A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, June 20, 2018

Mak....



Raya kali ini nampaknya kesihatan Mak makin menyusut. Sering mengadu pening kepala. Ingatan pun makin mengurang. Namun masih mampu berpuasa seperti tahun-tahun yang lalu. Namun dia tetap tidak banyak kerenahnya. Hanya mengikut apa kata anak-anaknya sahaja.

Mak bergerak dengan kerusi roda kini kerana sudah tidak
berupaya untuk berjalan jauh

Nampak jelas di mata, Mak semakin uzur. Dia lebih suka tinggal di rumahnya. Tidak mahu diusung ke sana ke mari lagi kerana meletihkannya. Di pihak anak-anak pula, teringin nak menghiburkan Mak dengan membawanya berjalan-jalan supaya tidak bosan asyik terperap di rumah.

Yang pasti Mak gembira bila dipertemukan dengan adik beradiknya, kawan lamanya. Bertanya khabar,  mengenang zaman lampau sesama mereka, berkongsi cerita tentang anak cucu, aktiviti harian dan sebagainya. Nampak sangat raut wajahnya yang suram, berubah menjadi ceria.

Bersembang dengan adiknya (Wah)

Adik beradik Mak yang juga sedang uzur kerana faktor usia yang telah
menjangkau 80an (Wah dan Wan Chik)
Sahabat lama datang berkunjung ke rumah (Wan Jah Serdin)

Sedih bila hendak meninggalkan Mak di kampung. Berat hati bukan kepalang. Tertanya-tanya, adakah masih berpeluang lagi untuk mendakapnya. Dalam usia 85 tahun kini, keadaan kesihatan Mak kian membimbangkan. Perbualannya sudah tidak semantap dulu. Banyak perkara yang sudah luput dari ingatannya.

Semoga Allah memberikan aku masa untuk bersama Mak. Menyenangkan hatinya. Memudahkan kehidupannya. Berjasa di saat usia Mak di penghujung waktu. Aamiin..aamiin..aamiin. Bersyukur diri ini masih punyai insan yang dipanggil MAK. Alhamdulillah...

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1439H



     


Mungkin agak lewat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua pengunjung blog Autism A Gift From Heaven. Tahun ini agak sibuk dengan persiapan balik berhari raya di kampung hingga tertangguh untuk update blog.

Jambatan kayu Pulau Sekati lokasi untuk sesi photography raya tahun ini
Sekeluarga berhariraya
Berkesempatan juga berkunjung ke Istana Syarqiyyah

Teringin juga rasanya untuk berkongsi di sini kemeriahan suasana hari raya tahun ini. Raya pertama kami masih di Terengganu, maka berkesempatanlah kami bergambar di lokasi menarik di Pulau Sekati. Kami juga ke Istana Syarqiyyah bersama rakyat setempat untuk bertemu dengan baginda bagi mengucapkan selamat hariraya dan merasai pengalaman bersantap di istana kayangannya.

Sementara di sebelah petangnya barulah  kami memulakan perjalanan balik ke kampung di Perak. Kesesakan jalanraya tidak mematahkan semangat kami untuk bertemu sanak saudara di sana.


Disambut dengan deretan kereta anak cucu di laman

Kami memulakan perjalanan balik ke kampung kira-kira jam 3.00 pm dari Kuala Terengganu, 4.00 am baru sampai rumah mak di Kuala Kangsar. Letihnya tuhan saja yang tahu. 12 jam lebih perjalanan kami mengharungi kesesakan kenderaan yang berpusu-pusu balik ke kampung menyebabkan perjalanan kami mengambil masa yang agak lama dari kebiasaannya. Perjalanan yang membosankan dan sekali sekala amat mendebarkan bila menyaksikan kenderaan kejar mengejar untuk cepat sampai ke destinasi masing-masing.

Hari raya ke dua kami di Grik, Perak rumah anak lelaki tunggal dalam keluarga mak dan arwah apak. Alhamdulillah...kali ini ketujuh-tujuh beradik dapat menghadirkan diri. Bukan mudah hendak mengumpulkan adik beradik kesemuanya, kerana biasanya ada sahaja halangan yang tidak dapat dijangka berlaku. Maklumlah masing-masing telah berkeluarga.

Tujuh beradik bersama mak yang masih ada...sedangkan arwah apak
telah lima tahun meninggalkan kami

90% anak cucu cicit mak dan arwah apak ada dalam gambar ini

Semoga kita dapat dipertemukan lagi di lain masa, Kenangan ini akan terus terpahat sampai bila-bila selagi nyawa dikandung badan. Ajal tidak mengenal usia. Bila-bila masa sahaja kita boleh dipanggil kembali menghadap Nya. Hargai masa yang masih ada sebaiknya.

Semoga ukhwah berpanjangan...InshaAllah





Saturday, June 9, 2018

Kehidupan Baru di SMK Panji Alam



Alhamdulillah, cepat dia menyesuaikan dirinya di tempat baru. Kawan-kawan, guru-guru dan persekitaran baru. 3 minggu dia telah berada di sana. Kawan-kawan sekelas yang sangat membantu, begitu juga guru-guru yang mengajarnya. Diharap keadaan ini berterusan.


Awal-awal lagi kebolehannya diperakui, berada di barisan hadapan
menyertai khatam Al Quran sempena Tadarus Ramadan
Terubat luka di hati ibu apabila melihat si anak dihargai di sini
   
Pengalaman manis buat dirinya....semoga kamu bersinar di sana
        
Ibu tidak minta kamu ditatang seperti raja, cuma mahu kebolehan kamu dihargai, kerana ia dapat meningkatkan keyakinan diri. Jika segala kebolehan dipandang sepi, maka terbantutlah segala usaha ibu selama ini. Bagaimana kamu hendak maju ke depan, kalau diri kamu hanya sekadar menjadi pemerhati. Tiada siapa yang hirau, tiada yang ambi berat.

Setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Semoga kehidupan baru ini dapat membuka lembaran yang lebih positif demi masa depan seorang anak istimewa....InshaAllah                     

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...