A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, September 28, 2013

Mereka Tanya, Saya Jawab...



Mereka tanya......

Ramai yang beranggapan mereka degil, kurang ajar, kurang siuman dan seumpamanya. Ada yang menyangka tingkahlaku mereka sengaja diada-adakan. Mereka dipandang jelek, segala yang negatif ada pada mereka. Paling menyedihkan ibubapa menjadi cemuhan kerana tidak pandai mendidik si anak. Beberapa persoalan yang sering hinggap di telinga saya, perlukan pencerahan dari sudut pandangan ibubapa yang berpengalaman membesarkan anak autisme.


1. APAKAH AUTISME?

Autisme merupakan gangguan neurologi (bukan gangguan mental) yang kompleks menyebabkan kegagalan fungsi otak yang bercirikan hubungan sosial, emosi, komunikasi termasuklah kesukaran berimaginasi, gangguan deria, pola bermain dan beraktiviti.


3  bahagian yang terjejas....
           
a. SOSIAL DAN EMOSI, antara keadaannya :

- Kesukaran golongan ini membina persahabatan malahan lebih suka menyendiri walau ketika dikelilingi rakan sebaya.
- Kesukaran memberi kerjasama dalam aktiviti berkumpulan.
- Kesukaran menyesuaikan diri dengan sesuatu yang di luar dari perancangan. Akan memberi reaksi kurang menyenangkan seperti merungut-rungut, dan jangan terkejut jika ada yang 'meltdown' kerana perkara yang kecil.
 
                                                             
b.  IMAGINASI, antara keadaannya  :

-  Kesukaran berubah dari routine seperti enggan berubah kedudukan dalam kelas.
-  Kurang empathy seperti tidak mengendahkan sapaan orang lain terhadap mereka.
-  Rigid pemikirannya, sukar menyesuaikan dengan keadaan menjadikan mereka lemah dalam membuat keputusan.


c. BAHASA DAN PERTUTURAN, antara keadaannya  :
                                             
-  Kesukaran mentafsir riak muka pihak lain. (mencebek bibir, mengerutkan dahi dan sebagainya)
-  Kesukaran mentafsir bahasa kiasan atau perkataan dua makna.
-  Kesukaran memahami bahasa yang membawa makna jenaka.


2.  BAGAIMANA MEREKA DISAHKAN SEBAGAI  AUTISME?

Seseorang yang individu yang mengalami sejumlah simptom yang tersenarai oleh pihak perubatan dan telah melalui proses ujian pendengaran, ujian penglihatan, ujian saraf, ujian genetik (jika perlu) serta perbincangan dengan keluarga juga penelitian secara komprehensif oleh sepasukan perubatan yang terdiri dari Pakar Kanak-Kanak, Pakar Perunding Psychiatrist, Terapist Pertuturan, maka akhirnya individu terbabit akan didiagnose sebagai autisme.

                   Sebahagian dari simptom yang tersenarai :

                   a. Tidak mampu bersosial seperti enggan bergaul dengan memilih
                       untuk menyendiri walau dikelilingi rakan sebaya.

                   b. Komunikasi kurang berkesan dimana sukar difahami oleh pihak
                       lain atau non verbal.
           
                   c. Tingkahlaku yang ganjil seperti melakukan sesuatu secara berulang-
                       ulang, bertindak agresif jika minatnya dihalang, menyusun objek di
                       dalam barisan dll.


Simptom-simptom autisme


  3. MENGAPA DIKATEGORIKAN SEBAGAI ORANG KELAINAN  UPAYA?

         
Pelbagai kategori OKU
             
Mereka tergolong dalam OKU Bermasalah Pembelajaran dimana ia merujuk kepada masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal. Mereka yang berada di dalam kategori ini termasuklah keadaan kumpulan yang terjejas kemampuan pembelajaran individu, seperti Autisme (Autism Spectrum Disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran specific seperti Dyslexia, Dyscalculia dan Dysgraphia.

Ia juga merangkumi mereka yang mengalami lewat perkembangan global seperti golongan Down Syndrome, lembam dan kurang upaya intelektual.



