A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, May 10, 2013

Sejauh Mana Kesabaran Kita??






              Minggu depan bermulanya Peperiksaan Pertengahan Tahun bagi murid-murid sekolah rendah di Terengganu. Syahmi akan menghadapi peperiksaan bagi semua matapelajaran, tiada yang terkecuali termasuk Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan, Pendidikan Sivik dan lain-lainnya.  Sangat padat hingga mencabar kesabaran kita ibubapanya untuk bersama-sama turun padang mengajak si anak mengulangkaji pelajaran.


Seminggu Memerah Otak Si Anak


               Hari ini Jumaat, 10hb Mei 2013. Saya memulakan ulangkaji pelajaran dengan Syahmi di awal pagi yang mulia ini dengan Kertas Pendidikan Islam (hari Ahad nanti, ada peperiksaan Pendidikan Islam). Belek punya belek mukasurat buku teks Tahun Lima, saya berbincang dengan si anak tentang nama Allah Al- Subur yang bermakna Allah SWT Maha Sabar dan tidak terburu-buru.


              Maka terpandanglah mukasurat 19, bercerita tentang kisah pengemis Yahudi yang buta dan sering memfitnah serta menghasut orang ramai memulaukan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan tanpa disedarinya bahawa Rasulullah yang menyuapkan makanan kepadanya setiap pagi hinggalah kewafatan-Nya. Namun kesudahan cerita ini, Si pengemis Yahudi memeluk Islam kerana insaf apabila dikhabarkan oleh Saidina Abu Bakar bahawa orang yang menyuapkan makanan kepadanya selama ini ialah Baginda Rasulullah SAW. Si pengemis ini juga dapat membezakan suapan makanan dari manusia yang bergelar kekasih Allah dengan suapan oleh Saidina Abu Bakar.  Maka menangislah si pengemis dek kerana kesombongannya selama ini dengan menaburkan fitnah terhadap insan yang semulia Nabi Muhammad SAW.


Speechless......
       

                           Di manakah agaknya tahap kesabaran kita sebagai hamba-Nya?
                                  Kerdilnya aku dibanding dengan-Mu wahai 'Kekasih Allah'!
                                                           

Friday, May 3, 2013

Tamak Ke Namanya???......


       
Inikah Yang Dinamakan Tamak????

           Orang tamak selalu rugi..... begitulah perumpamaan Melayu lama. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Nauzu billahi min zalik.......Tidak terlintas langsung nak jadi ibubapa yang tamak dalam hal ini.


Anak Istimewa Juga Diberi Kesempatan Menyertai
Acara Sebegini Untuk  Mempamerkan  Kebolehan Masing-Masing

            Tahun lalu, Syahmi hanya mewakili sekolah dalam acara Tilawah Al Quran. Dari pengalaman lalu, tahun ini kami masukkan namanya dalam acara Hafazan juga. Bermakna mahu mencuba nasib dalam 2 acara. Sebenarnya bagi saya Syahmi lebih sesuai dalam Hafazan sebab anak ini mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk menghafaz. Namun, guru-gurunya lebih cenderung untuk dia meneruskan cabaran dalam acara tilawah berdasarkan pencapaiannya tahun lalu.


            Jadi untuk mengimbangi kedua-dua pendapat, maka namanya dimasukkan dalam ke dua-dua acara. Dalam hati timbul juga kerisauan kerana dikhuatiri anak ini tidak dapat menerima cabaran ini. Tambahan pula komitmen dengan pembelajaran di sekolah yang kian menghimpit. Peperiksaan pertengahan tahun juga akan diadakan pada masa yang sama. Latihan bertubi-tubi dibekalkan oleh guru untuk dibuat di rumah. Mampukah seorang anak istimewa sepertinya menyahut cabaran ini?

