A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, February 28, 2012

Kelas KAFA (2012)

       

Cabaran saya untuk tahun 2012 ini, hendak melihat Syahmi menyertai Kelas KAFA di sekolah bermula 2.00 pm hingga 3.45pm, 3 kali seminggu. Saya juga ingin melihat Syahmi seperti anak-anak normal lain pergi ke Kelas KAFA untuk mendapatkan ilmu keagamaan.


Antara Buku Latihan Kelas KAFA 2012

Di awal Januari 2012, ibu terpaksa menunggu Syahmi dari mula hingga Kelas KAFA berakhir di kantin sekolah, tebalnya muka si ibu hanya Tuhan saja yang tahu. Guru-guru yang lalu lalang tidak lepas dengan senyuman melihat perjuangan  si ibu mendidik anaknya yang 'istimewa'.  Fahamkah mereka situasi si ibu ini? Syahmi enggan ke kelas KAFA tanpa ibu menunggunya dari mula hingga tamat kelasnya. Aduhhhh sampai bila agaknya?


Tiada lagi kelibat si ibu menunggu anaknya di kantin sekolah

Februari dah sampai ke penghujungnya, si ibu sudah tidak kelihatan lagi menunggu anak 'istimewa'nya di kantin sekolah. Si ibu tidak perlu lagi menjadi 'Pak Pacak' menunggu dalam keadaan mengantuk dan tersenyum sumbing bersedia untuk menjawab pertanyaan  guru-guru yang lalu lalang. Ibu boleh menarik nafas lega sebab kini ibu boleh berada di rumah melakukan tugas seharian sementara menunggu masa kepulangan 'putera istimewa' dari Kelas KAFAnya.


" Sahaja aku mengambil wuduk .........."

Syahmi No 5 dari kiri, saf ke 2

Lagi menggembirakan ibu, Syahmi telah boleh berjemaah bersama-sama kawan-kawan dengan diimamkan oleh 'Ustaz Din' untuk bersolat Zohor. Syukur...syukur kepada Mu tuhan kerana membuka hati putera kami untuk menyahut cabaran 2012 ini. Tiada yang lebih menggembirakan kami, apabila Ustazah Rafeah yang mengajar Syahmi berkata "anak puan lebih mendengar kata jika dibandingkan dengan sebahagian anak normal lain, on time, tidak ponteng kelas dan hasil kerja yang kemas."


Antara hasil kerja Syahmi dalam Kelas Kafa

Namun bagi ibu Syahmi ianya lebih bermakna dari  sebuah tropi nilainya, hanya ibu-ibu yang mempunyai anak sepertinya  saja yang mengerti. Walaupun kejayaannya hanya sebesar zarah tetapi ianya cukup berharga dalam mendidik anak autisme kami.

Alhamdulillah.......tiada lagi ucapan yang selayak ini rasanya....
           


              

Sunday, February 26, 2012

Anak Bapak!


                 Anak dan ayah  lebihkurang sama jer.... susuk tubuh, minat dan dalam kebanyakannya hal memang  serupa. Kalau orang tua zaman dulu-dulu anak lelaki dan bapa yang mempunyai ciri-ciri yang sama sebegini  akan dilakukan  upacara 'bertindik'....maknanya si anak yang kena tindik dan memakai subang di bahagian  telinga kiri sahaja untuk membezakan dengan si ayah supaya  tanggapan tidak baik masyarakat dulu-dulu yang mengatakan ayah dan anak lelaki 'panas' kalau mempunyai rupa paras yang seakan-akan sama. Kini  zaman dah berubah.....sepatutnya kita harus berbangga dengan anak-anak yang mewarisi kita.  Kalau bukan mereka siap lagi yang akan mengganti tempat kita???


Berdua mereka menempuhi cabaran....

