A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, August 14, 2012

Pengalaman Lalu Beraya Dengan Anak Istimewa ku.....



Suasana hariraya di kampung bersama sanak saudara amat meriah rasanya. Berebut-rebut bilik air untuk mandi di pagi raya, berebut-rebut seterika untuk menggosok pakaian baru, pokoknya dalam diam kita berlumba-lumba dengan keluarga adik beradik yang lain  untuk menyiapkan makan pakai keluarga masing-masing di pagi raya sebelum ke masjid.

Bagaimana beraya dengan anak istimewa ku? Kalau keluarga lain bersahaja berpakaian, kami berkejar-kejar ke sana ke mari untuk memakaikan si anak dengan  pakaian baru. Kalau  ke studio bergambar kenangan di pagi raya, anak kami amat sensitif dengan kegelapan di studio dan flash dari kamera. Maka beginilah hasilnya gambar-gambar kami sekeluarga ketika si anak di awal usia, semua aksinya sedang bergantung bergayut di tengkuk ayah. Ini cerita lama, semenjak bersekolah dia dah terlebih bijak berposing di hadapan kamera.

Inilah antara aksi kelakar anak istimewa ku bila
berhadapan dengan kamera...penuh dengan ketakutan serta cucuran airmata
   
Sebenarnya, saya amat bertuah kerana anak istimewa saya  tidak sukar untuk mengawalnya. Cuma bila berkunjung ke rumah sanak saudara, kita jangan harus leka dan terlepas pandang. Biasanya si anak boleh menyesuaikan dirinya selagi tidak ada pihak ke tiga yang mengganggunya. Si dia juga boleh menghulurkan salam mesra pada tuan rumah sebagaimana orang lain.


Bukan setakat sampul hijau diterima, didakap dan dicium
 kerana kamu tamu istimewa......
Makan bersila pun tiada halangan baginya......tapi sebekas
 'maruku' jadi hakmiliknya
                       
Bercakap berkenaan sampul hijau, anak syurga ku belum mengerti tentang keperluan duit raya kerana dia belum pandai nak beli itu dan ini. Cuma jika dihulur, dia akan menerimanya dengan senang hati lalu dimasukkan  ke dalam poket. Bila dah banyak terkumpul, barulah diserahkan kepada Puan Akauntan, ibunya.


Tengok tu....si baju hitam sedang memasukkan
 sesuatu ke dalam poketnya.....bijak...bijak

Setelah puas ke sana ke mari menziarah sanak saudara, pasti si anak tak boleh tahan lagi dengan cuaca panas, lagi pun perut dah kenyang, sementara poket melimpah ruah dengan sampul hijau. Tentu  mula merengek-rengek nak balik rumah. Kalau tak dilayan, tantrum pulak mari, haru-biru dibuatnya. Lebih baik beredar bagi dia cool dulu, lagi pun anak syurga kami tak boleh berpisah dengan dunia cybernya lama-lama.

Terima kasih Syahmi, sekurang-kurangnya ibu dan ayah masih dapat berhariraya seperti orang lain. Kami tahu ada keluarga yang berada di dalam keadaan dilema bila nak berhariraya ke rumah sanak saudara sebab dikhuatiri tidak dapat mengawal tingkah laku anak istimewa masing-masing.

Semoga hariraya tahun ini kita dapat beraya dengan gembiranya.........



      

Monday, August 13, 2012

Dam dam doom.....bunyi mercun!



Budaya orang, kita pakai....

Sana sini berdentum-dentam dengan bunyi mercun, itu menandakan 1 Syawal dah dekat. Berbaki beberapa hari lagi kita di bulan Ramadhan, saya berharap sangat Syahmi diberi kesihatan yang baik untuk berpuasa penuh sebulan. Tiada ganjaran dijanjikan, saya rasa dia telah faham dengan tanggungjawabnya berpuasa di bulan Ramadhan.

