Sejak akhir-akhir ini banyak kajian yang mendapati bahawa autisme adalah disebabkan juga oleh faktor genetik. Harus diingat bahawa genetik hanya merupakan salah satu dari beberapa faktor yang dikaitkan menjadi faktor penyebab gangguan autisme selain dari komplikasi ketika bersalin, faktor vaksinasi, pengambilan makanan beracun yang tanpa disedari dalam kehidupan seperti pengawet, pewarna dan sebagainya.
Kajian menunjukkan bahawa ibubapa yang telah dianugerahi dengan anak autisme, maka kebarangkaliannya untuk melahirkan anak autisme yang berikutnya ialah 3 hingga 5 peratus. Malahan bagi anak kembar seiras yang mengalami gangguan autisme akan memiliki kemungkinan 90% saudara kembarnya juga mengalamai masalah yang sama. Ini menyebabkan ramai pasangan yang mengelak untuk mendapatkan zuriat seterusnya kerana dibimbangi akan memperolehi anak yang juga bermasalah autisme.
Dalam tercari-cari kesilapan lampau, faktor genetik amat sensitif untuk diperkatakan. Ramai dari kita yang menafikan faktor ini. Untuk mengaku kelemahan diri memang payah tapi cuba tenang dan berlapang dada.......lihat latar belakang keluarga mahupun diri sendiri. Kekadang kita akan nampak ciri-ciri autisme wujud pada diri sendiri walaupun tidak 100% menyamainya.
Berhujah bukan kepakaran ku...... |
Harus diingat bahawa untuk mengklasifikasikan seseorang itu sebagai insan autisme adalah melalui syarat-syarat yang ditentukan iaitu apabila seseorang itu menunjukkan 6 atau lebih dari 12 simptom yang disenaraikan dalam lingkungan tiga aspek utama perhubungan sosial, komunikasi dan tingkah laku. Bukan semudah-mudahnya untuk mengesahkan seseorang itu seorang insan autisme. Pemerhatian yang teliti oleh mereka yang berkepakaran seperti Perunding Psychiatry diperlukan untuk membuat keputusan yang tepat.
Namun jangan dicari-cari lagi kenapa, mengapa dan bagaimana hadirnya anak autisme dalam sesebuah keluarga. Percayalah bahawa bila Allah berkehendak dan mengkehendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya 'Jadilah", maka jadilah ia. Begitulah ungkapan ayat-ayat kun (jadi) maka faya kun (jadilah) seperti mana dalam Al Quran. Yang penting kita jangan berlengah-lengah lagi, cepat mengorak langkah bagi membantu anak autisme kita untuk meminimakan permasalahan mereka demi masa depan.
Wallahualam bissawab..........
0 comments:
Post a Comment