              Semenjak lahir, ayah Iqamatkan di telinga Syahmi supaya tiada gangguan yang mendahului bisikan jahat makhluk yang sentiasa hendak menghancurkan manusia. Ayah juga yang menjaga Syahmi selama seminggu sementara ibu masih sakit dengan luka pembedahannya. Ayah juga jadi bidan terjun buatkan 'sup ikan haruan' untuk santapan ibu supaya lukanya cepat sembuh.  Kemudiannya barulah kamu berdua dihantar ke kampung di Kuala Kangsar untuk berada di bawah pemerhatian Opah.


Timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap.....
       
              Ketika ini ayah belum tahu Syahmi anak autisme, ayah main dengan Syahmi  seperti biasa walaupun kadang-kadang symptomnya jelas menjadi tanda tanya. Kerana kejahilan, ayah hanya menganggap ia hanya kelainan biasa. Meneruskan hari-hari dengan debaran sebab Syahmi belum berkata walaupun umurnya dah lebih 3 tahun.
       
Solat pun sama-sama......tak sah solat kalau tak tutup aurat Syahmi!

                 Segala yang ayah buat, Syahmi pun nak ikut. Ke Pasar Payang beli barangan dapur pun Syahmi ikut, ke Pasar Tani pun Syahmi ekori, ke masjid pun ikut....kalau boleh nak ikut walau ke mana ayah pergi. Bila masa ayah kerja outstation....ini masalah berat sebab Syahmi kena ditinggalkan bersama deraian air mata.  Kadang-kadang sampai terdemam-demam.


                  Alhamdulillah semakin meningkat usianya masalah ini dah semakin berkurangan. Syahmi  mula menerima keadaan ini, walaupun bertubi-tubi pertanyaan bagaikan Kiah Propa  terpaksa ibu pula menjawabnya. Biarlah Syahmi banyak bertanya itu dan ini......ayah tetap  bersyukur kerana ayah pernah menunggu beberapa tahun saat anak ayah boleh bercakap seperti anak-anak normal lain. Ikutlah Syahmi selagi ayah membuat perkara baik. Semoga ayah boleh mengelakkan diri kepada perkara-perkara yang negatif  untuk tidak jadi ikutan Syahmi. Biar Syahmi jadi Anak Bapak yang baik.....dijauhkan seperti dalam cerita Melayu lama tu....Anak Bapak!


Ke mana berdua....

Friday, February 24, 2012

Kerdilnya Kita Di sisi Nya........

           Melihat kepada kurniaanNya yang pelbagai, terasa kerdilnya kita di sisi-Nya. Udara disedut tanpa bayaran, tapi kita yang lalai hingga menyalahgunakan nikmat percuma kurniaan-Nya. Penglihatan, pendengaran dan sebagainya  antara nikmat percuma anugerahnya. Bila ditarik sesuatu nikmat, maka bersedihlah kita meratapinya.....lalu bertanya pula mengapa, mengapa dan mengapa?


Laut yang terbentang luas....(Pantai Kuala Abang)

           Bilamana ujian didatangkan kepada kita seperti dengan anugerah anak istimewa umpamanya, maka kita pun cepat melatah  .....lalu bertanya lagi mengapa aku yang terima? Mengapa tidak pada orang lain. Dimana salah ku? Dan berbagai persoalan lagi bermain-main di minda. Buruk sangka pada Yang Maha Pencipta, buruk sangka pada sesama kita. Sedangkan Allah lebih mengetahui atas segalanya....


Langit terang benderang! ( Kuala Kangsar )
         
           Didatangkan dengan kemarau berpanjangan maka merungut-rungutlah kita akan  kepanasan, bila tengkujuh pula merungut-rungut  kain baju di ampaian berbau hapak sebab payah nak nampak sang suria. Begitulah kita manusia biasa yang serba kekurangan, dalam masa yang sama kita lupa nun jauh di sana ada umat yang lebih hebat dilanda ujian...ada yang kelaparan, ada yang dihujani peluru kemusnahan.....


           Kembalilah kita kepada-Nya....muhasabah diri sendiri, ingat memperingati sesama kita supaya hari ini dan mendatang kita akan jadi manusia yang lebih baik dari kita yang lepas-lepas. InsyaAllah....

