mengetahui atas setiap sesuatu yang berlaku. Senyumlah Yan, senyumlah kamu di sana sebagaimana senyuman mu di sini yang memberi kebahagiaan buat kami. Kak Long percaya, Chik mampu menggalas tanggungjawab yang kau tinggalkan.

Ya Allah, kau letakkanlah kedudukan terbaik buat adik/sahabat ku Haryanti Tasmiran bersama-sama mereka yang Kau kasihi. Amanlah dia di sana.....aamiin. Al Fatihah


Tabahlah mereka semua yang ditinggalkannya, teruskan perjalanan dengan penuh semangat dan kekuatan
- Chik Rohaizan bin Abd Wahab (suami), Afif  (anak ) dan Auni (anak) -


Wednesday, October 5, 2016

Vroom, Vroommm....



Jauh berjalan minggu lepas. Tidak dijangka pun, semuanya perancangan last minute. Cuti 3 hari, Jumaat, Sabtu dan Ahad termasuk cuti Awal Muharram. Duduk di rumah pun rasa boring, jadi angkat beg pakaian terus start injin kereta...vroom, vroommmmm


Jom Kita....

Destinasi kami tentunya ke Tanjung Malim menziarah anak bujang di sana. Tak lengkap rasanya kalau berjalan-jalan tanpa anak bujang yang itu. Kami memilih perjalanan melalui Tasik Kenyir, kemudian ke Gua Musang dan Cameron Highlands, turun ke Simpang Pulai, Perak menuju Highway PLUS ke selatan menuju Tanjung Malim.

Memulakan perjalanan kira-kira 12.30pm, hari Jumaat dari Kuala Terengganu. Sepanjang pemanduan ke Tasik Kenyir dan seterusnya ke Cameron Highlands sangat lancar dan tenang kerana tidak banyak kenderaan menggunakan laluan ini. Pemandangan di kiri kanan jalan menarik, dengan hutan semulajadinya. Sesekali kelihatan kawanan monyet bermain-main berlari ke sana ke mari di tepi jalanraya. Ada juga yang terkorban di atas jalanraya kerana dilanggar kenderaan yang lalu lalang.


Menghampiri Bandar Gua Musang
Singgah sebentar di Masjid Long Tan, Cameron Highlands
Caption terbaik semasa di Cameron Highlands

Kami sampai di Cameron Highlands selepas waktu Asar. Berhenti sebentar untuk solat jamak qasar di Masjid Long Tan. Kemudian meneruskan perjalanan ke Simpang Pulai, dan naik ke Highway PLUS arah selatan. Makan malam di RnR Tapah lebih kurang sejam. Perjalanan diteruskan, hati berbunga-bunga kerana semakin hampir dengan UPSI, Proton City, dimana Si Abang belajar.

Jam 9.30pm kami selamat sampai di Kolej Zaaba, UPSI. Anak bujang telah sedia menunggu di pintu masuk. Kami makan malam di kafe kolej kediamannya, kemudian ke bandar Tanjung Malim untuk mendapatkan penginapan.

Kira-kira 9.30pm, kami sampai di UPSI, Proton City

Perancangannya, keesokkan hari kami ke Kuala Lumpur dengan komuter dari Tanjung Malim. Jadi, malam tu kami berempat tidur lena disebabkan keletihan dilambung perjalanan yang jauh beratus batu (lebih 500km). Penginapan di daerah ini agak mahal, sedangkan kemudahan yang disediakan ala-ala hotel budget. Berbezalah jika dibandingkan dengan hotel-hotel di Kuala Terengganu yang selesa dengan scenary yang cantik. Nak buat macam mana kan?

Esoknya, kami ke Stesen Keretapi Tanjung Malim untuk menaiki komuter ke Kuala Lumpur. Tambang lebih kurang RM10, perjalanan memakan masa 2 jam untuk sampai ke KL Central. Berbaloi-baloi rasanya kerana perkhidmatan terbaik, selesa dan bersih. Tentu Syahmi suka dengan pengalaman ini kerana dia memang dahaga dengan aktiviti seumpamanya.


Memulakan perjalanan dari Stesen Keretapi Tanjung Malim
Penuh sesak dengan manusia.....

KLCC destinasi yang dituju, bertukar dari stesen komuter ke stesen LRT. Kecanggihan pengangkutan masa kini memungkinkan kami sampai ke sana hanya lebih kurang 20 minit. Beberapa ketika di KLCC, melihat keterujaan Syahmi dengan mercu tanda tersebut.

Anak beranak di KLCC...
Keterujaan....

Planetarium merupakan lokasi yang diidam-idamkan untuk meneroka ilmu sains kegemarannya. Bagi pemegang kad OKU, tidak dikenakan sebarang bayaran masuk. Sejam lebih Syahmi di sana, namun masa tidak mencukupi untuk menghabiskan semua bahan yang dipamerkan. Syahmi buat muka frust, namun setelah dipujuk-pujuk dia memberi syarat, lain kali kita kena ke sini lagi..hihihi


Excited!

Lain kali kita ke mari lagi...

