A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, October 5, 2012

Prestasi Menulis Antara Anak Tipikal Dengan Yang Autisme

                   
Dari segi penampilan keduanya tiada beza, yang tipikal mahupun yang autisme. Cuma yang autisme kena banyak diberi perhatian kerana kekangan semulajadi yang ada. Jika dibandingkan dengan keupayaan menulis sahaja, prestasi kedua-duanya telah menampakkan perbezaan yang ketara di peringkat awal usia. Ini membuatkan kami sebagai ibubapa amat gusar memikirkan saat Syahmi hendak memulakan persekolahannya.


Kiri: Syahmi Asyraff (Autisme)    Kanan: Syawal Aiman(Tipikal)

Yang tipikal,  telah memulakan persekolahan semenjak berusia 5 tahun (2001). Ketika usianya 6 tahun, telah mahir menulis seperti rakan-rakan lain seusia. Tulisan yang kemas dan mewarna dengan begitu baik sekali. Sering mendapat pujian dari guru-gurunya dalam setiap hasil kerja. Ini berlarutan hingga melangkah kaki ke peringkat rendah persekolahan. Tiada yang perlu dibantu, memadai dengan ajaran guru di sekolah. Nikmat dari-Nya dengan kurniaan  sesempurna ini sering membuat kita lupa.....kekadang terasa apa yang anak kita buat masih tak mencukupi. Kalau boleh biar anak ini menjadi lebih baik dan terbaik antara rakan-rakannya....begitulah kelemahan kita manusia sentiasa rasa tidak cukup atas kurniaan-Nya.



Hasil kerja anak tipikal saya ketika usianya 6 tahun (2002)...Syawal Aiman

Apabila saya mempunyai anak autisme, pengalaman lalu untuk memahirkan dia menulis, terasa seperti  mendaki gunung yang tinggi. Sangat perlahan perkembangannya, hampir putus asa dan memang menguji kesabaran. Yang membuatkan kita kecewa, Syahmi sebenarnya amat bijak serta mempunyai daya ingatan yang baik tapi sayang apabila diarahkan membuat gerak kerja penulisan fokusnya hanya seketika.... 10 minit umpama sejam baginya.


Namun, apabila Syahmi dimasukkan ke Pra Pendidikan Khas, Sek Keb Seri Budiman II, barulah perbezaan nampak nyata. Bimbingan guru yang berpengalaman amat membantu perkembangannya. Jika di awal tahun daya fokus terhadap aktiviti menulis hanya 10 minit  kemudian beransur-ansur bertambah hingga ke 30 minit di akhir tahun. Tetapi ianya bukan diperolehi dengan mudah tapi disiplin yang ketat  oleh gurunya Cikgu Rosma Jasni.


Inilah antara hasil kerja pertama Syahmi ketika usianya
 4 tahun.......hanya melukis objek yang digemari - kren

                         
Ketika usianya 5 tahun juga ......hanya nombor -nombor  yang
 menarik minat  Syahmi untuk menulis


Tulisan Syahmi semasa di Tahun 1 (7 tahun) ketika menjawab
 soalan Bahasa Inggeris
                         

Tulisan Syahmi semasa di Tahun 2 (8 tahun) ketika menjawab
soalan Bahasa Melayu
   

 Tulisan Syahmi semasa di Tahun 3 (9 tahun) ketika menjawab
 soalan Bahasa Melayu

Tulisan Syahmi sekarang (2012) di Tahun 4 (10 tahun) ketika menjawab soalan
 Kertas II Bahasa Melayu (Nilai Murni)
                           
Sementara yang ini merupakan tulisan Syawal semasa di Tahun 4 (10 tahun) ketika menjawab
soalan Kertas II Bahasa Melayu (Nilai Murni)


Beginilah hasil yang diperolehi, merangkak-rangkak melawan kekangan yang ada sehingga menyamai prestasi abangnya (menulis) ketika umurnya 10 tahun iaitu di Tahun 4. Syahmi sudah tidak mengadu lenguh-lenguh tangan lagi untuk membuat latihan yang banyak. Ini cukup melegakan kami dalam sudut tersebut.


 Dalam memperkatakan perkembangan positif tentang anak saya, kekadang saya terlupa pada anak-anak autisme lain yang severe kondisinya dimana mereka ini sukar menerima pelajaran dan lemah dari segi pengurusan diri. Saya faham, cabaran ibubapanya lebih sukar, lebih getir dari mata yang hanya melihat. Saya percaya adalah ganjaran dalam bentuk yang berlainan dikurniakan Allah buat ibubapa 'terpilih' ini.