Mercun merupakan bunyi yang amat sensitif buat Syahmi ketika umurnya setahun ke tiga tahun gitu. Jadi, bila dekat-dekat nak raya memang dia fobia, asyik menutup ke dua belah telinga jer aksinya. Lama kelamaan sensitifnya semakin berkurang seiring dengan peningkatan usia. Sampai sekarang umurnya dah 10 tahun, saya hanya benarkan dia bermain dengan bunga api saja supaya dia merasai suasana malam raya seperti anak-anak lain. Itu pun, di bawah kawalan ibu atau ayah, kalau tidak tak merasalah nampaknya.

Tutup telinga!
                       
Kalau di kampung, suasana memang meriah bila dipenuhi pelita dan lampu lip lap di sekitar rumah. Baru terasa mood nak berhariraya. Bunyi mercun di sana sini membuatkan kita terpaksa 'tahan telinga' walau kekadang tersentak dibuatnya.


Seronok jadi kanak-kanak......

Seronok pun biar berpada-pada, berapa ramai anak-anak yang cedera kerana bermain dengan mercun di malam raya. Mercun bukan barang mainan, apatah lagi meriam buluh yang biasa dimainkan oleh anak kampung. Jari sepuluh, tinggal lapan, nak buat apa cari nahas?


Budaya Cina tapi Melayu yang bersungguh
mencari nahas.......Malay dilema?

Sudah-sudahlah wahai anak bangsa ku! Jangan membuang waktu pada yang bukan tuntutan-Nya. Membazir wang, masa dan membahayakan diri yang masih muda. Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Namun kita masih berpeluang untuk menghayati sebaiknya hari-hari akhir Ramadhan ini. Sesungguhnya kita belum pasti samada kita masih berpeluang untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang...Ingat tu!

Saturday, August 11, 2012

Siapa sangka dia istimewa?

             Ramai ibubapa yang  tidak sedar kelainan yang ada pada mereka. Mungkin kekadang terdetik di hati, tapi buat-buat tak peduli. Sebenarnya, ibubapa mana yang mahukan anak-anak yang ada kekurangannya dimana-mana. Semua kita mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Namun qada dan qadarNya harus diterima dengan redha.


Senyum.......

Tiada bezanya dengan yang lain  ketika di awal usianya.....
                         
              Dari saat dilahirkan hingga tiga tahun usianya segala perkembangan seiring dengan usianya. Cuma perkembangan pertuturannya agak terlewat jika dibandingkan dengan anak-anak sebaya. Tapi kata orang-orang tua di kampung......'Orang dulu-dulu ramai yang lambat bercakap.....sekarang yang dah jadi doktor pun ada".....jadi  kegusaran di hati dapat diredakan dengan nasihat orang tua.


Eye-contact tiada masalah....
                           
                Disebabkan appearance yang tiada cacat celanya, ibubapa terlena dengan segala kekurangan yang ada. Sehingga tiba ketikanya bila si anak mula nak bersosial  terutamanya ketika hendak  masuk ke era persekolahan, terima komplain dari pihak sekolah " Anak Tuan/Puan ada masalah untuk memberi tumpuan di kelas, sukar bekerjasama dengan murid lain, sila bawa ke hospital bertemu doktor pakar untuk pengesahan permasalahannya.  Pihak kami tidak dapat menerima kemasukan anak-anak istimewa, anak Tuan/Puan harus dimasukkan ke saluran yang betul ".

Comel bila beraksi begini!
                             
              Tersintak mendengar statement tersebut, terasa dunia gelap-gelita. Tidak adil rasanya mereka menghakimi anak kita sedemikian rupa. Kalau alang-alang iman di dada, rasa nak meraung sepuas-puasnya tak kira di depan khalayak ramai sekali pun. Rasa marah pun ada, sebab anak comel kita dikatakan bermasalah.


              Inilah antara pengalaman ibubapa yang kebanyakannya lambat mengenalpasti bahawa anak yang dikasihi seorang insan istimewa. Lama kelamaan  'denial period' akan berlalu setelah kita lebih matang menerima ujianNya. Dengan sokongan ahli keluarga beserta ilmu yang ditimba melalui pelbagai sumber, insyaAllah segalanya jadi pemangkin untuk kita lebih bersemangat bagi membantu anak istimewa kita.  Kalau bukan kita ibubapanya, siapa lagi?
                             

