A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, May 22, 2018

'Habuan'


'Membara'

Bukan kurang sabar, tapi dah hilang sabar. Sabar juga ada hadnya. 1 Ramadan lalu, bermulanya kita umat Islam berpuasa. Pahala ku terbang melayang awal-awal pagi lagi. Bila hati luka, maka kesabaran ku campakkan ke tepi. Bertahun memendam rasa, akhirnya ku luahkan segala dalam bentuk lahar yang membara. Menangis, meninggikan suara...tidak malu-malu lagi pada siapa jua di persekitaran.

"KALAU CIKGU-CIKGU SEMUA ADA ANAK ISTIMEWA SEPERTI SAYA, BARU CIKGU-CIKGU TAHU APA YANG SAYA RASA BILA ANAK KITA DIANAKTIRIKAN KEHADIRANNYA DI SEKOLAH. BARU CIKGU-CIKGU TAHU PERASAAN IBUBAPANYA YANG BERSUSAH-PAYAH MENDIDIK ANAK INI SUPAYA MENJADI SEPERTI KAWAN-KAWAN TIPIKAL YANG LAIN".

Bukan kurang ajar, tapi bertahun ku simpan rahsia dan akhirnya kini dapat menghidu pihak sekolah enggan menerima MBK (Murid Berkeperluan Khas) di sekolah mereka. Ini bukan kes yang pertama. Bulan Februari dulu sudah ada seorang pelajar seperti Syahmi dinasihatkan bertukar ke sekolah lain, dengan alasan pelajar berkenaan tidak mampu mengikuti silibus yang ada. Mungkin sebab tidak terkena pada batang hidung sendiri, maka masih boleh ku bersabar mendengarnya.

Namun, bila pihak TV pun kamu sekat masuk, maka terserlahlah memang pihak sekolah mempunyai agenda yang terselindung di sebalik tindakan tersebut. Tidak berbanggakah bila sekolah kamu menjadi tontonan umum? Tidakkah kejayaan pelajar istimewa didikan mu menjadi aset sekolah? Pihak TV hanya memohon untuk membuat liputan terhadap aktiviti Syahmi di kelas, menemuramah guru. Kejayaan dia terpilih sebagai penerima anugerah Bank Rakyat yang lalu memungkinkan pihak TV turun ke Terengganu untuk tujuan tersebut. Di mana wujudnya masalah besar di pihak kamu wahai pentadbir sekolah?

Dulu, ketika anak kami mendaftar ke Tingkatan 3(2017), awal-awal pagi lagi mood si ibu dicantas kejam. Didatangi seorang ustazah lalu berkata " Puan, baik puan pindahkan anak puan dari sekolah ini. Nanti takut bila orang lain buat kerja, dia 'menengung' sahaja di sekolah. Lagipun ini sekolah IB, kalau pihak sana tahu ada OKU di sini, tak tahulah macam mana".

Huhuhu....kejamnya kamu pendidik. Kamu berilmu, bukan ilmu biasa, ilmu agama tau. Patutkah lisan kamu mengungkap perkataan yang menghiris ini? Tidakkah kita dianjurkan bercakap berhemah dengan semua?

Jadi, berbaloilah di pagi yang mulia menjelangnya Ramadan kali ini pihak kamu mendapat 'habuan' dari seorang ibu yang telah lama menanggung luka. Ibu mana sanggup membiarkan anaknya dilayan sebelah mata. Biarlah kami angkat kaki dari sekolah ini tanpa diarahkan oleh mana-mana pihak. Kami faham, pihak minoriti ni tidak akan menang walau di bawa ke mana-mana pun. Mungkin ada sekolah lain yang lebih sesuai dengan Syahmi. Meminta maaf memang mudah, tapi memaafkan amat payah. Sekian.





Sunday, May 13, 2018

Pilihanraya Oh Pilihanraya



'Inai Pilihanraya'

Akhirnya, keputusan pilihanraya ke 14 lalu telah menyebelahi pihak Pakatan Harapan pimpinan bekas Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Mahathir Mohamad. Hampir kebanyakan negeri disapu bersih oleh pakatan ini. Itulah kemahuan rakyat terutama golongan muda. Mereka mahukan perubahan.

Golongan muda kini bukan seperti generasi lalu. Kebanyakannya berilmu, berpengetahuan. Mereka berdarah muda, tidak merasai zaman bersusah-susah ke sungai untuk mandi, mencuci baju. Mereka hanya tahu kewujudan mesin basuh, bilik air di rumah. Mereka mahu tindakan cepat, pantas. Mereka tidak mahu menoleh ke belakang lagi.


Kami tiga beranak mengundi di Sek Men Keb Budiman, Mengabang Tengah,
Kuala Terengganu


Sebagai rakyat marhaen, kita kena akur dengan segala ketentuan Nya. Siapa juga yang memerintah, tidak banyak perubahan pada kita dan keluarga. Kita hanya inginkan suasana aman di negara sendiri. Anak istimewa kita belum ada nampaknya yang berani ke depan untuk membela. Mereka masih memerlukan kita ibubapanya untuk bangun berjuang bagi mempertahankan hak.

Kepada yang diberi amanah bagi memerintah negara, pikullah amanah ini sebaiknya. Bukan mudah bila kita berada di tampuk pemerintahan. Rakyat sentiasa memerhati tindak-tanduk kita. Dulu, saat kita menjadi pembangkang memang mudah untuk mengkritik, namun bila berada di pihak pemerintah, kebijaksanaan, integriti itu penting dalam memikul tanggungjawab.