Wednesday, February 22, 2012

Hasil Karya Yang Tidak Seberapa Dari Syahmi



Kurang menunjukkan  minat di dalam bidang lukisan tapi jika ada masa terluang Syahmi akan menghabiskan masa tersebut dengan lakaran-lakaran berupa gambaran terhadap minatnya. Segala yang dilayari di internet akan diterjemahkan di atas kertas untuk kepuasan hatinya.


Paris Train katanya!

Selain dari itu, terdapat juga hasil lukisannya dari pemerhatian secara langsung seperti pergi melawat ke tempat-tempat menarik seperti ke Zoo Taiping Night Safari. Bagi Syahmi ribuan binatang di sana yang terdiri dari pelbagai spesies tidak dapat menarik perhatiannya. Hanya tram iaitu perkhidmatan keretapi mini yang ditawarkan kepada  para pelawat yang hendak mengelilingi zoo itu lebih menarik minatnya.

Tram di Zoo Taiping Night Safari

Apabila Syahmi mula bersekolah, kebolehan melukis telah berkembang seperti melukis potret ayah mengikut persepsi Syahmi sendiri. Walau hasilnya biasa-biasa saja, tetapi usahanya untuk melakukan sesuatu yang di luar dari minatnya adalah berupa satu kejayaan besar bagi seseorang insan autistic. Bukan sahaja potret, Syahmi juga telah berjaya menghasilkan lukisan berbentuk poster seperti poster kempen larangan merokok....Syabas Syahmi!


Ayah ku!
Poster Larangan Merokok

Tidak cantik, bukan menjadi persoalannya. Cuma yang harus dibanggakan kalau dulu Syahmi hanya melukis mengikut kehendaknya tapi sekarang Syahmi telah mula keluar sedikit demi sedikit dari dunianya dan cuba  mematuhi arahan guru serta memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pelajar.....

Knda boleh Syahmi!

Busyuk- Bushuk Pun Masyuk....

             Kalau garbage truck lalu, tentu ramai yang tutup hidung sebab tak tertahan dengan baunya tapi apa kata kalau kita sendiri yang bekerja jadi buruh-buruh town council.....kutip sampah dari rumah ke rumah kemudian berdiri bergayut di lori bersama deruan angin sampah sarap yang terdiri dari pelbagai jenis sisa......haiiii agak-agaknya sebulan tak larat nak makan!


            Tapi dalam keadaan tertentu bau busyuk dari 'air liur basi' yang masam, hapak, hangit bercampur-baur menjadi 'shedappp' bagi anak-anak kita untuk menjadi temannya di kala suka dan duka. Itulah namanya Bantal Bushuk yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Kebiasaannya tabiat ini akan berkurangan apabila umur mereka makin meningkat.

Bantal busyuk sentiasa di riba!
   
            Bantal Busyuk amat penting bagi Syahmi sebab ia menjadi perisai untuk menutup telinga bila mendengar sesuatu yang menyakitkan telinganya seperti banyi letupan mercun, bunyi mesin kisar dan sebagainya. Diusung ke mana-mana walau ke shopping kompleks sekali pun.


Balik ke kampung pun Bantal Busyuk mesti ada!

            Pernah suatu ketika kami sekeluarga tertinggal Bantal Busyuknya di kampung (Kuala Kangsar, Perak)  setelah berbelas-belas kilometre memulakan perjalanan balik ke Kuala Terengganu. Terpaksalah  berpatah balik ke kampung untuk menyelamatkan  keadaan sebab Syahmi dah merengek tak dapat tidur lena di perjalanan.


            Bantal Busyuk juga menjadi bahan permainan kami di rumah dengan abang dan sepupunya untuk mengusik Syahmi. Dilambung ke sana ke mari seperti bermain netball bertujuan untuk mengajak Syahmi involve dalam aktiviti keluarga....maka terlompat-lompatlah Syahmi berusaha untuk mendapatkannya. Bukan bertujuan nak menyusahkan, cuma nak menjarakkan Syahmi dari dunianya yang tersendiri.  

Bantal Busyuk dah naik atas kepala!

Penyelamat dari tantrum si anak!

