A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, March 16, 2013

Kembali berkolabrasi....Cikgu Rosma + Syahmi....


               
                    Sudah lama saya menyimpan hasrat nun jauh di sudut hati, enggan lantang bersuara kerana dikhuatiri kami ibubapanya dianggap 'very demanding' oleh pihak-pihak tertentu.  Namun tahun 2013 ini, telah dibuka jalan oleh-Nya bagi pihak sekolah melantik seorang guru Pendidikan Khas bagi memantau perkembangan anak yang diinklusifkan seperti Syahmi di aliran perdana. Mungkin inilah yang dinamakan 'Guru Pendamping' walau bukan 100% seperti yang dilaksanakan oleh NASOM. (Kita juga harus rasional dalam membuat perbandingan antara perkhidmatan yang berbayar dengan perkhidmatan percuma).

                 
Cikgu Rosma + Syahmi...kolabrasi yang ditunggu-tunggu

                     Sebenarnya Guru Pendamping amat diperlukan bagi perkembangan positif anak autisme. Penampilan fizikal anak autisme yang tiada bezanya jika dibandingkan dengan anak-anak tipikal menjadikan persepsi masyarakat terhadap mereka adalah tersasar. Hakikat sebenar bahawa mereka terkebelakang dari segi pergaulan sosial, komunikasi serta pendekatan yang berbeza dalam pembelajaran menjadikan golongan ini sukar difahami oleh masyarakat umum. Guru Pendamping dianggap sebagai tempat mereka mengadu dan membantu memperbaiki kelemahan yang ada sepanjang pembelajaran mereka di aliran perdana. Guru ini juga lebih berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan sektor pendidikan khas dengan aliran perdana dalam menangani perkembangan anak-anak di program inklusif.

                   
                      Alhamdulillah, tahun 2013 Cikgu Rosma binti Jasni telah diamanahkan oleh pihak sekolah menjadi Guru Pendamping Syahmi. Cikgu Rosma merupakan bekas guru yang mengajar Syahmi semasa di Pra Pendidikan Khas tahun 2008. Kini, beliau memikul tugas yang semakin berat iaitu dengan tugas asalnya sebagai guru di Pra PPKIBP juga guru yang memantau perkembangan murid inklusif di aliran perdana.


                     Bagaikan 'orang mengantuk yang disurung bantal'.  Begitulah perasaan kami sebagai ibubapanya. Memandangkan progam inklusif ini boleh diumpamakan seperti kes terpencil, maka kelemahan di sana-sini memang tidak dinafikan wujud. Namun kami amat  berbangga kerana pihak sekolah telah mengambil tindakan terbaik bagi memperbaiki kelemahan tersebut dengan menempatkan guru tertentu bagi memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak inklusif.


                       Semoga, ia menjadi titik tolak buat Syahmi lebih menyerlahkan kebolehan yang ada. Selamat kembali berkolabrasi antara Cikgu Rosma dan Syahmi. Komitmen guru ini terhadap tugasnya telah terbukti sejak dari dulu dan amatlah kami hargai.....


Besarnya pengorbanan guru.....terima kasih cikgu!
                      

Sunday, March 10, 2013

Sembelit (Constipation)


Hakikat yang menyakitkan....sembelit

Sembelit merupakan proses pengosongan usus yang jarang berlaku lalu menjadikan tinja keras dan sukar untuk dikumuhkan. Sembelit kerap terjadi pada kanak-kanak juga pada orang dewasa disebabkan kurangnya pengambilan air, kurang serat dalam pemakanan juga kurang melakukan senaman.


Namun terdapat juga faktor sampingan lain yang boleh menyebabkan sembelit di kalangan kanak-kanak seperti kelekaan mereka bermain hingga tidak menghiraukan keperluan untuk membuang air besar, keengganan menggunakan tandas selain dari tandas yang ada di rumah (tandas awam umpamanya) atau kurang mahir menguruskan diri ke tandas tanpa bantuan penjaga.


Kurang aktiviti fizikal 
Sembelit di kalangan autisme khususnya, dikaitkan dengan masalah pencernaan yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal. Sistem pencernaan golongan ini mengalami ketidakseimbangan mikroflora dimana bakteria patogen (membawa penyakit) mendominasi sistem usus dibandingkan dengan bakteria yang membawa munafaat. Situasi ini boleh menyebabkan radang pada dinding usus sehingga lapisan usus tersebut boleh mengalami 'kebocoran'.


