A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, December 31, 2014

Selamat Tinggal 2014....





Beberapa jam sahaja lagi, 2015 menjengah. Tahun 2014 ditinggalkan dengan penuh kenangan buat kita semua. Masing-masing ada cerita sendiri. Yang pasti, umur semakin meningkat, khudrat semakin berkurang. Itulah hakikatnya sebuah kehidupan.


Si anak telah mencapai sebahagian matlamatnya dalam pembelajaran di sekolah rendah setelah 7 tahun menuntut ilmu di sana. Walaupun penat 'berlari' bersamanya demi sebuah kejayaan, tapi si ibu tetap berasa puas. Banyak kali tersungkur, namun kami 'bangun' semula meneruskan perjuangan.


Halangan tetap ada, namun 'keajaiban' juga datang tanpa diduga. Kekecewaan dan kegembiraan, bertukar ganti. Yang diamanahkan tugas, buat-buat lupa tentang tanggungjawabnya. Tapi Allah maha mengetahui, dibuka hati insan lain berhati mulia yang datang tanpa disangka-sangka. Membantu tanpa mengharapkan balasan.


Biasalah manusia, bila berjaya ramai yang 'mengaku' hasil air tangannya. Berebut nak dapat publisiti, berebut nak masuk TV.....hehehe. Kini di akhir-akhir 2014, si ibu masih termenung di atas tangga. Mengenang nasib si anak di masa depannya. Mampukah kami sama-sama 'berlari' seiring seperti dulu. Menempuh duri ranjau ciptaan manusia.


Sesungguhnya, tawa si ibu menyembunyikan sejuta rahsia. Sedangkan si penyu juga menangis tiada siapa yang tahu. Biar ku pendam saja. Kenangkan pada insan lain yang lebih menderita. Doa yang baik-baik belaka. Buat si anak, semoga hidup mu sentiasa dilindungi dan diberkati-Nya selalu. Selagi ibu ada, akan ku pastikan kau terbela....aamiin



Penyu Menangis Siapa Yang Tahu.....




Ke Mana Arah Tuju Kamu Nanti....


Jom Ke Sekolah....

2015 makin dekat, ke mana arah tuju persekolahan kamu nanti? 5A telah digenggam, Kafa 8A, Ujian bertulis kemasukan ke sekolah-sekolah agama negeri juga dengan markah 96. Saya tidak membuat permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh untuk anak istimewa saya kerana saya tahu dia belum berkemampuan untuk berdikari sebagaimana anak-anak tipikal yang lain. Saya hanya memohon kemasukan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Kawalan di Terengganu.


Zaman sekarang ibubapa kena celik IT. Segala permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Kawalan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Kelas Rancangan Khas, semuanya diisi secara online. Tanpa pengetahuan tersebut, anak kita pasti akan ketinggalan. Setelah disemak keputusannya baru-baru ini, menyatakan Muhammad Syahmi Asyraff , No Angka Giliran : TA0671049 TIDAK BERJAYA memasuki samada Sekolah Kawalan, Kelas Rancangan Khas juga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama.


Ujian datang lagi! Digagahi juga kaki menuju ke JPN untuk mendapatkan borang rayuan. Entah di mana silap agaknya, permohonan kami untuk menempatkan si anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama tidak diterima. Begitu juga sekolah-sekolah kawalan yang lain. Dimaklumkan juga, 2 orang pelajar berkeperluan khas yang lain juga gagal dalam permohonan yang sama. Namun pihak JPN Terengganu sedang berusaha untuk membantu insan-insan istimewa ini.


Namun saya masih tertanya-tanya, DIMANAKAH SILAPNYA? Adakah si pemegang amanah terlupa menjalankan amanahnya, atau adakah ibubapanya yang terleka di mana-mana, atau hanya kerana faktor kekhilafan antara kita yang hanya manusia biasa.....




Saturday, December 20, 2014

Kegunaan 'Weighted Blanket'...





'Weighted blanket' sesuai untuk mereka yang mengalami gangguan sensory dan mempunyai tenaga lebih dari biasa, seperti anak-anak ADHD umpamanya. Selimut ini biasanya lebih berat dari selimut biasa dan purata beratnya lebihkurang 4 -25 paun (1.81kg - 11.33kg). Disyorkan beratnya yang lebih spesifik iaitu 10% dari berat si penggunanya ditambah dengan 1paun (0.453kg). Jalan paling selamat, dapatkan nasihat Terapist Cara Kerja/Physical dalam menentukan berat 'weighted blanket' yang paling ideal untuk seseorang indivdu.