Perjuangan kita berbeza cara,  tapi kita semua jangan mudah berputus asa mendidik anak autisme masing-masing........severe ke, mild ke atau aspie, semua anak istimewa anugerah dari-Nya yang Esa. 

Sunday, September 30, 2012

Sukar memahami abstract idea......lemah imaginasi


Matematik


                                 Matematik merupakan matapelajaran yang digemari Syahmi. Kebiasaannya subjek ini tidak menjadi masalah baginya untuk memperolehi gred A. Cuma jika dibuat analisis dari kertas ujian yang pernah dilaluinya dalam usia 10 thn di Tahun 4,  Syahmi mengalami masalah untuk memahami kehendak soalan yang berbentuk 'solving problem'.


                                 Sebenarnya kanak-kanak tipikal juga mengalami masalah yang sama. Inikan pula anak autisme yang kebanyakannya mengalami kekurangan semulajadi untuk berimaginasi. Kebiasaannya soalan Kertas II Matematik Tahun 4 mengandungi soalan 'solving problem' seperti di bawah yang bernombor 19 dan 20. Tanpa bantuan GAMBAR RAJAH  mahupun JADUAL,  memang anak ini merasakan kesukaran untuk memahami  dan kebiasaannya soalan-soalan sebegini Syahmi akan dapat 'pangkah besar'.


Contoh soalan Kertas II Matematik Tahun 4

                                   Bagi mengatasinya, kena perbanyakkan latihan. Tiada jalan mudah, semoga lama kelamaan masalah dapat diatasi. Peranan ibubapa sangat besar dalam membantu anak-anak istimewa untuk bersaing dengan anak-anak typikal di aliran perdana . Guru-guru di aliran perdana tidak harus diletakkan kesalahan kerana mereka juga tidak dilatih untuk murid-murid berkeperluan khas. Anggaplah anak kita hanya 'menumpang' di tempat orang, 'biar pandai menjaga diri'.

                                   Selagi termampu, kita ibubapanya harus berperanan sebagai  guru, pengurus, kawan dan sebagainya buat anak istimewa kita. InsyaAllah dengan izinNya jua, tiada usaha yang sia-sia......

                                 

Saturday, September 29, 2012

Dulu bersendirian...sekarang tidak lagi....

                           
                           Lima tahun dulu ketika anak saya didiagnose mengalami gangguan autisme, saya hanya bersendirian menempuhi cabaran mendidik anak istimewa kami. Ke sana ke mari bertanya-tanya dan tercari-cari sesiapa yang dapat membantu kami sekurang-kurangnya menjadi pendengar setia kepada sedu-sedan kami dan mengikhlaskan bahunya sebagai penampan ketika kami rebah.


                            Setelah bersama Autisme Malaysia kira-kira setahun yang lalu, saya tak rasa bersendirian lagi sebab hari-hari dapat berinteraksi dengan 'saudara mara' yang faham dengan situasi kita. Segala gerak  dikongsi bersama. Yang jauh, terasa dekat di hati. Dok kira mu orang Ganu ke, hang orang Penang ka, deme orang Perok ke mahupun orang  Sabah, Sarawak sekali pun,  alunan lagu kami tetap sama. Seia dan sekata.....suka dan duka bersama.


Syahmi dengan Uncle Wan (Kuala Lumpur)
Syahmi dengan Aunty Norizan (Kuala Terengganu)
Syahmi dengan Aunty Farrah (Shah Alam)
Saya dengan Afif - Anak autisme yang
berbakat dalam senilukis ( from Batu Pahat)
Syahmi dengan Aunty Ani Alfio Raldo (Temerloh)
Saya dan Syahmi diapit oleh Uncle Hasfizal Mukhtar dan
anaknya Umar Hasfizal -talented singer (Selangor)
Syahmi dan ibu bersama keluarga Aunty Suzilawati (Seremban)


                            Inilah antara wajah-wajah 'saudara mara' kami setelah bersama Autisme Malaysia yang sempat bergambar kenangan. Sebenarnya ribuan lagi 'saudara mara' yang bersama-sama berjuang untuk memberikan pendidikan terbaik buat anak autisme masing-masing. Walau lain ibu... lain bapa, namun kami tetap sehati dan sejiwa demi anak-anak autisme kami.

                            Semoga ikatan persaudaraan sesama kita berpanjangan......insyaAllah.

Thursday, September 27, 2012

Jangan Ambil Hati.....

