A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, April 30, 2012

Bangga jadi graduan ITM 80an....



Mengimbau  zaman mula-mula melangkah kaki ke Institut Teknologi Mara Cawangan Perak di Sri Manjung era 80an gitu, Minggu Sillaturrahim  diadakan bertujuan untuk menyuaikenalkan antara siswa/i mahupun dengan kakitangan serta suasana baru di kampus. Selama seminggu penuh dengan aktiviti 'penyiksaan' jiwa dan raga rasanya. Makan tak kenyang, mandi tak basah diarah itu dan ini, pokoknya kami sentiasa berkejar masa. Jika terbabas, adalah orang yang akan dikenakan denda mencium bontot bas.

Logo ITM era 80an

27 tahun berlalu, semua kenangan masih dalam ingatan. Tuan Ibrahim Tuan Man adalah antara pensyarah saya (Pengajian Islam) semasa menuntut di sana.  Semua siswa/i adalah di kalangan bumiputera. Kesedaran anak peribumi dititikberatkan supaya dapat memastikan kesinambungan bangsa di bumi sendiri mamandangkan kurangnya penguasaan bumiputera dalam bidang ekonomi ketika itu.


Sekarang di  tahun 2012, saya telah memahami mengapa semasa majlis penutup Minggu Sillaturrahim kami diarah menyanyikan 'Lagu Warisan' berulang kali hingga tetamu kehormat  ketika itu Allahyarham Tuan Hj Nik Abdul Rashid selaku Pengarah ITM berpuashati. Bagaimanakah seorang Pengarah ITM menyatakan rasa puashatinya terhadap nyanyian 'Lagu Warisan' ketika itu? Dengan lelehan airmata kerana penghayatannya terhadap lirik lagu tersebut.


Allahyarham Dato Nik Abdul Rashid
(Pengarah ITM 1980-1986)

Dapatkah kita berjiwa seperti mereka-mereka yang terdahulu? Atau telah lenyap segalanya kerana kita telah berpuashati dengan apa yang kita kecapi kini.....tepuk dada tanya jiwa yang tenang, apa yang kita mahu corak dan wariskan masa depan anak-anak kita? Sedihnya dengan peristiwa Bersih 3.0 pada 28/4/2012 kelmarin yang memperingatkan kita tentang kealpaan bangsa....
         
   
Lirik 'Lagu Warisan"
                     

Thursday, April 26, 2012

Baby Syahmi....


Syahmi lahir ikut tingkap! Syahmi big baby....bukan alang-alang besar, 4.4kg fizikalnya seolah-olah seperti bayi yang dah berusia 3 bulan semasa dilahirkan. Nak menggendongnya pun sampai sakit belakang dibuatnya,  terasa segala urat menjadi tegang jika mendukungnya terlalu lama.

Baby Syahmi...

Alhamdulillah...syukur atas kurniaanNya walaupun cita-cita untuk mendapatkan seorang baby girl akhirnya berkecai seperti kaca terhempas ke batu. Syahmi membesar seperti anak-anak yang lain, eye contact sangat bagus, waktu tidur yang berkualiti serta on time, suka dipeluk......malahan sangat comel dengan pipinya yang chubby serta tidak banyak kerenahnya.


Baby Syahmi tidak pernah merangkak.......tapi terus duduk

Cuma beberapa kelainan yang dapat dikesan namun tidak mendatangkan kecurigaan pada mulanya antaranya,  berhenti menyusu agak awal iaitu ketika umurnya 18 bulan. Lalu terpaksalah ditukarkan ke sumber kalsium yang lain. Tidurnya juga sering terganggu kerana sangat sensitif pada bunyi-bunyi yang agak kuat seperti mercun, deruman kereta yang lalu lalang dan sebagainya. Syahmi juga berlainan dari bayi-bayi yang lain sebab dia tidak mengalami proses 'merangkak' dalam tumbesarannya. Tidak pandai bermain 'tepuk amai-amai' seperti bayi seusia walau berkali-kali diajar. Masalah lambat bercakap adalah kelainan yang paling ketara dan membuatkan hati ayah dan ibu mula terdetik rasa....ada sesuatu yang tidak kena pada baby Syahmi kami.

Sihat fizikalnya!
       
Siapa akan percaya, disebalik fizikal yang sempurna, ada suatu kurniaanNya yang ayah dan ibu terlambat untuk mengenalpastinya. Tuhan maha mengetahui atas segalanya. Mungkin sesuatu yang kurang senang untuk diterima  sebenarnya di sisi Allah adalah yang terbaik buat kita. Setelah Syahmi didiagnose sebagai anak autistic kira-kira umurnya ketika itu 5 tahun, barulah kami tercari-cari intervensi awal.


