Masjid Putra, Putrajaya |
Beratus-ratus kilometre kami datang dari Kuala Terengganu untuk ke Masjid Putra bertemu 'sanak saudara' Autisme Malaysia. Penat tak terhingga terubat jua dengan kemeriahan Majlis Aidil Fitri Persatuan Autisme Muslim Malaysia yang berlangsung di Dewan Makan Ibnu Khaldun, Masjid Putra, Putrajaya pada 16hb Sept 2012 yang lalu.
Selamat Datang Semua |
Keluarga ku |
Tiada kata secantik bahasa yang sesuai untuk digambarkan suasana majlis tersebut. Cuma yang saya rasa......gembira teramat kerana walau sebelum ini antara kami ada yang belum pernah bertentang mata, kemesraan yang ditunjukkan bagai dah kenal lama. Mungkin beberapa saja yang tak dapat 'dicam' raut wajahnya, tapi tiada yang dapat menghalang kemesraan. Cuma masa yang membataskan segala. Namun tidak mengapa.... 'detik-detik' yang berharga akan tetap dikenang sampai bila-bila.
Dalam kemeriahan, tak sedar ada yang ambil gambar kami suami isteri |
Syahmi berpeluang untuk memperdengarkan Hafazan Surah A'Basa(80) Ayat 1-42 buat pertama kalinya berhadapan kamera TV3. Jika di peringkat sekolah dia sangat bersahaja, tapi kali ini dadanya berdebar kencang. Alhamdulillah segalanya berjalan baik....walau suatu ketika dia dalam keadaan 'mute' namun dapat menyambung semula hafazan surahnya hingga tamat. Pendedahan yang sangat baik untuk masa depan Syahmi.
Aturcara Majlis |
Syabas anak ku.....ayah pun belum tentu mampu menandingi mu |
Pelbagai kerenah anak-anak autisme yang kecil mahupun remaja membuatkan kami tersenyum lebar. Mungkin bagi mereka yang tidak memiliki anak istimewa autisme, tidak akan faham dengan situasi kami menerima keadaan ini. Namun kami jua insan terpilih untuk bersabar dengan aksi-aksi 'cantik' mereka. Mungkin inilah cara Allah memberi laluan pahala pada kami.
Penampilan Istimewa Oleh 5 Insan Istimewa Autisme Syahmi, Asma', Abg Jefri, Hazim dan Umar dengan kebolehan masing-masing |
Kemeriahan bukan berlalu begitu sahaja, rasa keinsafan, kesyukuran, kekeluargaan mengiringi kami semua dengan semangat untuk membesarkan anak-anak autisme kami sebaik mungkin. Yang penting kami tidak bersendirian menghadapi cubaan ini. Yang berpengalaman membantu mereka yang masih terpinga-pinga dengan ujian yang diterima supaya tiada yang tersesat di jalanan.
Berpegang tangan dalam erti kata saling bantu membantu supaya kita sama-sama berjaya mengiringi anak syurga kita di sana nanti.....InsyaAllah...
Liputan Oleh TV3 (MHI)
0 comments:
Post a Comment