Walau hanya beberapa ketika di Kuala Lumpur, kami sempat bertemu Uncle Wan dan keluarganya. Terima kasih Wan, kerana meluangkan masa melayan kami di KFC, KLCC. Sejam penuh makna, maklumlah dah 4 tahun tak berjumpa. Anak masing-masing pun dah besar panjang, dah masuk alam remaja. Mereka anak autisme yang mild keadaannya. Sekali pandang, tidak akan siapa perasan mereka insan istimewa autisme. 


Bertemu kenalan lama, Uncle Wan n family..

Tingkah laku dan penampilan yang seakan-akan sama
Syahmi n Danish

Pada hari yang sama, kira-kira jam 7.00pm kami bertolak balik dari KLCC ke KL Central menaiki LRT. Lalu meneruskan perjalanan dengan komuter menuju Tanjung Malim semula. Seharian yang agak memenatkan, merasai pengalaman berdiri dalam komuter berhimpit-himpit keadaannya dari destinasi ke satu destinasi, kerenah manusia yang pelbagai. Nampaknya Syahmi tetap cool dan teruja, sebab trip kali ini memang memenuhi citarasanya.

Sampai di Tanjung Malim kira-kira pukul 10.20pm, bergegas semula ke Kolej Zaaba untuk makan malam lalu berkereta balik ke hotel.  Tidur lena Syahmi malam tu dengan mimpi indah berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Si Abang pun ikut sama tidur di hotel, berpeluk-pelukkan dua beradik tidur lena hingga ke pagi.

Esoknya, kami sarapan ala kadar lalu bertolak ke Kuala Kangsar untuk menjenguk Opah di kampung sebelum meneruskan perjalanan balik ke Kuala Terengganu melalui jalanraya Timur Barat. Si Abang kami tinggalkan dengan sedikit rasa sedih bercampur gembira melihat gaya kehidupannya di sana. Dia udah pandai berdikari, penuh dengan aktiviti di kampus. Semoga kamu dilindungi-Nya selalu Syawal Aiman.

Wow, jauh perjalanan kami kali ini! Melebihi 1000km, tentulah Si Ayah yang penat berlebihan kerana dia yang memandu kereta. Hari Ahad, jam 11.30pm kami sampai di Kuala Terengganu. Terima kasih Almeera, lain kali kita vroooom lagi.




Saturday, September 24, 2016

Abang...



Hampir sebulan Si Abang berhijrah nun jauh di Tanjung Malim, Perak. Alhamdulillah, dia sudah menyesuaikan dirinya dengan suasana baru di sana bersama-sama kawan serumah, sekuliah. Ternyata dia gembira di sana. Sememangnya dia mendambakan kehidupan tanpa keluarga di sisi, menguji kemampuan diri untuk hidup berdikari.

Walaupun dia pastinya merindui kehidupan kanak-kanak hingga remajanya di sini, demi untuk mencapai kepuasan dan keyakinan diri,penghijrahan ini memang kena pada masanya. Dia sudah dewasa, semoga dia sentiasa dilindungi-Nya. Belajar elok-elok abang, bukan senang nak tempuh cabaran masa hadapan. Persaingan sengit, graduan menganggur berlambak di pasaran.


Abang dah jadi 'Class Rep'...

Abang dah pandai bergaya...

Abang pergi kuliah naik bas...Kiffah

Persekitaran kolej pun cantik

Kawan-kawan sekuliah pun baik

Dewan kuliah selesa

Bersama roommates, Sabahan, Sarawakian, Kelantanese, Perakian....semua ada

Terkini, bersama roommates jalan-jalan menaiki komuter
dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur lalu singgah di KLCC

Tiada lagi alasan untuk tidak berjaya. Kuatkan usaha. Dapatkan keputusan yang terbaik. Ibuayah mendoakan dari jauh supaya kamu sejahtera di sana. Ibu dah mula rasa lega dengan perpisahan ini. Udah boleh menyesuaikan diri dengan ketiadaan kamu di rumah.

Bila terluang, baliklah. Jenguk-jenguk kami di sini. Tanjung Malim ke Kuala Terengganu tu agak jauh jaraknya, tapi jangan bimbang SP Bumi ada, Mahligai pun bersedia untuk membawa kamu balik ke mari. Balik ya...kesian Syahmi tiada teman bergurau senda di rumah.


Wednesday, September 21, 2016

Penyu Menangis Siapa Yang Tahu...



Juara Yang Hampir Dilupakan...

Dulu saya pernah memuja suaranya. Dia pernah bergelar juara dari sebuah pertandingan nyanyian di sebuah saluran TV ternama. Imejnya yang selamba, raut wajah Melayu, tidak terlalu cantik, namun manis tetap miliknya. Suara yang tidak terikut-ikut suara penyanyi wanita lain, mantap dan penuh perasaan.

Itu cerita dulu. Kini dia telah berusia lewat 40an. Bukan semua penyanyi bernasib baik sebagaimana Siti Nurhaliza. Bakat sahaja tidak mencukupi untuk dijulang di persada. Kemunculan dia di bidang ini kurang mendapat sambutan, Namun bagi saya kebolehan dia bernyanyi tetap mengagumkan.