'Weighted Blanket' 

Fungsinya dapat memberikan tekanan dan input sensory kepada mereka yang mengalami autisme mahupun gangguan lain yang seumpamanya. Mereka menjadi lebih tenang kerana dikatakan tekanan dari berat selimut tersebut sebagai input proprioceptive (informasi dalaman manusia) ke otak lalu menggalakkan pengeluaran hormon seratonin iaitu bahan kimia yang memberi mood menenangkan kepada seseorang. Idea ini sebenarnya bersamaan dengan fungsi 'Squeeze Machine' ciptaan Dr Temple Grandin.


'Squeeze Machine' dalam movie Temple Grandin

Menurut kajiannya juga, 'weighted blanket' ini  sesuai untuk kegunaan golongan dewasa yang mengalami masalah trauma, insomnia, anxiety serta penyakit kronik yang lain. Namun penggunaan di kalangan kanak-kanak mahupun yang dewasa, haruslah menyelimuti hanya bahagian badan si pengguna, TIDAK dinasihatkan untuk menutupi bahagian muka dan kepala.


Antara proses untuk menghasilkan sehelai 'weighted blanket'
- kampit-kampit kecil kekacang/beras disusun

Pilihlah 'weighted blanket' yang bersesuaian seperti pemilihan fabrik terbaik, kain cotton umpamanya. Elakkan penggunaan bahan sintetik atau bahan-bahan yang berhabuk  kerana kanak-kanak suka memasukkan bahagian-bahagian/sudut-sudut tertentu selimut kesayangan mereka ke dalam mulut. Pasir sungai yang halus, beras yang betul-betul kering, jenis kekacang dikira lebih sesuai sebagai bahan pemberat. Pastikan ia mempunyai berat yang bersesuaian bagi memastikan penggunanya dapat bergerak bebas dan selesa.


Semoga mereka dapat menikmati ketenangan...


Tidurlah wahai permaisuri....


Wednesday, December 17, 2014

Rett Syndrome...



Dr Andreas Rett (1924-1997)
Physician
PENGENALAN


Rett Syndrome diambil dari nama seorang Physician Austria, Dr Andreas Rett (1924-1997). Beliau pakar perubatan pertama menerangkan tentang gangguan genetik ini menerusi jurnal sekitar tahun 1966. Masalah ini berlaku kebanyakannya di kalangan kanak-kanak perempuan iaitu (1 : 10,000 -15,000) sementara hanya kes-kes terpencil sahaja ditemui di kalangan anak lelaki.

Merupakan gangguan neurologi yang memberi kesan terhadap jaringan kelabu (grey matter) di otak lalu mewujudkan ketidaknormalan  perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak terbabit.


SIMPTOM YANG BIASA DIKESAN :


DI AWAL USIA  (6 - 18 bulan) :

a. Keterlambatan perkembangan (Global Development Delay)
b. Kesukaran ketika makan
c. Tidak berminat dengan permainan
d. Lemah dalam berkoordinasi
e. Mengulang-ulang samada menepuk tangan atau 'menguyupkan'
    tangan, meramas-ramas, memasukkan tangan ke mulut (warning hand)

 
'Warning Hand'


FASA KE DUA (usia 1-4 tahun) :

a. Bermasalah dalam berkomunikasi serta pembelajaran
b. Kesukaran mengawal perbuatan mengulang-ulang pergerakan tangan
c. Cepat marah, menjerit
d. Eye-contact lemah dan tidak berminat dengan orang lain
e. Kadar pernafasan bertambah atau berkurang
f.  Masalah tidur
g. Saiz kepala mengecil (microcephaly)
h. Kesukaran menelan atau mengunyah
i.  Sakit perut dan sembelit


Microcephaly
                         

FASA KE TIGA (usia 2-10 tahun)

a. Hypotonia (floppy limb), kesukaran berjalan
b. Kesukaran menggunakan tangan untuk melakukan aktiviti
c. Pergerakan tangan berulang-ulang
d. Perlakuan mengisar gigi (bruxism)
e. Sawan
f. Pergerakan lidah yang luarbiasa
g. Degupan jantung yang tidak sekata ( Arrhythmia)


Mengisar gigi (Bruxism)


FASA KE EMPAT (usia yang seterusnya)

a. Scoliosis (tulang belakang membengkok)
b. Kaku terutamanya di kaki
c. Ketidakupayaan untuk berjalan

Struktur tulang belakang bagi mereka yang
mengalami Scoliosis


DIAGNOSE DAN RAWATAN

Melalui pemerhatian dari simptom-simptom yang ditunjukkan juga analisis genetik dan 'karyotype' dapat mengesan gangguan ini. Sebahagian besar dari simptom-simptom yang ada seakan-akan sama dengan mereka yang mengalami autisme, cerebral pulsy dan masalah genetik yang lain.