Thursday, August 9, 2012

Bagaimana masa tua kita nanti??

                         Ramadhan kali ini......kami sekeluarga diuji dengan perkhabaran dari kampung yang menyampaikan berita Tok Yan sakit. Tok Yan ialah datuk Syahmi sebelah ibunya yang menetap di Kuala Kangsar. Dalam usia 84 tahun, Tok Yan sudah tak mampu untuk berpuasa seperti tahun-tahun sebelumnya. Hanya sempat berpuasa 2 hari, dia telah jatuh sakit, masalah paru-paru berair, demam serta dehidrasi. Enggan ke hospital, terpaksa dibawa doktor ke rumah untuk rawatan lanjut.


Tok Yan dalam usia 84 tahun.....
                     
                          Beberapa ketika di kampung saya dapat menyaksikan bagaimana keadaannya nanti bila kita telah tidak berdaya, anak-anak menjadi sandaran untuk menguruskan kita. Tok Yan lebih  bernasib baik kerana mempunyai ramai anak perempuan yang sanggup menjaga makan, minum serta memandikannya, memakainya lampin pakai buang, mencuci najisnya, umpama bayi yang baru dilahirkan. Sementara Opah juga sudah terlalu uzur dan tidak berdaya untuk menjalankan tugasnya sebagai isteri.


                          Bagaimana agaknya bila tiba giliran  kita nanti? Persoalan yang tiada noktahnya yang kadang kala menghantui  diri. Saya hanya ada dua anak lelaki. Dapatkah kita menyandarkan harapan kepada anak-anak bila masanya tiba kelak?


                           Sebak melihat keadaan Tok Yan di kampung, sesebak itulah saya mengenang masa depan saya. Sengaja saya biarkan Syahmi menyaksikan sendiri bagaimana keadaan Tok Yannya dimandikan, dipakaikan lampin pakai buang dengan harapan dia memahami tanggungjawab seorang anak terhadap ibubapanya kelak.


2 bulan lepas Tok Yan masih mampu tersenyum dan mengikut
kerenah cucu dan anak-anaknya.....tapi kini tiada lagi
                         
                                Semoga Tok Yan cepat sembuh, dan mampu tersenyum kembali dengan menjelangnya Hariraya Aidil Fitri kira-kira seminggu saja lagi. Kami rindu pada suasana raya di kampung, dimana sanak saudara berkumpul, menyediakan lemang dan rendang serta memohon kemaafan di pagi yang mulia. Sesungguhnya sebagai hamba, kami redha dengan segala kemungkinan yang Engkau tetapkan buat kami sekeluarga.
                           

Wednesday, August 8, 2012

Bila dah bercakap....tak terlayan-layan.....

             

                Lewat perkembangan pertuturan.......antara masalah utama autisme. Kebiasaannya, inilah kelainan yang paling mudah dikesan bagi kanak-kanak autisme di awal usianya. Bahasa-bahasa pelik yang sukar difahami akan menyebabkan orang lain sukar pula untuk memahaminya.


                Mungkin ramai dari kita memperkatakan bagaimana hendak melancarkan pertuturan mereka supaya kedengaran seperti anak-anak lain. Sebenarnya sokongan  berterusan ibubapanya amat diperlukan disamping ilmu yang dikaut dari pihak-pihak yang berkepakaran dalam mendidik anak-anak autisme sehingga mereka boleh berkomunikasi dengan lebih berkesan dan tidak 'pelik' didengari.


Ramai yang kurang memahami percakapan mereka........
    

                Menurut pemerhatian saya, Syahmi kian menguasai pertuturan dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik jika dibandingkan suatu ketika dulu. Namun tidak dinafikan masih ada pihak ke dua dan ke tiga yang masih terpinga-pinga apabila berkomunikasi dengannya, mungkin disebabkan pertuturan yang agak cepat.


                Kekadangnya  pula, Syahmi akan mencelah bercakap ketika orang lain sedang asyik berbual tanpa memikirkan topik yang diutarakannya bersesuaian atau tidak. Yang penting baginya, pada saat dan ketika itu dia hanya hendak meluahkan apa yang berlegar di fikirannya tanpa memikirkan kesesuaiannya dengan keadaan.