           Yang pasti  Bantal Busyuk ini juga berperanan besar jika hendak meredakan tantrumnya..... Walaupun dinamakan Bantal Busyuk kita sepatutnya tidak membiarkan ia benar-benar busyuk hingga ke tahap bau si garbage truck yang menjadi mukhadimah tadi.  Biasakan anak kita menerima 'sahabat baik'nya itu untuk dicuci supaya lebih bersih keadaannya. Selain lebih 'manis' dipandang, kesihatan anak juga harus diutamakan.


            Syahmi masih memiliki Bantal Bushuknya yang satu dari dulu hingga kini....cuma keadaanya yang telah  berubah secara fizikalnya dimana tidaklah segebu dulu  memandangkan usianya telah menjangkau 10 tahun....Inilah yang dinamakan Busyuk-busyuk tapi Masyuk! 

Tuesday, February 21, 2012

Insan Autisme Yang Cemerlang....

Ramai yang tidak ambil kisah pada anak-anak istimewa.....malah pada kebiasaannya anak-anak istimewa ini hanya diberi perhatian apabila menjelangnya bulan Ramadhan mahupun hariraya kerana untuk dihulurkan sumbangan dari mereka-mereka yang prihatin.

   
Kejayaan golongan istimewa seharusnya diketengahkan sekiranya kita hendak memperjuangkan nasib golongan ini. Sekiranya ianya tidak dihebahkan, selagi itulah golongan ini akan tetap dianggap lemah dan dicap golongan kelas ke dua dalam masyarakat. Tambahan pula media-media tempatan yag sering kali mengenengahkan tentang golongan istimewa yang hanya menadah tangan menunggu bantuan dari pihak lain. Mengapa kita tidak bersungguh untuk mengubah persepsi ini?
 

Ping  Lian Yeak (www.pinglian.com)

Adik Ping Lian Yeak adalah antara insan autisme yang boleh dibanggakan di negara kita menerusi lukisan tangannya yang menakjubkan. Namun beliau yang dilahirkan pada tahun 1993 dan sekarang menjangkau usia 18 tahun, telah pun berhijrah ke Sydney, Australia semejak 2006 lagi. Menghasilkan lukisan tangan yang mempunyai nilai jualan ratusan ribu ringgit semenjak zaman kanak-kanaknya lagi. Berapa kerat antara kita yang mengenali hero autisme ini?

Inilah antara hasil lukisan tangan adik Ping Lian Yeak (2004)

Kita juga boleh menyenaraikan beberapa nama lagi anak autisme yang boleh dibanggakan dengan kebolehan semulajadi masing-masing seperti adik Umar Hasfizal yang amat berbakat dalam bidang nyanyian. Telah menghasilkan album yang bertajuk ' I Give the Best of Me'. Kini adik Umar Hasfizal sering diundang untuk menyampaikan nyanyiannya di acara-acara besar yang dihadiri oleh para kenamaan negara. Selain dari  menyanyi, Umar Hasfizal juga pernah menyertai Tilawah Al Quran (Pendidikan Khas) peringkat sekolah dan mewakili Wilayah Persekutuan ke peringkat kebangsaan. Bukan calang-calang tu!



Umar Hasfizal dengan albumnya 'I Give The Best of Me'


Selain dari Umar Hasfizal, seorang lagi anak autisme yang berjaya melakarkan sejarah dalam bidang pelajaran sebagai pelajar autisme pertama memperolehi 9A dalam peperiksaan PMR 2011 iaitu adik Muhammad Danial bin Zainuddin yang berasal dari Kuala Terengganu. Inilah antara kejayaan yang harus dijadikan contoh kepada anak-anak yang senasib seperti mereka supaya lebih optimis untuk menghadapi cabaran yang mendatang.


Muhamad Danial bin Zainuddin dengan kejayaan 9A dalam PMR 2011

Diharap saya juga mampu mendidik seorang lagi insan autisme yang cemerlang sebagaimana kejayaan anak-anak autisme di atas. Pastinya kejayaan mereka menjadi pendorong kepada  insan-insan yang senasib serta memberi harapan kepada yang lain untuk meraih sesuatu yang lebih membanggakan...In Shaa Allah.