Tiada lagi kajian yang menunjukkan Rett Syndrome dapat disembuhkan hingga setakat ini. Rawatan diperlukan tertumpu bagi membantu mereka dalam berkomunkasi serta memantapkan pergerakan. Kebanyakan mereka memerlukan bantuan dan penjagaan sepanjang hayat.


Braces ....membantu mereka yang mengalami Scoliosis

Kombinasi professional dalam beberapa kepakaran amat diperlukan untuk membantu mereka seperti Terapist Cara Kerja, Terapist Pertuturan, Alternatif Terapi (hydroteraphy, yoga, acupuncture), Pakar Nutrisi juga medikasi yang tertentu seperti mengawal sembelit, sawan dll. Peralatan tertentu kadang kala diperlukan umpamanya braces bagi membantu mereka yang mengalami scoliosis.


PENUTUP

Tidak hairanlah jika gangguan ini sering tersilap diagnose sebagai autisme kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir menyamai antara satu sama lain. Fakta yang harus diketahui bahawa bayi lelaki yang mengalami mutasi Rett Syndrome, maka keadaan menjadi lebih serius dan biasanya bayi mengalami risiko kematian selepas kelahiran.


Thursday, December 11, 2014

Tiada Yang Luarbiasa...



Arjuna Hamba....Muhammad Syahmi Asyraff

Ramai juga yang bertanya bagaimana mendidik anak autisme hingga berjaya seperti Syahmi?Alhamdulillah..... jika ramai yang kata Syahmi autisme yang berjaya kerana kata-kata +ve sahabat-sahabat di luar sana juga merupakan doa buat anak saya. Semoga anak saya benar-benar menjadi insan berjaya suatu masa nanti...InshaAllah.


Sebenarnya Syahmi didiagnose sebagai Mild Autisme. Mengalami kelewatan dalam pertuturan, menghadapi masalah sensory terhadap bunyi yang melampau, objek-objek yang bersaiz luarbiasa, mengalami hypotonia (low muscle tone), anxiety, eye contact yang kurang menyakinkan serta pergaulan sosial yang amat terbatas. Namun, Syahmi bukanlah tergolong dalam genius autisme.  Dia mempunyai keupayaan intelektual sederhana. Kelebihan dia sebenarnya lebih kepada fokus terhadap sesuatu yang digemarinya serta memory yang menakjubkan.


Harus diingat juga bahawa di kalangan mereka yang disahkan mengalami autisme, beberapa peratus darinya tidak mengalami masalah gangguan intelektual. Kebolehan mereka dalam pembelajaran sama seperti keupayaan mereka yang tipikal walaupun mereka masih terikat dengan masalah-masalah lain seperti pergaulan sosial dan sebagainya. Namun pendekatan dalam pengajaran mungkin sedikit berbeza kerana mereka lebih kepada pembelajaran yang berbentuk visual.


PIBG sebagai saluran untuk kita berhubung rapat dengan guru-guru
juga ibubapa yang lain

Ibu Syahmi seorang surirumah sepenuh masa. Mempunyai masa untuk mengekori setiap aktiviti Syahmi. Ibu juga AJK PIBG sekolah aliran perdana juga PIBG PPKIBP. Tujuannya untuk mengeratkan sillaturrahim dengan guru-guru juga ibubapa yang lain. Kekadang wujud rasa kurang senang/kurang faham warga sekolah dengan kekerapan  ibu berada di sekolah. Sebagai ibubapa, kita harus membezakan kehadiran kita ke sekolah sebagai 'bantuan' atau pun 'gangguan' kepada pihak sekolah.


