A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, March 30, 2012

Mengapa reaksinya begini?

     

Kalau tengok di YouTube, mahupun ditanya pada sahabat-sahabat yang memiliki anak autisme, pasti kebanyakannya bersetuju bahawa perlakuan luar kawalan seperti memekup (tutup) kedua belah telinga adalah antara perlakuan biasa anak-anak syurga kami bila berhadapan dengan situasi tertentu. Antaranya ialah apabila mendengar bunyi yang kuat (melampau) dan ada juga ketika melihat objek yang besar saiznya dari biasa. Ini dikategorikan sebagai sensory disorder termasuklah sensitif terhadap bunyi, bau dan juga rasa.

Anak Melayu ke, anak Mat Saleh ke..... reaksinya  serupa!

Situasi ini kebiasaannya berlaku apabila Syahmi berhadapan dengan BUNYI-BUNYI yang MELAMPAU mahupun melihat OBJEK-OBJEK bersaiz EXTRA ORDINARY tahapnya. Antara keadaan yang menyumbangkan kepada aksi pelik tapi kelakar ialah :


Bunyi - Bunga api yang berdentum - dentam

Bunyi - Semburan ubat pencegahan pembiakan nyamuk
oleh Unit Kawalan Vektor

Bunyi - Mesin Pengisar yang sedang beroperasi

Bunyi - Kilat dan Petir
Bunyi - Mesin Drilling

Bunyi - Gendang dari Tarian Singa 

Extra ordinary size  - Sebarang maskot


Extra ordinary size - Lampu chandelier 

Extra ordinary size - Belon Udara

Inilah antara adegan-adegan yang tidak mahu dilihat/didengar oleh Syahmi ketika usianya 3 ke 4 tahun. Biasanya Syahmi akan lari lintang pukang dengan jantung yang berdegup kencang dari biasa bagi mencari spot-spot strategic untuk menyembunyikan dirinya, sama ada di bawah katil, di belakang pintu mahupun menyorok berperisaikan ibu atau ayahnya.


Cuma perlakuan ini akan berkurangan seiring dengan peningkatan usianya. Dengan memperbanyakkan pendedahan terhadap situasi-situasi tersebut, cubalah memahami keadaan anak-anak ini serta membantu mereka mengatasinya supaya tidak ditertawakan kawan-kawan semasa bersekolah nanti. Ahli keluarga yang lain juga harus memberi kerjasama supaya tidak menakut-nakutkan golongan ini.


Ingatlah semua terutama mereka yang berada di sekeliling anak-anak ini, perlakuan ini bukan direka-reka, tapi itulah hakikatnya yang berlaku selagi masalah sensori mereka tidak ditangani....

                   

Thursday, March 29, 2012

Lenguh menulis...katanya

             Ramai antara kita ibubapa yang risau bila anak-anak autisme kita sukar untuk menulis. Kalau buat latihan.......hanya soalan yang mudah saja dipilihnya. Contohnya,  suaikan atau padankan gambar. Apabila menulis patah-patah perkataan, mereka pasti menolak dan cepat bosan. Ini yang membikin ibubapa tak karuan, 'gabra' lebih kerana takut si anak tidak dapat menyiapkan kerja sekolah seperti rakan-rakan yang lain.


Lenguh bila banyak sangat menulis....kata Syahmi
 

           Seharusnya kita memahami bahawa anak-anak autisme menghadapi masalah fine-motor skills seperti menulis.  Fine-motor skills merupakan pergerakan halus yang melibatkan  bahagian jari jemari umpamanya.  Semasa peringkat bayi  yang sedang merangkak, akan kelihatan mereka  mengutip objek-objek di lantai dimana pergerakan ini  menunjukkan petanda bayi tersebut sedang merangsang fine-motor skills mereka.


Memegang objek-objek yang seumpamanya  ketika awal usia mampu
membina fine-motor skills mereka


            Syahmi selalu merungut-rungut bila banyak aktiviti menulis di sekolah. Lenguh menulis, katanya. Pernah suatu ketika, di awal-awal  persekolahan Syahmi tidak dapat menghabiskan soalan exam kerana masalah ini.  Diharap guru-guru di mainstream terutamanya yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ini supaya dapat memberi sedikit kelonggaran untuk golongan istimewa ini hingga mampu menyaingi rakan-rakan tipikal dalam menyiapkan tugasan di kelas.