   
Ayah juga bangga dengan kamu Syahmi!
Semoga berjaya di dunia dan di akhirat........aamiin


            

Friday, February 17, 2012

Sambutan Maulidur Rasul SKSBudiman II (2012M-1433H)


       Maulidur Rasul datang lagi....SKS Budiman II tidak ketinggalan mengadakan perarakan bagi memperingati kelahiran junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w. sambil memperkukuhkan ikatan ukhwah sesama warga sekolah. Perarakan selama 1 jam setengah bermula jam 8.00am dan tamat kira-kira 9.30 am  melibatkan warga sekolah seperti guru-guru serta pelajar lelaki dan perempuan Tahun 1 hingga Tahun 6 serta anak-anak dari Sektor Pendidikan Khas.

Memperingati Junjungan Kita Nabi Muhammad s.a.w

      Semenjak seminggu yang lepas persiapan telah mula dilakukan seperti menyiapkan sepanduk dimana anak-anak isimewa juga diberi kesempatan untuk menghasilkan sepanduk masing-masing. Syahmi juga berjaya menghasilkan sepanduk dengan hasil kerja tangannya sendiri walaupun ianya tidak seindah mana untuk dibawa semasa perarakan.

Sepanduk hasil lukisan tangan Syahmi
Sepanduk Syahmi!

   
      Dengan berpakaian Baju Melayu merah jambunya, Syahmi bersama-sama kawan-kawan yang lain berjalan perlahan-lahan sambil berselawat . Bangganya dia ketika membawa sepanduk lukisannya sendiri bertemakan gambar Masjidil Haram.



Syahmi Si Merah Jambu!
   
      Guru-guru juga terlibat sama meyertai perarakan ini....walaupun agak meletihkan tapi sekuang-kurangnya dapat berselawat sambil merehatkan minda serta lari dari rutin biasa dimana sebelum ini sentiasa berkenderaan ke mana-mana. Tapi kali ini menggunakan tenaga sendiri untuk sampai ke sesuatu destinasi.

Para guru masih mampu tersenyum!

      Sewajarnyalah acara ini dijalankan setiap tahun, supaya anak-anak kita dapat memhami maksud Maulidur Rasul itu sendiri  sambil memberi peluang kepada mereka melakukan aktiviti di luar sekolah bersama guru-guru secara tidak formal. Kalau di dalam kelas mereka asyik dengan aktiviti pembelajaran.....biarlah sekali-sekali mereka melepaskan stress dengan suasana ceria dan berpakaian cantik!
      

Wednesday, February 15, 2012

Ibu........

Ibu Syahmi...baby 1960an....
         

            Dulu, ibu seorang yang mudah tersentuh apabila berdepan dengan orang kelainan upaya Dulu, ibu pernah menangis kerana melihat susah payah rakan sekolej yang  berkelainan upaya, Dulu juga, ibu pernah tidak lena tidur kerana penyanyi kelainan upaya S.Jibeng terjatuh di atas pentas. Semua itu kisah dulu-dulu ibu........zaman remaja, zaman semuanya indah belaka!


            Kemudian, ibu mula bimbang bila tiba kelahiran anak-anaknya kerana ibu seperti sudah terasa bahawa dugaan itu akan tiba jua kepadanya. Kemudian, apabila menerima perkhabaran bahawa anak ke dua ibu seorang anak istimewa, tersintak hati nuraninya  mengenangkan masa depan anak kesayangan, ibu menangis siang dan malam, tak kira sedang memandu di jalanan dan ada  kalanya  disaksikan pemandu bersebelahan ketika berhenti sebentar di lampu isyarat, 'Panggilan Hangit' radio Hot FM sudah tidak boleh membuatkan hatinya kegirangan. Kemudian akhirnya, si ibu mula mengerti bahawa segala ujian dari Allah pada yang mampu menerimanya, tidak lebih dan tidak kurang....

