Raya kali ini nampaknya kesihatan Mak makin menyusut. Sering mengadu pening kepala. Ingatan pun makin mengurang. Namun masih mampu berpuasa seperti tahun-tahun yang lalu. Namun dia tetap tidak banyak kerenahnya. Hanya mengikut apa kata anak-anaknya sahaja.
Mak bergerak dengan kerusi roda kini kerana sudah tidak berupaya untuk berjalan jauh |
Nampak jelas di mata, Mak semakin uzur. Dia lebih suka tinggal di rumahnya. Tidak mahu diusung ke sana ke mari lagi kerana meletihkannya. Di pihak anak-anak pula, teringin nak menghiburkan Mak dengan membawanya berjalan-jalan supaya tidak bosan asyik terperap di rumah.
Yang pasti Mak gembira bila dipertemukan dengan adik beradiknya, kawan lamanya. Bertanya khabar, mengenang zaman lampau sesama mereka, berkongsi cerita tentang anak cucu, aktiviti harian dan sebagainya. Nampak sangat raut wajahnya yang suram, berubah menjadi ceria.
Bersembang dengan adiknya (Wah) |
Adik beradik Mak yang juga sedang uzur kerana faktor usia yang telah menjangkau 80an (Wah dan Wan Chik) |
Sahabat lama datang berkunjung ke rumah (Wan Jah Serdin) |
Sedih bila hendak meninggalkan Mak di kampung. Berat hati bukan kepalang. Tertanya-tanya, adakah masih berpeluang lagi untuk mendakapnya. Dalam usia 85 tahun kini, keadaan kesihatan Mak kian membimbangkan. Perbualannya sudah tidak semantap dulu. Banyak perkara yang sudah luput dari ingatannya.
Semoga Allah memberikan aku masa untuk bersama Mak. Menyenangkan hatinya. Memudahkan kehidupannya. Berjasa di saat usia Mak di penghujung waktu. Aamiin..aamiin..aamiin. Bersyukur diri ini masih punyai insan yang dipanggil MAK. Alhamdulillah...
0 comments:
Post a Comment