Surah Alam Nasyrah Ayat 5 Yang Bermaksud:
" Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan"

             Meneliti firman Allah SWT yang bermaksud : " Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" (Surah Alam Nasyrah Ayat 5). Berpegang pada janji-Nya yang ini, maka kami mesti sentiasa menyokongnya bagi membantu Syahmi mengharungi cabaran. Masa untuk latihan tilawah dan hafazan, masa untuk membuat kerja sekolah, masa untuk membuat latih tubi bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun di samping mengikuti jadual persekolahan yang padat dari pagi hinggalah ke kelas KAFA di sebelah petangnya. Mesti ada kalanya mood si anak akan menjadi seperti ombak ganas di Pantai Batu Buruk ketika musim tengkujuh. Sungguh menguji kesabaran sebenarnya....

         
Siapa Tahu Gelora Di hati Si anak Dan Ibubapanya Yang Bermatian
Demi Masa DepanYang Lebih Baik ......

             Inilah dugaan sebagai ibubapa anak istimewa. Mungkin tiada siapa yang dapat menyelami ombak di hati kami. Berpanas dan berhujan, menebalkan muka berhadapan dengan masyarakat, meletakkan ke tepi kata-kata yag boleh melemahkan semangat dan pelbagai dugaan lagi bagi menggapai segunung harapan. Bukan tamak sebenarnya, tapi menggunakan peluang yang terbentang luas di  hadapan......


             Namun segalanya tetap di tangan Dia yang maha mengetahui. Kita hanya mampu merancang dan berusaha. Semoga apa yang diusahakan membuahkan hasil ....aamiin.


           
           
           


     


       

           
             

Friday, April 26, 2013

Warna-warni PRU Ke 13 .......

         
D
Dalam berpolitik jangan sampai 'tergigit' ......


                    Bila musim pilihanraya, masyarakat bertelagah sesama sendiri. Adik beradik enggan mengaku saudara, suami isteri tidak tidur bersama gara-gara fahaman politik yang berbeza. Mengapakah ini berlaku?

                   .Sebangsa, seagama, seketurunan tapi kerana fahaman politik yang tidak sekata, hubungan yang hakiki ditolak ke tepi. Alangkah baiknya kita berlapang dada dan sama-sama mendoakan kebaikan dan diberi petunjuk oleh-Nya dalam membina sebuah negara yang diredhai.

                     Ambillah sesuatu itu dari sudut yang baik. Bagi anak-anak seperti Syahmi replika segera yang wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan amat menarik minatnya. Ia adalah hasil usaha dan kreativiti masyarakat kita di merata pelusuk negara. Berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu di hari minggu , maka inilah antara hasil-hasil terbaik yang dapat dirakamkan untuk tatapan semua. Jangan terasa hati pendokong parti-parti selain dari BN dan PAS sebab di Terengganu ni hanya 2 parti yang dominan. Parti lain tak nampak rupa!


Penarik Beca di Batu Rakit, Kuala Terengganu

Boat Peronda Polis Marine di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu


Timbang biar sama beratnya! Lokasi Tok Jembal, Kuala Terengganu


Formula One di Batu Rakit, Terengganu


Penyu mendarat di Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu


Wau Bulan setinggi 20 meter di Kedai Buluh, Marang, Kuala Terengganu


Awas! meriam di Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu

Harley Davidson di Batu Rakit, Terengganu


Kapal selam naik ke udara di Jalan Budiman, Kuala Terengganu


                      Dalam kebanyakan perayaan, mungkin tidak sehebat kali  ini idea-idea kreatif yang dapat  dizahirkan terutamanya oleh orang kita. Namun, pada keesokan hari pengundiannya tiada lagi replika-replika ini dapat menjamu mata serta mencuit hati kita. Segala poster dan replika ini akan diturun semula serta dimusnahkan demi mematuhi peraturan pihak yang berwajib.


                      Semoga bertemu lagi dalam PRU ke 14 dengan idea yang lebih kreatif semestinya......

Wednesday, April 24, 2013

Kenapa Mesti Berjauh Hati???



Jauh Hati........

                     Dalam banyak perkara, saya cuba membiasakan diri dengan label OKU pada anak saya. Saya cuba berlapang dada  bila mendengar suara-suara sumbang memperlekehkan golongan ini. Kekadang ada juga  keinginan untuk bersuara mempertahankan mereka bila ada pihak yang cakap lebih-lebih tentangnya. Namun demi perhubungan sesama manusia.....lebih baik didiamkan saja.


