A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, July 25, 2015

Pok Chik Dah Pergi....







Pok Chik dah 'pergi'. 'Pergi' meninggalkan dunia ini, 'pergi' meninggalkan anak isteri yang disayanginya, teman-temannya, harta dunianya. Yang dibawa ke sana hanyalah amalannya semasa di dunia. 'Pergi'nya Pok Chik kelmarin dulu setelah mengalami serangan jantung di rumah dan akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi walaupun telah dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.


Pok Chik pergi dalam umur yang masih muda, 48 tahun. Namun ajal kita hamba-Nya tidak mengenal usia. Segalanya telah ditentukan semenjak azali lagi. Mulianya hati Pok Chik, tiada tolak bandingnya. Zahirnya sahaja kita boleh tahu Pok Chik seorang yang sangat penyayang. Sangat cakna dengan budak-budak. Kerap dilihat di sekolah bersama si isteri untuk menghantar dan mengambil puterinya yang sebaya dengan anak istimewa ku, Syahmi. Kerap juga Pok Chik menyertai aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah.


Keratan akhbar Sinar Harian 2011 - Pok Chik (kanan sekali),
Ayah Syahmi (kiri sekali) dalam Acara Murid 1 Sukan 1 Malaysia yang berlangsung
di padang Sek Keb Seri Budiman II

2012 - Peristiwa yang membuat saya amat terharu, Pok Chik mententeramkan Syahmi yang
keletihan setelah menamatkan acara Larian Merentas Desa sekolah


Pok Chik kerap mendengar cerita tentang Syahmi melalui puteri jelitanya. Puterinya juga amat mengambil berat tentang hal-hal Syahmi. Jika berlaku sesuatu yang kurang enak terhadap Syahmi semasa di dalam kelas, pasti puteri Pok Chik yang akan menyampaikan khabar kepada saya. Alhamdulillah... sebagaimana Pok Chik, puteri Pok Chik juga berhati mulia umpama bidadari syurga yang Allah turunkan untuk membantu Syahmi semasa di sekolah.


Biar Pok Chik telah tiada, kebaikan Pok Chik pasti kekal mengiringi Pok Chik. Allah tidak pernah alpa, setiap kebaikan pasti akan mendapat ganjaran dari-Nya. Berbahagialah Pok Chik hendaknya di sana, semoga roh mu dicucuri rahmat. Permudahkanlah Ya Allah  urusan seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan. Al fatihah.


2014 - Tinggal kenangan Syahmi bersama Pok Chik


Tuesday, July 21, 2015

Suasana Raya Di Kampung....1436H




Lapang dada menjejaki kampung halaman, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak. Suasana kampung pinggir bandar, kira-kira 10 minit memandu sahaja. Dikelilingi pokok-pokok rambutan tua, durian dengan laman yang luas. Boleh parking 20 buah kereta keluasannya.


Aman damai suasananya. keluasan halaman menyebabkan ketiak berpeluh untuk menguruskannya. Rumput kena selalu dipotong, sampah sarap kena dikutip. Bukan perkara mudah sebenarnya. Datang weh....datangggggg

Rumah peninggalan 'Apak'....2 tahun setelah pemergiannya, anak cucu masih berkunjung ke rumah bertuah ini. Rumah yang meninggalkan berjuta kenangan buat kami sekeluarga. Ada diantara kami yang lahir di sini, berkahwin di sini dan macam-macam lagi kenangan yang ada.

Lemang, juadah yang wajib disediakan ketika menyambut hariraya. Bukan mudah hendak menyediakannya. hanya yang 'expert' sahaja mampu menghasilkan lemang  terbaik. Cukup lemaknya, lembut, jauh sekali hangussss

'Panjut' merupakan deretan pelita yang dipasang untuk memeriahkan malam raya. Ramai juga yang telah meninggalkan tradisi ini. Jika sekadar untuk menyeronokkan anak-anak rasanya tidak bersalahan di sisi agama. Janji kita bersederhana, tidak membazir.