Pelbagai jenis ubat-ubatan yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah sembelit seperti enema (sejumlah cecair yang diinfusikan ke dalam rektum) atau julap bagi melembutkan najis. Ubat pelawas seperti laksatif juga boleh digunakan namun ia merbahaya kepada kanak-kanak dan seharusnya mendapat kebenaran doktor. Walaupun demikian, ubat-ubatan ini hanya bersifat sementara dan ada yang boleh menimbulkan kesan negatif jika diambil secara berterusan.

Probiotik - Lactobacillus Acidophilus

Adalah dicadangkan supaya kanak-kanak autisme mengambil probiotik tertentu seperti yang disyorkan oleh doktor dimana terbukti mampu memperbaiki sistem pencernaan manusia. Peranannya bagi mengelakkan pertumbuhan mikro organisma yang tidak diingini serta meningkatkan sistem imun seseorang. Pastikan juga kanak-kanak mengambil makanan yang kaya dengan serat juga pengambilan air dalam kadar yang secukupnya. Lakukan senaman ringan secara berterusan.


Sebagai manusia biasa, kita hanya  mampu berikhtiar tanpa jemu demi perkembangan positif anak autisme kita.  Lebih baik terus merangkak, biarkan kita terus mengesut dari terhenti berlari di pertengahan jalan....begitulah umpamanya perit jerih kami ibubapa terpilih oleh-Nya untuk menerima anugerah ini. Semoga tiada yang menoleh ke belakang lagi.......
                       


                       

Friday, March 8, 2013

Mungkinkah Kerana Mu SUTTERELLA?


Berpeluh dibuatnya bila bermasalah
dalam pencernaan!!!
           
Sering kali kita mendengar rungutan ibubapa, tentang si anak autisme yang kerap mengalami masalah sembelit, cirit-birit, kembung perut dan masalah lain yang juga berkaitan dengan gangguan usus. Walaupun pengambilan makanan seimbang telah diberi keutamaan namun jika sistem pencernaan tidak berfungsi dengan baik, maka makanan yang baik tadi masih tidak dapat dikonsum dengan berkesan. Ini akan menyebabkan kita kekurangan nutrisi-nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan lalu menimbulkan gangguan seperti alahan pada kulit, asthma dan sebagainya.


Sutterella!

Sebenarnya, autisme sangat sinonim dengan masalah sistem pencernaan malahan ianya sering diperbincangkan oleh para pengkaji barat. Menurut Brent Williams dan rakan dari Mailman School Of Public Health Columbia University mendapati hasil kajian yang dilakukan, menunjukkan bahawa anak-anak autisme mempunyai populasi bakteria tertentu di usus yang tidak terdapat pada anak-anak bukan autisme. Bakteria tersebut bernama SUTTERELLA.


Namun  menurut Jorge Benach, Chairman of the Department of Microbiology at Stony Brook University, bakteria ini berhubung kait dengan penyakit gastrousus di bawah diafragma serta masih belum terbukti samada ia di dalam kelompok patogen (membawa penyakit) kepada manusia serta ia juga bukan sejenis bakteria yang amat dikenali. Walaupun demikian fakta ini menarik minat para pengkaji untuk menyelongkar lebih mendalam kaitan kewujudan bakteria ini di dalam usus kanak-kanak autisme dengan gangguan autisme (ASD) itu sendiri.


Oleh Dr Natasha Campbell-McBride

Dr Natasha Campbell-McBride dalam bukunya 'Gut And Psychology Syndrome' menjelaskan secara terperinci tentang ketidakseimbangan mikroflora di bahagian pencernaan yang akan menghasilkan toksin serta mendatangkan kesan buruk kepada saluran gastrousus. Untuk pengetahuan semua, 80% dari sistem imunisasi tubuh manusia bermula dari bahagian usus. Oleh itu jika seseorang individu mengalami permasalahan di bahagian tersebut, maka ia boleh membawa kepada kegagalan fungsi darah dan tentunya juga menjejaskan bahagian otak.


Pelbagai fakta lagi dari pengkaji-pengkaji barat yang menarik untuk diperbincangkan dalam mencari rahsia autisme. Bagi kita ibubapa yang mempunyai anak autisme, pada peringkat permulaannya pasti akan tercari-cari jua apakah penyebab terjadinya autisme ke atas zuriat yang amat kita sayangi.


Namun, sebagai seorang mukmin sejati, percayalah pada Qadha' dan Qadar-Nya. Kasih sayang kita pada anak-anak tidak dapat menandingi kasih sayang Allah pada hamba-Nya. Sesungguhnya Dia yang lebih mengetahui......