 4. MENGAPA MEREKA BERLAINAN VERSI?


Pelangi......

Autisme atau menurut istilah klinikalnya iaitu Autism Spectrum Disorder (ASD). Apakah objek yang berada di dalam spektrum? Pelangi. Seperti mana pelangi, Autisme juga mempunyai spektrum dimana keadaan yang berlainan antara satu sama lain. Mereka biasanya diklasifikasikan keadaannya sebagai 'severe', 'mild' dan 'high function autism' termasuklah Asperger Syndrome. Tiada yang benar-benar bersamaan antara mereka, namun mereka berlindung di bawah payung yang dinamakan Autisme Spectrum Disorder (ASD).


Mohammad Daniel bin Zainuddin
memperolehi 9A dalam PMR

Sejumlah mereka mengalami tahap IQ di bawah paras biasa, dan ada juga yang mempunyai tahap IQ sebagaimana anak tipikal serta ada juga sebilangannya yang tergolong dalam manusia genius walaupun bilangannya tidak ramai mana. Maka tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini terpampang di dada-dada akhbar kejayaan anak autisme di dalam UPSR, PMR, SPM dan ada juga yang melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading mencecah peringkat yang tertinggi PHD.


Namun, masyarakat tidak harus menyangka golongan autisme yang berjaya di dalam pelajaran ini telah bebas dari masalah autisme. Sebenarnya mereka masih bergelut dengan permasalahan sosial seperti kurangnya rasa empathy, sukar mentafsir sesuatu berbentuk imaginasi dan sebagainya. Cuma golongan ini lebih bernasib baik kerana mereka tidak mengalami gangguan intelektual.
           


5.  MENGAPA MEREKA TIDAK DIPULIHKAN KEADAANNYA?


Tiada bukti yang menunjukkan autisme boleh dipulihkan. Tiada ubat-ubatan yang ditemui untuk mengatasi masalah ini. Sedangkan puncanya juga masih menjadi tanda tanya di kalangan penyelidik di serata dunia. Namun kita tidak boleh putus asa untuk berusaha membantu mereka.


Autisme hanya boleh dibantu melalui program intervensi awal seperti menghadiri Terapi Carakerja, Terapi Pertuturan dan sebagainya. Lagi awal seseorang individu autisme itu menjalani program tersebut, maka lagi cepatlah menampakkan hasil-hasil positif  yang dapat membantu perkembangan anak-anak tersebut.


Terapi Carakerja termasuklah melatih
si anak untuk menggenggam pensel dengan betul

Terapi Carakerja antara program intervensi awal yang sangat membantu anak-anak autisme dimana mereka dilatih melakukan aktiviti tertentu bagi menguatkan otot-otot, meningkatkan daya fokus, meminimakan masalah sensori disamping  memberi idea kepada  ibubapa supaya dapat melakukan teknik-teknik yang diajar ketika di rumah. Program ini dijalankan bersama Ahli Terapi Carakerja yang berkelayakan untuk mengendalikan kes-kes seumpamanya.


Beraktiviti dalam sesi terapi pertuturan dapat
menggalakkan si anak berkata-kata
             

Terapi Pertuturan juga antara intervensi awal yang sangat diperlukan buat golongan autisme. Lewat perkembangan pertuturan merupakan simptom awal autisme yang biasa dikesan. Pertuturan juga sukar difahami oleh mereka di sekeliling. Kepakaran Ahli Terapi Pertuturan dapat meminimakan kekurangan ini melalui sesi terapi secara individu mahupun berkumpulan.


Selain dari itu, autisme juga menurut kajiannya berhubungkait dengan masalah pencernaan. Kebanyakan mereka sering mengalami sembelit, kembung perut, dipercayai akibat dari makanan yang tidak dapat dicernakan dengan baik oleh sistem penghadaman mereka. Gluten Free, Casein Free, merupakan antara diet yang disyorkan kepada individu autisme bagi meminimakan permasalahan ini. Gluten merupakan produk yang diperbuat dari gandum, manakala casein pula adalah  makanan yang bersumberkan produk tenusu.


