اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, October 12, 2017

Hikmah PT3 2017


Hanya pada Mu Ya Allah....

ALHAMDULILLAH...tamat sudah PT3 2017. Kertas akhir Bahasa Arab 8.00am hingga 10.00am tadi. Kelihatannya raut muka Syahmi manis terpampang ketika keluar dari bilik peperiksaan. Mungkin berpuas hati menjawab soalan kertas Bahasa Arab yang merupakan subjek yang paling diminatinya.

Syukur sangat atas kurniaan-Nya, kesihatan si anak yang sangat baik sepanjang bulan-bulan terakhir menjelangnya peperiksaan, kelas-kelas tambahan yang bertali arus dan sebagainya. Sementara ibu juga diizinkan-Nya untuk  membimbing si anak hingga ke garisan penamat. Walau kekadang semput mengejar masa, ibu gagahi juga demi anak.

Berapa 'A' target dalam PT3? Semua manusia mahukan yang terbaik. Namun kita kena rasional, dan tahu keupayaan si anak. Ibu sedar, ibu kurang menumpukan kamu kepada subjek Sains, sebab ibu pun lemah dalam penguasaan subjek tersebut. Tercari-cari juga guru persendirian untuk mengajar Syahmi. Malangnya sampai ke sudah tak jumpa-jumpa gerangannya. Syahmi pun sibuk dengan kerja kursus IB yang bertali arus. Tiada masa untuk ke kelas tuition. Namun, ibu agak terkilan bila Syahmi mengadu Kertas Soalan Sains yang paling sukar untuk dijawab.


Bersembang dengan kawan-kawan sebelum memasuki
bilik peperiksaan

Terima sajalah apa yang mendatang. Kita telah berusaha sedaya upaya. Cuma, pengalaman menghadapi PT3 kali ini agak menyedihkan pada peringkat awalnya. Pengasingan CBK (Calon Berkeperluan Khas) dengan pelajar tipikal yang lain membuatkan Syahmi sedih. Ditambah pula dengan anxiety yang melanda ketika menghadapi peperiksaan besar seperti PT3. Menangis dia menghadapi situasi dirinya dipisahkan dari kawan-kawan.


Pelajar lain berada di dewan sekolah untuk menjawab kertas PT3

Manakala, inilah bilik yang dikhaskan untuk Syahmi ketika menjawab
soalan PT3 2017

Diiring Cikgu Raja Nordiana menuju ke kelas pengasingan untuk
menjawab kertas peperiksaan
Ibu sebenarnya sayu melihat situasi dimana Syahmi diiring oleh seorang guru untuk ke bilik pengasingan yang terletak agak jauh dari dewan sekolah. Berjurai-jurai airmata Syahmi disaksikan orang ramai termasuk ibubapa dan guru-guru. Tiap kali peperiksaan dimulakan,  peristiwa yang sama berulang, ramai ibubapa lain yang tertanya-tanya, "Kenapa budak tu diasingkan ke bilik peperiksaan lain? Demam ke?"

Sebenarnya ramai ibubapa yang tidak mengetahui bahawa wujudnya anak istimewa di Sek Men Keb Agama Sheikh Abdul Malek. Tercengang-cengang mereka apabila mengetahui kes terpencil seperti ini dimana seorang anak istimewa digandingkan belajar di sekolah aliran perdana. Syahmi seorang pelajar inklusif.

Namun hikmah dari kejadian ini, ramai yang buka mata terhadap anak istimewa ini. Ada yang bersalaman dengan Syahmi dan menyatakan rasa bangga kerana anak ini mampu berada di kalangan yang tipikal. Masih ada dalam masyarakat kita insan-insan yang prihatin terhadap anak-anak istimewa. Alhamdulillah....

Ibu bangga dengan kamu Syahmi. Bukan kerana 'A' yang diburu, tapi kerana kamu anak istimewa, istimewa dalam segala-galanya. Kekadang ibu tak nampak keistimewaan kamu di mana, lalu Allah tunjuk secara 'cash' di depan mata. Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah. Jadikan kami hamba-hamba yang sentiasa bersyukur atas kurniaan Mu....aamiin

Terimalah keputusan nanti dengan hati terbuka....inshaAllah





0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...