UPSR 2014.....beberapa hari ibu memperuntukkan masa supaya
sentiasa ada di sekolah bersama-sama ibubapa lain mendoakan agar
 anak-anak tenang menjawab kertas-kertas peperiksaan
Menghadirkan diri di Majlis Temu Murni murid Tahun 6 (2014)

Perkhemahan Pulau Redang....ibu juga turut sama bagi
 membantu si anak yang berhadapan dengan masalah sensori serta sosialnya

Majlis Tilawah ...setiap tahun (2012,2013, 2014) ibu sentiasa ada untuk membantu
mengawal emosi si anak baik di peringkat daerah mahupun
di peringkat negeri
Merentas Desa 2012 dan 2014.....lihatlah di depan sana kelihatan seorang  ibu yang dikategorikan
 obesiti dengan umur yang menjangkau 48 tahun tapi tetap gagah
 mengiringi anaknya dari mula hingga akhir acara. Perjalanan
sejauh 4 km dilalui bagi memberi sokongan pada si anak
       
Bercakap tentang hal ehwal akademik, ibu akan memastikan kerja sekolahnya disiapkan setiap hari, memastikan juga surat menyurat pihak sekolah untuk tindakan ibubapa diambil perhatian, luahan hati si anak didengari. Jika ada yang membuli, silalah diselesaikan secepat mungkin, berbincang dengan guru atau berbincang dengan si pembuli secara baik.


Jam 10.00pm waktu si anak balik dari kelas tambahan.....ibu sentiasa
 ada menunggu di kawasan sekolah walau kecut perut berseorangan di perjalanan

Pergi dan balik dari sekolah kena on time. Ke kelas tambahan sebelah malam, membuatkan ibu kecut perut kerana laluan gelap berisiko untuk bertemu dengan manusia durjana! Pernah juga tiba-tiba belakang kereta di ketuk dengan kaki payung oleh orang kurang siuman yang lalu lalang di situ. Sabar ajelah....Syahmi juga dimasukkan ke kelas tuition swasta selama beberapa bulan. Alhamdulillah, dia diterima baik oleh guru-guru di sana. Cuma Syahmi tidak mesra pada air cond yang kuat dalam kelas tersebut. Sering mengadu sakit kepala apabila separuh jalan kelas berlangsung (kelas selama 3 jam).


Di awal-awal 2014, ibu amat bimbang dengan prestasi Syahmi bagi subjek Bahasa Melayu (2), Kertas Kefahaman. Semenjak di Tahun 4 lagi, dia jarang-jarang sekali memperolehi A dalam subjek ini. Dia boleh menjawab bahagian kefahaman dengan baik tapi dia amat terkebelakang apabila berhadapan dengan perbendaharaan kata, penanda wacana, bahasa istana, simpulan bahasa juga peribahasa. Kurang membaca, kurang berbual dengan rakan sekeliling menyebabkan dia bermasalah di bahagian ini.


Apa yang dilakukan, setiap hari ibu akan memperkenalkannya sekurang-kurangnya 1 perkataan baru pada si anak. Kalau dua/tiga lagi bagus. Kalau selama sepuluh bulan, dah berapa jumlahnya? Begitu juga dengan peribahasa dan simpulan bahasa. Ibu akan mengepit buku walau ke mana-mana, kedai makan, jalan-jalan ke mana-mana dengan tujuan untuk memastikan ada ilmu yang akan masuk walau sedikit. Kalau ibu lupa, Syahmi yang akan ingatkan ibunya, "Ibu ada bawak buku?" katanya.


Trial UPSR : Syahmi telah mula menunjukkan kemampuan....
keputusannya 5A

Berjalan-jalan ke mana-mana pun merupakan ilmu buatnya. Apa yang dilihat di persekitaran merupakan visual terbaik buat si anak melihat secara langsung. Cuma kita kena rajin melayan si anak berbual walaupun topic yang diminatinya, pelik, di luar dari kebiasaan mereka yang sebaya dengannya..
     

 Ibu juga membina post-post tertentu ke dalam blog bagi meluaskan kefahaman si anak terhadap sudut-sudut yang menjadi kelemahannya dalam menjawab Bahasa Melayu Kertas 2. Berkongsi pengetahuan dengan kawan-kawan sekolahnya melalui post-post UPSR dalam AUTISM A GIFT FROM HEAVEN sambil memperkenalkan autisme kepada mereka. Umpama sambil menyelam, minum air....