Berpakaian anak beranak untuk ke masjid, warna sedondon, bersampin juga bersongkok. Bila meningkat remaja, si anak harus diajar dengan kemahiran pengurusan diri seperti memakaikan sampin. Membiasakannya dengan kemahiran baru dapat meningkatkan keyakinan diri mereka ketika di khalayak nanti.

Mengingati mereka yang telah pergi sambil mengingati diri sendiri bahawa hidup akan ada jalan penyudahnya. Menziarah kubur 'Atok Sate' di Jalan Gurap, Ipoh. 20 tahun lebih beliau meninggalkan kami. Sedekahkan ayat-ayat suci Al Quran, semoga ruhnya dicucuri rahmat....aamiin

Bergambar bersama Tok Chik (datuk saudara). Berkenalan dengan saudara mara ketika ayah/ibu masih ada. Nanti bila kami telah pergi, kamu tahu yang mana keluarga mu. Jangan lupa asal usul, yang tua biasanya akan mendahului kita. Namun yang muda jangan alpa dengan 'kebiasaan' itu kerana ajal, jodoh pertemuan di tangan-Nya belaka.

Akhir sekali ucapan Selamat Hariraya dari kami sekeluarga. 

Wednesday, July 15, 2015

Nak Raya Dah Kita....





Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua pengunjung blog AUTISM A GIFT FROM HEAVEN. Terima kasih atas sokongan anda semua. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah untuk bersama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mendidik insan istimewa autisme.

Kemaafan jua dipohon andainya ada  tersalah atau tersilap dalam bicara maya ini. Segala yang baik itu datang dari-Nya, manakala kekurangan/keburukan itu dari saya sendiri. Sekian, terima kasih. Selamat Hari Raya.......

Friday, July 10, 2015

Temu Murni 2015 (SMK (A) Sheikh Abdul Malek - Ting. 1 Ar Razi)



Dia dah di Tingkatan 1. Bila ibubapa dijemput ke sekolah untuk menghadiri Program Temu Murni, maka berdebar-debar juga perasaan si ibu berhadapan Guru Kelasnya. Bila anak istimewa berada di sekolah menengah biasa, saya tidak lagi seaktif dulu mencampuri urusan gurunya dalam pendidikan dan pembelajaran anak istimewa saya.


Bukan bermaksud nak lepas tangan, tapi saya mahukan anak saya berdikari. Cuba menyelesaikan masalah sendiri. Namun saya sentiasa bertanya itu dan ini semasa si anak di rumah. Setakat ini nampaknya tiada sebarang masalah berbangkit terutama dari gurunya. Selagi guru tidak menghubungi saya, anggaplah gurunya boleh menguruskan kerenah anak murid yang ini. Semoga anggapan ibu, benar belaka....


Berhadapan dengan Guru Kelasnya, Puan Wan Normah, mendamaikan hati kita disebabkan keramahan beliau menerima tetamu di kalangan ibubapa anak-anak didiknya. Menurut katanya, prestasi si anak SEDERHANA dengan kedudukan dalam kelas 9/31 sementara keseluruhan 89/291. Bermakna anak saya dalam kedudukan 3 kelas terbaik dari 8 kelas semuanya. Mampu untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik jika dibimbing dengan betul. Sosialnya baik, tidak menganggu kawan, cuma kurang senang jika diganggu orang lain. Kekadang dia masih kurang memahami komunikasi yang pantas.


Sejuk hati ibu mendengar feedback seorang guru terhadap perkembangan anak muridnya. Harapan ibu sebenarnya lebih kepada sosial si anak. Akademik perkara ke 2 yang harus difikirkan. Ibu telah 6 bulan memastikan si anak belajar menangani tantrum, bertolak ansur dengan kawan, menghormati guru-guru dan sebagainya.