         
            Nasihat saya pada ibubapa yang anak-anaknya masih di peringkat awal persekolahan, jangan terlalu bimbang dan jangan pula terlalu selesa dengan masalah anak kita yang agak lambat menulis. Teruskan usaha untuk mengatasi masalah fine motor skills anak-anak. Banyakkan latihan bagi meningkat fine motor skills si anak dari masa ke semasa....InsyaAllah lama kelamaan ianya dapat diatasi jua akhirnya.....





Tuesday, March 27, 2012

Bila tetamu datang!

               Bila tetamu datang ke rumah banyak pahala yang kita dapat. Rezeki melimpah ruah. Itu janji Allah pada hambanya. Dilayan tetamu dengan baik dan seikhlas-ikhlasnya.  Nak jadi tetamu pun kena juga menjaga adab-adabnya. Janganlah sesedap rasa jer ke rumah orang tanpa mengira kesesuaian masa.

Adab Melayan Tetamu...

               Bagi Syahmi, kalau tetamu datang ke  rumah memang suka sangat  reaksinya. Macam nak melompat-lompat kegembiraan lagaknya. Bila masa tetamu nak minta diri.....air mukanya akan bertukar seperti awan mendung ketika hari nak hujan.


Gembira melayan tetamu walau pertama kali berjumpa!

                      Cuma yang merisaukan kita, bila tetamu tak dikenali memberi salam di luar rumah pasti si anak akan menjawabnya dengan penuh mesra tanpa ada perasaan curiga.  Jika tetamu yang datang berniat baik tak mengapa, cuma ditakuti 'tetamu' yang hendak mengambil kesempatan terhadap kelalaian kita. Ya Allah! Lindungi kami dari perkara-perkara buruk....aamiin


Bersama tamunya, Abang Asyraff juga seorang anak istimewa....
             
                   Kebiasaannya, Syahmi juga akan memperlihatkan segala minatnya seperti mendapatkan maklumat-maklumat tentang aerospace menerusi internet kepada tamunya. Syahmi akan berkongsi  cerita tanpa menghiraukan samada tamunya itu berminat atau tidak. Syahmi akan bercerita dan terus bercerita dengan niat untuk berkongsi ilmu. Harus diingat inilah antara kelemahan anak autistic dimana mereka tidak boleh menilai perasaan orang lain, terlalu lurus dan ikhlas.


                   Inilah cabaran ibubapa kepada anak-anak istimewa  seperti Syahmi. Yang lurus biasanya akan dimanipulasi oleh pihak lain. Untuk mengimbangi keadaan ini memerlukan usaha yang berterusan dari ibubapa bagi menyesuaikan diri anak-anak kita untuk  berdepan dengan masyarakat. Nampak senang,  tapi hakikatnya amat sukar untuk melakukan perubahan. Sebagai ibubapa kita perlu sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan untuk membantu anak istimewa kiata. Mungkin sampai ke akhir hayat agaknya....


                 
                   

Saturday, March 24, 2012

Kesedaran tentang AUTISME....


AUTISME Awareness Ribbon

Logo cantik serta berwarna-warni....cukup menarik. Diharap, pengunjung blog yang budiman dapat mengambil perhatian bahawa pada 2hb April nanti akan diadakan sambutan penuh makna bagi golongan AUTISME. Tarikh berkenaan telah   diiktiraf oleh Bangsa-Bangsa Bersatu semenjak tahun 2008 lagi, sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia dan ini merupakan sambutan kali ke lima serentak di seluruh dunia. Seperti biasa, warna biru ialah warna rasmi kempen tersebut.
           

Just  wear blue!

Kesedaran masyarakat terhadap AUTISME di negara kita amat rendah walau hakikatnya kes-kes yang dilaporkan kian bertambah bilangannya dari hari ke hari. Ibubapa harus mengambil peranan penting untuk memperjuangkan nasib anak-anak AUTISME kita kerana jika bukan ibubapanya ..... siapa lagi?  Masyarakat kurang sedar terhadap keperluan golongan ini disebabkan penampilan mereka yang nampak normal seperti insan-insan lain. Hakikatnya terdapat kesukaran yang nyata bagi golongan ini di dalam perkembangan komunikasi, interaksi serta imaginasi sosial.