Semoga negara bertambah makmur,  lima tahun akan datang belum pasti lagi kita diberi peluang oleh Nya untuk merasai hari dimana pilihanraya diadakan. Meriah, bendera parti politik berkibar di sini sana, rakyat berpusu-pusu balik ke destinasi masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Semua ini akan menjadi sejarah buat tatapan generasi akan datang...tahniah Pakatan Harapan. Namun di hati kecil ku bernyanyi sendu....Anak kecil main api...terbakar hatinya yang sepi...airmata darah bercampur keringat...bumi dipijak milik orang....





 





Tuesday, May 8, 2018

Esok Pilihanraya ke 14



Esok, 9hb Mei 2018 bersamaan hari Rabu. Jom kita mengundi untuk memilih pemimpin masa depan. Tak perlu gaduh-gaduh, tak perlu kata kesat. Hanya perlu memangkah sahaja. Lusa kita akan tahu siapa menjadi pemimpin kita untuk tempoh 5 tahun yang akan datang. Semoga Malaysia terus dipelihara Allah, aman, maju dan sentiasa dirahmati Nya...
aamiin

Corak tapak dam

Corak yang sama

Di Kuala Terengganu, calon-calon yang bertanding terdiri dari 3 parti, BN, PAS dan PKR. Dari segi kemeriahan bendera nampaknya PAS awal-awal lagi dah menampakkan kemenangannya dibanding dengan parti-parti lain. Hingga ke saat-saat terakhir ini, saya masih belum melihat hasil dekorasi bendera ala tapak dam dari parti PKR. Mungkin mereka punyai idea tersendiri untuk menarik perhatian pengundi.

Namun, sebagai rakyat yang bijak maka kita hendaklah memilih pemimpin yang mahu turun padang. Bukan hanya di kala musim pilihanraya sahaja. Sering menampakkan batang hidungnya ketika senang apatah lagi ketika rakyat berada dalam kesusahan.

Selamat mengundi Malaysia.


Melangkah Bukan Kalah...



Melangkah kaki....

Kena fikir dalam-dalam hal anak istimewa ni. Bukan ikut kemahuan kita, kena rasional demi masa depan si anak. Dengan berat hati, saya melangkah ke pejabat untuk mendapatkan borang permohonan pertukaran sekolah.

Dulu, ibu pernah mendambakan kamu bersongkok, berlengan panjang, berkasut hitam jalan beriringan dengan kawan-kawan di sebuah sekolah agama. Harapannya, biar akhlak, amalan mu lebih baik dari kami yang hanya bersekolah biasa.

Dambaan ibu hanya bertahan selama 3 tahun 5 bulan ....namun dikau
mampu membuktikan sesuatu pada mereka

Siapa sangka, kamu hanya dapat bertahan selama 3 tahun 5 bulan, akhirnya ibu terpaksa menarik kamu keluar dari sekolah berkenaan demi sebab-sebab yang mesti dipendamkan. Biarlah ia menjadi rahsia. Kita jaga periuk nasi orang, semoga Allah menjaga urusan kita di hari muka...InshaAllah.

Hari ini ibu submit borang permohonan pertukaran sekolah, mungkin seminggu dua lagi kamu boleh berpindah ke sekolah baru. Dekat jer, tak jauh dari rumah. Ada sayap pendidikan khas. Semoga dengan itu, diri mu akan lebih dihargai. Belajar rajin-rajin, jangan toleh belakang. Terus meredah cabaran yang mendatang. Allah dah atur yang terbaik untuk kamu, percayalah.

Dalam sendu, tidak lupa ibu tetap mendoakan kamu berjaya dalam kehidupan...aamiin


Aamiin


Monday, May 7, 2018

'Masuk' TV Kita Kali Ni



Tak senang duduk dibuatnya bila dikhabarkan crew Al Hijrah akan datang bertandang ke rumah untuk buat liputan tentang Syahmi berikutan dari penganugerahan Bank Rakyat yang lalu. Rumah kami tunggang-langgang, tak berkemas. Rumah sewa, 3 bilik. Biasa-biasa sahaja keadaannya. Terletak di kawasan kampung di Kuala Terengganu, di kelilingi hutan pucuk paku midin.

Selamat datang ke teratak usang kami

Seminggu ibu Syahmi mengemas rumah, ibu ada sedikit sebanyak simptom OCDnya. Semua kena perfect. Tidak mahu ada cacat-celanya. Akhirnya ibu terbaring kepenatan, seharian mencuci, mengelap lantai, mengelap cermin tingkap, membersihkan ceiling dari sawang-sawangnya. Huhuhu... lelahhhhh

Pada 3.5.2018 yang lalu, berkunjunglah crew TV Al Hijrah ke Kuala Terengganu untuk sebuah tugasan bagi melengkapkan sebuah program yang akan disiarkan pada raya ke tiga. Mereka datang atas tujuan untuk menemubual bekas guru Syahmi ketika di Pra Pendidikan Khas, Cikgu Rosma Jasni, meninjau aktiviti Syahmi di rumah bersama ibu, mendapatkan salinan sijil-sijil pencapaian Syahmi di sekolah juga deretan hadiah dan anugerah yang pernah diperoleh setakat ini.

Cikgu Rosma Jasni sedang ditemubual oleh wartawan
TV Al Hijrah di rumahnya
Alhamdulillah...segalanya berjalan dengan lancar hasil kerjasama crew yang sporting. Syahmi pun suka benar bila bersama ke empat-empat abang crew. Usik mengusik, hilai ketawa, namun amanah tetap dijalankan sebaik mungkin. Pengalaman baru, shooting bersama crew TV. Seronok walau pada mulanya berdebar amat. Jangan lupa saksikan Syahmi pada hari raya ke tiga di TV Al Hijrah....InshaAllah

Abang Firdaus, cameraman TV Al Hijrah sedang memfokus kameranya
ke kami anak beranak di sini

Sebelum berpisah, western food kita malam ni...jommmm

Terima kasih Al Hijrah....


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...