اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, May 5, 2012

Tahukah mereka......

          Setiap dari kita yang bernama manusia mahukan yang terbaik, tiada cacat celanya kerana itu lumrah semulajadi manusia. Kalau mencari pasangan terutamanya yang si jejaka tentunya mahukan si dara yang tidak ditebuk tupai, walaupun dia sendiri tergolong dalam kalangan 'tupai' durjana.


Kalau yang buruk siapa yang mahu?

         Malangnya tidak semua yang terbaik bagi kita adalah  benar-benar baik untuk dimiliki. Allah maha mengetahui akan setiap kurniaan-Nya. Begitu juga dengan kehadiran anak-anak istimewa dalam sesebuah keluarga. Bukan mudah hendak menerima hakikat bahawa anak yang dikandung dan dilahirkan itu tidak sempurna seperti insan-insan lain.


         Ada diantara kami yang dipilih-Nya untuk menerima anugerah seumpamanya mengambil masa bertahun untuk mengembalikan kekuatan. Kekuatan bukan datang dengan sendiri, malah ianya harus dicari di sana sini. Siapa yang ambil peduli, yang menambahkan resah di dada memang ramai. Yang menghina secara terang-terang mahupun dalam diam tidak kurang jumlahnya. Semuanya ini harus kami ibubapanya tempuhi. Jika kurang iman di dada, ke lembah kekufuran kami terperusuk kerana tertanya-tanya mengapa aku yang menerima ujian sebegini?


 Ribuan ringgit untuk acupuncture  treatment  anak autisme 
     
        Ada juga diantara kami yang  berhabisan wang ringgit untuk menampung keperluan anugerah ini. Segala ikhtiar dicari, tidak kira di mana destinasi. Semuanya demi masa depan anak kami. Kekadang semangat kami meluap-luap dan kekadang pula jatuh tersungkur bila berhadapan cabaran.


        Apabila memiliki anak autisme....baru kita tahu betapa beratnya  bahu yang memikul. Hidup perlu diteruskan, pengorbanan suami isteri serta adik beradiknya yang lain sangatlah besar. Ada isteri-isteri yang terpaksa meninggalkan kariernya untuk menumpukan perhatian terhadap anak syurganya.  Imej entah ke mana dek kerana sibuk melayan kerenah anak istimewa di khalayak ramai. Bila di majlis kenduri-kendara pula, makan pun tak kenyang kerana  bergegas nak balik ke rumah dek keletah si anak syurga.


Majlis yang sebegini rasanya tidak sesuai untuk kami!
     
           Bukan memohon simpati, bukan juga mengungkit-ungkit, cuma kesedaran mereka di luar sana ditagih supaya anak-anak syurga kami difahami oleh masyarakat sekeliling. Janganlah dilayan anak-anak syurga kami sesuka hati, terutamanya kepada institusi yang terlibat secara langsung dalam pendidikan mereka.  Jangan harapkan pagar, pagar pula makan padi. Di mana lagi kami sebagai ibubapa hendak meletakkan harapan untuk sama-sama mendidik ahli syurga ini?  Segelintir yang 'buat hal'.....seinstitusi nama terpalit.

     
           Secara realitinya, buah yang ditebuk tupai  membawa makna bahawa isi buah tersebut adalah yang paling sedap jika dibandingkan dengan yang lain  kerana  si tupai mempunyai deria semulajadi untuk memilih isi yang terbaik. Jadi janganlah dibuang seperti sampah buah-buah yang telah ditebuk tupai kerana masih ada bahagian-bahagian lain yang masih baik isinya. Kalau buah durian, boleh di buat tempoyak yang lebih mahal harganya di pasaran.


         Begitu juga dengan anak syurga kami. Walaupun dilahirkan tidak sempurna seperti insan lain,  jangan kita lupa disebaliknya terdapat potensi diri mereka yang boleh dibangunkan oleh kita semua. Ini amanah besar-Nya untuk dipertanggungjawabkan  di akhirat nanti! Renung-renungkan lah..........

2 comments:

Hayati Jafar said...

Tiada yang kurang pada anak2 istimewa kita - ciptaan allah memang sempurna, tiada tandingannya. Kita semua bersyukur kerana terpilih untuk anugerah ini. Betul tulisan en Samsul: masyarakat di luar sana - "Renung-renungkan lah"

Smsaroni said...

Semoga makin ramai yg ambil tahu ttg perit jerih keluarga kpd anak2 istimewa kita!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...