             Maka dengan itu, bukalah buku baru dalam kehidupan sekeluarga, segala kesedihan kena dibuang jauh-jauh. Maka bangkitlah dari kesedihan itu, mulakan dengan langkah-langkah ala-ala perwira gitu untuk menghadapi cabaran mendatang dan jangan ditanya-tanya lagi  Why me? and  Why me?....because you should know that you are special too...
           
         

Tuesday, February 14, 2012

Jalan-Jalan Cari Makan!

      Semenjak lahir lagi Syahmi keluar ikut tingkap disebabkan masalah 'big baby' iaitu seberat 4.4kg....itu kata doktor. Hakikatnya ada baby yang lahir secara normal walaupun beratnya 5 kg. Semua itu kuasa Tuhan.....dah tertulis di sana Syahmi akan dilahirkan pada 7hb September 2002 di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu melalui pembedahan.

Syahmi during infancy


      Masa baby memang comel kalau anak kita montel....ramai yang nak cubit pipi... geram katanya....Tapi bila dah besar montel,  ramai pula yang mentertawakan dengan pelbagai panggilan manja berupa ejekan sebenarnya.  Sekarang dalam usia 10 tahun,  Syahmi berketinggian 130cm dengan berat badan 35kg memang menampakkan susuk tubuh yang 'sihat'. Ini mungkin disebabkan faktor pemakanan dan kurangnya exercise disebabkan hobi yang hanya duduk mengadap laptop...kalau boleh 24jam. Tahun depan kita ubah penampilan ...ya Syahmi?

      Syahmi memang berselera makan kalau kena dengan gayanya. Satu advantage yang ada pada Syahmi, dia suka makan sayur seperti timun, carrot dan sebagainya. Biasanya dia boleh makan sayur mentah-mentah dijadikan ulaman seperti timun. Pernah satu masa kalau tak silap saya dua tahun yang lepas, dia boleh memakan hirisan timun dicicah 'budu' hasilan produk orang-orang Pantai Timur. Hari ke hari makin berselera hingga terpaksa ditegur sebab faktor kesihatannya. Masin-masin gitu....takut kecik-kecik lagi naik darah tinggi!


Laksa Kuala Kangsar
     Sebut pasal makanan kegemarannya, Laksa Kuala Kangsar memang menjadi pilihan No 1. Kalau balik ke kampung, menu ini yang dicari terutamanya di sekitar bandar Kuala Kangsar. Sampai merah mata menahan pedas pun tak jadi masalah.....kalau hati dah suka! Apa itu Laksa Kuala Kangsar? Bagi yang tidak pernah merasainya, perbezaan Laksa Kuala Kangsar dengan Laksa Penang adalah pada isinya yang kekuningan kerana diperbuat dari tepung gandum. Lebih lembut jika dibandingkan dengan isi Laksa Penang yang diperbuat dari tepung beras walaupun  lebih putih pula warnanya.


Laksam yg sedap rasanya!
   
Bercakap pasal selera di sebelah Pantai Timur ni, Syahmi amat menggemari Laksam dengan kuah bersantan dari campuran ikan selayang yang direbus lalu dihancurkan isinya.Lada hitam memainkan peranan untuk menyedapkan menu ini dengan ditumbuk halus lalu digabungkan dengan kuah bersantan tadi. Tanpanya...tempanglah rasa keenakkan laksam!
     
' Nasi Air ' Pak Da
       Selain dari laksam,  Syahmi juga suka makan 'Nasi Air' Pak Da di No 18 Tingkat  Atas Pasar Besar Kedai Payang. Memang cun hingga menjilat mangkuk dibuatnya. Tiap-tiap hari minggu Syahmi akan ke sana untuk menikmati 'Nasi Air' kegemarannya bersama keluarga. Dengan dihiasi oleh sayur taugehnya, hirisan kitab lembu dan cubitan daging, dibanjiri pula dengan kuah sup....memang cun rasanya 'Nasi Air' Pak Da. Kalau ada sesiapa yang datang ke Kuala Terengganu....cari-carilah 'Nasi Air' Pak Da di alamat seperti yang dinyatakan di atas.