                         


                         


                       




                         
                         
     


Wednesday, March 6, 2013

Hari Penyampaian Watikah Pengawas Sekolah (SKSB II) 2013



                        Kelmarin, terbukti sudah peluang yang sama rata diberikan kepada anak-anak Pendidikan Khas (Program Inklusif) untuk menyerlahkan potensi selagi mereka menunjukkan prestasi yang baik semasa di sekolah. Kelmarin, Syahmi (barisan paling belakang, No 3 dari kiri) telah menerima watikah perlantikan sebagai seorang Pengawas Sekolah Keb.Seri Budiman II (2013). Semoga anak ini dapat memikul tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

                        Tahniah pada pihak sekolah kerana prihatin dan tidak memandang sebelah mata dengan kemampuan anak istimewa. Alhamdulillah......

Barisan Pengawas Sek Keb Seri Budiman II (2013)
Syahmi No 3 dari kiri (barisan paling belakang)

Menunggu giliran untuk naik ke pentas
Syahmi menerima watikah perlantikan
'Saya' berikrar akan  menjalankan tugas dengan penuh dedikasi!

Tuesday, March 5, 2013

Kompang dipalu ....18 tahun sudah!



Inilah kad jemputan kahwin yang masih tersimpan hingga kini
-5hb March 1995....tarikh bersejarah-

Bila kompang dipalu!

"Aku terima nikahnya......."

Betukar cincin mengikut tradisi
Pengantin 90an.........sekadar mengingat kenangan lama



Saturday, March 2, 2013

Sudut-Sudut Indah Di Negeri Terengganu...

                   

                 Aktiviti fotografi menjadi hobi kami sekeluarga. Inilah antara hasil-hasil yang hendak dikongsikan bersama para pengunjung blog yang budiman. Terengganu Darul Iman negeri yang cantik, memudahkan tugas fotographer kelas bawahan seperti saya untuk mendapatkan sudut-sudut yang dikira menarik!


Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman

Tasik Kenyir, Terengganu Darul Iman
Bukit Tumbuh,  Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Pantai Penarik, Terengganu Darul Iman

Marang, Terengganu Darul Iman
Pantai Kuala Dungun, Terengganu Darul Iman
Pantai Pandak, Chendering, Terengganu Darul Iman
Pantai Kuala Dungun, Terengganu Darul Iman
Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu
Pantai  Kemasik, Terengganu Darul Iman
Pantai Kemasik, Terengganu Darul Iman
Pantai Pandak, Chendering, Terengganu Darul Iman
Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman
Masjid Sultan Ismail, Chendering, Terengganu Darul Iman
Marang, Terengganu Darul Iman
Kampung Telaga Batin, Terengganu Darul Iman

Batu, Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Tasik Kenyir, Terengganu Darul Iman
Kuala Ibai, Chendering, Terengganu Darul Iman
Empangan Pelana, Tasik Kenyir, Terengganu Darul Iman
Pantai Teluk Ketapang, Terengganu Darul Iman
Masjid Terapung, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
Lagoon Kuala Ibai, Terengganu Darul Iman
Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman
Pulau Kapas, Terengganu Darul Iman


                                                                     -  SEKIAN  -

Friday, March 1, 2013

Are You Ready For Toilet Training?


'Toilet Training'
                       
Proses yang amat mencabar bagi para ibubapa iaitu 'Toilet Training' bagi anak-anak tipikal apatah lagi bagi yang mengalami autisme. Tapi tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya kita benar-benar bersedia serta berkemahuan untuk membebaskan anak kita dari 'lampin pakaibuangnya'.


Sampai bila Syahmi  nak berlampin?

Beberapa langkah awal perlu dipertimbangkan sebelum memulakan latihan ini antaranya termasuklah memastikan :

                       a)  Keadaan kesihatan si anak baik. Tidak mengalami sembelit,
                            bermasalah dalam kawalan usus serta lain-lain permasalahan yang
                            boleh menjejaskan misi. Pastikan si anak  mengambil makanan
                            berfibre tinggi serta minum dengan secukupnya,

                       b)  Anak-anak telah bersedia untuk proses ini seperti menunjukkan
                            tanda-tanda ketidakselesaan terhadap lampin yang basah atau kotor,
                            bangun tengah malam apabila menyedari lampinnya telah basah.
                         
                       c)  Lakukan pemeriksaan berkala selama beberapa hari untuk mengetahui
                            tahap kekerapan si anak membuang air kecil, umpamanya memeriksa
                            lampinnya setiap setengah jam.

                       d)  Perkenalkan si anak dengan keperluan membersih mahupun melupuskan
                            lampinnya di dalam tandas. Mula memikirkan tentang bentuk ganjaran
                            yang dikira sesuai bagi  memotivasikan si anak ke arah menjayakan misi.
                            Boleh juga digunakan visual support untuk memberi kefahaman yang
                            lebih baik pada si anak tentang 'Toilet Training'.
                           