Mungkin cikgu tidak tahu, di awal tahun dulu anak saya masih terkial-kial untuk mengenakan tali kasutnya, terkial-kial juga mengenakan butang lengan panjang baju sekolahnya, mengikat tali lehernya. Sedangkan kawan-kawan tipikal yang lain telah jauh ke depan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut. Itulah perjuangan anak istimewa masalah pembelajaran apabila digandingkan dengan anak-anak tipikal. Sekarang Syahmi telah boleh menguasai kemahiran asas tersebut...alhamdulillah


Pelan-pelan kayuh Syahmi, InshaAllah setiap usaha tiada yang sia-sia. Senyum kamu ketika bersama kawan-kawan membuatkan hati ibu berbunga-bunga. Kipidap Syahmi.....ibu percaya kita tidak salah memilih sekolah ini untuk meneruskan pembelajaran mu di peringkat menengah.....







Nak balik dah.....



Wednesday, June 17, 2015

Selamat Berpuasa...



Assalamualaikum semua....



Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa kali ini. Jom kita ambil peluang bersama-sama mencari rahmat, berkat dan keampunan-Nya.....InshaAllah

Tuesday, June 16, 2015

Ukhwah...


Lidi kalau sebatang pasti mudah patah atau dipatah-patahkan. Tapi apabila lidi telah menjadi seberkas, ia menjadi lebih kukuh dan boleh dibuat penyapu. Kehidupan kita juga begitu. Kita disarankan hidup dalam berjemaah. Bersama-sama, tolong menolong dalam membuat kebaikan, membantu ketika sesiapa dari kita berada dalam kesusahan.


Lidi bila diberkas, menjadi penyapu yang banyak kegunaannya...

Keluarga yang mempunyai anak istimewa, kekadang disisih oleh masyarakat. Mereka dipandang serong disebabkan kelainan yang ada pada si anak. Pandangan yang seumpamanya membuatkan ibubapa anak istimewa, enggan bercampur gaul dengan masyarakat kerana sakit hati atau malu atas kekurangan yang ada pada si anak.

Sekarang, internet mudah diperolehi, smartphone hampir semua kita memilikinya. Kita boleh berhubung antara satu sama lain dengan mudah. Cari kawan-kawan 'sekasut'. Kita buat perjumpaan. Kita adakan aktiviti bermanfaat. Kita bertukar-tukar fikiran. Jiwa kita lebih tenteram apabila bertemu dengan mereka yang memahami keadaan kita.

Beginilah keadaannya apabila kita bersama-sama menghadapi susah dan senang. Muka sentiasa senyum. Bila berpisah, rasa payah. Rindu merindui sesama kita. Anak-anak mendapat kawan, yang tipikal mahu pun yang istimewa bersama bermain. Belajar menerima kekurangan dan kelebihan yang ada. Sesungguhnya kita semua tiada yang sempurna. Pasti ada cacat celanya di sana sini. Kita saling ingat memperingati.


















Beginilah sekitar majlis BBQ Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu yang berlangsung baru-baru ini pada tanggal 13hb June 2015 bersamaan hari Sabtu jam 2.30pm - 5.30pm. Alhamdulillah semakin ramai yang join persatuan ini, semakin meriah dan jelas keakraban yang terhasil.

Saya sekadar mengusulkan kepada ibubapa yang mempunyai anak istimewa, bersatulah demi anak-anak kita. Suara kita akan lebih didengari apabila kita bersatu. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak memperjuangkan hak anak-anak kita?

Semoga ukhwah kami di Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu berpanjangan....aamiin

Thursday, June 4, 2015

Rindu Kampung Halaman Ku....



Bila berpeluang balik ke kampung sekali sekala....gunakan masa sepenuhnya dengan aktiviti bermakna. Cari teman, cari saudara, cari makanan juga bagi melepaskan rindu dendam. Melihat-lihat Bandar Kuala Kangsar yang indah landskapnya, jam besar masih berdiri utuh.


Mengunjungi Apak yang telah pergi, menjadi perkara wajib. Rindu pada kenangan ketika dia masih ada. Walaupun telah 2 tahun Apak di sana, menjenguk pusaranya menjadi kepuasan bagi ku. Biar pun Apak makin jauh meninggalkan kami, doa tak putus-putus dikirim. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya...aamiin.


