A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, June 20, 2016

Makan Dedak!



Ramai yang berbicara tentang dedak. Kecil, besar, tua, muda semua menggunakan perkataan ini untuk menggambarkan 'kebodohan' seseorang diumpamakan seperti binatang yang me'makan dedak'. Ingin ditekan di sini, manusia tidak makan dedak.

Perkataan dedak amat popular di media sosial kini, dalam konteks sebagai bahasa kiasan, bermaksud mengejek/memperlekeh pihak yang satu lagi kerana tidak sependapat dengannya.


Bagaimana dedak/sekam terhasil

Apakah dedak? Dedak adalah hasil sampingan padi yang dikisar untuk dijadikan beras. Kulit luar bulir/biji padi yang masak berwarna coklat ke kuning-kuningan dimana tugasnya untuk melindungi bahagian dalam padi (endospermium dan embrio). Bagi menjadikan beras, maka padi dihantar ke kilang untuk diproses.

Setelah diproses di kilang, kita akan memperoleh beras berwarna putih juga sekam dan dedak. Sekam adalah butiran kasar dari bulir padi, manakala dedak merupakan struktur yang lebih halus yang juga mengandungi beras hancur. Terdapat juga dedak dipasaran yang telah di'upgrade' menjadi makanan terbaik untuk binatang ternakan. Info tambahan, dedak juga bukan bahan sampingan dari padi sahaja, jagung, gandum juga menghasilkan dedak.

Dedak digunakan sebagai makanan binatang seperti ayam, itik, lembu, dan sebagainya. Sekam pula boleh dijadikan sebagai bahan penebat dan penyerap.  Dalam industri penanaman cendawan, penghasilan telur masin, penghasilan labu sayong (warna hitam), sekam menjadi bahan penting dalam membantu menghasilkan produk.

Perkongsian maklumat tentang dedak ini diharap dapat membantu generasi kini memahami asal usul bahan tersebut. Tidak hanya pandai menyebut, kena tahu juga apa yang kita sebut kerana di sana nanti tiap yang disebut akan dipersoalkan.

Wallahualam...




Tuesday, June 14, 2016

Menghargai Dan Dihargai



Menghargai seseorang yang banyak 'membuka mata' masyarakat
Malaysia tentang autisme melalui karya filemnya REDHA
-YM Tunku Mona Riza-

Sepasang uniform sekolah tadika berwarna pink dan merah, sangat berharga bagi kami sekeluarga sebagai kenangan ketika Syahmi mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Akhirnya ia tersimpan sahaja di almari, apabila ianya dibasahi airmata ibu dan anak apabila dikhabarkan oleh pihak sekolah tadika tersebut bahawa Syahmi tidak layak untuk bersekolah di sana disebabkan beberapa 'kelainan' yang ada padanya ketika itu.

Sempat juga Syahmi memakainya selama seminggu, dan akhirnya uniform tersebut tidak dipakai lagi kerana kami terpaksa mencari laluan pendidikan yang berbeza buat Syahmi setelah disahkan dia seorang anak istimewa oleh pihak yang berkepakaran. Selamat tinggal uniform pink dan merah.

Simptom autisme yang tidak begitu ketara serta kedangkalan ibubapa tentang permasalahan autisme menyebabkan kami lambat sedar bahawa Syahmi tergolong dalam golongan ini, sehinggalah pihak sekolah tadika berkenaan yang mengejutkan kami dari tidur lena.

Walau pedih, walau bercawan airmata tumpah, itulah titik tolaknya anak ini mula mendapatkan intervensi dari pihak berkaitan juga peranan ibubapanya di rumah dalam menangani kelemahannya sebagai penghidap autisme.

