Suasana hariraya di kampung bersama sanak saudara amat meriah rasanya. Berebut-rebut bilik air untuk mandi di pagi raya, berebut-rebut seterika untuk menggosok pakaian baru, pokoknya dalam diam kita berlumba-lumba dengan keluarga adik beradik yang lain untuk menyiapkan makan pakai keluarga masing-masing di pagi raya sebelum ke masjid.
Bagaimana beraya dengan anak istimewa ku? Kalau keluarga lain bersahaja berpakaian, kami berkejar-kejar ke sana ke mari untuk memakaikan si anak dengan pakaian baru. Kalau ke studio bergambar kenangan di pagi raya, anak kami amat sensitif dengan kegelapan di studio dan flash dari kamera. Maka beginilah hasilnya gambar-gambar kami sekeluarga ketika si anak di awal usia, semua aksinya sedang bergantung bergayut di tengkuk ayah. Ini cerita lama, semenjak bersekolah dia dah terlebih bijak berposing di hadapan kamera.
Inilah antara aksi kelakar anak istimewa ku bila berhadapan dengan kamera...penuh dengan ketakutan serta cucuran airmata |
Bukan setakat sampul hijau diterima, didakap dan dicium kerana kamu tamu istimewa...... |
Makan bersila pun tiada halangan baginya......tapi sebekas 'maruku' jadi hakmiliknya |
Bercakap berkenaan sampul hijau, anak syurga ku belum mengerti tentang keperluan duit raya kerana dia belum pandai nak beli itu dan ini. Cuma jika dihulur, dia akan menerimanya dengan senang hati lalu dimasukkan ke dalam poket. Bila dah banyak terkumpul, barulah diserahkan kepada Puan Akauntan, ibunya.
Tengok tu....si baju hitam sedang memasukkan sesuatu ke dalam poketnya.....bijak...bijak |
Setelah puas ke sana ke mari menziarah sanak saudara, pasti si anak tak boleh tahan lagi dengan cuaca panas, lagi pun perut dah kenyang, sementara poket melimpah ruah dengan sampul hijau. Tentu mula merengek-rengek nak balik rumah. Kalau tak dilayan, tantrum pulak mari, haru-biru dibuatnya. Lebih baik beredar bagi dia cool dulu, lagi pun anak syurga kami tak boleh berpisah dengan dunia cybernya lama-lama.
Terima kasih Syahmi, sekurang-kurangnya ibu dan ayah masih dapat berhariraya seperti orang lain. Kami tahu ada keluarga yang berada di dalam keadaan dilema bila nak berhariraya ke rumah sanak saudara sebab dikhuatiri tidak dapat mengawal tingkah laku anak istimewa masing-masing.
Semoga hariraya tahun ini kita dapat beraya dengan gembiranya.........
0 comments:
Post a Comment