Mengapa Diet GFCF disyorkan....

Pelbagai ikhtiar yang diusahakan oleh keluarga kepada individu autisme bagi membantu anak-anak ini dengan harapan mereka boleh hidup berdikari demi masa hadapan. Bukan salah asuhan, namun ia merupakan dugaan Tuhan bagi mereka yang berkemampuan kerana Dia lebih mengetahui. Wang ringgit dan masa dikorbankan, cemuhan masyarakat menjadi semangat untuk membesarkan individu autisme.


Semoga post yang ini dapat menjawab persoalan  ramai dari perspektif  ibubapa yang berpengalaman membesarkan golongan ini. Semoga kami terus diberi kekuatan untuk menjaga amanah-Nya  ..InsyaAllah.

Saturday, September 14, 2013

Banana Feet/ Pigeon Toe/In-toeing Gait....Masalah Yang Sama


Tengok betul-betul.....bentuknya 

Dulu saya katakan si anak berjalan seperti sengaja dibuat-buat. Pernah juga saya tengok kawan-kawan saya yang mempunyai gaya jalan yang serupa. Atlet pun ada yang berjalan gaya ini. Klik punya klik terjumpalah artikel yang berkisah tentang Banana Feet dengan image yang membuat saya terkedu. Gaya berjalan dengan kaki yang mengarah ke dalam sedikit sama ada sebelah mahupun kedua-dua belah kakinya atau dinamakan In-toeing Gait.

Berbeza dari yang normal
           
Bukan diada-adakan, bukan sengaja.....inilah yang dinamakan 'Banana Feet'. Syahmi, anak saya mempunyai masalah kaki seperti ini semenjak dari kecilnya hingga kadang kala mengganggu aktitviti seperti berlari terutamanya. Namun, saya  hanya mengambilnya secara sambil lewa sebab di kiri kanan kita ramai juga mereka yang mempunyai gaya berjalan yang serupa. Maka redhalah saya bahawa, "anak ku tidak dilahirkan untuk aktif dalam bersukan".


Tapi bila Hari Sukan sekolah menjelma, rasa sedih dalam senyuman apabila melihat si anak berlari di padang dengan keadaan yang berbeza dari anak-anak yang lain. Sukar bersaing dengan keadaan kaki yang tidak mengizinkan untuk mengatur laju langkahnya. Terima sahaja kekurangan yang ada, setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan yang dijadikan-Nya. Kalau semuanya terbaik, tercantik, terpandai, sempurna segala, maka manusia mudah lupa diri pastinya.


'BANANA FEET' (IN-TOEING GAIT) MENURUT KAJIANNYA TERBAHAGI KEPADA BEBERAPA KEADAAN :

A. METATARSUS ADDUCTUS (Curved Foot)

Dipercayai kedudukan janin di dalam kandungan yang menyebabkan keadaan kaki mengarah ke dalam (inwards) dari bahagian pertengahan kaki hingga ke ibu jari kaki. Dikatakan juga faktor genetik antara yang menjadi penyebabnya. Kebanyakannya kes seumpamanya akan kembali normal secara semulajadi.


Metatarus Adductus


Clubfoot (CTEV- Congenital  Talipes Equinovarus) pula kecacatan yang severe berlaku bila mana bahagian buku lali yang seolah-olah berpusing  mengarah ke dalam. Boleh dikesan ketika bayi di dalam kandungan lagi. Sangat memerlukan nasihat dan rawatan dari Pediatric Orthopedist bagi membantu meminimkan kecacatan ini.
Jika tidak dirawat, golongan ini akan berjalan di atas buku lali dan bahagian sisi kaki (bukan tapak kaki).

Clubfoot.....lemah buku lali

B. TIBIAL TORSION

Kedudukan tibia (pertengahan tulang kaki) di bahagian lutut hingga ke buku lali yang menghala ke dalam (inwards). Kebiasaannya, keadaan ini akan membaik dengan sendirinya tanpa perlu intervensi apabila umur kanak-kanak tersebut meningkat.