Takdir menemukan kami di sebuah sekolah rendah 4-5 tahun lalu di mana kami masing-masing mempunyai anak autisme. Sama-sama berulang-alik menghantar anak bersekolah Pendidikan Khas. Dia tidak memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai nama suatu ketika dulu di bidang nyanyian. Penampilannya amat selamba. Namun, saya yang tersentak apabila mendengar lontaran suaranya apabila bertutur kata. Lantas mengingatkan saya kembali suara lunaknya ketika memenangi pertandingan nyanyian tersebut sekitar tahun 1990an.

Sedihhh....kini dikhabarkan dia telah beberapa tahun berpisah dengan suaminya. Saya tetap bersimpati dengan apa yang berlaku. Bukan senang seorang ibu yang mempunyai anak istimewa hendak mengimbangi kebahagiaan diri, suami, anak-anak dan masyarakat sekeliling dalam menempuh cabaran kehidupan. Namun dia tetap tabah menutup pahit getir kehidupannya.

Khabarnya dia telah kembali mencuba nasib dalam bidang seni berbekalkan bakat yang ada walau kini berada di pertengahan usia. Namanya kembali menjadi sebutan setelah berjaya menjadi finalists sebuah pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh sebuah stesen TV beberapa tahun lalu. Semoga rezekinya bertambah baik.

Ingatan saya tetap terpahat bagaimana situasi dia mengurus anak istimewanya suatu ketika, bekejar ke sana ke mari bagi memastikan keselamatan si anak semasa di sekolah. Menjadi buah mulut masyarakat sekolah kerana kurangnya awareness tentang autisme.


Siapakah DIA.....

Siapakah dia? Biarlah menjadi rahsia saya. Jikalaulah namanya tersohor sebagaimana Zarina Zainuddin, Edry KRU mungkin juga jalan cerita kehidupan beliau bersama anak istimewanya menjadi buruan wartawan untuk dikongsikan dengan masyarakat. Sayang sekali dia hanya artis biasa.

Sesekali saya terkenang nasibnya, terasa bersyukur amat kerana ujian yang saya lalui tidak sehebat dirinya. Saya tetap mendoakan dia memperoleh sesuatu yang terbaik untuk kehidupannya yang mendatang...aamiin


Pemyu Menangis Siapa Yang Tahu?


Thursday, September 8, 2016

Dia Sudah Remaja...



Kelmarin 7hb September 2016, maka genaplah usia Syahmi 14 tahun. Kini dia sudah berada di usia remaja, makin banyak cabaran yang harus dilalui. Dengan keadaan fizikal yang semakin menjadi-jadi, makin tinggi dan berisi, jerawat tumbuh sebiji-sebiji di muka especially di pipi dan hidung.

Emosi juga berubah kini. kekadang dia udah berani mempertahankan diri dari usikan orang lain. Menyuarakan kemarahannya, jika orang lain melakukan sesuatu yang tidak disenanginya. Hormon remaja mula menguasai dirinya barangkali.

14 tahun berlalu, banyak perkara tercatit dalam diari harian kami sekeluarga. Kerana dia, kami menangis mencari sebab, kenapa dan mengapa dia mengalami autisme. Kerana dia juga, kami belajar memahami insan-insan lain yang senasib dengannya. Kerana dia, kami belajar berada di bawah. Kerana dia, kami lebih mendekatkan diri pada-Nya. Membuang rasa ego, melatih diri menjadi orang yang sabar.

Banyak hikmahnya apabila kita diuji dengan kesusahan, kesedihan dan kedukaan. Namun kita kena gali sendiri supaya sinar di hujung sana dapat kita temui.

Kembali memperkatakan tentang hari lahir Syahmi kelmarin, tahun ni ada sedikit kejutannnn....jeng jeng jeng. Inilah sehelai lembaran ucapan selamat hari lahir dari rakan sekelasnya, rakan muslimah pulak tu. Terima kasih anak-anak semua AQILAH, AMIRAH, ILYA, ADILAH AZMAL dan NURUL IZZAN IZZATI. Sesungguhnya kamu semua menghargai insan istimewa ini sebagai rakan sekelas. Kami sebagai ibubapa Syahmi amat menghargainya. Inilah hadiah bermakna buat Syahmi seorang insan autisme yang tidak semua orang mampu mendekatinya.


Coretan dari rakan-rakan muslimah Tingkatan 2 Al Tirmizi buat
Syahmi di hari lahirnya

Pada rakan-rakan lain yang turut mengucapkan Selamat Hari Lahir buat mu di facebook, terima kasih juga diatas perhatian anda semua pada Syahmi. Sekarang kami tahu Syahmi tidak bersendirian lagi. Telah ada insan-insan lain yang menganggapnya sebagai seorang kawan.

Selamat Hari Lahir Syahmi. Ibu dan ayah mendoakan kamu agar menjadi seorang anak yang soleh, sihat selalu, berbahagia di dunia juga di akhirat. Aamiin...



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...