       Selain dari makanan di atas, Syahmi juga makan beraneka jenis nasi yang terdapat di  Terengganu ini seperti Nasi Kuning, Nasi Kunyit, Nasi Minyak kecuali Nasi Dagang....sebabnya terlalu banyak rempah ratus seperti halba yang bertaburan dalam nasi tersebut.


      Terlalu asyik bercerita tentang makanan, terlupa pasal diet Syahmi.....bukan senang nak tukar penampilan kalau hanya angan kosong! Stop sampai di sini....lagi banyak cerita tentang makanan....lagi susah nak control pemakanan Syahmi....

       

Sunday, February 12, 2012

Perkembangan Bahasa Pertuturan Anak Autisme - Syahmi


   
Bahasa merupakan masalah besar bagi golongan istimewa ini. Lebih malang lagi ada antara mereka yang langsung tidak boleh bertutur walaupun hendak memanggil ibu dan ayah. Hanya bahasa-bahasa pelik dikeluarkan untuk menggambarkan sesuatu. Jika berkehendakkan sesuatu pula, mereka akan menarik tangan kita bagi membantu mendapatkan apa yang dihajati.

' Sifon ' bagi Syahmi - Apartment Permint Harmoni

'Ceeee' bermaksud lori bagi  Syahmi

Yang pasti perkembangan bahasa anak-anak istimewa ini memang ketinggalan  jika hendak dibandingkan dengan anak tipikal yang seusia. Bagi Syahmi pula, dia mula mengucapkan perkataan yang jelas ketika umurnya 4 tahun ebih. Sebelumnya, dia menggunakan bahasa pelik seperti 'ceeee' untuk kenderaan seperti lori dan bas.

Semasa di awal zaman kanak-kanaknya kami menetap di sebuah apartment dimana Syahmi menamakan rumah bertingkat-tingkat ini dengan bahasanya sendiri iaitu 'sifon'. Entah dari mana kamus digunapakai...kami sekeluarga pun pelik mendengarnya...

Alhamdulillah....Syahmi masih diberikan kesempatan untuk bertutur oleh-Nya, sedangkan ada lagi anak-anak autisma yang lain masih tidak boleh bertutur  walaupun usia telah menjangkau 7-8 tahun. Berteka-tekilah ibubapanya menghitung hari menunggu dengan penuh harapan moga-moga anak kesayangan mereka boleh bertutur seperti anak-anak lain.


Bas Bandar Kuala Terengganu

Naik Bas Bandar

Memandangkan lori, garbage truck, bas menjadi minatnya yang utama, kami sekeluarga mengambil peluang menaiki Bas Bandar untuk ronda-ronda sekitar bandar Kuala Terengganu apabila hujung minggu. Sambil melihat-lihat ke kiri dan ke kanan, kami memberi peluang Syahmi bebas bercerita tentang 'Bas Bandar' yang unik serta lain dari yang lain. Walaupun dengan ayat yang 'tonggang-langgang', sebagai ibubapanya kita haruslah menjadi pendengar setianya tanpa jemu sementara menegur kesalahan susunan ayat-ayat yang digunakannya. Pengalaman di sekitar tahun 2009 ini banyak membantu Syahmi mempunyai keyakinan diri untuk bertutur.

   
Syahmi juga menjalani Speech Theraphy di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Sesi theraphy pertuturan yang dikendalikan oleh kakitangan yang terlatih dijalankan sebulan sekali selama 2 tahun. Pada pendapat saya merujuk kepada kes Syahmi, kaedah yang lebih berkesan ialah dengan penglibatan  dan kerjasama antara ahli keluarga. Jika setiap ahli keluarga mengambil perhatian dan benar-benar ingin membantunya, cuba perbanyakkan masa melayan dan memahami bicaranya tanpa putus asa. Sesuatu peningkatan yang menakjubkan pasti terhasil!


