A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, April 25, 2017

Akhirnya Dijejaki Jua....EXITMANJUNG85



Noraini Zain sekarang merupakan pemilik Noraini & Ashikin Associates.....
hebat kamu wahai sahabat ku 

Sekian lama tak jumpa, akhirnya daku dijejaki oleh mereka. Penyamaran ku berhenti setakat ini. Semua mereka udah mengetahui di mana sahabat mu yang ini berkelana. Berpuluh tahun di Terengganu, tiada siapa dapat menghidunya.

Bukan tak ingat, bukan sengaja melupakan. Tapi perjalanan hidup kita tidak sama lagi. Masing-masing sibuk dengan urusan kehidupan. Malah ada diantara kita yang telah mendahului menemui-Nya...Al fatihah buat arwah Noraidah Karim yang berasal dari Tanjung Malim.

Kelmarin, 23hb April 2015, seorang sahabat ku, Noraini Zain bertandang ke Terengganu bersama keluarganya untuk bercuti. Sambil menyelam minum air. Sempat juga kami bertemu walau seketika. Hampir 30 tahun tak pernah bersua muka, pasti banyak yang hendak diceritakan. Berpelukan kami kerana kegembiraan.

Dua jam tak lama, gelak ketawa masih seperti dulu. Cerita tentang suka duka pengalaman hidup masing-masing. Bersyukurnya kami berdua kerana masih diberi peluang oleh-Nya untuk bertemu semula dalam usia 50 tahun lebih. Walau diri ku sudah tidak sama seperti dahulu, udah 'montok' terlebih kata mereka....hihihi

Semoga usaha untuk menyatukan kami bekas siswa/siswi Dip. Pentadbiran Awam (85-87- ITM Sri Manjung) dipermudahkan dengan majlis reunion tidak lama lagi...InshaAllah

Saturday, April 22, 2017

IB Verification Selesai.....


Orang 'kuat' Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek bersama Tn Pengarah
Pendidikan Negeri Terangganu
Ceria, penilai dari seberang laut...
Lambaian selamat tinggal...

Layak atau tidak masih belum diketahui. Keputusan dijangka akan diketahui sekitar bulan Mei - July nanti. Sebagai calon sekolah International Baccalaureate, pastinya SMK (A) Sheikh Abdul Malek inginkan kerja keras kakitangan dan pelajar selama ini membuahkan kejayaan untuk melepasi kriteria yang diperlukan bagi bergelar sekolah IB. 3 hari mereka berkampung di sini, akhirnya hari Rabu bersamaan 19hb April 2017 kedua-dua penilai mengundur diri.

Bukan sedikit 'peluh' yang dikeluarkan. Cikgu-cikgu terpaksa melupakan cuti-cuti akhir tahunnya, cuti penggal untuk turun padang bagi memenuhkan ilmu di dada. Begitu juga para pelajar yang bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang diberi. Bertimpa-timpa banyaknya. Perkara ini berlarutan udah beberapa tahun. Syahmi pelajar Tingkatan 3 (2017) di sekolah ini merupakan batch pioneer untuk Middle Years Programme IB.

Semoga beroleh sesuatu yang melegakan hasil dari penilaian ini...InshaAllah 

Friday, April 14, 2017

Beautiful Mind...






'Beautiful mind'? Bukan semestinya bijak umpama Albert Einstein. Tidak ramai mana diantara mereka yang autisme terdiri dari bijak pandai apatah lagi genius. Cuma persamaan yang nyata, mereka mempunyai kelebihan dari segi keikhlasan, keluhuran, tidak pandai menipu, segalanya benar belaka, tiada agenda yang tersembunyi.

Kelmarin seseorang menyampaikan cerita tentang Syahmi di sekolah. Kata PK HEM sekolah, baru-baru ini Syahmi berjumpa dengannya. Syahmi bertanya tentang persaraan Tuan Pengetua nanti. Syahmi cadangkan pihak sekolah menyewa Bas Kite untuk membawa beliau ke rumah di hari terakhir persaraannya bulan Mei nanti. Kita hiaslah bas tu cantik-cantik cikgu, kemudian kita pakat naik bas yang berhias cantik bersama-sama mengiringi Tuan Pengetua balik ke rumahnya.


Bas Kite yang dimaksudkan Syahmi, merupakan
bas bandar yang selesa beraircond, berukir cantik di Kuala Terengganu

Bagaimana rasanya? Terkesima Tuan PK HEM dengan cadangan Syahmi apatah lagi keberanian satu-satunya pelajar istimewa autisme di sekolah untuk berjumpa dengannya bersama cadangan yang orang lain tidak pernah terlintas di kepala.