Sebenarnya, golongan ini jika diberi peluang menjalani intervensi  seawal usianya.....insyaAllah  kelainan yang ada pada mereka dapat diminimumkan sehingga dapat menjalani kehidupan senormal  mungkin seperti insan biasa. Terdapat juga kes-kes tertentu dimana insan AUTISME telah menunjukkan kemampuan luarbiasa mereka hingga berjaya ke peringkat yang tertinggi.  Malangnya terdapat ibubapa yang lambat sedar tentang kelainan yang ada pada anak-anak kecil masing-masing kerana kekurangan ilmu pengetahuan tentang AUTISME itu sendiri.



Terangi kehidupan mereka!
                               
Kebanyakan dari kita di alaf baru ini mempunyai latarbelakang pendidikan yang baik serta menerima kemudahan informasi yang cepat dan pantas. Jadi, bangunlah ibubapa sekaliannya, guru-guru, pegawai-pegawai perubatan dan ahli-ahli akademik lain yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ini untuk bersama-sama menggembeling tenaga bagi memberi kesedaran pada masyarakat umum tentang AUTISME mengikut cara dan kemampuan masing-masing.


Kepada ibubapa yang diujiNya dengan menerima anugerah ini, ingatlah bahawa anda semua adalah insan terpilih  untuk memikul amanah Allah yang hanya menguji hambanya mengikut kemampuan masing-masing. Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan segalanya. Jangan sia-siakan anak syurga kita..... dek kerana kejahilan ibubapanya....


Jangan 'kuburkan' potensi diri mereka!
                        

Thursday, March 22, 2012

Bukan senang nak berjaya!



Bila  memperolehi kejayaan......semua orang tumpang rasa gembira. Apa tah lagi bagi yang empunya diri dan keluarga terdekatnya. Senyum di bibir hingga ke telinga, senyum juga dalam hati....cuma orang lain tak tahu.......Keputusan SPM keluar kelmarin dengan catatan kejayaan anak-anak  kita sementara ada juga yang bercucuran airmata menerima keputusan yang kurang memuaskan.        


Semua mahu yang ini!

Tapi di sebalik kejayaan itu, siapa tahu perjuangan si empunya diri serta orang-orang di sekelilingnya? Kesukaran,  kepayahan dan kedukaan bersilih ganti. Kita kena sedia maklum rezeki tidak akan datang dengan bergolek.....ada certain kes saja yang mendapat kejayaan terpijak,  itu pun jarang-jarang berlaku. Kira bonuslah dari Allah bagi yang memperolehi sesuatu kejayaan cemerlang secara mudah mahupun bertujuan untuk menguji ketaatan hamba-hambaNya di dunia ini.


Alhamdulillah.....sebab di kalangan anak-anak istimewa kita juga ada yang memperolehi kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2011. Beberapa rakan di Autisme Malaysia memberikan khabar gembira tentang pencapaian anak masing-masing dalam peperiksaan tersebut. Iddin dengan straight 'A' nya sementara Saifullah dengan 2 A dalam subject Mathematics dan Science. Adooiii! malunya saya jika dibandingkan dengan result yang saya perolehi di era 80 an dulu......


Ke mana selepas ni?

Seluruh  warga Autisme Malaysia bergembira sakan dengan suntikan kejayaan ini terhadap anak-anak syurga masing-masing yang biasanya tidak diletakkan sebarang harapan dalam pembelajaran. Malahan awal-awal lagi mereka telah dilabelkan dalam Masalah Pembelajaran. Yakinilah bahawa anak-anak kita juga boleh! Tak salah rasanya kita bergembira dan berbangga dengan kejayaan ke dua anak syurga kita SAIFUDDIN (Iddin) dan SAIFULLAH......


Tahniah jua pada ibubapa dan keluarga masing-masing! Nampaknya 2 'S' telah berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelajaran .....adakah seorang lagi 'S' akan mengikut jejak ke dua abang-abang ini? Siapakah  'S' yang seterusnya.....mungkinkah Syahmi? ....jeng jeng jeng...



Peringatan buat semua!