                                 Dalam kehidupan seharian, perhubungan kita dengan insan sekeliling samada dengan anak-anak, suami dan isteri, jiran dan sebagainya kadang-kadang membuat kita terasa hati kerana disebabkan salah faham dalam perkara-perkara tertentu.

Jangan terasa hati..........

                                 Inikan pula bila kita berhubungan dengan insan autisme, terasa hati, jauh hati, memang menjadi lumrah bagi yang tidak memahami. Mereka yang berada di sekeliling, hendaknya janganlah terlalu 'ambil hati',  terhadap reaksi mereka. Inilah antara kekurangan semulajadi yang ada pada mereka dimana  ianya perlu kita perbaiki dari masa ke semasa walau ia tak semudah yang disangkakan.

Komunikasi sehala.......

                                 Perhubungan dengan insan autisme ibarat seperti komunikasi sehala yang tiada timbal baliknya. Mereka sukar membaca emosi pihak lain, membuat jenaka, memahami jenaka juga memahami kiasan. Reaksi mereka terhadap sekeliling amat sukar diramal dan berubah-ubah. Orang disekeliling perlu memahami kehendak mereka tapi sayang disebabkan gangguan neurologi yang ada, mereka gagal memahami kehendak pihak lain.

Bukan sombong atau angkuh.......

                                 Setiap kali saya menghantar Syahmi ke sekolah, kebiasaannya kelihatan murid-murid lain memberi salam bila bertemu guru sebagai tanda hormat. Tapi dalam kes anak saya, guru pulak yang menyapa mesra Syahmi, sedangkan dia buat tak tahu jer hingga kita sebagai ibubapanya kena perbetulkan keadaan. Inilah salah satu contoh bagaimana insan autisme tidak dapat membaca emosi dan reaksi orang lain terhadapnya. Tidak hairanlah ada yang menyangka mereka sombong dan angkuh.


                                 Sebagai golongan yang berpengetahuan  tentang masalah ini juga kepada sesiapa jua yang berhubung secara langsung dengan Syahmi.....maafkanlah dia dan fahamilah kekurangan yang ada padanya. Bukan disengajakan malah inilah yang membelenggu insan autisme sepertinya bila berhadapan dengan masyarakat.


                                  

Monday, September 24, 2012

Siapakah yang sudi?

                         Sebagai ibubapa, tertanya-tanya jua di hati adakah suatu hari nanti anak ku akan menemui jodoh yang sesuai buatnya insan autisme. Adakah insan yang sudi menjadi teman sepanjang jalan kehidupan setelah kami tiada lagi?

Siapakah yang sudi?
                           
                                Jodoh di tangan Tuhan, tiada siapa yang boleh mempercepatkan mahupun melambatkan walau seminit. Cuma sebagai ibubapa kami sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak kami. Masih jauh lagi perjalanan untuk membesarkan Syahmi supaya menjadi insan yang mampu berdikari. Semoga dipermudahkanNya......


Comel bakal menantu ku...hihihi
                       

                                Saya terpanggil untuk membicarakan topik ini setelah berbicara dengan  seorang pemuda autisme yang menyuarakan hasratnya untuk mencari-cari  pasangan yang sesuai buatnya. Terharu mendengarnya lalu terkenang bagaimana pula keadaannya anak teruna saya pula nanti?


                                Rahsia Allah......hanya Dia yang berhak menentukannya. Dengan berpegang kepada hakikat yang tersebut kita diperintahkanNya untuk berusaha. Kalau dah jodoh tak kan ke mana........



Ini bermakna bukan faktor autisme saja ramai rakyat Malaysia yang tidak
berkahwin.......banyak faktor lain juga menyumbang  kepada trend hidup membujang

                             

Friday, September 21, 2012

Faktor Genetik Ke?


     
               
                          Sejak akhir-akhir ini banyak kajian yang mendapati bahawa autisme adalah disebabkan juga oleh faktor genetik.  Harus diingat bahawa genetik hanya merupakan salah satu dari beberapa faktor yang dikaitkan menjadi faktor penyebab gangguan autisme selain dari komplikasi ketika bersalin, faktor vaksinasi, pengambilan makanan beracun yang tanpa disedari dalam kehidupan seperti pengawet, pewarna dan sebagainya.


                           Kajian menunjukkan bahawa ibubapa yang telah dianugerahi dengan anak autisme, maka kebarangkaliannya untuk melahirkan anak autisme yang berikutnya ialah 3 hingga 5 peratus.  Malahan bagi anak kembar seiras yang mengalami gangguan autisme akan memiliki kemungkinan 90%  saudara kembarnya juga mengalamai masalah yang sama.  Ini menyebabkan ramai pasangan yang mengelak untuk mendapatkan zuriat seterusnya kerana dibimbangi akan memperolehi anak yang juga bermasalah autisme.