Tibial Torsion

C. FEMORAL TORSION

Kedudukan femur iaitu tulang paha yang menghala ke dalam lalu memberi kesan terhadap keseluruhan kaki. Puncanya tidak diketahui.
Femoral Torsion


Posisi duduk 'W'


    


Kebanyakan kes In-toeing Gait ini tidak memerlukan rawatan khusus untuk pemulihannya kecuali di dalam keadaan severe seperti Clubfoot. Majoriti dari masalah ini akan pulih seiring dengan peningkatan usia kanak-kanak tersebut. Beberapa pemantauan harus dilakukan seperti mencegah kanak-kanak darim posisi duduk 'W'. Begitu juga posisi tidur mereka yang kurang baik seperti tidur seolah bersujud, bersilang kaki dan sebagainya.  

'Banana feet' ini juga tiada kaitan dengan masalah neurologi seperti autisme. Namun ia kerap berlaku di kalangan kanak-kanak termasuk anak saya, Syahmi. Alhamdulillah...sekarang keadaan si anak kian pulih walau tidak sepenuhnya.                                  

Wednesday, September 11, 2013

Jalan Berjengket..... Toe Walking



Jalan Berjengket...

             
Kanak-kanak suka berjengket bila berjalan. Biasanya kalau lantai basah, sejuk akan menyebabkan mereka berjengket-jengket untuk menyesuaikan dengan keadaan. Kanak-kanak juga suka berjengket menyusuri perabut rumah ketika baru belajar berjalan. Sehingga usianya 3 tahun, ianya tidak perlu menjadi kegusaran ibubapa sebenarnya.


Namun jika perlakuan tersebut masih konsistant sehingga peringkat usia 5 tahun, maka sesuatu harus dilakukan seperti mendapatkan bantuan pakar terutamanya Pakar Kanak-Kanak/Physiotherapist/ Pakar Orthopaedic.


Terdapat sebab-sebab tertentu yang menghasilkan perlakuan ini di kalangan kanak-kanak. Satu daripadanya ialah, faktor idiopathic (tidak diketahui sebab) atau habitual. Kebiasaannya ia dihubungkaitkan dengan masalah ketidakmatangan neurogical seperti cerebral palsy. Banyak kes juga mendapati jalan berjengket secara habitual ini berkaitan dengan mereka yang mengalami masalah lewat pertuturan seperti kumpulan tertentu autisme. Perlakuan ini disebabkan faktor hyper atau hyposensitiviti. Oleh itu, ibubapa harus memastikan anak-anak mendapatkan penilaian lanjut sekiranya perlakuan jalan berjengket ini berlaku bersama dengan  kelewatan perkembangan termasuk lewat pertuturan dan lewat kemahiran bersosial.


Perlakuan jalan berjengket ini menghadkan pergerakan buku lali seseorang. Kesan yang ketara berlaku di bahagian otot betis dan tendon Achillies menjadi 'ketat'. Jika ini berlaku, kanak-kanak dinasihatkan menggunakan 'bracing'. Terdapat kes-kes tertentu dimana pembedahan terpaksa dilakukan bagi memanjangkan tendon Achilles sekiranya perlu untuk memulihkan masalah ini. Semakin lama perlakuan ini menjadi habit, maka semakin sukar untuk dipulihkan.


Berwarna putih bahagian yang dipanggil
tendon Achilles   
Physiotheraphist pula biasanya akan mengesyorkan kanak-kanak supaya melakukan aktiviti regangan di bahagian otot kaki bagi mendapatkan gaya berjalan dengan keseimbangan yang ideal serta menguat dan mengekalkan kelembutan tendon Achilles. Terdapat juga kaedah rangsangan neuromascular electrical dilakukan bagi membolehkan maklumbalas deria yang tepat ketika menggunakan otot kaki supaya gaya berjalan yang betul dapat dihasilkan.

Selain itu, golongan ini juga disyorkan menjalani program bagi mengatasi masalah integrasi deria seperti aktiviti berjalan di atas pasir basah/kering dan sebagainya. Senaman dan aktiviti  juga boleh dilakukan di rumah bagi mendapatkan kesan yang lebih baik.



