اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, June 6, 2016

Diyana Jiran Kami...


Diyana (kanan) bersama ibunya

Kami baru berpindah rumah kira-kira 3 bulan. Alhamdulillah, kami telah dikurniakan jiran sebelah menyebelah yang baik. Diyana gadis istimewa anak jiran kami. Diyana berusia 30 tahun. Tinggi lampai, kulit cantik, putih lagi bersih. Makan pakai terurus. Diyana lahir dalam keluarga yang berpelajaran.

Diyana generasi 80an. 30 tahun dulu tiada support group, tidak ada kemudahan di alam maya untuk untuk mendapatkan maklumat tentang pendidikan anak istimewa. Ke sana ke mari ibubapanya berjumpa pakar dari hospital ke hospital. Namun, mereka juga masih cetek dalam cabang ilmu ini. Akhirnya Diyana dikategorikan di bawah OKU Bermasalah Mental.

Dulu dikhabarkan Diyana mengalami lewat perkembangan. Usia 5 tahun baru boleh berjalan. Namun berkat usaha gigih ibubapanya, Diyana boleh membaca ketika usianya 7 tahun. Diyana juga boleh menguruskan dirinya seperti ke tandas, mandi dan boleh juga memakai pakaian sendiri. Begitulah kehebatan ibubapa Diyana. Walaupun sumber maklumat amat terhad ketika itu, namun masih mampu mengambil langkah positif demi masa depan Diyana. Diyana juga pernah dimasukkan ke sekolah kanak-kanak istimewa.


Diyana kini telah dewasa

Diyana kini berusia 30 tahun. Tidak banyak bercakap, pendiam. Namun, sesekali berbicara secara ekolalia. 3-4 patah perkataan mampu digunakannya. Kedengaran seperti berbisik disebabkan kecederaan pada peti suaranya ketika pembedahan di waktu kecilnya. Kerap memerhati percakapan mereka di persekitarannya. Sesekali dia akan tersenyum, tanda dia memahami apa yang sedang dipertuturkan. Mampu ke sana ke mari, berjalan-jalan sambil ditemani ibu. Dikhabarkan juga Diyana mengalami masalah Scoliosis. Oleh sebab itu, Diyana sering mengadu keletihan bila berjalan-jalan.

Kelmarin kami 2 keluarga berjiran, berjalan-jalan sekitar tempat-tempat menarik di Terengganu. Termasuklah ke destinasi di Tasik Kenyir. Tersintak saya apabila sesekali Diyana berlari-lari dan memusing-musingkan badannya beberapa kali tanda kegembiraan. Bertambah yakin saya Diyana juga sebenarnya mengalami simptom-simptom autisme seperti  ekolalia dan scoliosis bagi sesetengah anak perempuan yang mengalami Rett Syndrome.

Pengetahuan yang saya ada hanyalah sejengkal. Tiada daya, tiada upaya dan tiada 'authority' untuk mengenalpasti secara tepat. Diyana pun telah dewasa. Punya ibu dan ayah juga adik beradik yang menyayanginya. Namun di hati kecil saya, lebih 'berat' menyatakan bahawa Diyana berada dalam kategori autisme. Atau pun memang hakikatnya anak-anak bermasalah pembelajaran ini mempunyai simptom-simptom yang hampir sama?

Siapa pun kamu Diyana, kami tetap rasa bersyukur kerana dipertemukan dengan jiran yang juga mempunyai anak istimewa. Bila dah 'sekasut', hubungan kejiranan kami menjadi lebih erat. Sesekali airmata kami bergenang jua apabila menyaksikan anak-anak istimewa kami yang remaja dan dewasa dengan keletah masing-masing.

Indahnya dunia mereka...'dunia tanpa dosa'. Cuma di mata masyarakat, seringkali mereka dipandang sebelah mata. Biarkan mereka, kerana pengakhiran kita hanya dinilai dari sudut pandangan DIA yang di atas sana. Wallahualam..










0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...