Redha dan berusaha menjadi ibubapa yang terbaik buat anak anugerahnya ini. Saya percaya walaupun penawarnya masih belum ditemui di serata dunia tapi sebagai mukmin kita masih ada senjata teragung iaitu 'doa'. Disamping itu, usaha juga harus berterusan dan dilipatgandakan supaya  potensi diri anak ini yang sebenar tidak disia-siakan.  Ketepikan cacian, cemuhan dan penghinaan dari masyarakat yang rendah kesedarannya tentang autisme. Berlapang dada terhadap kekhilafan mereka........buktikan baby Syahmi juga boleh membanggakan ayah dan ibu suatu hari nanti.


Sekarang baby ayah dan ibu udah besar.... dah nak 10 tahun umurnya , berdiri sama tinggi dengan ibunya. Namun Syahmi tetap 'baby' di hati kami sekeluarga. Sayang baby Syahmi!

     
Our baby sudah besarrrr....

               

Tuesday, April 24, 2012

Lakaran yang menakjubkan!

Minat mengatasi  segalanya!
 
               Tidak minat melukis, tidak  bermakna langsung tidak boleh melukis secara keseluruhannya. Mungkin motif-motif tertentu seperti bunga-bungaan bukan menjadi  pilihannya. Tapi kerana minat terhadap sains angkasa, sesuatu yang  mustahil menjadi nyata.


                Segala yang berada di minda sering diterjemahkan dalam buku contengannya. Hampir setiap hari jika ada waktu kelapangan semasa di sekolah,  pasti Syahmi akan melukis tentang minatnya. Ada saja lakaran-lakaran yang menarik untuk kita teliti dengan penuh takjub. Bagaimanakah agaknya minda insan istimewa ini dapat menterjemahkan sehalus-halusnya minat mereka? Tidak tercapai rasanya akal anak-anak nomal lain yang seusia dengannya!


Dapatkah kita insan normal  mengingati sesuatu sebegini detail?
             
                    Inilah antara lakaran-lakaran yang dapat saya selongkar dari buku contengan anak autisme ini. Minatnya tentang sains angkasa membuatkan kita terkial-kial untuk menjawab persoalan yang dikemukakan olehnya. Baru disedari betapa lemahnya si ayah walau hanya dibandingkan dengan si anak istimewa ku, Syahmi.  Apatah lagi aku di sisi Mu ya Allah!


               

Sunday, April 22, 2012

Cabaran datang lagi!

        Sebenarnya dah lama saya mendengar desas-desus dari guru-guru Pendidikan Khas bahawa Syahmi akan di dedahkan dengan pertandingan pidato semenjak tahun lepas. Tapi ianya tidak menjadi sebab Syahmi enggan memberi kerjasama.


Tilawah Al Quran kali ini!

        Namun tahun ni, desas-desus itu bertiup lagi untuk membuka ruang kepada Syahmi bagi mengasah bakatnya  dalam tilawah Al Quran pula di peringkat daerah Kuala Terengganu. Dek kerana ini merupakan perkara baru baginya, challenge yang paling getir buat saya dan isteri ialah untuk membina keyakinan diri Syahmi bagi berhadapan dengan orang ramai dalam suasana pertandingan.

     
        Sebagai ibubapa, saya berasa lebih teruja dan tercabar untuk mencari pendekatan terbaik supaya Syahmi lebih berkeyakinan bagi  mengawal emosi semasa pertandingan dijalankan. Harus diingat bahawa cabaran ini bukan terhadap anak-anak normal, tapi anak autisme yang memang diketahui mempunyai pelbagai kekangan semulajadi umpamanya masalah sensory.

     
         Contohnya, kalau kita tidak selesa apabila mendengar kilat dan petir bila hari nak hujan, bagi Syahmi reaksinya agak berlebihan dibandingkan dengan kita insan normal. Bagaimana nanti agaknya keadaan dia yang akan naik ke pentas untuk berhadapan dengan hadirin buat pertama kalinya? Ya Allah ya tuhan ku....bantulah anugerah Mu ini apabila melalui situasi yang sebenarnya  nanti.....hanya pada Kamu tempat ku meminta...amin.


Ayah tidak mengharap kamu sebaik Qari Kebangsaan ini!


         Semoga dipermudahkan olehNya terhadap cabaran yang akan dilalui oleh Syahmi. Tilawah yang akan berlangsung pada 10hb Mei 2012 nanti, akan membuka lembaran baru buat anak istimewa ini untuk membina keyakinan diri. Syahmi sebenarnya amat berkebolehan, cuma ianya belum terserlah dan perlu digilap. Diharap cabaran kali ini dapat diharungi hasil  kerjasama ibu dan ayah serta guru-guru sekaliannya.