Minatnya yang amat mendalam tentang aerospace .......

                Ada ketikanya pula, dia akan bertanya dan bertubi-tubi mendesak untuk mengetahui jawapannya tentang persoalan yang menjadi minatnya sedangkan kita tidak mengambil endah tentang perkara-perkara tersebut. Contohnya, Syahmi amat berminat dengan dunia aerospace dan sentiasa mencari maklumat terperinci tentangnya. Sedangkan kita tidak ambil peduli  rahsia Allah tentang kejadian di atas sana menjadikan kita 'mati akal' untuk menjawabnya.

                       
Perlulkah ini?

                    Perlukah kita merasa bosan untuk melayan perbualan anak autisme kita yang mula bertanya itu dan ini kepada mereka di sekelilingnya? Sebagai ibubapa, jangan harus terdetik perasaan tersebut memandangkan kita telah melalui  keresahan yang tak berkesudahan apabila anak kita melalui kesukaran untuk berkata-kata suatu ketika dulu. Bersyukurlah dengan nikmat yang telah diberikan sambil kita sendiri harus menambahkan ilmu untuk memperbetulkan kesilapan anak kita perlahan-lahan.

                   Jangan hairan kalau ada di antara anak-anak autisme kita yang menjadi pakar bahasa. Segalanya tidak mustahil......

                           
                       

                           
                         

                           

Saturday, August 4, 2012

'Little House On The Prairie'........masih ku ingat

Terkenang........

Teringat saya era 70an di mana TV pun kurang mampu dibeli oleh orang kita.....kalau yang mampu mendapatkannya mungkin segelintir sahaja.  Golongan biasa di kampung-kampung. kalau nak tengok TV kena pergi menumpang ke rumah jiran tetangga yang mampu mengadakan TV di rumah untuk melihat program-program yang menarik. Itu pun TV hitam putih, yang warna belum ada lagi di pasaran. Antara siri-siri TV yang diminati ramai di era 70an ialah Little House On The Prairie. Sebuah drama kekeluargaan yang mempunyai jalan cerita yang simple.....tak perlu 'pecah kepala' nak memikirkan endingnya.

Pelakon utama, Michael London (Charles Ingalls), Karen Grassle (Caroline Ingalls),
 Melissa Gilbert ( Laura Ingalls Wilder),
 Melissa Sue Anderson (Mary Ingalls Kendall), Lindsay Sydney Greenbush (Carrie Ingalls)

Drama bersiri 183 episode oleh NBC TV yang diterbitkan dari tahun 1974 hingga 1983, dimana kisah yang berlatarbelakangkan era 1870an tentang sebuah  keluarga yang menetap di kawasan ladang kecil berhampiran bandar Walnut Grove, Plum Creek, Minnesota. Inggals dan family mengharungi pahit manis bagi membina kehidupan berkeluarga disamping jiran-jiran yang pelbagai kerenah.


Ingatkah watak 'Nellie' yang paling dibenci ramai kerana keangkuhannya
terhadap ahli keluarga Ingalls?
'Albert Quinn Ingalls' anggota baru keluarga Ingalls yang dilakonkan
oleh Matthew Laborteaux - duduk (kanan)
Kisah ini berkembang hingga terdapat beberapa watak-watak baru dimasukkan ke dalam keluarga Ingalls antaranya tahun 1978 dimana watak Albert Quinn yang dilakonkan oleh Matthew Laborteaux sebagai anak angkat dalam keluarga bahagia tersebut. Pelakon kanak-kanak ini memegang watak yang agak pendiam namun diterima baik oleh ahli keluarga Ingalls.

Matthew Laborteaux

Matthew Laborteaux mengalami kelewatan perkembangan di awal usianya dipercayai AUTISME, dilahirkan pada 1 December 1966 di Los Angeles,California, USA. Selain dari berlakon dalam drama TV dan filem beliau juga banyak menumpukan lakonan alihbahasa watak-watak animasi seperti 'Yu-Gi-Oh'. Sebagaimana di dalam drama bersiri TV Little House On The Prairie, realiti kehidupannya yang sebenarnya  juga adalah anak angkat kepada pasangan Ron dan Frankie Laborteaux.


