Pelbagai kategori Kelainan Upaya |
Tidak terlintas di fikiran saya si comel yang ketika itu berusia 5 tahun akan didaftarkan sebagai OKU (Orang Kelainan Upaya) akhirnya, setelah mendapat pengesahan doktor bahawa Syahmi mengalami Mild Autisme. Rasa gelap masa depan anak ini dengan label tersebut.
Mana tidaknya, OKU selalu menjadi bahan gurauan dan sindiran di kalangan masyarakat yang kurang sensitif dengan insan sekeliling yang kurang bernasib baik. Kekadang terhiris juga rasa di hati apabila gurauan teman-teman yang tanpa disengajakan singgah di telinga saya. Rasa nak kasi dushhhh sekali......pada insan-insan yang tak sayang mulut ni! Semoga Allah memberi kesedaran kepada mereka....amin.
Menurut laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat 7 Kategori yang dipertimbangkan untuk didaftarkan sebagai OKU di jabatan berkenaan. Antaranya ialah :
1. Masalah Pendengaran
2. Masalah Penglihatan
3. Masalah Pertuturan
4. Ketidakupayaan Fizikal
5. MASALAH PEMBELAJARAN
6. Masalah Mental
7. Pelbagai
Saya hanya ingin menyentuh tentang kategori ke 5. Masalah Pembelajaran dimana ia merujuk kepada masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal. Mereka yang tergolong dalam kategori ini adalah lewat perkembangan global, seperti insan-insan Down Syndrome, lembab dan kurang upaya intelektual. Ia juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu. seperti insan-insan Autisme (Autistic Spectrum Disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran specific seperti Dyslexia, Dyscalculia dan Dysgraphia.
Demi masa depan anak-anak istimewa kita, tindakan mendaftarkan mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai pemegang kad OKU merupakan langkah tepat walau jiwa kita ibubapanya rasa pedih dengan label tersebut. Jika Pendidikan Khas tempatnya, biarlah mereka yang berpengalaman untuk mengendalikan pembelajaran anak-anak istimewa di sekolah aliran tersebut yang memikul tanggungjawabnya. HARUS DIINGAT tanpa Kad OKU.....sekolah-sekolah kerajaan di negara kita tidak menerima penempatan murid-murid istimewa. Cuma apa yang harus dibawa semasa urusan pendaftaran di JKM hanyalah, 2 salinan surat beranak/kad pengenalan si anak, 3 keping gambar ukuran passport, surat pengesahan doktor kerajaan/swasta yg diiktiraf.....itu saja (kemungkinan berlaku sedikit perubahan di masa akan datang, sila pastikan dengan JKM terlebih dahulu).
Terdapat kemudahan-kemudahan yang ditawarkan kepada pemegang kad OKU. Antaranya elaun RM150 sebulan bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, kemudahan pelepasan cukai RM5000 kepada ibubapa yang mempunyai anak OKU, saluran khas bagi penempatan pelajar OKU ke IPTA tanpa perlu bersaing dengan kategori biasa, pengecualian bayaran rawatan perubatan di hospital kerajaan, pengecualian bayaran membuat MyKad juga passport antarabangsa. Pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta bagi para pemegang Kad OKU. Untuk maklumat lanjut sila layari ke laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Contoh kad OKU |
Berfikiran positiflah demi masa depan anak istimewa kita supaya hak-hak mereka di dalam masyarakat terbela. Perjalanan masih jauh.......semoga tiada lagi pandangan sinis masyarakat terhadap pemegang Kad OKU di masa akan datang.
1 comments:
Assalamualaikum..nak tya. Elaun RM150 tu drpd sekolah keh kbajikan? Elaun dr sekolah tu sama je keh dgn elaun dr Jkm?
Post a Comment