                     

Tuesday, March 20, 2012

Tumpang gumbira!

                       Banyak tumpang perkara tumpang....ibu tumpang ada, tumpang sekaki, tumpang semangkuk, Tumpang Sabtu nama wartawan RTM.....tapi kali ini saya nak tumpang gumbira.  Bukan apa, gembira mendengar kejayaan 'anak' syurga kita dalam pelajaran. Walau belum disahkan, angin-anginnya sudah pun sampai ke sini tentang kejayaan cemerlang seorang insan istimewa dalam bidang pelajaran anak kepada teman di Autisme Malaysia.

Pulut kuning tanda kesyukuran!

                         Buat si ibu ......seorang yang sangat berpengetahuan pada pandangan saya, memang Allah mengurniakan anugerah sesuai dengan kemampuan seseorang....ngam ngam tidak lebih dan tidak kurang. Berkat usaha kerasnya, kesabaran dan sentiasa bersedia berkongsi ilmu dengan kami insan terpilih yang  memiliki anak syurga....  maka selayaknya beliau menjadi contoh dan ikutan pada  kami semua.

                       Tahniah Iddin ,Puan Hayati Jafar serta keluarga. Semoga terus menyumbangkan idea-idea bernas anda kepada kami di Autisme Malaysia.
                   
                         Sama-sama kita tunggu keputusannya hari Rabu ini! Tunggu.........

Monday, March 19, 2012

Tonsillitis!

   
                     Seminggu bercuti, hari ni Syahmi  kembali dengan rutin seorang pelajar sekolah zaman millenium yang sibuk memanjang dengan kelas-kelas pembelajaran dan aktiviti luar kelas. Musim panas di Kuala Terengganu memang cepat meletihkan budak-budak dan mak bapaknya sekali. Kita ibubapa kena tengok-tengokkan pengambilan air masak terutamanya oleh anak-anak kita.

I'm ready to go to school!

                      Kalau jenis yang mudah mendapat penyakit tonsillitis......musim-musim panas kena minum air masak sebanyak mungkin. Elakkan dari meminum air berkarbonat serta berais. Mandi kena cukup....jangan tunggu nak disuruh.. barulah bergegas ke bilik air. Kalau mula rasa perit-perit di bahagian tekak, tonsil mula membengkak, biasanya beriringan dengan demam panas.


Nampak macam melegakan.....sejuk.....

                     Melalui pengalaman membesarkan anak saya Syahmi dan Syawal yang keduanya sering menghadapi masalah tonsillitis, antara perkara-perkara yang perlu juga dielakkan ketika musim panas begini tentunya memakan buah-buahan tertentu seperti limau mandarin, tembikai dan buah laici siam.  Ketiga-tiganya amat mudah merangsang berlakunya  perit di bahagian tekak sehingga sukar untuk menelan air liur sekali pun. Biasanya kejadian ini kita sedari  ketika lewat malam dimana orang lain sedang lena beradu sementara kita mundar-mandir di rumah menahan perit kesakitan di bahagian tekak. Elakkan makan beberapa jenis buah-buahan jika anda telah mendapat bengkak tonsil antaranya seperti :


Awas bila memakannya!

Hati-hati dengan yang ini juga!

Yang ini pun sama jer!
                 
                      Kalau berlaku kejadian perit tekak di waktu tengah malam hingga mengganggu tidur kita, maka pergilah ke bilik air untuk mandi ataupun sekurang-kurangnya membasahkan bahagian kepala. Memang terasa lega sementara menunggu hari siang bagi  mendapat rawatan doktor bertauliah. Biasanya kalau ke doktor pun ubat-ubatan yang dibekalkan hanyalah ubat demam, antibiotik dan ubat untuk dikulum bagi melegakan  bahagian yang terasa perit sementara nak sembuh sepenuhnya. Mengambil antibiotik perlu mengikut nasihat doktor!

                       
Bukan cuba menakutkan....tapi inilah hakikat yang sebenarnya  penyakit tonsillitis!
                     
