اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, November 25, 2015

Muazzin Ar-Rasul...





Di sisi Islam, tiada perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, kaya atau miskin seseorang. Yang dinilai hanyalah ketakwaan seseorang kepada pencipta-Nya. Bilal Bin Rabah r.a merupakan muazzin pertama umat Islam. Beliau merupakan lelaki berkulit hitam yang mempunyai suara 'emas'. Dilahirkan 43 sebelum Hijrah di daerah Al-Sarah pinggir Kota Mekah.

Ketaatan beliau kepada Islam tiada tandingannya. Diseksa oleh tuannya Umayyah bin Khalaf yang merupakan musuh Islam dengan pelbagai seksaan. Namun beliau tetap menyebut "Ahad, Ahad" (Allah itu Satu, Allah itu Satu) walau diletakkan di bawah panas mentari dan ditelanjangi lalu dipakaikan dengan baju besi serta dipukul, diletakkan juga batu besar di dadanya hingga tidak mampu langsung bergerak. Penyeksaan demi penyeksaan tidak pernah menggugat ketaatannya pada Islam.

Beliau dikatakan orang yang pertama memeluk Islam di kalangan orang biasa. Beliau sentiasa bersama Rasulullah s.a.w semenjak dibebaskan dari cengkaman tuannya Umayyah. Beliau berhijrah bersama Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah serta sanggup berjuang bersama baginda dalam peperangan besar seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq dan lain-lain lagi. Setelah Masjid Nabawi selesai dibangunkan, Bilal Bin Rabah r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w menjadi muazzin yang pertama apabila azan ditetapkan.

Demikianlah kehebatan Bilal Bin Rabah r.a, hingga pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w bersabda :
"Wahai Bilal, perbuatan khusus apa yang telah engkau lakukan sehingga aku mendengar suara langkah mu berjalan di depan ku di syurga. Lantas Bilal menjawab, " Aku memastikan diri ku sentiasa dalam keadaan berwuduq Ya Rasululullah".

Kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w memberi tamparan hebat kepada beliau. Beliau enggan lagi mengumandangkan azannya kerana berasa sedih yang amat sangat terhadap kehilangan orang yang amat dikasihi dan dirinduinya itu. Beliau berhijrah ke Syria untuk berjihad.


Masjid Nabawi di Madinah

Azan beliau yang terakhir sekali ialah ketika beliau menziarahi makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi, dimana beliau didatangi dua orang cucu baginda iaitu Husain dan Hassan yang merayu beliau mengumandangkan azannya. Maka demi kedua cucu Rasulullah s.a.w, beliau mengumandangkan azan dengan suara gementar dan sayu lalu berduyun-duyunlah orang ramai datang ke Masjid Nabawi ketika itu. Mereka menangis kerana kerinduan terkenangkan azan yang sama berkumandang ketika Nabi Muhammad s.a.w masih ada. Sesungguhnya, azan Bilal Bin Rabah r.a amat dirindui di kalangan umat di Madinah mahupun penduduk langit.

Di saat-saat kematian beliau, isterinya bersedih lalu berkata yang membawa maksud suatu kesedihan, namun Bilal menjawab dengan lafaz yang bermaksud sukacita kerana besok saya akan bertemu dengan orang yang saya rindui iaitu Muhammad s.a.w serta para sahabatnya.

Bilal Bin Rabah r.a dikatakan meninggal dunia di Damsyik dalam usia 63 tahun. Wallahualam


0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...