اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, September 28, 2013

Mereka Tanya, Saya Jawab...



Mereka tanya......

Ramai yang beranggapan mereka degil, kurang ajar, kurang siuman dan seumpamanya. Ada yang menyangka tingkahlaku mereka sengaja diada-adakan. Mereka dipandang jelek, segala yang negatif ada pada mereka. Paling menyedihkan ibubapa menjadi cemuhan kerana tidak pandai mendidik si anak. Beberapa persoalan yang sering hinggap di telinga saya, perlukan pencerahan dari sudut pandangan ibubapa yang berpengalaman membesarkan anak autisme.


1. APAKAH AUTISME?

Autisme merupakan gangguan neurologi (bukan gangguan mental) yang kompleks menyebabkan kegagalan fungsi otak yang bercirikan hubungan sosial, emosi, komunikasi termasuklah kesukaran berimaginasi, gangguan deria, pola bermain dan beraktiviti.


3  bahagian yang terjejas....
           
a. SOSIAL DAN EMOSI, antara keadaannya :

- Kesukaran golongan ini membina persahabatan malahan lebih suka menyendiri walau ketika dikelilingi rakan sebaya.
- Kesukaran memberi kerjasama dalam aktiviti berkumpulan.
- Kesukaran menyesuaikan diri dengan sesuatu yang di luar dari perancangan. Akan memberi reaksi kurang menyenangkan seperti merungut-rungut, dan jangan terkejut jika ada yang 'meltdown' kerana perkara yang kecil.
 
                                                             
b.  IMAGINASI, antara keadaannya  :

-  Kesukaran berubah dari routine seperti enggan berubah kedudukan dalam kelas.
-  Kurang empathy seperti tidak mengendahkan sapaan orang lain terhadap mereka.
-  Rigid pemikirannya, sukar menyesuaikan dengan keadaan menjadikan mereka lemah dalam membuat keputusan.


c. BAHASA DAN PERTUTURAN, antara keadaannya  :
                                             
-  Kesukaran mentafsir riak muka pihak lain. (mencebek bibir, mengerutkan dahi dan sebagainya)
-  Kesukaran mentafsir bahasa kiasan atau perkataan dua makna.
-  Kesukaran memahami bahasa yang membawa makna jenaka.


2.  BAGAIMANA MEREKA DISAHKAN SEBAGAI  AUTISME?

Seseorang yang individu yang mengalami sejumlah simptom yang tersenarai oleh pihak perubatan dan telah melalui proses ujian pendengaran, ujian penglihatan, ujian saraf, ujian genetik (jika perlu) serta perbincangan dengan keluarga juga penelitian secara komprehensif oleh sepasukan perubatan yang terdiri dari Pakar Kanak-Kanak, Pakar Perunding Psychiatrist, Terapist Pertuturan, maka akhirnya individu terbabit akan didiagnose sebagai autisme.

                   Sebahagian dari simptom yang tersenarai :

                   a. Tidak mampu bersosial seperti enggan bergaul dengan memilih
                       untuk menyendiri walau dikelilingi rakan sebaya.

                   b. Komunikasi kurang berkesan dimana sukar difahami oleh pihak
                       lain atau non verbal.
           
                   c. Tingkahlaku yang ganjil seperti melakukan sesuatu secara berulang-
                       ulang, bertindak agresif jika minatnya dihalang, menyusun objek di
                       dalam barisan dll.


Simptom-simptom autisme


  3. MENGAPA DIKATEGORIKAN SEBAGAI ORANG KELAINAN  UPAYA?

         
Pelbagai kategori OKU
             
Mereka tergolong dalam OKU Bermasalah Pembelajaran dimana ia merujuk kepada masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal. Mereka yang berada di dalam kategori ini termasuklah keadaan kumpulan yang terjejas kemampuan pembelajaran individu, seperti Autisme (Autism Spectrum Disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran specific seperti Dyslexia, Dyscalculia dan Dysgraphia.

Ia juga merangkumi mereka yang mengalami lewat perkembangan global seperti golongan Down Syndrome, lembam dan kurang upaya intelektual.



 4. MENGAPA MEREKA BERLAINAN VERSI?


Pelangi......