        Kejayaan tidak datang dengan bergolek! Lebih manis untuk dikecapi jika ianya terhasil dari penat lelah dan usaha keras. Ayuh Syahmi! hari-hari kita berlatih untuk melancarkan bacaan Surah A'Basa supaya impian kita jadi nyata. Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya....InsyaAllah....


       
        

Thursday, April 19, 2012

Bukan emas yang ku pinta!

            Ganjaran amat penting sebagai penghargaan kepada  anak-anak autisme apabila mereka berjaya melakukan sesuatu perkara positif. Bukan sekadar bertepuk tangan saja sudah mencukupi. Sekali sekala kita harus memberikan ganjaran berbentuk barangan untuk memotivasi serta menghargai pencapaian mereka.
Bungkusan yang besar bukan ukuran!

             Kalau musim sukan di sekolah, kebanyakan acara menyediakan medal dan trophy untuk menjadi rebutan. Lagi terharu rasanya hadiah berupa bekas air plastik diberi pada budak-budak yang masuk acara sukaneka. Bagi Syahmi semua hadiah-hadiah seumpamanya tidak dapat menarik perhatiannya untuk merebut kemenangan dalam acara-acara sukan. Biarlah orang lain bongkok tiga...... berat dikalung dengan medal, Syahmi tak kisah pun!

Biarlah orang lain berbangga dengan medalnya!

                     Wang tunai juga tidak dapat menggembirakan hati anak autisme saya. Mungkin disebabkan faktor umurnya yang baru menjangkau 10 tahun, belum pandai nak bershopping sakan. Pakaian langsung tiada tersenarai di fikirannya....baju koyak rabak pun sanggup dipakai.  Jadi apa yang kau mahu wahai anak ku?


Wang yang banyak tiada nilai baginya!

               Syahmi hanya ceria jika dihadiahi dengan sesuatu yang menjadi obsess semasanya. Pernah suatu ketika saban minggu minta dibelikan hadiah berupa passenger plane model. Kadang-kadang MAS kemudian Air Asia dengan pelbagai model Boeing mahupun Airbus.                


Model jer .....sudah memadai baginya!
                       
               Syahmi juga akan bernyanyi kecil apabila dihadiahi dengan bahan bacaan bergambar tentang minatnya seperti gambar-gambar masjid, gambar space shuttle, gambar menara antara yang tertinggi di dunia dan sebagainya. Pasti bahan-bahan ini akan dikepit di bawah ketiak kemana saja pergi, even ke sekolah.


Bahan bergambar sebegini......seperti pucuk dicita ulam mendatang baginya!

              Jangan ambil hati kalau Syahmi buat muka 'sekupang' bila menerima hadiah yang tak berkenaan di hatinya. Harga bukan menjadi ukuran....yang penting mesti seirama dengan obsessinya. Pasti senyum sampai ke telinga.

              Terima kasih daun keladi, kalau boleh nak lagi!


Wednesday, April 18, 2012

Sekurang-kurangnya 2012 lebih bermakna!

          Kalau dulu, saya  bersendirian melawan cabaran membesarkan anak autisme. Terkial-kial mencari ke sana ke mari teman untuk meluahkan rasa. Akhirnya duduk di depan laptop, google apa yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat.  Sedangkan ahli keluarga terdekat hanya membisu kerana tiada pengetahuan mahupun  enggan menerima kenyataan.


Sendirian!

          Bertahun-tahun mencari kekuatan....atas pertolonganNya jua dapat meneruskan perjuangan walaupun di kiri kanan ada yang berbisik nakal....menuding kesalahan pada kami ibubapanya, memandang dengan kehairanan dan ada juga yang bersimpati hingga menimbulkan keresahan. Sebenarnya ketika itu apa yang saya mahukan hanyalah dorongan dan semangat bukan mematahkan semangat.


Berbisik biar pada tempatnya....

        Kalau dulu, saya tak ambil pot pasal Autisme Awareness. Sekarang semua sudah bertukar! habis-habisan berApril dengan warna biru.... cuma sayang banyak aktiviti sempena bulan Kesedaran Autisme
tak disertai disebabkan faktor jarak yang tidak mengizinkan. Kami di sini hanya tumpang gembira melihat sahabat-sahabat yang  ceria menyertai acara larian yang dianjurkan sambil di hati  menjeruk rasa...hehehe. Yang berpeluang masuk TV pun... tahniah! Sekurang-kurangnya suara kita dilihat dan didengari.