Autism A Gift From Heaven :  UPSR Kata Kerja Hampir Sama Maksudnya

Ibu tidak begitu khuatir dengan subjek-subjek yang lain kerana Syahmi mampu menerima pengajaran dari guru-guru di sekolah juga pemantauan ibu di rumah. Dia mudah mengingati dan memahami sesuatu pelajaran terutamanya yang sealiran dengan minatnya seperti subjek Sains, Matematik, Bahasa Inggeris serta Pendidikan Islam.


Setinggi-tinggi penghargaan pada guru-guru yang mengajarnya, kerjasama mereka dalam membantu anak ini amat saya hargai. Cikgu Norliza, Cikgu Fatimah, Cikgu Zabedah dan Sir Wahab...jasa tuan/puan hanya Allah yang dapat membalasnya. Cikgu Rosma Jasni selaku Guru Pendamping selama Syahmi belajar di Sek Keb Seri Budiman II, tiada perkataan yang dapat digambarkan rasa terima kasih ibu atas hubungan selama bertahun-tahun. Beliau bukan sahaja guru, beliau juga menjadi 'bahu' tempat ibu meluahkan resah gundahnya. Gembira bersama, susah senang sama dirasa.


Terima kasih cikgu-cikgu semua....

Guru Pendampingnya (Guru Penddikan Khas)...
Cikgu Rosma Jasni

Pihak sekolah juga berperanan besar dalam membentuk kerohanian pelajar-pelajar termasuk Syahmi. Awal-awal pagi sekitar 7.20am, semua pelajar Tahun 6 telah berkumpul di surau sekolah untuk bacaan Yasin kemudian disusuli dengan solat sunat hajat dan diakhiri dengan solat sunat dhuha setiap hari (kecuali hari perhimpunan diadakan). Rutin ini dilakukan dari bulan Januari hinggalah sesi persekolahan ditutup pada bulan November yang lalu. Program yang seumpamanya telah membentuk Syahmi dalam menghafaz Surah Yasin dengan baik serta memberi keyakinan untuk Syahmi mengimamkan solat juga.


Pelajar juga guru-guru keluar dari surau setelah selesai bacaan Yasin,
solat sunat hajat juga solat sunat dhuha
       
Doa dari semua guru-guru, ibubapa mengiringi murid-murid sebelum
 masuk ke bilik peperiksaan

Kejayaan Syahmi Calon Berkeperluan Khas (CBK) dan rakan-rakannya dirai
dengan cara yang luarbiasa, dengan lensa kamera dari media
 ternama negara termasuk RTM dan TV3

Ibu tidak menganggap Syahmi autisme yang berjaya, cuma ibu bersyukur atas pencapaiannya hingga kini. Syahmi amat bernasib baik jika dibandingkan dengan saudara-saudara autismenya di luar sana dengan keadaan yang severe dan sebagainya.  Memperolehi keputusan 5A dalam UPSR yang lalu, merupakan kemuncak kejayaan  persekolahannya di peringkat rendah. Masih jauh lagi perjalanan anak ini. Masih banyak lagi sudut-sudut tertentu yang perlu diperbaiki.


Ibu udah lali dengan salahfaham masyarakat terhadap insan sepertinya. Ibu tahu ramai yang kurang senang apabila ibu sering berbicara tentang autisme. Tapi ibu tidak akan jemu untuk memberi kefahaman pada mereka walau sering dipandang sebelah mata. Biarlah apa orang nak kata, ibu peduli apa?
          

Sunday, December 7, 2014

'Hero' Yang Didendang



Muhammad Syahmi Asyraff
         
Seminggu Syahmi umpama selebriti di kalangan mereka yang mempunyai anak-anak syurga terutamanya. Ke tempat-tempat awam, ada yang perasan kehadiran anak ini. Ke hospital menemani abangnya mendapat rawatan susulan dari pembedahan juga ada yang menegurnya di sana, ke tempat membeli belah pun sama. Semuanya kerana bahang dari keputusan UPSR yang lalu. Mungkin kerana kenyataannya yang bercita-cita untuk menjadi 'angkasawan' di TV3 telah menarik minat orang ramai agaknya.


Katanya "Cita-cita saya nak jadi angkasawan....tapi tak pasti lagi".....