                     Dulu, semasa anak saya di Pra Pendidikan Khas (2008) kelasnya hanya terletak bersebelahan dengan kelas Pra Sekolah. Kebiasaannya ibubapa akan menjenguk-jenguk anak masing-masing di tingkap bila waktu pembelajaran sudah hampir tamat. Tiba-tiba muncul seseorang bertanya kepada saya  "Anak awak yang mana satu? ". Jawab saya, "Anak saya kelas sebelah.... (Pra Pendidikan Khas maksudnya)". "Ohhhhhhh....." katanya sambil memberi riak muka seolah-olah Pendidikan Khas hanya untuk golongan kelas ke dua. Ku pujuk hati, bersabarlah dengan ujian Tuhan. Tidak salah rasanya kita berada di bawah sekali-sekala supaya melatih diri menjadi insan yang tawadhu'.


                      Namun bagi si anak, tiada beza antara label tersebut dengan yang lain. Mungkin disebabkan usianya yang hanya 11 tahun dan masih tidak mengerti bahawa di luar sana ramai yang memandang sepi terhadap insan-insan sepertinya.


                      Suatu ketika sedang mengisi borang dari pihak sekolah untuk diisi oleh ibubapa di rumah. Disebabkan kurang pasti dengan nombor kad pengenalan si anak dan malas nak menyelongkar dokumen penting tersimpannya Surat Beranak, lalu saya cuba bertanya pada empunya diri " Ingat tak nombor kad pengenalan Syahmi? Lalu dia menjawab, " Tengok kad OKU!". Tersintak saya mendengarnya, kerana dia faham dirinya mempunyai kad OKU, sedangkan saya tidak endah langsung tentang kewujudan kad tersebut dan biasanya saya lebih bergantung pada Surat Beranak untuk sebarang maklumat peribadi anak-anak. Seboleh-bolehnya saya tak mahu tengok kad OKU anak saya. Mata terus memandang padanya namun rasa sayu menyelubungi diri.......kenapa mesti  ibubapa yang berjauh hati?
                 
                 

Jatuh jua airmata ku!


                   


                     


                   


                   


                     

Thursday, April 18, 2013

Guru Pelatih.......


Kenangan Bersama Sir Asnawi dan Sir Hadi

                       Guru pelatih datang dan pergi. Hinggap sementara kemudian berlalu dengan kenangan dan pengalaman sebagai pendidik berhadapan dengan anak bangsa. Awal tahun 2013, Sek Keb Seri Budiman II menerima 3 orang guru pelatih lelaki iaitu Sir Asnawi, Sir Hadi dan Sir Hafiz. Mereka hanya berada di sini 3 bulan untuk menjalankan Latihan Praktikum sebagai pelatih IPG Kampus Batu Rakit, Terengganu.



Jika baik budi bahasa, ke mana pergi semua orang suka!


Kemesraan yang terpancar antara guru dan anak didiknya...

                        Sir Asnawi mengajar Syahmi Matematik, mesra peribadinya serta amat disenangi semua murid. Rasanya guru praktikal kali inilah, yang paling berjaya menambat hati semua warga sekolah. Sebagai ibubapa kepada anak didiknya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sir Asnawi, Sir Hadi dan Sir Hafiz kerana telah beberapa bulan menaburkan bakti serta menceriakan anak-anak kami di SKSB II.



Sir Asnawi memberi tunjuk ajar kepada Syahmi dalam permainan catur


                       Terima kasih ke tiga-tiganya, tentu sekali warga SKSB II merasai kehilangan yang amat sangat dengan kemesraan anda bertiga. Nampaknya tiada lagi panggilan 'Sir Asnawi ' dalam diari kehidupan anak istimewa ini kerana tempoh Latihan Praktikum anda bertiga di SKSB II berakhir pada hari ini 18hb April 2013....namun di hati pastinya tidak akan lupa!


                       Secara tidak disedari, walaupun cikgu-cikgu bukan berpengkhususan di bidang Pendidikan Khas namun telah melalui pengalaman mengajar seorang anak istimewa autisme yang diinklusifkan di aliran perdana seperti Syahmi. Mungkin tak ramai guru pelatih lain yang melalui pengalaman seperti ini.


