اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, May 7, 2014

Kem Teknik dan Kemahiran Menjawab Soalan UPSR 2014 - Angullia Beach House Resort



Angullia.....kami datang


Angullia, Syahmi datang buat pertama kalinya dengan harapan dia serta rakan-rakan dari SKSB II dapat menerima tips-tips dari guru-guru cemerlang sebagai bekalan bagi menduduki peperiksaan UPSR nanti. Kem Teknik dan Kemahiran Menjawab Soalan UPSR 2014 telah diadakan di Dewan Vohras, Angullia Beach House Resort, Seberang Marang, Terengganu pada 5hb-6hb Mei 2014 yang lalu.


Sampainya kami di sana kira-kira jam 8.00am, suasana sangat tenang. Bersesuailah keadaannya dengan penghuni yang kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar sekolah yang akan menghadiri seminar. Beberapa buah dewan tersedia untuk bilangan peserta kira-kira 100 orang tiap satunya. Kemudahan penginapan yang sederhana, suasana tepi pantai betul-betul berhadapan dengan Pulau Kapas. Rumah-rumah comel didirikan dengan kadar bayaran yang sangat berpatutan.


Penginapan berupa rumah-rumah comel yang didirikan
di tepi pantai
Vohras Hall, disinilah Syahmi mendapatkan ilmu
dari pagi, petang hingga ke malamnya

Syahmi ditempatkan bersama  7 orang lagi rakan-rakannya dalam sebuah bilik besar bernombor A-14. Mandi bergilir-gilir, masing-masing sibuk mengejar masa bagi menepati jadual yang padat.  Syahmi, Muhaimin, Uwais, Ammar, Hazwan, Syed, Amin, Haziq, Nawwar dan Mustakim kesemuanya 8 orang. Sukanya mereka dapat bersama walaupun hanya untuk beberapa ketika.



Dari kiri, Haziq, Syahmi, Muhaimin, Irfan dan Ammar - BFF

Mendengar taklimat, mengaut tips-tips menjawab soalan peperiksaan dengan lebih berkesan, beriadah, bersolat bersama-sama telah merapatkan lagi hubungan anak-anak ini. Tahun depan belum pasti lagi ke mana arah tujuan masing-masing. Semoga detik-detik sebegini menjadi kenangan manis dan terpahat dalam lipatan kenangan mereka.


Kem menjawab soalan Matematik.......sebelah malamnya

Akhirnya terbabas jua.....Syahmi tertidur dek kerana keletihan bila jam telah
melewati 10.00pm....


Rakan-rakan tipikalnya amat membantu Syahmi dalam menguruskan diri semasa di sana. Syahmi gembira bersembang dengan teman dan sesekali kedengaran hilai tawanya yang besar dari orang lain. Bertahun mereka bersama, seolah-olah teman di sekelilingnya amat memahami kekurangan yang ada pada sahabat yang ini dalam perhubungan sosial.


Senaman pagi.....

Aktiviti riadah dengan berjalan kaki menyusuri pantai.....


Menyertai kem-kem seumpama ini dapat membantu Syahmi hidup berdikari. Mengambil contoh teman-teman tipikal lain yang jauh lebih matang jika dibandingkan dengannya dalam hubungan sosial. 'Sosial Story' telah berkali-kali singgah di telinganya oleh ibu sebelum bertolak ke Angullia Beach House Resort lagi. Nampaknya dia berjaya menguruskan diri dengan baik semasa di sana. Cuma Syahmi agak kurang senang apabila berhadapan dengan makanan yang bukan kegemarannya.


Mengemas sendiri segala keperluan ketika hendak balik.....
alhamdulillah tiada barang keperluan yang tertinggal

Wajah gembira untuk balik ke rumah.....

Semoga kem-kem seperti ini dapat diadakan lagi oleh pihak sekolah bagi mencungkil kecemerlangan dan potensi diri anak-anak didik. Bagi Syahmi, tiada yang lebih bermakna selain dari peluang untuk mempersiapkan diri menghadapi dunia luar yang sangat mencabar. Mungkin di awal-awal pendedahan, banyak masalah yang dihadapinya, tapi jika pendedahan demi pendedahan diberikan, pasti Syahmi juga dapat belajar dari pengalaman.


Terima kasih pada semua guru yang terlibat mengawasi murid-murid juga guru sekolah dan guru jemputan yang mencurahkan segala ilmu dengan seikhlasnya . Tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang program ini berlangsung. Dengan izin-Nya jua segalanya berjalan dengan lancar....alhamdulillah.
               

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...