Pernah suatu masa, ketika saya mula-mula disedarkan bahawa anak saya autisme, segala harapan terhadap anak saya seolah-olah berkecai seperti kaca terjatuh ke batu. Namun di kala itu, saya belum mengetahui apa itu autisme. Dengar cakap-cakap orang memang boleh mematahkan semangat.
Mrs Chua, guru pertamanya... |
Mrs Chua, ialah guru di sebuah tadika yang menyedarkan kami bahawa Syahmi seorang anak istimewa. Melalui pengalaman beliau mengendalikan anak-anak di tadika biasa, saban tahun memang ada kes-kes seperti Syahmi dimana ibubapa tidak sedar tentang kelainan yang ada pada si anak. Walaupun rasa nak luruh jantung ketika mendengar penjelasannya tentang kelainan yang ada pada Syahmi, semangat terus diberi oleh Mrs Chua bagi kami meneruskan langkah untuk mendapatkan saluran yang sesuai demi masa depan si anak.
Biarlah mereka umpama Sang Kura-kura.... |
Bila dah bertahun berpengalaman membesarkan anak autisme, saya percaya harapan untuk anak ini sentiasa ada. Tahun demi tahun peningkatan kemajuan mereka boleh dilihat dengan ketara. Seharusnya kita ada matlamat untuk mengukur pencapaian mereka. Jangan pula diletakkan penanda aras yang terlalu tinggi seperti anak-anak normal. Biar sedikit asalkan ada kemajuan. Biar seperti Sang Kura-kura, jangan jadi Sang Arnab kalah dek kerana terlalu selesa.
Biar peringkat permulaan sebelum mereka masuk ke alam persekolahan target kita untuk membebaskan mereka dari masalah pengurusan diri seperti toilet-training. Biarkan anak orang lain telah mula membaca dalam usia yang sebegini......biarkan.....redha dengan ketentuan Allah terhadap anak istimewa kita. Yang pasti WALAU SEKELUMIT KEMAJUAN DICAPAI, TERASA BESAR NIKMATNYA bagi kita sebagai ibubapa. Baru kita faham erti kesyukuran yang sebenar.
Ibubapa kepada anak-anak normal lain mungkin tidak dapat merasai pengalaman ini, malah kebanyakan kita akan sentiasa tamak terhadap pencapaian anak-anak. Kalau boleh kita mahukan segalanya yang terbaik dari anak kita. Sedarlah kita bahawa anak-anak istimewa memerlukan pendekatan yang amat berbeza untuk membantu mereka. Intervensi awal sangat penting, sementara pencapaiannya sangat perlahan...merangkak-rangkak umpama Sang Kura-kura.
Ingatlah, Sang Kura-kura juga yang akhirnya sampai dulu ke garisan penamat bukan lawannya Sang Arnab yang terlalu selesa dengan kemampuannya. Kesabaran penjaga amat dituntut supaya nasib anak istimewa kita terbela.....
Jangan terlalu selesa....pelan-pelan kayuh |
0 comments:
Post a Comment