                      Jangan ambil mudah permasalahan ini, kerana jika  terlalu kerap terjadi hingga mengganggu persekolahan anak-anak kita pasti dokor akan menasihatkan kita untuk membuang bahagian yang bengkak berkenaan melalui pembedahan kecil di hospital. Pernah saya terbaca dalam satu artikel yang menceritakan bahawa tosillitis jika tidak dikawal, ditakuti boleh menyerang hingga ke buah pinggang penghidapnya...eeee ini yang  kita perlu elakkan wahai teman-teman dan sahabat semua......


                       .Jika terdapat mana-mana kesilapan secara fakta di atas,  maaf dipohon kerana saya bukan seorang doktor.... hanyalah seorang insan biasa yang hendak  berkongsi maklumat dari pengalaman membesarkan anak-anak yang kedua-duanya penghidap tonsillitis. Itu saja...bukan TV3 saja yang 'ambil berat', saya pun sama...

Saturday, March 17, 2012

Biasa tengok di depan TV....kali ini di depan mata!

         
Kita orang biasa lagi hina ni,  memang teringin sangat kalau muka dapat masuk TV. Dek kerana susah sangat nak mencelah di TV,  kalau dapat jumpa mereka-mereka yang mukanya kerap terpampang di TV pun memang syok sangatlah rasanya.  Tak kiralah artis ke, ahli politik ke,  pokoknya orang-orang yang mempunyai nama dan  lebih-lebih lagi jika dapat bertemu para pendakwah Islam di hari dan di tempat yang baik lagi diredhai Tuhan.


Masjid Sultan Ismail, Chendering, Kuala Terengganu
                 
Hari ni Syahmi, abangnya Syawal dan ayah telah ke Masjid Sultan Ismail di Chendering, Kuala Terengganu untuk bersolat Jumaat. Masjid baru ni memang cantik rekabentuknya, ukiran tradisi Melayu Terengganu dengan warnanya yang putih bersih. 

Tenang hati dan nurani sebab tanpa disangka-sangka telah berimamkan pendakwah muda  yang berhemah tuturkatanya, bersih air mukanya semoga bersih jua dalamannya. Biasa muncul di kaca TV9 dan TV Al Hijrah, rupa-rupanya beliau anak jati Kuala Terengganu yang bernama Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang Al Idrus. Sempat juga kami bergambar dengan beliau sebagai kenang-kenangan dan tanda penghormatan serta penghargaan terhadap usaha-usaha dakwahnya.


Biasa tengok di TV 9 - Ustaz Syed Mohd Norhisyam 

Syahmi dan ayah bersama Ustaz  Syed Mohd Norhisyam

Sebelum ini, Syahmi juga pernah bertemu dengan seorang lagi pendakwah muda yang sangat digemarinya iaitu Ustaz Don Daniyal  Don Biyajid semasa karnival Al Hijrah di Kuala Terengganu bulan December 2011. Seperti biasalah.....sesi bergambar menjadi perkara wajib (mesti) sambil mendapatkan tandatangan ustaz 'sampoi' yang menjadi kesayangan ramai.


Biasa temgok di TV Al Hijrah - Ustaz Don Daniyal

Syahmi bersama Ustaz Don Daniyal
     
Nama Muhammad Syahmi Asyraff dalam tulisan khat
 bersama tandatangan Ustaz  Don
                 
Bersemuka dengan insan-insan terkenal ni,  memang menggembirakan kita seketika. Senyum lebar hingga ke telinga dibuatnya bila melihat wajah-wajah jernih  ustaz muda lagi belia. Selain dari kekaguman, cara penyampaian mereka yang amat bersahaja , mudah  tapi penuh dengan makna-makna yang tersirat dan tersurat. InsyaAllah... di lain masa kita jumpa Ustaz Azhar Idrus pulak!


                   


                   

Friday, March 16, 2012

Seronok balik Kuale!

                     Cuti sekolah ramai orang buat kenduri kahwin, ramai juga yang berjalan-jalan makan angin dengan keluarga. Fenomena balik kampung pun datang lagi bila cuti-cuti begini hinggakan  bandar Kuala Kangsar yang biasanya agak sepi menjadi meriah dek hiruk pikuk manusia dan kenderaan anak-anak perantauan yang balik ke kampung.