Autisme atau menurut istilah klinikalnya iaitu Autism Spectrum Disorder (ASD). Apakah objek yang berada di dalam spektrum? Pelangi. Seperti mana pelangi, Autisme juga mempunyai spektrum dimana keadaan yang berlainan antara satu sama lain. Mereka biasanya diklasifikasikan keadaannya sebagai 'severe', 'mild' dan 'high function autism' termasuklah Asperger Syndrome. Tiada yang benar-benar bersamaan antara mereka, namun mereka berlindung di bawah payung yang dinamakan Autisme Spectrum Disorder (ASD).


Mohammad Daniel bin Zainuddin
memperolehi 9A dalam PMR

Sejumlah mereka mengalami tahap IQ di bawah paras biasa, dan ada juga yang mempunyai tahap IQ sebagaimana anak tipikal serta ada juga sebilangannya yang tergolong dalam manusia genius walaupun bilangannya tidak ramai mana. Maka tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini terpampang di dada-dada akhbar kejayaan anak autisme di dalam UPSR, PMR, SPM dan ada juga yang melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading mencecah peringkat yang tertinggi PHD.


Namun, masyarakat tidak harus menyangka golongan autisme yang berjaya di dalam pelajaran ini telah bebas dari masalah autisme. Sebenarnya mereka masih bergelut dengan permasalahan sosial seperti kurangnya rasa empathy, sukar mentafsir sesuatu berbentuk imaginasi dan sebagainya. Cuma golongan ini lebih bernasib baik kerana mereka tidak mengalami gangguan intelektual.
           


5.  MENGAPA MEREKA TIDAK DIPULIHKAN KEADAANNYA?


Tiada bukti yang menunjukkan autisme boleh dipulihkan. Tiada ubat-ubatan yang ditemui untuk mengatasi masalah ini. Sedangkan puncanya juga masih menjadi tanda tanya di kalangan penyelidik di serata dunia. Namun kita tidak boleh putus asa untuk berusaha membantu mereka.


Autisme hanya boleh dibantu melalui program intervensi awal seperti menghadiri Terapi Carakerja, Terapi Pertuturan dan sebagainya. Lagi awal seseorang individu autisme itu menjalani program tersebut, maka lagi cepatlah menampakkan hasil-hasil positif  yang dapat membantu perkembangan anak-anak tersebut.


Terapi Carakerja termasuklah melatih
si anak untuk menggenggam pensel dengan betul

Terapi Carakerja antara program intervensi awal yang sangat membantu anak-anak autisme dimana mereka dilatih melakukan aktiviti tertentu bagi menguatkan otot-otot, meningkatkan daya fokus, meminimakan masalah sensori disamping  memberi idea kepada  ibubapa supaya dapat melakukan teknik-teknik yang diajar ketika di rumah. Program ini dijalankan bersama Ahli Terapi Carakerja yang berkelayakan untuk mengendalikan kes-kes seumpamanya.


Beraktiviti dalam sesi terapi pertuturan dapat
menggalakkan si anak berkata-kata
             

Terapi Pertuturan juga antara intervensi awal yang sangat diperlukan buat golongan autisme. Lewat perkembangan pertuturan merupakan simptom awal autisme yang biasa dikesan. Pertuturan juga sukar difahami oleh mereka di sekeliling. Kepakaran Ahli Terapi Pertuturan dapat meminimakan kekurangan ini melalui sesi terapi secara individu mahupun berkumpulan.


Selain dari itu, autisme juga menurut kajiannya berhubungkait dengan masalah pencernaan. Kebanyakan mereka sering mengalami sembelit, kembung perut, dipercayai akibat dari makanan yang tidak dapat dicernakan dengan baik oleh sistem penghadaman mereka. Gluten Free, Casein Free, merupakan antara diet yang disyorkan kepada individu autisme bagi meminimakan permasalahan ini. Gluten merupakan produk yang diperbuat dari gandum, manakala casein pula adalah  makanan yang bersumberkan produk tenusu.


Mengapa Diet GFCF disyorkan....

Pelbagai ikhtiar yang diusahakan oleh keluarga kepada individu autisme bagi membantu anak-anak ini dengan harapan mereka boleh hidup berdikari demi masa hadapan. Bukan salah asuhan, namun ia merupakan dugaan Tuhan bagi mereka yang berkemampuan kerana Dia lebih mengetahui. Wang ringgit dan masa dikorbankan, cemuhan masyarakat menjadi semangat untuk membesarkan individu autisme.


Semoga post yang ini dapat menjawab persoalan  ramai dari perspektif  ibubapa yang berpengalaman membesarkan golongan ini. Semoga kami terus diberi kekuatan untuk menjaga amanah-Nya  ..InsyaAllah.

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...