Adoiiii.....beraninya kamu anak ku. Kamu tidak pernah berprasangka buruk pada orang lain. Bagi kamu, semua orang sama. PK HEM, cikgu-cikgu adalah tempat kamu meluahkan rasa. Pelajar lain tidak akan seberani kamu untuk berjumpa dengan PK HEM hanya kerana hendak memberikan pendapat sebagaimana kamu. Kamu tidak kisah pun sama ada pentadbir sekolah mahu mendengar atau tidak akan cadangan kamu. Yang penting, kamu ingin menyampaikan hasrat kamu.

Ibu dan ayah tahu, kamu sangat menghormati dan menyayangi Tuan Pengetua sekolah. Kamu biasa berbual-bual dengannya bila berpeluang. Begitu juga dengan pentadbir sekolah yang lain termasuk PK KOKO, PK HEM. Cuma ibu dan ayah bimbang sebab approach kamu sebegini tidak dapat diterima oleh semua orang. Hanya mereka yang berpemikiran seperti kamu sahaja yang berupaya untuk melakukannya. 'Beautiful mind'.....semuanya yang positif, berfikir perkara yang baik-baik sahaja. Berfikir menjangkaui pemikiran biasa.

Hakikatnya dunia tak begitu Syahmi. Makin maju dunia, makin banyak perkara yang negatif menjadi ikutan. Nak buat baik susah, nak buat jahat ramai yang membantu. Perkara baik susah diterima, perkara jahat ramai yang bertepuk tangan. Ibu dan ayah bukan bermaksud menggalakkan kamu kepada perkara yang negatif. Tapi kamu kena berupaya melihat sesuatu itu di sudut yang negatif juga supaya kita lebih beringat-ingat dalam setiap tindakan.

Semoga makin bertambah usia kamu nanti, bertambah bijak membuat pertimbangan. Selamatkanlah anak kami dari pandangan keji dan hinaan masyarakat. Kau pimpinlah dia ke jalan yang Kau redhai...aamiin










Wednesday, April 12, 2017

Ujian Lisan PT3 (2017)






Makin hampir tarikhnya, 25hb dan 27hb April ini ujian lisan Bahasa Melayu akan dilangsungkan untuk calon PT3 SMK (A) Sheikh Abdul Malek. Tajuk soalan tahun-tahun terdahulu juga telah diperoleh. Jadi, Syahmi sudah boleh berlatih di rumah bagi membiasakan diri menjana idea untuk mengolah sesuatu tajuk secara lisan.

Memang sesuatu yang luar biasa bila anak autisme yang mengalami masalah komunikasi, lambat bercakap suatu ketikanya dulu, akan diuji lisannya untuk dinilai. Dinilai bersama anak-anak tipikal lain. Saya pun kurang arif bagaimana penilaian dibuat ke atas Murid Berkeperluan Khas.


Soalan-soalan 2016

Soalan-soalan 2015

Jika cukup latihannya, Syahmi juga boleh melakukannya. Kekurangan sana sini, mungkin dialami oleh pelajar tipikal yang lain juga. Inikan pula yang memang dah sah bermasalah pertuturan seperti anak autisme. Kembalikan kepada-Nya. Semoga Syahmi berjaya melepasi ujian ini...aamiin

Friday, March 31, 2017

Hari Kesedaran Autisme 2017




Insan-insan istimewa ini haruslah difahami, disayangi dan dihargai


Sebagai seorang ketua keluarga, support untuk anak autisme kita haruslah secara berterusan



Sebagai orang no.2 dalam keluarga, "Patah sayap, bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku......jentayu"
demi anak kesayangan

Wednesday, March 29, 2017

Dia Mencelah Di AS-SHAMS (2016)



As-Shams - Muka depan majalah SMK (A) Sheikh Abdul Malek (Edisi 10-2016)

Tingkatan 2 Al Tirmizi - Syahmi (duduk) No 2 dari kiri

Anak panah menunjukkan Syahmi sedang mencuba
 bermain alat muzik gamelan
Anak panah menunjukkan Syahmi sedang menyertai Perarakan Apresiasi
Kokurikulum
Anak panah menunjukkan Syahmi sedang mendengar taklimat
bagi menyertai Kem Muslim Perkasa 2016

                                                 

                                                              ***************

Tuesday, March 28, 2017

Stress!





Kenapa dia stress? Kian sampai ke hari sekolahnya dinilai oleh pihak IB, makin menjadi-jadi kerja kursus yang harus dilaksanakan. Tiap subjek ada, berlumba-lumba satu demi satu. Belum siap yang ini, yang itu pulak sampai. Kiri kanan, depan belakang, guru menyerahkan lampiran assessment untuk dilaksana oleh pelajar.