Sebagai MENGHARGAI penat lelah Puan Pengarah Filem REDHA YM Tunku Mona Riza bersempena tayangan filemnya di TGV Mesra Mall, Kerteh, April lalu, ibu mengideakan cenderamata ini sebagai penghargaan terhadap usaha beliau dalam menghasilkan filem yang sangat bermutu. Filem mengisahkan kehidupan keluarga yang berada di dalam konflik setelah mengetahui tentang anak mereka mengalami autisme. Olahan terbaik seorang sutradara tentang cabaran dalam diri sendiri, ahli keluarga juga masyarakat sekeliling yang terpaksa dihadapi oleh sesebuah keluarga setelah mengetahui si anak menghidap autisme.

Sedikit sebanyak, jalan cerita filem berkenaan sama sebagaimana yang pernah saya lalui ketika awal 2007 dulu dimana ketika itu Syahmi berusia 5 tahun.

Hari ini, saya berasa amat DIHARGAI setelah menerima komen dari post di fb saya oleh Puan Pengarah Filem YM Tunku Mona Riza, tentang cenderamata kenangan tersebut. Tidak percaya? Tengok image di bawah..... sila baca komen pengarah filem berkenaan. Pastinya tiada kesalan walau uniform pink dan merah yang menjadi kesayangan dan penuh kenangan bagi kami sekeluarga telah bertukar tangan kepada beliau. Sesungguhnya ia lebih dihargai kini. Malam ni saya boleh tidur lena....hehehe


DIHARGAI....senyum hingga ke telinga rasanya

Monday, June 6, 2016

Diyana Jiran Kami...


Diyana (kanan) bersama ibunya

Kami baru berpindah rumah kira-kira 3 bulan. Alhamdulillah, kami telah dikurniakan jiran sebelah menyebelah yang baik. Diyana gadis istimewa anak jiran kami. Diyana berusia 30 tahun. Tinggi lampai, kulit cantik, putih lagi bersih. Makan pakai terurus. Diyana lahir dalam keluarga yang berpelajaran.

Diyana generasi 80an. 30 tahun dulu tiada support group, tidak ada kemudahan di alam maya untuk untuk mendapatkan maklumat tentang pendidikan anak istimewa. Ke sana ke mari ibubapanya berjumpa pakar dari hospital ke hospital. Namun, mereka juga masih cetek dalam cabang ilmu ini. Akhirnya Diyana dikategorikan di bawah OKU Bermasalah Mental.

Dulu dikhabarkan Diyana mengalami lewat perkembangan. Usia 5 tahun baru boleh berjalan. Namun berkat usaha gigih ibubapanya, Diyana boleh membaca ketika usianya 7 tahun. Diyana juga boleh menguruskan dirinya seperti ke tandas, mandi dan boleh juga memakai pakaian sendiri. Begitulah kehebatan ibubapa Diyana. Walaupun sumber maklumat amat terhad ketika itu, namun masih mampu mengambil langkah positif demi masa depan Diyana. Diyana juga pernah dimasukkan ke sekolah kanak-kanak istimewa.


Diyana kini telah dewasa

Diyana kini berusia 30 tahun. Tidak banyak bercakap, pendiam. Namun, sesekali berbicara secara ekolalia. 3-4 patah perkataan mampu digunakannya. Kedengaran seperti berbisik disebabkan kecederaan pada peti suaranya ketika pembedahan di waktu kecilnya. Kerap memerhati percakapan mereka di persekitarannya. Sesekali dia akan tersenyum, tanda dia memahami apa yang sedang dipertuturkan. Mampu ke sana ke mari, berjalan-jalan sambil ditemani ibu. Dikhabarkan juga Diyana mengalami masalah Scoliosis. Oleh sebab itu, Diyana sering mengadu keletihan bila berjalan-jalan.

Kelmarin kami 2 keluarga berjiran, berjalan-jalan sekitar tempat-tempat menarik di Terengganu. Termasuklah ke destinasi di Tasik Kenyir. Tersintak saya apabila sesekali Diyana berlari-lari dan memusing-musingkan badannya beberapa kali tanda kegembiraan. Bertambah yakin saya Diyana juga sebenarnya mengalami simptom-simptom autisme seperti  ekolalia dan scoliosis bagi sesetengah anak perempuan yang mengalami Rett Syndrome.