Sunyi sepi rumah Tok di kampung
               
                    Seperti biasa kalau balik kampung, masa seakan-akan berjalan lebih pantas dari biasa. Sehari dua di sana,  rasa malas nak balik semula ke Kuala Terengganu. Tiada yang sangat-sangat istimewa hendak diperkatakan, hanya yang tinggal pasangan suami isteri yang dipanggil Tok dan Opah oleh Syahmi serta binatang belaan  buat pengubat kesunyian mereka berdua. Anak-anak kesemuanya telah berkeluarga, cuma sekali-sekala datang menjenguk seperti kami juga.

Bersama ayah saudara, Syahmi masih mampu tersenyum walau 'bergaru' digigit nyamuk!

                     Walau tiada yang istimewa, segalanya jadi ceria bila melihat ke dua wajah orang tua. Air tangan Opah menjadi pembuka selera. Walaupun tiada blender hanya menggunakan lesung batu, namun sambal belacan yang Opah buat lagi sedap rasanya dari yang tersedia di restoran-restoran. Walau tiada microwave oven, ikan-ikan keli yang hanya dipanggang atas bara kayu api menjadi lebih harum aromanya membuat kita terliur ditambah pula dengan 'air asam' pencicahnya. Simple cara penyediaan.... tapi hebat hasilnya!

                   
Terliur dibuatnya!
                   
                       Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat yang penuh dengan nostalgia dengan pahit manis kehidupan. Cuma kadang-kadang rasa sedih mengundang mengenangkan Tok dan Opah yang semakin tua. Keadaan fizikal yang semakin uzur, tinggal berduaan di kampung. Keduanya telah menjangkau umur 80an, namun masih boleh melakukan kerja-kerja ringan di rumah. Yang pasti persekitaran rumahnya bersih tiada sampah sarap kerana keduanya sentiasa menitikberatkan soal-soal kebersihan.Di meja makannya sentiasa terhidang makanan yang sedap-sedap menjadi santapan harian.

Halaman rumahnya bersih

                     Termenung melihat deretan botol-botol ubat di suatu sudut rumah, membayangkan betapa keduanya bergantung sangat padanya ketika keuzuran melanda tanpa bantuan anak-anak yang tinggal berjauhan. Inilah persoalan yang selalu kita dengar, mengapa ibubapa boleh menjaga anak yang ramai, sedangkan anak-anak yang ramai sukar untuk menjaga ibubapa yang hanya berdua?.

                      Sama-samalah kita fikir-fikirkan terutamanya kepada diri saya sendiri yang juga seorang ayah kepada anak-anak. Sedihnya.....ampunkanlah  dosa kami sekiranya kami bersalah 'mak dan apak'........

                   
Tok dan Opah Syahmi
                   

                      

Wednesday, March 14, 2012

Salah Siapa?

Berita tergempar minggu ini! Pembunuhan adik  ' Nurul Nadhirah ' 

                  Berita pembunuhan kanak-kanak di negara kita berlaku lagi. Yang pergi tetap pergi meninggalkan kita semua...tapi seperti biasa masyarakat kita yang selalunya umpama hangat-hangat tahi ayam. Bila berita masih hangat, semua orang akan membicarakan topik yang sama. Ada yang menuding jari kepada si anu yang bersalah,  agensi kerajaan pun salah sebab lambat bertindak dan pelbagai pihak lagi diletakkan kesalahan. Siapa yang nak mengaku kalau dah berbuat kesilapan?


                  Kes-kes sebegini akan berulang lagi selagi kita semua terutamanya ibubapa sendiri tidak menitikberatkan keselamatan anak-anak. Hinggakan anak yang baru berumur 5 tahun pun kita berikan kepercayaan untuk ke kedai bersendirian dengan alasan jaraknya yang berhampiran dari rumah. Seharusnya kita harus khuatir akan keselamatan anak kecil ini kerana banyak mata-mata jahat yang menunggu mangsa yang naif seperti kanak-kanak ini untuk diambil kesempatan.


Turut digemparkan berita kehilangan Adik Wan Hazim
seorang anak Autisme
             
                      Bagi anak-anak istimewa pula, penjagaan keselamatannya haruslah lebih dipatgandakan oleh para ibubapa. Seperti yang kita sedia maklum, golongan ini mempunyai pelbagai masalah contohnya kesukaran untuk berinteraksi disamping bentuk-bentuk ketidakupayaan lain yang menyukarkan kita untuk mengesannya sekiranya berlaku masalah 'budak hilang'. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

Kita pernah kehilangan adik Nurin....