             Antara  aktiviti yang boleh dilakukan di rumah termasuklah :                  


             a. PROPRIOCEPTIVE DAN AKTIVITI
                 KESEIMBANGAN
Menggunakan biji-biji guli....

             -   mulakan aktiviti dengan menyediakan 10 biji guli
                 dengan sebuah bekas diletakkan di atas lantai.
                 Kemudian kutip biji guli tersebut satu persatu dengan
                 menggunakan ibu jari kaki lalu dimasukkan ke dalam  
                 bekas yang disediakan. Selesaikan tugasan ini
                 kemudian bertukar ke kaki yang sebelah lagi.

              -  si anak berdiri di atas pillow kemudian arahkan untuk
                  melakukan aktiviti di meja seperti bermain puzzle,
                  playing doh dan sebagainya.

Menggunakan tangga..

              b.  SENAMAN REGANGAN

               -  Berdiri di atas anak tangga sambil memegang railing.
                  Gerakkan sebelah kaki ke belakang, iaitu
                  melepasi sedikit sisi anak tangga. Kemudian berikan
                  tekanan dari berat badan anda terhadap tumit
                  menghala ke bawah/lantai. Lakukan bergilir-gilir
                  selama 20 saat setiap belah kaki kemudian tukar
                  kepada kaki yang sebelah lagi. Tujuannya ialah
                  untuk menguatkan tendon Achilles.
Menggunakan dinding....


               -  Berdiri menghadap dinding, kemudian letakkan
                  kedua belah tangan di dinding. Gerakkan kaki
                  kiri selangkah ke belakang dari yang sebelah kanan.
                  Pastikan tumit kaki rata di lantai serta bengkokkan
                  kaki kanan sedikit sehingga terasa regangan
                  berlaku di kaki kiri (belakang). Lakukan selama
                  20-30 saat kemudian tukar kaki yang sebelah lagi
                  secara bergilir-gilir.


           
Tidak semua kanak-kanak autisme mengalami masalah jalan berjengket, namun sesetengah dari mereka mengalaminya semenjak dari kecil. Bagi ibubapa yang mendapati anak-anak mereka mengalami masalah ini, maka tindakan harus dilakukan untuk berjumpa dengan pakar-pakar berkaitan bagi mengetahui puncanya supaya dapat dibantu sejak dari awal lagi. Jangan bertangguh-tangguh!
           
                     

Sunday, September 8, 2013

Kelmarin 7hb Sept....Selamat Harijadi & Ucapan Tahniah, Syahmi....


SYAHMI

             Happy birthday Syahmi ......bukan terlupa, tapi harijadi mu jatuh pada hari yg membuatkan kita tiada masa untuk bermajlis harijadi. Tiada kek, tiada lilin, tiada rakan dan taulan. Kita sekeluarga terpaksa bangun awal kerana pada hari yang sama kamu akan menyertai acara Tilawah Al Quran MTQ Peringkat Negeri Terengganu di SMK Pulau Serai, Dungun, Terengganu.


SMK Pulau Serai, Dungun, Terengganu.......cantik sekolahnya

            Subuh-subuh hari, kita telah berkonvoi dengan Cikgu Rosma untuk ke lokasi yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan. Dengan ditemani hujan lebat, harijadi Syahmi tahun ini bersama dengan curahan rahmat-Mu ya Allah. Perjalanan lancar, sampai on time. Didahului dengan pendaftaran peserta oleh Cikgu Rosma sebelum makan pagi.


Cikgu Rosma menguruskan pendaftaran...

            Segala dipermudahkan-Nya. Syahmi menjadi peserta ke enam memperdengarkan bacaan Surah An Naba. Bacaan nampak bersahaja, namun tarannum perlu diperbaiki jika bercita-cita hendak bersaing di peringkat kebangsaan. Akhirnya kejayaan juga menjadi miliknya, menjadi Naib Johan dalam kategori (Rendah-Lelaki) tidak secara langsung memperbaiki pencapaian tahun lepas di mana beliau hanya berjaya menyandang tempat ke tiga. Alhamdulillah....nikmat-Mu ya Allah di mana-mana dalam pelbagai cara.
         