Logo Autisme Malaysia

         
        Segalanya berubah setelah bersama Autisme Malaysia. Ringan sedikit bahu yang memikul kerana kami bersama-sama berkongsi idea mengharungi cabaran mendidik anak autisme. Tangisan dan senda gurau bersilih ganti walaupun hanya di maya. 2012 nampaknya lebih bermakna dengan Autisme Malaysia.
     
        Terima kasih Autisme Malaysia terutama pada orang kuatnya seperti Dato Zamri Tembol suami isteri, Syahida Yep, Hayati Jafar, Noradilah Abdullah, Marina Ariff suami isteri, Zaini Abas serta isteri, Dr Hasnah Toran,  dan ramai lagi, jika nak disebut semua sahabat di Autisme Malaysia pasti sampai ke pagi esok pun belum selesai lagi....Dengan keahlian yang semakin memberangsangkan, saya percaya warga Malaysia akan dapat dibangunkan tentang kesedaran autisme. Moh kita sama-sama  berjuang dibawah satu lambang Autisme Malaysia!

     
        Kepada Syahirah Omar terima kasih tidak terhingga kerana andalah yang approve saya untuk menjadi ahli kepada Autisme Malaysia. Walau tidak pernah bertemu....sahabat-sahabat semua sentiasa dekat di hati saya. Syabas!

           

Thursday, April 12, 2012

Eye-Contactnya Ke Laut.....

 

'Dari mata jatuh ke hati', ini perumpamaan orang Melayu lama. Maksudnya melalui pandangan mata boleh melahirkan rasa cinta di hati seseorang. Sayangnya bagi sesetengah insan, pandangan matanya ke laut (bahasa kelakarnya), terutama bila berdepan dengan seseorang. Mungkin dia seorang pemalu ataupun seorang insan autisme?

Good eye-contact

Pernah suatu ketika saya menyangkakan anak saya amat pemalu orangnya kerana sering mengelak pertembungan mata setiap kali berhadapan dengan orang-orang yang tidak dikenalinya. Apabila saya mengetahui melalui pembacaan tentang ciri-ciri  autisme, maka terkejut yang amat sangat rasanya kerana saya tidak menyangka eye-contact yang lemah juga tergolong dalam ciri-ciri autisme.

 
Namun kita sebagai ibubapa anak autisme, jangan memandang remeh persoalan ini. Perhubungan sosial akan terjejas kerana masalah eye-contact. Kebanyakan dari kita akan berasa kurang selesa apabila  berbual mesra dengan rakan yang lemah eye-contactnya kerana melalui pandangan matalah kita dapat menbaca response yang ditunjukkan terhadap sesuatu topik perbualan. Perbualan menjadi kaku kerana kelemahan sosial skill yang penting  ini (eye-contact).


Tiada kemesraan dalam perhubungan  jika tiada eye-contact 

Usaha  yang paling mudah dan  boleh dipraktikkan di rumah bagi membiasakan anak istimewa kita mahir dalam memberi tindakbalas terhadap pertembungan dua pasang mata ialah dengan  menarik perhatiannya  terhadap mata kita seperti berlakon seolah-olah kita sedang sakit di bahagian mata. Lakonan mesti mantap sebab ibubapa anak istimewa mesti kreatif dalam segala hal. Biasanya anak-anak kecil boleh tertipu dengan helah sebegini. Tipu yang diharuskan....

Beri peluang pada si puteri melakukan makeover terhadap si ibu!

Jika anak perempuan pula, arahkannya menjadi jurusolek tidak bertauliah seketika untuk dibuat makeover terhadap wajah si ibu terutamanya di bahagian mata. Pasti si cilik akan bergembira sambil si ibu  boleh  bertanya soalan-soalan  menarik minatnya sambil  menggalakkan mata si anak tertumpu ke mata si ibu. Biar makeover kurang menjadi, asalkan matlamat kita tercapai.


Menurut pengalaman saya terhadap putera saya Syahmi, masalah eye-contact bagi anak autisme boleh diminimakan dengan usaha-usaha kita yang berterusan semenjak mereka kecil lagi.. Semakin meningkat usianya kita boleh memberi teguran membina kepadanya berupa peringatan dan galakan tetapi bukan dalam bentuk 'condemn'.


Sebelum mengakhiri bicara rasanya satu lagi idea untuk membina eye-contact yang baik anak-anak kita ialah dengan kemahiran berposing di hadapan kamera. Tak percaya??  Tengok gambar di bawah ni.....


Perfect eye-contact!
         
           

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...