                      Sebagai ibubapa, biarlah kita sentiasa berwaspada kerana di zaman ini ramai yang telah hilang sifat keperimanusiaannya. Walaupun jiran tetangga seharusnya jangan diletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka, beringat-ingat sebelum kena. Biarlah bersusah-susah sedikit demi  keselamatan anak-anak kesayangan kita...jangan dah terhantuk baru terngadah!

               
                      Sama-samalah kita menjadikan kes-kes seperti ini sebagai iktibar dan saling ingat memperingati antara satu sama lain. Al Fatihah ....semoga keluarga Adik Nurul Nadhirah binti Abdullah tabah menghadapi ujian-Nya ini,  yang pasti tempat mu di syurga yang abadi...

Sunday, March 11, 2012

Dulu Noooo......Sekarang Yessss....

                  

               Anak-anak autisme ni telah diperakui bahawa mereka mengalami perkembangan yang agak lewat jika dibandingkan dengan rakan-rakan seusia. Jadi tidak hairanlah sekiranya kita dapati golongan istimewa ini akan menghadapi banyak masalah apabila hendak melangkah ke alam persekolahan seperti masalah pengurusan diri, pertuturan, tingkah laku dan begitu juga pembelajarannya.


               Walau bagaimana pun, sebagai ibubapa kita tak boleh cepat berputus asa. Banyak kes-kes dimana anak-anak istimewa ini boleh diasuh untuk menjadikannya sebagai insan biasa walaupun tidak 100%. Sedikit perubahan dari anak-anak syurga kita, besar maknanya diberi Allah kepada kita ibubapa terpilih. Kita tengok pada perkembangan Syahmi.

Niatnya baik mahu turut bersolat tapi matlamat tidak
 menghalalkancara (masih berdiaper)

              Dulu-dulu Syahmi susah sangat nak membebaskan diri dengan diaper, hingga umurnya  4 tahun baru merdeka dari diaper itupun bukan sepenuhnya. Ramai kenalan yang menegur kami suami isteri sebab tak tahu nak train anak ke tandas sementara kami pun belum tahu ketika itu bahawa Syahmi ni anak autisme....ingatkan dia budak biasa. Terpaksalah ditelan segala  teguran mereka walau di hati rasa nak kasi  'duusshhh' sekali. Patutlah Syahmi susah sangat nak ditunjukajar, sementara nak memahami pertuturannya pun bermasalah, yang ada hanya bahasa 'JERMAN'nya yang sukar difahami. Umurnya 6 tahun barulah Syahmi merdeka sepenuhnya dari belenggu diaper.


Siang dan malam bertukar ganti dengan 'singletnya'

               Sama juga dengan berpakaian, kalau dulu hanya selesa dengan berpakaian 'singlet' saja. Pernah suatu ketika semasa umurnya 3 tahun dia beraya dengan 'singlet' saja...Kami yang lain bergaya dengan baju Melayu tapi Syahmi enggan berbaju Melayu. Atok dan Opah bertanya kenapa tak dibelikan si anak pakaian rayanya? Apa nak dijawab weh ooiiii, bukannya tidak dibeli tapi Syahmi yang enggan memakainya. Atok dan Opah pun tak tahu yang si cucunya anak istimewa. Nak diceritakan pasal autisme, lagilah keduanya tak mahu menerima. Dilema jugak kami ibubapanya masa tu. Tapi sekarang alhamdulillah...boleh pakai baju kemeja lagi, kalau ke sekolah siap pakai tie 'sangkut'. Kira okay dah tu....


Photo Syahmi  yang terkini,  bertahi lalat di dagu...tergoda you!
             
                 Pernah dulu kalau nak bergambar sikit punya susah ke? Masuk studio dah menjerit sakan. Eye contact memang zeroooo punya. Bergambar seisi keluarga untuk pagi raya kebanyakanya Syahmi sedang bergantung erat di tengkuk si ayah disebabkan ketakutan dengan cahaya camera. Bila nak ambil gambar buat kad OKU, si ayah yang kena ambil sendiri photonya berlatarbelakangkan dinding rumah yang berjerawat. Tapi sekarang eye contact very good. Ditakuti orang yang ambil gambar pulak yang tergoda beb! Tengoklah hasilnya di atas, photo Syahmi ketika memperbaharui kad OKU baru-baru ini (umurnya 10 tahun).