   
Kejayaan digenggam akhirnya!
         
              Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah, tamat kira-kira jam 4.00pm. Ceria dengan keputusan yang diperolehi. Senyum lebih bermakna kerana harijadi kali ini diiringi dengan sebuah kejayaan yang dikongsi bersama cikgu-cikgu pengiring, Cikgu Rosma Jasni dan Ustaz Basrie Ngah.


              Selamat Harijadi Syahmi, tahniah atas kejayaan kelmarin.....


Kejayaan dirai bersama teman dan guru.....

Friday, September 6, 2013

'Hormon Cinta' Boleh Membantu Autisme...18SX



The power of love!

Oksitosin iaitu sejenis hormon yang dipanggil 'hormon cinta' atau 'cuddle hormone', dihasilkan semulajadi oleh tubuh manusia yang dikatakan juga dapat membantu mengurangkan simptom-simptom Autisme (bukan mengubati). Oksitosin dihasilkan secara semulajadi melalui aktiviti seksual manusia manakala di kalangan wanita pula terhasil juga melalui sistem reproduksi mereka seperti proses penyusuan bayi, dan proses kelahiran bayi dimana ia bertindak sebagai perangsang ketika kontraksi kelahiran.


Antara perlakuan yang merangsang Oksitosin......


Oksitosin adalah hormon yang bertugas meningkatkan keupayaan bersosial , ikatan kasih sayang dan kemesraan antara sesama manusia. Kehadiran hormon ini juga menjadikan seseorang mudah didekati dan didampingi. Mudah tersenyum, mengurangkan rasa takut atau berdebar bila berhadapan dengan orang lain, meningkatkan daya seksual bagi lelaki terutamanya. Kekurangan hormon oksitosin mengakibatkan seseorang itu anti-sosial, sukar senyum, tiada perasaan romantik dalam percintaan dan sebagainya. Disebabkan faktor tersebut, para saintist berpendapat hormon oksitosin sangat sesuai untuk golongan yang mengalami autisme mahupun schizophrenia.


Kajian yang dijalankan  di beberapa negara Eropah,  mendapati bahawa pada tahun 1998 insan autisme mempunyai tahap oksitosin yang rendah dalam plasma darah. Manakala kajian  di tahun 2003, mendapati masalah 'repetitive behaviour' di kalangan autistic berkurangan dengan hormon oksitosin. Seterusnya pada tahun 2007, terhasil juga kajian yang mendapati autistic dewasa memperolehi kesan positif dalam menterjemah emosi juga bersosialisasi.

Nasal  Oksitosin

Terdapat kaedah alternatif, hasil dari kemajuan teknologi dimana hormon ini berjaya dihasilkan melalui kaedah sintetik bagi penggunaan secara suntikan, pil atau spray (nasal spray). Oksitosin yang ada di pasaran adalah dalam bentuk ubatan dinamakan Pitocin dan Syntocinon. Kebiasaannya, kes ibu-ibu yang lambat bersalin maka para doktor akan menggunakan drip hormon oksitosin sebagai penggalak kontraksi.


Sebagai muslimin yang bertanggungjawab untuk memelihara tuntutan agamanya, banyak perkara yang perlu diperhalusi seperti status halal/haram penggunaannya. Begitu juga kesan ke atas penggunaan oksitosin sintetik tersebut ke atas golongan autisme. Lebih menakutkan, mungkinkah mereka menjadi terlebih berani pula dalam bersosial hingga melampaui norma-norma kehidupan???


Secara semulajadi paras oksitosin meningkat apabila kita bersentuhan dengan orang yang disayangi dan sahabat handai. Sikap memeluk, membelai, mencium (yang halal mengikut syariat) merupakan perlakuan yang boleh meningkatkan 'hormon cinta' ini. Fikir-fikirkan dan jangan lupa untuk mendapat pandangan dari mereka yang pakar jika ada yang berminat untuk mendapatkan khidmat oksitosin.


Sengaja bikin gempaq, post saya kali ini bukan 18SXkan? Biasa-biasa aje....