5A dalam UPSR, bukan bermakna dia budak bijak. Ramai lagi yang memperoleh keputusan yang sama malah lebih cemerlang dari Syahmi. Cuma 'hero' yang ini didendangkan di media masa, disebabkan statusnya seorang calon CBK (Calon Berkeperluan Khas). Kejayaan CBK mungkin berlaku hanya sekali sekala, maka mereka akan diberi perhatian serta  penghargaan yang lebih dibanding dengan calon-calon biasa.


Terdapat juga beberapa anak autisme yang memperolehi 5A, namun mereka tidak berdaftar sebagai CBK. Masih saya ingat suatu ketika dimana 'orang kuat' JPN Terengganu (Pendidikan Khas) yang mengingatkan saya kelebihan seseorang calon yang berdaftar sebagai CBK.


Syukur, alhamdulillah....bukan mahukan nama. Cuma rasa teruja apabila seorang CBK diberi penghargaan yang sedemikian rupa. Semoga Syahmi akan meneruskan kecemerlangan di peringkat menengah pula. Ibu dan ayah akan sentiasa memberi dorongan selagi diizinkan-Nya....
         

Friday, December 5, 2014

Dingin Hingga Ke Tulang



Saya ingin membuat pembetulan terhadap post yang sebelumnya. Kunjungan YAB MB Terengganu ke rumah saya dibatalkan di saat akhir. Lokasi baru diputuskan dimana ia dilangsungkan  di Pejabat YAB MB sendiri, Tingkat 16, Wisma Darul Iman pada tarikh yang sama iaitu 3hb Dec 2014.


Press conference dibuat bagi menghargai kecemerlangan anak Pendidikan Khas yang berjaya memperolehi 5A dalam UPSR yang lalu serta penghargaan kerajaan negeri terhadap pencapaian membanggakan keputusan UPSR negeri Terengganu di peringkat kebangsaan.


Syahmi di Wisma Darul Iman

Beberapa jam menunggu ketibaan YAB MB Terengganu, kesempatan untuk kita berkenalan dengan orang kanan Jabatan Pendidikan Negeri, Pengarah, Ketua-Ketua Sektor dan lain-lainnya. Exco Pendidikan Negeri juga hadir, bermesra antara satu sama lain dengan gembiranya. Mereka juga manusia biasa, bersenda gurau, hilai tawa membuang sementara 'sempadan' yang ada. Cuma kita yang menumpang di majlis-majlis seumpamanya terasa kerdil mentelah pula suasana bilik mesyuarat yang dingin hingga ke tulang.


Tepat jam 4.15pm, YAB MB Terengganu masuk dengan senyuman 'kepuasan' memandangkan hasil usaha anak-anak buah di setiap peringkat hingga membuahkan hasil yang melapangkan dada. Alhamdulillah.....kita berbangga juga sebenarnya mempunyai seorang Menteri Besar yang ambil berat soal pendidikan rakyatnya.


Dua Calon Keperluan Khas (CBK) yang diraikan...
Muhammad Syahmi Asyraff dari Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu serta
Muhammad Fakhruddin bin Abdul Razak dari Sek Keb Sungai Lerek, Setiu.

Sidang media sedang berlangsung......Syahmi duduk bersebelahan dengan MB
cayalah. Syahmi

Sekali-sekali YAB MB akan bertanya itu dan ini kepada kedua-dua (CBK)
yang memperolehi keputusan 5A

Peluang berbual dengan YAB MB Terengganu

Memperolehi  hadiah berupa wangtunai RM1000 , beg sekolah
Converse serta peluang untuk bertemu dengan Saintis
 NASA yang akan diaturkan kemudian 
Autograph dari YAB MB Terengganu

Makan semeja dengan beliau bersama ahli keluarga......

Kejayaan tidak datang bergolek, usaha harus dilakukan oleh semua pihak terutamanya ibubapa bagi membantu anak istimewa kita. Bangunlah semua, bukakan mata, berilah peluang pada golongan ini kerana mereka juga berkemampuan jika mendapat sokongan semua peringkat.


Namun, kita harus ingat bahawa tidak semua autisme yang mempunyai kebolehan intelektual. Pada ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme yang severe terutamanya, pengorbanan kalian memelihara insan yang telah dijanjikan syurga itu seolah-olah mengheret kalian bersama ke pintu syurga. InshaAllah,  mereka akan memimpin kalian ke sana yang kekal abadi. Bertabahlah ibubapanya, mereka merupakan amanah dari-Nya, sementara hayat kita masih ada....

   
Perjalanan masih jauh buat mu anak ku....Syahmi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...