Antara hasil kerja sekolahnya yang terkini


                  Di zaman awal persekolahan, Syahmi agak lemah menulis, melukis apa tah lagi untuk melakukan aktiviti mewarna. Awal-awal lagi dah angkat bendera putih kalau melibatkan aktiviti sebegini. Lama kelamaan, Syahmi telah dapat mengikut rentak rakan-rakan sekelas yang mampu menyiapkan tugasan harian sebagaimana arahan guru. Kadang-kadang kalau diteliti hasil kerjanya di sekolah kini lebih kemas dari anak normal yang sekelas dengannya.


                   Inilah antara perubahan positif Syahmi yang hendak dikongsikan bersama. Kepada ibubapa di luar sana yang mempunyai anak istimewa seperti Syahmi, janganlah mudah mengalah  kerana bukan suatu tugas yang mudah untuk membentuk anak istimewa kita kepada yang lebih baik mengikut kemampuan anak masing-masing.  Tempuhi dengan sabar, sambil terus berjuang demi anak-anak syurga ini. Ingat, Allah is counting on you!     

Saturday, March 10, 2012

Jalur Gemilang di mata Syahmi...

Jalur Gemilang

Inilah antara objek-objek yang mendapat perhatian dari anak-anak autistic. Tanyalah ibubapa kepada anak-anak autistic yang lain....pasti kebanyakannya bersetuju dengan apa yang diperkatakan melalui pengalaman masing-masing ketika menangani tingkah laku anak autistic yang hampir sama citarasanya.

Usianya 4 tahun dah mula menjadi pengumpul setia 'Jalur Gemilang'

Bukan saja Jalur Gemilang, bendera negeri-negeri di Malaysia juga  bendera negara di seluruh dunia menjadi perhatiannya. Mereka cepat mengingati dan mengecam negara mana bendera tersebut mewakili walaupun ianya hampir serupa seperti bendera USA dengan Jalur Gemilang. Jangan nak 'kelentong' budak-budak ni sebab mereka memang meneliti dan mudah mengingati sama ada warna serta kedudukan  jalur, bulan, bintang dan sebagainya di bendera berkenaan.


Bangga bersama bendera di Hari Raya
               
Pernah suatu ketika tahun 2010, Hari Raya Aidil Fitri disambut serentak dengan bulan 'Merdeka' dimana Syahmi mengusung bendera Jalur Gemilang bersama-sama bendera negeri Terengganu ketika berziarah ke rumah adik beradik di kampung, Kuala Kangsar, Perak. Kebanyakan mereka bertanya....Syahmi beraya di Terengganu ke di Perak?  Hahahaha....


Kebanggaan terhadap Jalur Gemilang di sekolah

Begitu juga sambutan berkembar Hari Raya dan Hari Kebangsaan di sekolah, Syahmi juga masih dengan keasyikannya terhadap Jalur Gemilang. Mungkin rakan-rakannya di waktu itu berebut-rebut untuk menjamu selera, tapi Syahmi dah kenyang ke hulu dan ke hilir bersama dengan minatnya. Saya jamin 100% , jika makanan licin kerana dimakan teman-teman tidak menjadi kemarahan baginya tapi jika Jalur Gemilangnya dirosakkan mereka, pasti tantrumnya datang....ingat-ingat tu rakan dan taulan!


Anak Malaysia!
                   

Minatnya terhadap Jalur Gemilang membawa kepada disiplinnya semasa perhimpunan mingguan di sekolah. Syahmi akan menunggu ketikanya bendera hendak dinaikkan bersama nyanyian lagu Negaraku. Biar lama berdiri, Syahmi masih boleh mengambil perhatian terhadap rutin mingguan sekolah.

Jelas sekali, kehadiran Jalur Gemilang di lapangan perhimpunan sekolah menyumbang kepada fokus dan disiplin anak autistic ini sama seperti anak-anak normal lain berdiri dengan penuh perhatian dan semangat. Bukan senang nak mendisiplinkan golongan istimewa ini....


Saya Anak Malaysia

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...