           


Monday, September 2, 2013

Berisi Ubi Sihat...Berisi manusia...???




Si Dia semasa bayi....
       
            Si Dia semakin berisi nampaknya. Dalam usia yang akan menjangkau 11 tahun  pada 7hb September nanti, mencatatkan berat badannya seperti timbangan terkini 46kg dengan ketinggian 137cm mula merisaukan kami ibubapanya. Puasa sebulan Ramadhan baru-baru ini membantutkan sedikit kenaikan berat badan Si Dia. Namun, 1 Syawal berhariraya boleh cover semula penurunan tersebut dalam sekelip mata.


7 bulan usianya.......
                                  Semenjak bayi lagi Si Dia lahir dengan berat yang luar dari kebiasaan bayi-bayi lain iaitu 4.4kg. Maka terpaksalah Si Dia keluar ikut tingkap. Membesar seperti biasa, tapi berat badannya nampak stabil mungkin disebabkan aktiviti semakin banyak terutama bila mula 'dapat kaki' (berjalan).


              Kemudian Si Dia maintain dengan tubuh badan yang sederhana (bukan kurus) hingga ke usianya 3 -5 tahun. Ketika ini Si Dia telah menjarakkan diri dengan susu botol. Mula belajar mengambil pemakanan berat seperti kanak-kanak lain terutamanya beraneka jenis nasi.

Slim sedikit nampaknya....ketika
berumur 7 tahun


              Di dalam usianya 6 tahun, Si Dia mula mengalami penyusutan berat badan yang ketara. " Badan ku kurus bukannya kurang makan...." tapi mungkin disebabkan dunia persekolahan yang baru baginya dengan pelbagai aktiviti. Bukan senang anak isimewa bermasalah pembelajaran untuk memaksimakan keupayaan fine motor skills, gross motor skills, daya fokus yang telah ketinggalan dari rakan seusia.


              Beberapa tahun menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan, Si Dia mula menunjukkan perubahan. Kurang pergantungan dengan ibubapa seperti menyiapkan kerja sekolah sendiri, mendapatkan makanan sendiri di dapur jika tidak dihidangkan, begitu juga aspek pengurusan diri.
       
9 tahun....dengan penampilan
 lebih menyakinkan


               Ketika usianya 8 ke 9 tahun, dikira inilah masanya Si Dia memperolehi berat badan yang stabil. Tidak terlalu kurus, sedang-sedang sahaja. Bergaya dipandang apabila memakai, lebih mudah mendapatkan  pakaian-pakaian yang berada di pasaran.


               Namun, semenjak setahun dua ini Si Dia mula mengalami kenaikan berat badan yang agak ketara. Selera makan yang besar, kurang beriadah, lebih banyak bersama lappynya di rumah. Enggan berjalan-jalan ke luar, lebih merindui aktiviti mayanya di rumah.

Terliur bagi yang melihat .....
lazatttttt!




               
               Sesuatu harus dilakukan terhadap perkembangan kurang sihat ini. Kesihatannya mesti diutamakan. Berisi bukan bermakna sihat, kurang stamina  melakukan kerja, nafas pendek untuk mengalunkan bacaan surah Al Quran antara perubahan yang jelas dikesan semenjak berat badannya meningkat.  Ramai kanak-kanak autisme mengalami masalah berat badan semenjak dari kanak-kanak lagi.  Seboleh-bolehnya, kami sebagai ibubapa cuba mengelakkan kenaikan berat badannya yang menjadi-jadi . Masih belum terlambat, namun tindakan harus dimulakan dari sekarang!



Enak nampaknya.....
                  Sebagai ibubapa, kuatkan hati untuk menegur Si Dia ketika hendak menyenduk nasi untuk pinggan ke 2 dalam santapan harian. Kuatkan semangat untuk melakukan aktiviti luar rumah bersama anak-anak. Elakkan menyediakan makanan berlebihan. Elakkan juga membeli 'junk food', air berkarbonat dan sebagainya..elak, elak, elak dan elakkkkkkk!!!!!

             
Perubahan dari tahun ke tahun ....semakin berisi nampaknya....


             

       
                 






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...