Sekarang, Syahmi boleh berkomunikasi dengan orang-orang sekelilingnya walaupun dengan menggunakan Bahasa Melayu baku. Memang jelas Syahmi lebih mudah menggunakan Bahasa Inggeris tetapi memandangkan masyarakat sekeliling di sini lebih mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan  maka kami lebih mengutamakan bahasa ibunda kita. Tidak dinafikan bahawa setiap kali exam Syahmi lebih cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris namun penguasaan Bahasa Melayu juga perlu dititikberat memandangkan silibus baru persekolahan yang kembali menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.


Lima  tahun yang lalu doktor pakar mengesahkan Syahmi dikategorikan sebagai mild autisme, bercakap hanya dengan beberapa patah perkataan yang amat sukar difahami oleh orang di sekelilingnya. Namun setelah tahun demi tahun berlalu, perkembangan bahasanya makin memberangsangkan. Kekadang tak terjawab kita dengan soalan-soalannya yang bertalu-talu. Sesungguhnya betapa hebat kurniaan Mu ini.....alhamdulillah.

Thursday, February 9, 2012

Amazing handwriting in Jawi....


     He can write better than me...you or others. Have a look and see how good his handwriting........

Syahmi's handwriting in Jawi for KAFA class (2012)

Wednesday, February 8, 2012

Speechless!


Syahmi's handwriting ONLY at the age of 10 years (thanks to Puterakembara.org)

Sunday, February 5, 2012

Maulidur Rasul Datang Lagi!


Sambutan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu
       
Kontigen demi kontigen berarak namun Syahmi masih setia di kedudukannya 
Bergambar kenangan bersama  peserta perarakan 
Syahmi Tumpang sekaki!
         

Saturday, February 4, 2012

Pemimpin No 1 Negara Ke Batu Buruk!




   Batu Buruk namanya tak seindah mana.....tapi hakikatnya kawasan ini di tepi pantai yang menghadap Laut China Selatan,  memang cantik dengan pantai yang bersih dan desiran angin segar. Kelmarin pemimpin no1 negara telah mengadakan lawatan ke Batu Buruk. Syahmi teringin sangat untuk melihat seorang pemimpin tertinggi secara life biasanya hanya dapat dilihat di kaca TV. Sambutan diadakan di padang SMK Budiman terletak kira-kira 500m saja dari rumah kami.



     Sebagai  kanak-kanak Syahmi juga berhak untuk mengetahui tentang pemimpin negara. Buku-buku teks sekolah juga ada menceritakan tentang pemimpin negara. Tiada tujuan untuk menerapkan fahaman politik kepadanya .....biarlah kematangan fikirannya suatu masa nanti akan memandu dia ke mana arah yang difikirkan terbaik.

Syahmi berbaju hijau menunggu ketibaan PM


Ketibaan PM dan rombongan dengan bas dua tingkat
 
    Cuaca panas terik akhirnya berbaloi dengan ketibaan beliau dengan menaiki bas kenamaan dimana Syahmi juga berpeluang untuk berjabat tangan dengan pemimpin no 1 negara tersebut. Sayang sekali, photonya tidak dapat diambil kerana ribuan manusia yang berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan beliau.


PM sedang bersalaman dengan orangramai
Isteri kepada PM turut bersalaman dengan orangramai yang  datang
   
      Ketibaannya disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku membuatkan Syahmi lebih bersemangat diikuti lagu pujaannya 1 Malaysia. Mendengar ucapan beliau yang berselang-selikan dengan loghat-loghat Terengganu menyebabkan Syahmi terbahak-bahak ketawa kerana Syahmi memang memahami banyak loghat Terengganu melalui kawan-kawan di sekolah contohnya 'lebong' bermaksud tipu  dalam Bahasa Melayu bakunya.


Ramai-ramai menyanyikan lagu Negaraku!
Gelinya hati Syahmi bila PM kata 'Lebong' (tipu)

   
     Sebagai kanak-kanak tiada yang dapat difahami beliau tentang suasana politik dalaman  negara....cuma cukuplah sekadar membiasakannya dengan masyarakat setempat dengan pelbagai ragam menyambut kedatangan orang-orang kenamaan.
   
Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak
   
     

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...