Menjenguk mereka yang mendahului...tanda ingatan
pada diri sendiri juga

Pada Mak yang bersendirian di kampung, kunjungan anak cucu memang ditunggu-tunggu. Kegembiraan di hati terpancar dari riak wajahnya. Menghitung masa yang kian tiba, kesunyian melanda apabila teman hidup mendahuluinya. Namun tasbih sentiasa di tangan, redha dengan setiap kententuan-Nya. Kematian tidak dapat dielak, sama ada yang tua mahu pun yang muda. Apakah persediaan yang akan dibawa ke sana nanti sudah mencukupi?


Opah yang semakin meniti usia...80an

Ronda-ronda kawasan, lebih kepada mengikut kehendak anak yang sedang bercuti sekarang. Kali ini Syahmi telah berubah minat. Tidak lagi sibuk untuk berkunjung ke Zoo Taiping. Dimintanya mengunjungi Muzium Taiping, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan lain-lainnya. Bila dah berada di Tingkatan 1, subjek Sejarah memonopoli mindanya. Hari-hari asyik berkongsi cerita tentang sejarah.


Tapak Warisan Dunia UNESCO

Rangka asal 'Manusia Perak'....Galeri Arkeologi Lembah Lenggong
Rangka asal  manusia zaman neolitik....Galeri Arkeologi Lembah Lenggong

Keretapi lama yang dipamerkan di Muzium Perak, Taiping

Orang asli tidak berpakaian selengkap kita sekarang....Muzium Perak, Taiping

Adat persandingan Melayu lama...Muzium Perak, Taiping

Makan-makan juga penting, makan untuk hidup. Makanan kesukaan ramai di Taiping tentunya Yong Tau Foo. Fresh dengan sayur kang kung yang biasa kita lihat di tali-tali air, sotong spring, fish ball, fish kek dan bermacam-macam lagi digaul bersama kuahnya yang lazat. Masyarakat berbilang kaum, jadi orang kita kena expert juga menghasilkan makanan bangsa lain. Sebagaimana orang Cina makan nasi berulamkan petai colek belacan...hihihi


Sotong Spring dan Kang Kung bergayutan....meleleh air liur teman weh

Yong Tau Foo Taiping....cun rasanya 

Kuala Kangsar pula terkenal dengan Laksa Kualenya. Banyak tempat menyediakan menu laksa sebenarnya. Tapi rasanya agak berbeza sedikit antara satu sama lain, lain orang lain pula citarasanya. Laksa Pak Ngah, Laksa Pokok Limau, Laksa Lubok Merbau dan pelbagai lagi pilihan. Kebiasaannya Laksa Kuale dipadukan dengan cendol atau ABC, baru ngam kombinasinya.


Balik Kuale....jangan lupa singgah sebentar untuk mendapatkan
Laksa Kuale.....

Laksa Kuale berbeza dengan Laksa Penang....

Beberapa hari di kampung memang menyeronokkan. Menyaksikan tempat bermain dengan kawan-kawan zaman kanak-kanak ku dahulu. Rumah-rumah kampung yang tinggal, kebanyakkannya udah usang kerana tiada berpenghuni. Masing-masing ke kota mencari rezeki, sementara ibubapa telah pergi menghadap Ilahi.

Di belakang, rumah kawan sepermainan ku ketika di sekolah rendah,
berkumpul kami petang-petang di sana bermain masak-masak dll


Putaran masa tidak dapat kita hindarkan. Hargailah segala yang kita ada, supaya tiada sesalan di kemudian hari. Mak akan ku tinggalkan di kampung di bawah jagaan kekanda ku yang lain. Duduk merantau jauh dari keluarga di kampung memang menguji.


Semoga Allah memberi kelapangan buat kami sekeluarga menjenguk mak di kampung. InshaAllah lain kali kita jumpa lagi mak.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...