اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, April 5, 2013

Rabun Warna (Colour Blindness)


Imej hitam putih!


Imej hitam putih seperti TV zaman 70an dulu... Biasanya inilah tanggapan orang ramai tentang rabun warna. Hakikatnya, rabun warna BUKAN bererti buta warna sepenuhnya. Golongan  ini hanya mempunyai persepsi terhadap sesuatu warna itu berbeza dan ketidakmampuan mengecam warna ini dipandang dari sudut biasa, baik satu warna ataupun seluruh warna.


Masalah ini selalunya dipandang remeh oleh masyarakat. Sukar mengesannya di peringkat awal usia. Kebanyakan kes rabun warna adalah disebabkan faktor keturunan. Ia lebih didominasi oleh kaum lelaki. Terdapat juga kes dimana rabun warna ini berlaku apabila telah dewasa disebabkan faktor penyakit.
                 
 


                   
                   
BAGAIMANAKAH TERJADINYA RABUN WARNA?


Lapisan retina yang terletak di belakang mata mempunyai 2 jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-duanya bertindakbalas balas dengan cara yang berbeza terhadap cahaya. Sel rod sangat sensitif terhadap cahaya walaupun di dalam cahaya yang malap. Tetapi sel ini tidak dapat membezakan warna. Inilah faktor yang menyebabkan kita hanya mendapat bayangan hitam, kelabu atau putih apabila di malam hari.


Manakala sel-sel kon pula, bertindak terhadap cahaya yang lebih terang dan berwarna. Terdapat 3 jenis sel kon dimana tiap satunya bertindak kepada warna merah, hijau dan biru. Seseorang yang mengalami rabun warna, akan mengalami kekurangan dalam salah satu  atau lebih antara sel-sel tersebut.  Walaupun demikian, tahap permasalahan tidak bersamaan antara seseorang individu dengan individu rabun warna yang lain.
                         

                         PUNCA RABUN WARNA


                         a. Faktor Genetik

                          Kebanyakan kes adalah disebabkan gen rabun warna yang diturunkan
                          daripada ibu kepada anak lelaki. Manakala wanita lebih bernasib
                          baik kerana mempunyai bahan baka yang  boleh mengatasi masalah ini.
                          Namun tahap permasalahan tidak berubah dengan peningkatan umur.

                          b. Penyakit

                          Samada disebabkan penyakit yang mengganggu fungsi retina manusia,
                          kencing manis, gangguan saraf optik yang menyebabkan kerengsaan
                          pada saraf, mahupun disebabkan pengambilan ubat-ubatan seperti
                          tamozifen yang diambil untuk mengelakkan kanser payu dara, serta
                          sesetengah ubat bagi penyakit artritis reumatoid.

                          c. Penuaan

                           Peningkatan umur akan menyebabkan individu hilang keupayaan untuk
                           mengekalkan tahap pengecaman warna.

                          d. Kekurangan Vitamin A

                           Kekurangan vitamin A juga dikatakan mendorong kepada masalah rabun
                           warna. Vitamin A boleh diperolehi dari sumber haiwan, sayuran dan
                           buah-buahan. Antara contohnya minyak ikan, keju, kangkung, bayam,
                           lobak merah dan sebagainya.


Ishihara Colour Blindness Test

Antara ujian yang dilakukan bagi permasalahan
 rabun warna
               

                          JENIS RABUN WARNA


                          Menurut dunia perubatan, rabun warna terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

                       
                          a. TRIKROMASI - berlaku apabila perubahan sensiviti warna dari satu jenis
                              atau lebih sel kon. Apabila terjadi kelemahan pada warna biru ia dinamakan
                              tritanomali (rabun warna yang paling biasa berlaku). Bila kelemahan jatuh
                              pada warna merah, ia dinamakan protranomali. Manakala bagi yang lemah
                              terhadap warna hijau ia dinamakan deutromali.

                           b. DIKROMASI - berlaku apabila satu dari 3 sel kon tiada. Apabila sel kon
                               yang sensitif terhadap warna merah tiada ia dinamakan sebagai protanopia.
                               Manakala apabila ketiadaan sel kon yang sensitif terhadap warna hijau,
                               dinamakan pula deuteranopia. Begitu juga apabila ketiadaan sel kon yang
                               sensitif kepada warna biru, maka dinamakan sebagai tripanopia.

                           c. MONOKROMASI - berlaku apabila kehilangan atau kurangnya semua
                               penglihatan warna sehingga yang kelihatan hanya warna hitam dan putih
                               pada warna typical dan sedikit warna pada jenis warna atypical.
                       


ANTARA PERMASALAHAN AKIBAT RABUN WARNA


Bagi kanak-kanak, apabila telah meningkat usianya ke 5 tahun, mereka yang mengalami rabun warna akan menghadapi masalah pembelajaran terutamanya dalam aktiviti mewarna, melukis juga apabila hendak mengendalikan komputer. Jika ada diantara mereka  yang masih belum dapat membezakan warna contohnya antara warna merah dan hijau, maka segeralah berjumpa doktor untuk pengesahan lanjut.


Bantulah golongan ini supaya mereka tidak berada di dalam dunianya tersendiri kerana tidak sedar bahawa warna yang dilihat sebenarnya tidak betul. Pengesanan awal dapat membantu mereka keluar dari kekeliruan terhadap warna. Contohnya ibubapa kena melabel warna sebenar pada pensel warna anak-anak supaya mereka dapat memilih warna yang betul ketika melakukan aktiviti mewarna.


Bagi yang dewasa pula, mereka akan berhadapan dengan masalah hendak memilih warna pakaian yang diperlukan. Begitu juga dengan kekeliruan fungsi lampu isyarat apabila memandu. Jangan putus asa kerana biasanya mereka yang mengalami rabun warna akan diajar mengikut susunan lampu isyarat bukannya menerusi warnanya. Namun masalah masih berlaku sekiranya memandu di waktu malam atau di dalam hujan lebat. Dapatkan surat pengesahan doktor bagi mengenalpasti tahap kerabunan warna bagi pertimbangan sewajarnya oleh pihak yang berwajib.


       Kiri (Normal)                Kanan (Rabun Warna)


Namun, di kalangan mereka yang mengalami rabun warna ini terdapat alat optikal yang disyorkan bagi membantu mengatasi masalah tersebut seperti  kanta sentuh khas dan cermin mata dengan penapis warna yang dapat meningkatkan tona warna lalu membezakan  warna-warna defek dengan lebih mudah.


Yang pasti, bukan semua pekerjaan dapat dilakukan oleh mereka yang rabun warna. Pendawaian, tugas-tugas di makmal kimia, ketenteraaan, kepolisan, pengendalian kenderaan komersial adalah antara bidang tugas yang tidak sesuai diceburi oleh golongan ini.
   

Warna dari sudut pandangan individu normal (kiri) berbeza dengan
 pandangan dari sudut mereka yang mengalamai rabun warna merah-hijau (kanan)


Tahukah anda bahawa pengasas facebook Mark Zuckerberg ialah lelaki tampan yang mengalami masalah rabun warna. Beliau hanya mampu melihat warna biru secara sempurna tetapi tidak dapat mengenalpasti warna merah dan hijau (menurut temubual dengan majalah Time). Disebabkan faktor tersebut , beliau memilih warna biru dan putih sebagai warna tema facebook yang menjadi rangkaian perhubungan paling diminati oleh  masyarakat di seluruh dunia.


Jadikan mereka yang telah berjaya sebagai pembakar semangat buat mereka yang mengalami masalah rabun warna dalam memajukan diri masing-masing......





                       

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...