                       Selamat Maju Jaya ........


                   
Thanks for the 'Great Smile' Sir  .........


Wednesday, April 17, 2013

Surah An-Naba' - Berita Besar



Sebahagian dari petikan Surah An-Naba'


                                  In Shaa Allah jika tiada halangan, kami memilih Surah ke 78 dalam naskhah
             Al Quran iaitu Surah An-Naba' yang bermaksud Berita Besar  untuk dibawa Syahmi ketika
             Majlis Tilawah Quran Pendidikan Khas, Peringkat Daerah Kuala Terengganu (2013) tidak
             lama lagi.


                                  Berdasarkan surah tersebut, ia menceritakan tentang keadaan yang
             berlaku pada Hari Kiamat serta balasan atas setiap yang kita lakukan semasa di dunia. 
             Terima kasih Syahmi,  kerana kamu ayah berusaha mendapatkan  makna surah ini yang
             memberi peringatan  pada diri sendiri,  SETAKAT MANA PERSEDIAAN KU  UNTUK
             MENGHADAPI HARI YANG DIBERITAKAN ITU (HARI KIAMAT)?
         


Beginilah struktur kejadian Hari Kiamat yang digambarkan

                   
Fakta-fakta Tentang Neraka menurut Surah An-Naba'

                         
                                       Bagi Syahmi, tentunya dia akan cuba membaca surah ini sebaik mungkin
              seperti yang ditunjukajar. Menang kalah perkara kedua. Pengalaman tahun lalu mungkin
              dapat membantu  anak ini menempuhi cabaran.


                                       Semoga segalanya berjalan lancar serta dipermudahkan-Nya....

Friday, April 12, 2013

Ketar Lutut.....Laju Degup Jantungnya!


Debaran!

Kebanyakan kita pasti akan rasa gugup bila berhadapan dengan orang ramai. Siti Nurhaliza sekali pun tetap akan merasa debarannya bila hendak melangkah kaki ke pentas. Inikan pula kita orang kebanyakan yang hanya naik ke pentas sekali sekala. Tentu berpeluh dibuatnya......Bagaimana dengan anak autisme seperti Syahmi?


Antara pengalaman Syahmi berhadapan dengan orang ramai

Syahmi juga tidak boleh lari dari perasaan ini. Beberapa kali Syahmi di pentas, memang kami ibubapanya juga terasa debarannya dan berdoa semoga Syahmi mampu menyerap debaran yang dialami dengan baik. Bermula dengan penyertaan dalam beberapa majlis Tilawah Al Quran, juga kesempatan untuk menyampaikan hafazan surah di Majlis Hari Raya Autisme Malaysia (2012), dirasakan pengalamannya masih belum  mencukupi. Tentunya kena diperbanyakkan lagi pendedahan buat anak ini.


Nun di pentas sana, Syahmi sedang mengepalai bacaan
 doa semasa perhimpunan sekolah

Baru-baru ini melalui inisiatif guru pendampingnya Puan Rosma, idea untuk mengenengahkan Syahmi bagi mengepalai bacaan doa semasa majlis perhimpunan sekolah telah berjaya dilaksanakan. Ini merupakan tindakan serampang dua mata, sambil membiasakan Syahmi berhadapan dengan orang ramai juga memenuhi tugasan tiap Pengawas lelaki yang diarahkan mengetuai bacaan doa secara bergilir-gilir di pentas. Tentunya sektor Pendidikan Khas sekolah berasa bangga dengan penyertaan anak pendidikan khas dalam acara seperti ini. Sekurang-kurangnya, anak pendidikan khas juga mampu menyumbang sesuatu buat sekolahnya.


Kini bulan April/Mei datang lagi. Majlis Tilawah Quran Pendidikan Khas kembali dan dengar khabarnya kali ini Syahmi akan memasuki dua acara iaitu Tilawah dan Hafazan Quran. Ayat-ayat telah dipilih, semoga Syahmi mampu menggalas tugas berat ini. Masih awal untuk memperkatakan tentang peluang meraih kejayaan, kerana persediaan baru saja bermula.


Doakan kejayaan Syahmi........
                   


                            

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...