Beliau diambil sebagai anak angkat dari sebuah agensi tanpa menyedari bahawa anak tersebut mempunyai symptom autisme. Cuma mereka hanya diberitahu bahawa anak tersebut mempunyai masalah 'jantung berlubang' semenjak dilahirkan. Beliau disedari mempunyai ciri-ciri autisme sehingga berlakunya lewat perkembangan jika dibandingkan dengan  kanak-kanak normal seperti berjalan ketika umurnya 3 tahun sementara bercakap semasa umurnya 5 tahun. Tantrum, menjerit adalah perkara lumrah yang cuba ditangani oleh kedua ibubapa angkatnya. Namun pasangan Ron dan Frankie Laborteaux amat menyayanginya walaupun doktor dan psychiatrist mengesahkan bahawa harapan yang sangat minima untuk pulih.


Anak-anak autisme sebenarnya adalah cabaran buat ibubapa. Jika kita positif terhadap cabaran tersebut dan segera mencari serta membuka langkah untuk mengatasi cabaran itu, maka harapan tetap ada buat mereka. Semoga kita mengambil iktibar dari sejarah kehidupan Matthew Laborteaux, kasih sayang ibu dan ayah angkatnya mengatasi kekurangan yang ada. Tidak salah rasanya untuk kita buat renungan dan juga sebagai motivasi diri.

                     


                     

                     
                             

Thursday, August 2, 2012

Pernah beraya tanpa pakaian baru........



Bila hariraya hampir tiba,  pasti pakaian baru yang dititikberatkan buat anak-anak. Namun  tahun 2006,  kami sekeluarga malas nak berbelanja membeli pakaian baru. Syahmi ketika itu berusia 4 tahun, enggan memakai pakaian tertentu terutamanya yang berkolar seperti Baju Melayu hingga berguling-guling mengamuk kalau dipaksa memakainya.


Hilang mood nak beraya bila pagi-pagi raya dia hanya berbaju singlet mundar-mandir sendirian di rumah Atok di kampung, sedangkan saudara mara yang  lain segak bergaya dengan pakaian baru serta bergambar kenangan. Ada yang bertanya-tanya hingga naik panas cuping telinga seolah-olah kita tidak tahu mengajar anak.

Suatu ketika inilah baju yang menjadi pilihannya walau di pagi raya....
                   
Sebenarnya nampak comel bila anak-anak kecil lelaki mengenakan Baju Melayu, tapi mungkin kerana kurang selesa dan rimas agaknya Baju Melayu yang dibeli hanya bergantungan di almari. Kalau boleh dia mahukan yang open air gitu (tak berpakaian lagi happy nampaknya) tapi sampai bila? Ketika usianya 1-3 tahun kami masih mampu 'bertarung' dengannya untuk memakaikan Baju Melayu barunya. Tapi bila umurnya dah masuk 4-5 tahun, kami tewas sebelum 'bertarung' sebab dia dah pandai buang sendiri baju yang kita pakaikan.


 Ketika  usianya 2 thn  (2004)  Syahmi masih boleh
dipaksa memakai Baju Melayu   
 
Tahun 2006 dalam kenangan.....Sebagai ibubapa seharusnya jangan cepat putus asa. Tiada pakaian baru bukan masalah  besar di pagi raya, Cuma anak-anak autisme ni, kadang-kadang kita kena bertegas sedikit walaupun tindakbalas darinya boleh memalukan kita di khalayak ramai. Lama kelamaan, bila ia menjadi kebiasaannya pasti segalanya akan bisa diatur.


Jangan lupa anak-anak autisme ada yang amat sensitif terhadap fabrik. Saya pun kurang pasti, adakah masalah Syahmi yang enggan berpakaian ini yang dinamakan sensitif pada fabrik? Namun sekarang tidak lagi, dia telah boleh berhariraya dengan Baju Melayunya.


Bila usia kian bertambah (8-10thn)....tiada lagi masalah berpakaian


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...