اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, January 7, 2012

Apa Yang Menarik Tentang Kuala Kangsar....



Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar


Bila disebut Kuala Kangsar, ramai yang akan berkata bahawa 'Kuala Kangsar Bandar Di Raja'. Memang tidak dinafikan, buktinya bahawa sekian lama tersergamnya Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar dimana bersemayamnya Baginda Sultan Perak. Terdapat juga di sana hasil binaan lama masjid yang terindah di negara kita iaitu Masjid Ubudiah.


 Di bandar yang serba sederhana ini juga, banyak peristiwa bersejarah negara kita berlaku di sini seperti persidangan DURBAR di zaman penentangan raja-raja serta orang-orang Melayu amnya terhadap gagasan Malayan Union. Pokok getah yang pertama di negara kita juga ditanam di sini serta masih hidup dengan  subur hingga sekarang. Kalau hendak diukur saiznya bukan sepemeluk manusia, empat ke lima orang baru mencukupi untuk  menceritakan betapa besarnya saiz batang pokok getah tersebut.


Tok dan Opah semasa 2nd  honeymoon!


Bagi Syahmi pula, di Kuala Kangsar ingatannya hanya tertumpah pada insan- insan kesayangan yang tinggal di sana iaitu Tok dan Opahnya. Kedua mereka adalah anak jati Kuala Kangsar, menetap di Kampung Lubok Merbau kira-kira 5km saja dari Bandar Di Raja ini. Walaupun usia keduanya telah lanjut dimana Tok berusia 82 tahun sementara Opah 79 tahun, namun keduanya masih boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa cuma bila dah berusia ni, faham-faham aje lah. Sakit sana sini menyebabkan pergerakan serba -serbinya bertatih seperti anak kecil.


Keduanya tinggal di rumah dikelilingi haiwan peliharaan serta tanam-tanaman. Rumah di kampung sentiasa bersih dengan halaman dihiasi bunga-bungaan kesayangan Opah. Dusun durian di belakang rumah Tok, dengan pondok kecil tempat menunggu buah-buah duriannya gugur. Aah! bila lama dah tak balik ke kampung, memang rindu betul rasanya pada Tok dan Opah.


Rumah Tok di kampung...

Pemandangan luar rumah Tok di kampung...

Pondok kecil di dusun Tok (lebih dikenali sebagai dangau)


Sesuatu  yang tidak dapat dilupakan kalau kita sebut pasal Kuala Kangsar ialah makanan kegemaran penduduk di sini iaitu Laksa Kuala Kangsar. Kebiasaannya kalau adanya sambutan hariraya, lemang dan rendang serta  laksa menjadi jamuan kemestian di sini. Mungkin orang luar tidak dapat membezakan antara Laksa Penang dan Laksa Kuala Kangsar. Yang membezakannya adalah isi Laksa Kuala Kangsar yang diperbuat dari tepung gandum sementara Laksa Penang diperbuat dari tepung beras. Rasanya lebih lazat hingga menjilat pinggan. Tak percaya? Hehehe cubalah sekali!  Mudah terdapat di mana-mana sudut di sekitar Kuala Kangsar, di Kpg Talang lebih dikenali dengan Laksa Pak Ngahnya, di Kpg Kota Lama dengan Laksa Pokok Limaunya sementara di Kpg Lubok Merbau dengan Laksa Pak Omar.  Pelbagai nama pengusaha, namun rasanya tetap cun!


Laksa Kuala Kangsar

Selain dari itu, di Kuala Kangsar juga masih wujud bangunan-bangunan lama yang cantik lagi bersejarah, contohnya Muzium Di Raja Kuala Kangsar yang berdinding tepas dimana hasil binaannya tidak menggunakan walau sebilah paku. Rasanya macam tidak masuk akal, tapi itulah hakikatnya. Begitulah kepandaian orang dulu-dulu dimana jika tidak dipelihara maka akan lenyaplah ditelan arus pembangunan.


Istana lama yang  dijadikan muzium ini, telah menempatkan khazanah lama peninggalan Sultan Perak yang terdahulu Almarhum Sultan Idris berupa pakaian, alatan muzik dan sebagainya. Terdapat sebuah masjid yang mempunyai ciri -ciri binaan unik yang seakan-akan sama dengan Muzium Di Raja Perak ini iaitu Masjid Kpg Kuala Dal. Walaupun sebuah masjid baru telah dibina bersebelahanya untuk kegunaan jemaah setempat, masjid lama ini tetap dijaga dan menjadi bahan sejarah negeri.


Muzium Di Raja Perak
 
Masjid Kpg Kuala Dal
       
MCKK sebuah institusi pendidikan kemegahan negara yang terletak di  tengah-tengah Bandar Di Raja Kuala Kangsar. Ramai pemimpin negara masa kini  adalah penuntut kelahiran kolej ini.  Bukan calang-calang pelajar yang berkelayakan untuk diserapkan ke sini. Hanya yang terbaik di kalangan anak-anak Melayu yang berpeluang belajar di sini.  Bolehkah anak-anak istimewa autisme yang cemerlang dalam akademik untuk di tempatkan ke sini?


Tingginya angan-angan ibubapa untuk anak istimewa mereka? Saya juga tidak terkecuali sebab tiada yang mustahil jika usaha-usaha dilakukan.  Semoga kesedaran pihak yang berkenaan terhadap hak-hak golongan istimewa ini tidak dipandang sebelah mata kerana mereka juga berkebolehan jika diberi peluang. Bak kata pepatah Melayu " Jika tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya".


Malay College Kuala Kangsar

Bandar Di Raja Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai Kuale bagi masyarakat tempatan  adalah sebuah bandar yang  sederhana dalam segala hal, tidak sibuk, tidak terlalu moden, tidak terlalu ketinggalan tapi cukup untuk membuat hati kita tertawan dengan keramahan penduduknya yang bercakap dalam loghat Perak.


Orang luar kata AIR...orang Kuale kata AYOR, orang luar kata DURIAN ...orang Kuale kata DEROYAN. Begitulah loghat orang tempatan di Kuale. Walaupun Syahmi dilahirkan di Kuala Terengganu, Kuala Kangsar juga tetap di hati, Sayang Sarawak sungainya sempit, Sayang Kuale sungainya cantik! Jangan lupa ada satu lagi aset yang menarik lagi menghiburkan di Kuale.....Hantu Kak Limah sebab pengembaraannya dilakukan 100% di Kuale....hehehe


Hantu Kak Limah,  Enjit Enjit Semut....Siapa Sakit Naik Atas....

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...