Visual Support amat membantu si anak  autisme

                         

                           e)  Target kita kali ini  untuk membiasakan si anak duduk di mangkuk
                                tandas dengan rasa selamat (Bukan menggunakan tandas lagi). Dahului
                                dengan memimpin tangan si anak ke tandas dan galakkan si anak untuk
                                menanggalkan seluar (gunakan seluar yang elastik di bahagian pinggangnya)
                                serta membantunya untuk berada di kedudukan yang betul dan selesa.
                                Jangan lokek untuk memberi pujian/ganjaran  terhadap sebarang
                                pencapaian si anak.


Cepat dan mudah untuk ditanggal... seluar elastik di pinggang


Visual yang dapat menggalakkan pencapaian si anak


                            f)  Sasaran yang seterusnya adalah untuk melatih si anak menggunakan
                                tandas untuk membuang air kecil/besar. Kira-kira 20 minit sebelum
                                si anak dipimpin ke tandas, tambahkan pengambilan air minuman
                                umpamanya untuk mencapai kejayaan yang 'maksimum' apabila berada
                                di tandas nanti.
                           
                                Bagi tujuan membuang air besar, biarkan mereka melalui proses sakit
                                'memulas'(pergerakan usus)secara semulajadi sambil bermain-main
                                (whistling,coughing, blowing) dengan bertujuan untuk melalikan seketika
                                keadaan tersebut. Katakan "no poo, no wee" jika tiada najis maka
                                biarkan si anak beredar dari tandas.
                               
Peringatan!

Beberapa perkara harus diambil berat bagi memastikan misi kita berjaya kerana seperti yang diketahui melatih anak autisme dalam 'Toilet Training' bukan perkara mudah. Beringatlah bahawa :


                              a) Janganlah berharap mereka akan memberitahu kita bila keperluan
                                  mereka untuk ke tandas. Golongan ini tidak dapat membaca kehendak
                                  orang lain. Sebagai penjaga, maka tugas kitalah yang sepatutnya
                                  memperingatkan mereka dari masa ke masa tentang keperluan tersebut.

                              b) Jika hari pertama misi kurang berjaya, jangan sekali-kali berpatah balik
                                  dengan memakaikanya lampin pakaibuang, teruskan dengan 'training
                                  pants'. Ia boleh mengelirukan si anak tentang proses 'toilet training' dan
                                  tak secara langsung memanjangkan tempoh 'Toilet Training' si anak.

                              c)  Elakkan dari berada dalan situasi 'kecoh' apabila berlaku perkara di luar
                                   kawalan seperti terkencing/terberak di dalam seluar. Galakkan si anak
                                   membantu kita mencuci semula tempat yang telah tercemar (membina
                                   rasa tanggungjawab si anak). Jika terdapat najis yang tertinggal, maka
                                   masukkan ke dalam lubang tandas lalu diflush air (Supaya si anak faham,
                                   di mana tempat sepatutnya ia berada).
                                 
                              d)  Elakkan juga memandikan mereka serta merta setelah 'incident' terkencing/
                                   terberak kerana dikhuatiri ia dianggap ganjaran oleh mereka sebab kanak-
                                   kanak gemar bermain air.

                              e)  Bagi menyakinkan si anak agar selamat ketika menggunakan tandas,
                                   pastikan juga mangkuk tandas yang bersesuaian dengan si anak dengan
                                   mempunyai tempat pemegang dan tempat untuk meletakkan kakinya yang
                                   selesa mengikut keadaa fizikal/umur si anak.                                                        

                              f)  Memarahi mereka kerana kegagalan mengikut arahan semasa proses
                                   'Toilet Training', akan merangsang  si anak menahan diri dari membuang
                                   air besar dan akhirnya menjadi sembelit.

                                   Tanda-tanda sembelit :

                                   i) Mengadu sakit di bahagian dubur apabila hendak membuang
                                      air besar.
                                  ii) Sakit di bahagian perut.
                                 iii) Reaksi menahan-nahan sesuatu seperti menyilangkan kaki, berlari
                                      ke sana ke mari, enggan duduk di atas mangkuk tandas.
                                 iv) Terdapat calitan najis di seluar si anak.

                           
Kita boleh menarik nafas lega jika berjaya mengatasi cabaran ini. Yang istimewa juga mampu melakukannya, walau terpaksa mengharungi ujian yang lebih berliku jika dibandingkan dengan anak-anak tipikal. Jangan cepat mengalah kerana kita baru berada di awal perjalanan membesarkan anak istimewa. Perjalanan masih jauh dengan ujian yang lebih hebat pastinya akan ditempuhi di masa akan datang.....Semoga berjaya!


Syahmi  juga boleh!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...