Pengetahuan yang saya ada hanyalah sejengkal. Tiada daya, tiada upaya dan tiada 'authority' untuk mengenalpasti secara tepat. Diyana pun telah dewasa. Punya ibu dan ayah juga adik beradik yang menyayanginya. Namun di hati kecil saya, lebih 'berat' menyatakan bahawa Diyana berada dalam kategori autisme. Atau pun memang hakikatnya anak-anak bermasalah pembelajaran ini mempunyai simptom-simptom yang hampir sama?

Siapa pun kamu Diyana, kami tetap rasa bersyukur kerana dipertemukan dengan jiran yang juga mempunyai anak istimewa. Bila dah 'sekasut', hubungan kejiranan kami menjadi lebih erat. Sesekali airmata kami bergenang jua apabila menyaksikan anak-anak istimewa kami yang remaja dan dewasa dengan keletah masing-masing.

Indahnya dunia mereka...'dunia tanpa dosa'. Cuma di mata masyarakat, seringkali mereka dipandang sebelah mata. Biarkan mereka, kerana pengakhiran kita hanya dinilai dari sudut pandangan DIA yang di atas sana. Wallahualam..










Sunday, June 5, 2016

Ramadhan datang lagi....





Selamat mengerjakan ibadah puasa buat semua yang beragama Islam. Sama-sama kita berlumba memperbaiki diri, pastikan Ramadhan kali ini lebih berkualiti dari tahun-tahun yang lalu. Jika ada tersalah bicara, tersilap kata, maaf dipinta kepada semua pengunjung AUTISM A GIFT FROM HEAVEN.

Syukur alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan 2016. Anak bulan telah kelihatan katanya, maka esok kita mula berpuasa. Jom kita....


Bila 'Meltdown' bertandang....






Kelmarin Syahmi memang 'upset' bila aeroplane model yang dipesannya dari Kuala Lumpur sukar untuk di'assemble'. Maka meltdown pun datang. Menangis seolah-olah budak 5 tahun. Merintih, membebel seolah-olah nenek tua.

Kita yang mendengar ni, panik seketika sebab jarang-jarang sekali dia begini. Dengar dengan teliti bebelannya. "Huhuhu (suara besar dan bengkeng)....memang tak guna model ni, kita beli yang original tapi buatannya tak cukup kemas. Nak assemble pun susah, kalau dipaksa masuk nanti patah pulak. Biarlah aku gi ke alam barzakh....senang" katanya. Terus melompat atas katil sambil peluk kiri kanan bantal-bantal 'buysuk'nya. Panik sekejap kita dibuatnya.

Kemudian pujuk dia untuk pergi mandi, kut-kut dapat meredakan kekecewaannya. Ingatkan meltdown dah selesai. Nampaknya bersambung lagi rintihannya lepas selesai mandi. "Memang sedihla kalo macam ni. Kerja sekolah pun banyak. Dah rasa malas nak buat" katanya lagi.

Dalam hati rasa nak tergelak. Tapi rasa panik tadi masih berbaki. "Lain yang bengkak, lain pulak yang bernanah". Itulah perumpamaan yang tepat untuk situasinya ketika itu. Aeroplane model punya pasal, kerja sekolah pulak yang terbabit.

Mungkin ini rintihan di jiwa dia selama ini. Sebagai ibubapa, kita memang faham sangat dengan keadaan anak-anak kita yang terlampau dibebani dengan kerja sekolah. Kepada siapa hendak dipersalahkan? Kehidupan sekarang berkejar-kejar kepada pencapaian akademik.

Bagaimana dengan perjuangan mereka si anak istimewa bagi menyaingi pencapaian mereka yang tipikal? Tidak hairanlah sesekali mereka 'berlagu kuat' menyuarakan ketidakpuasan hati yang tertanam tanpa diambil peduli oleh orang lain.

Maka di SINI lah peranan kita ibubapanya, saudara mara di kelilingnya juga masyarakat amnya. Bantu mereka bagi menyesuaikan diri dengan kehiduan yang semakin mencabar....wallahualam


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...