اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, October 13, 2012

Membantu Mewujudkan Komunikasi Berkesan Dengan Anak Autisme

             

Kanak-kanak tipikal biasanya mula bertutur secara semulajadi ketika umurnya satu setengah atau dua tahun. Perbendaharaan kata pula boleh berkembang hingga menguasai 10,000 patah perkataan ketika menjangkau umurnya 7 tahun. Tapi bagi kanak-kanak autisme, nikmat ini harus dicari dan dibantu oleh pihak-pihak tertentu terutamanya ibubapa serta dari mereka yang berkepakaran.


Mudah bagi orang lain......tapi sukar bagi si Autisme


Seringkali kita mengalami situasi dimana kanak-kanak autisme tidak mengendahkan apabila dipanggil atau diberi arahan. Ini menimbulkan salah anggap kita terhadap mereka yang dikatakan mengalami masalah pendengaran. Bagi membantu golongan ini untuk berkomunikasi dengan berkesan terdapat beberapa langkah yang perlu dipraktikkan oleh mereka disekelilingnya iaitu:

                               
a.  BERI ARAHAN DENGAN JELAS DAN RINGKAS

Dahului arahan dengan menyebut nama untuk menarik perhatiannya." Syahmi, mari duduk di sini." (sambil menunjukkan arah anak tersebut harus duduk). Elakkan arahan yang kurang jelas seperti "Mari ke mari dan duduk di sebelah saya". Ia boleh menyebabkan arahan ini disalahtafsirkan dan merangsang mereka bertindakbalas negatif seperti mengatakan Tidak!


b.  ELAKKAN MENGGUNAKAN KATA DUA MAKNA DAN BERBUNGA

Kanak-kanak autisme tidak boleh memahami perkataan yang terselindung atau kiasan. Contohnya jika dia melakukan sebarang kesalahan, elakkan dari mengeluarkan kata-kata berbentuk sindiran seperti "Bagus" kerana mereka akan menyangka kita bersetuju dengan tingkahlakunya dan jangan terperanjat jika mereka akan mengulanginya lagi.


c.  ELAKKAN MENGGUNAKAN PERKATAAN "JANGAN"

Digalakkan kita mengucapkan sesuatu yang lebih positif dan konstruktif. Walaupun bukan mudah, tapi inilah sebaik-baiknya cara untuk merangsang perkembangan terbaik kanak-kanak autisme. Sebagai contohnya,  "Jangan buang sampah itu" adalah lebih positif jika kita berkata  "Buang sampah dalam tong sampah".


d.   BERCERITA

Kita perlu bercakap dengan kanak-kanak autisme. Berceritalah tentang apa yang sudah, sedang dan akan berlaku. Terangkan dengan ringkas supaya mudah mereka memahaminya. Elakkan bercakap terlalu laju kerana ia akan menyulitkan mereka untuk memahaminya. Jika kita tidak bercakap dengannya maka kanak-kanak ini akan terus menyendiri dan menyebabkan perkembangan pertuturannya terbantut.


e.   ELAKKAN BAHASA KEDUA

Adalah lebih baik jika kita mengelakkan daripada mengajar bahasa kedua kepada kanak-kanak autisme kerana ia akan mengelirukan mereka. Kebiasaannya Bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling mudah dikuasai oleh kanak-kanak autisme. Namun dalam konteks negara kita Malaysia, Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantara di sekolah menyebabkan ibubapa terpaksa mendedahkan dua bahasa kepada anak autisme masing-masing.


f.   ELAKKAN MEMBERI RESPOND DENGAN MIMIK MUKA

Kanak-kanak autisme sukar memahami mimik muka yang ditunjukkan. Mereka sukar membaca fikiran kita dan tidak memahami jika kita menyatakan rasa marah seperti mengerutkan wajah. Adalah lebih baik kita menjelaskan dengan ringkas supaya mudah difahaminya.


f.   PENGHARGAAN

Berilah peluang mereka untuk berkata-kata. Jangan mematahkan semangat mereka ketika hendak bertutur. Bersabarlah menunggu mereka menghabiskan pertuturannya dan berilah pujian bila mereka telah mencuba untuk bertutur dengan baik.


Memandangkan kanak-kanak autisme mempunyai kondisi yang berbeza antara satu sama lain, maka ada pendekatan yang bersesuaian dengan si A, tetapi tidak sesuai pula pada si B. Sebagai ibubapanya kita haruslah mengenalpasti pendekatan terbaik untuk membantu perkembangan pertuturan anak-anak kita.

Kerjasama kita yang berada di sekelilingnya akan memberi kepercayaan kepada insan istimewa ini untuk berani berkomunikasi secara lebih berkesan. Hargailah mereka.....
             
       
                                   
                               
                                  

2 comments:

Hayati Jafar said...

Congratulations. This is a very helpful guidance - simple and very clear. This entry is a very good reference for everyone. TQ

Smsaroni said...

Thanks for your support Pn Hayati Jafar

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...