Bukan subjek teras sahaja, Pendidikan Seni Visual, Sivik, Muzik pun banyak beban kerjanya. Bukan kerja simple sebagaimana kita dulu-dulu. Kerja yang ini digalas umpama mereka berada di pra universiti, sedangkan hakikatnya mereka baru di tingkatan 3. Teori dan praktikal kemudian presentation.

Begitulah hakikatnya budak zaman kini. Dalam usia 15 tahun, bebanan tugas sebagai seorang pelajar terlalu berat. Itulah tuntutan yang harus dibayar bagi menjadi sebuah sebuah sekolah bergelar 'International Baccalaureate School'. Bukan pelajar sahaja, malah seluruh warga sekolah terlibat. Dari yang di atas sekali, hinggalah yang di bawah sana. Masing-masing ada tugasan 'berat' yang harus dipikul.


Kajian peta topografi tempat tinggal - Geografi

Membentuk Arca Timbulan menggunakan kertas
suratkhabar

PT3 kian menghampiri. Malangnya tiada tanda-tanda persediaan si anak ke arah itu. Kelas tambahan pun terpaksa ditolak ke tepi. Ya Allah, Ya Bariq....Kau pengatur perjalanan setiap hamba Mu. Kau permudahkanlah urusan hamba Mu yang ini. Kau kurniakan berbanyak kesabaran buat anak kami menempuhi cabaran. Kau kurniakan kesihatan bagi hamba mu yang ini untuk membantu si anak dalam masa-masa sukar ini.

Tiada gunanya hendak mencari salah siapa? Yakinlah pada percaturan-Nya. Semoga ada hikmah atas apa yang dilalui...aamiin




Sunday, March 19, 2017

Jangankan Model, Ratu Cantik Pun Ada...



Tularr....pemilik kad OKU memandu di lorong
berlawanan hingga menyebabkan kemalangan yang membabitkan
kematian seorang lelaki


Adakah kerana dia OKU Bermasalah Pembelajaran maka kemalangan terjadi? Adakah kerana kelalaian ibubapa hingga si anak melakukan beberapa kesilapan termasuk mengambil dadah terlarang dan mabuk lalu memandu hingga menyebabkan kemalangan maut? Hanya mahkamah yang boleh menjatuhkan hukuman sepatutnya.

Sedih, bila di luar sana orang mengutuk OKU Bermasalah Pembelajaran. Macam-macam persepsi masyarakat timbul. Ada yang kurang percaya, seorang model, mempunyai lesen memandu seperti remaja ini boleh dilabel OKU. Ada yang kata "Kalau belajar tak pandai, macam mana nak lulus ujian komputer JPJ?".



Mereka memang pakar dalam bidang ini.....

Semua ini menampakkan masyarakat kita masih kurang awareness tentang anak istimewa kategori ini. Tahukah kamu semua anak istimewa kategori ini kebanyakannya memang pakar dalam kemahiran mengendalikan komputer. Mereka juga mempunyai rupa paras yang comel-comel belaka. Baik lelaki, mahupun yang perempuan.


Miss Montana, Alexis Wineman (2012) di Amerika Syarikat ini juga seorang insan autisme/autistic
http://www.today.com/style/miss-montana-first-autistic-contestant-miss-america-1B7922351

Dengan penampilan diri yang tidak menampakkan kekurangannya, tahap IQ pula normal sebagaimana yang tipikal menyebabkan  ramai yang kurang sedar akan kehadiran golongan istimewa ini di khalayak. Mungkin inilah cabaran ibubapa seperti kami dalam menyambut Bulan Kesedaran Autisme yang akan berlangsung April  ini.

Walau hati sakit bila kata-kata yang kurang enak tentang OKU kategori ini di uar-uarkan melalui media sosial, bangunlah ibubapa semua untuk sama-sama menyuarakan kebenaran. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kalau bukan kita, siapa lagi yang sudi membela mereka?







Friday, March 10, 2017

Ralat....



Dikatakan masalah berlaku mungkin disebabkan kesilapan pemahaman dalam menterjemahkan tulisan jawi ke rumi oleh orang lama. Tapi masih belum terlambat. Jom pakat perbetulkan yang mana yang salah. Dua peribahasa Melayu yang dikatakan tidak bertepatan dengan maksudnya iaitu :



1. BAGAI MELEPAS BATUK DI TANGGA


BAGAIKAN MELEPAS BATUK DI TANGGA
(Tidak relevan batuk dengan tangga)

BAGAIKAN MELEPAS BATOK DI TANGGA
(Batok sejenis pencedok air yang biasanya digunakan untuk mencedok air
dari tempayan kecilyang letaknya di tepi tangga)



2. HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI


HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI
(Tidak relevan perbandingannya, pagar bukan benda hidup yang boleh makan sesuatu)
HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI
(Lebih sesuai kerana pegar merupakan sejenis burung yang menghalau burung yang lain)

Wednesday, March 8, 2017

Koleksi Peribahasa PT3 (6)


LALANG DITIUP ANGIN
bermaksud
Tidak tetap pendirian

ENAU DALAM BELUKAR
bermaksud
Mementingkan diri sendiri, tiada bersepakat
IKUTLAH RESMI PADI DARIPADA MEMBAWA RESMI LALANG
bermaksud
Kita janganlah sombong dan meninggi diri, biarlah bersifat rendah diri

KALAU ASAL BENIH YANG BAIK, DICAMPAK KE LAUT MENJADI PULAU
bermaksud
Sesuatu yang baik, walau berada di mana pun akan tetap
menjadi baik

BELAKANG PISAU KALAU DIASAH LAGIKAN TAJAM
bermaksud
Jika berusaha dengan gigih, pasti kita akan berjaya

GENGGAM BARA API BIAR SAMPAI MENJADI ARANG
bermaksud
Melakukan sesuatu perkara, haruslah bersungguh-sungguh hingga
mencapai apa yang diidamkan

JIKA TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, BAGAIMANA HENDAK MENDAPATKAN SAGUNYA
bermaksud
Kalau tidak berusaha, bagaimana hendak mencapai kejayaan

Koleksi Peribahasa PT3 (5)



BAGAI MELEPAS BATOK DI TANGGA
bermaksud
Melakukan kerja dengan sambil lewa atau tidak bersungguh-sungguh

HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI
bermaksud
Harapan diletakkan di bahu seseorang, akhirnya orang itu jua yang
mengecewakan kita

KE BUKIT SAMA DIDAKI, KE LURAH SAMA DITURUNI
bermaksud
Mengharungi kesusahan dan kesenangan secara bersama-sama

TIADA ROTAN AKAR PUN JADI
bermaksud
Jika tiada barang yang bagus, barang yang kurang bagus pun
boleh dimanfaatkan

HUJAN JATUH KE PASIR
bermaksud
Pekerjaan yang sia-sia

PERIGI MENCARI TIMBA
bermaksud
Perempuan mencari lelaki untuk dijodohkan dengannya
TIKUS MEMBAIKI LABU
bermaksud
Membaiki sesuatu yang bukan kepakaran kita, akhirnya menjadi
lebih serius kerosakannya

Koleksi Peribahasa PT3 (4)


AIR YANG TENANG JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA
bermaksud
Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut
MENCURAH AIR DI DAUN KELADI
bermaksud
Sia-sia memberi nasihat kepada orang yang tidak mendengar kata

KERA MENDAPAT BUNGA
bermaksud
Tidak guna memberi kepada orang yang tidak pandai menghargai
pemberian orang lain

ADA GULA, ADA SEMUT
bermaksud
Di mana ada kesenangan/kenikmatan/kesejahteraan, di situlah orang akan  tertarik

MENANGGUK DI AIR KERUH
bermaksud
Mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain
GAJAH SAMA GAJAH BERJUANG, PELANDUK MATI DI TENGAH-TENGAH
bermaksud
Kalau orang-orang yang berkuasa dan berpengaruh berselisih faham, pengikutnya
juga akan terkena tempiasnya

Koleksi Peribahasa PT3 (3)


BAGAI RUSA MASUK KAMPUNG
bermaksud
Terpinga-pinga di tempat yang asing baginya

DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG
bermaksud
Menghormati adat istiadat di mana tempat kita tinggal

TELUR DI HUJUNG TANDUK
bermaksud
Keadaan yang amat genting

SUDAH DAPAT GADING BERTUAH, TANDUK TIDAK BERGUNA LAGI
bermaksud
Apabila mendapat sesuatu yang lebih baik, jasa yang lama
dilupakan

CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN
bermaksud
Terlalu banyak dalam satu masa
HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG, MANUSIA MATI MENINGGALKAN NAMA
bermaksud
Orang yang baik akan meninggalkan nama yang baik, orang yang jahat akan
meninggalkan nama yang kurang baik

DIAM-DIAM UBI BERISI, DIAM-DIAM BESI BERKARAT
bermaksud
Diam orang berakal sedang memikir seuatu yang berfaedah, diam orang
yang bodoh hanya sia-sia sahaja

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...