                         Dalam tercari-cari kesilapan lampau, faktor genetik amat sensitif untuk diperkatakan. Ramai dari kita yang menafikan  faktor ini. Untuk mengaku kelemahan diri memang payah tapi cuba tenang dan berlapang dada.......lihat latar belakang keluarga mahupun diri sendiri. Kekadang kita akan nampak ciri-ciri autisme wujud pada diri sendiri walaupun tidak 100% menyamainya.

Berhujah bukan kepakaran ku......

                                  Pendiam adalah personaliti ku. Bila bercakap biasanya singkat dan tidak pandai mencelah jika sekumpulan kawan-kawan sedang rancak dengan perbualannya. Lebih suka berdiam diri dan menjadi pendengar setia. Untuk berhujah bukan aku  lawannya.....namun tak pasti samada zaman kanak-kanak lagi aku tergolong dalam kalangan yang 'berat mulut' atau lambat bercakap. Cuma yang pasti aku tidak berbahasa baku seperti mana insan autisme. Redhalah kalau anak ku Syahmi yang disahkan insan autisme masih berjuang untuk memperbetulkan gaya bahasanya kerana si ayah yang normal pun masih belum mahir berbahasa walau dah menghampiri setengah abad.

                         
                                 Harus diingat bahawa untuk mengklasifikasikan seseorang itu sebagai insan autisme adalah melalui syarat-syarat yang ditentukan  iaitu apabila seseorang itu menunjukkan 6 atau lebih dari 12 simptom yang disenaraikan dalam lingkungan tiga aspek utama perhubungan sosial, komunikasi dan tingkah laku. Bukan semudah-mudahnya untuk mengesahkan seseorang itu seorang insan autisme. Pemerhatian yang teliti oleh mereka yang berkepakaran seperti Perunding Psychiatry diperlukan untuk membuat keputusan yang tepat.

                                  Namun  jangan dicari-cari lagi kenapa, mengapa dan bagaimana hadirnya anak autisme dalam sesebuah keluarga.  Percayalah bahawa bila Allah berkehendak dan mengkehendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya 'Jadilah", maka jadilah ia. Begitulah ungkapan ayat-ayat kun (jadi) maka faya kun (jadilah) seperti mana dalam Al Quran. Yang penting kita jangan berlengah-lengah lagi, cepat mengorak langkah bagi membantu anak autisme kita untuk meminimakan permasalahan mereka demi masa depan.
                             
                                   Wallahualam bissawab..........



Tuesday, September 18, 2012

Autisme Malaysia di Masjid Putra, Putrajaya

Masjid Putra, Putrajaya

Beratus-ratus kilometre kami datang dari Kuala Terengganu untuk ke Masjid Putra bertemu 'sanak saudara' Autisme Malaysia.  Penat tak terhingga terubat jua dengan kemeriahan Majlis Aidil Fitri Persatuan Autisme Muslim Malaysia yang berlangsung di Dewan Makan Ibnu Khaldun, Masjid Putra, Putrajaya pada 16hb Sept 2012 yang lalu.


Selamat Datang Semua 


Keluarga ku

Tiada kata secantik bahasa yang sesuai untuk digambarkan suasana majlis tersebut. Cuma yang saya rasa......gembira teramat kerana walau sebelum ini antara kami ada yang belum pernah bertentang mata, kemesraan yang ditunjukkan bagai dah kenal lama. Mungkin beberapa saja yang tak dapat 'dicam' raut wajahnya, tapi tiada yang dapat menghalang kemesraan. Cuma masa yang membataskan segala. Namun tidak mengapa.... 'detik-detik' yang berharga akan tetap dikenang sampai bila-bila.


Dalam kemeriahan,  tak sedar ada yang ambil gambar kami suami isteri
               
Syahmi berpeluang untuk memperdengarkan Hafazan Surah A'Basa(80) Ayat 1-42 buat pertama kalinya berhadapan kamera TV3. Jika di peringkat sekolah dia sangat bersahaja, tapi kali ini dadanya berdebar kencang.  Alhamdulillah segalanya berjalan baik....walau suatu ketika dia dalam keadaan 'mute' namun dapat menyambung semula  hafazan surahnya hingga tamat.  Pendedahan yang sangat baik untuk masa depan Syahmi.


Aturcara Majlis


Syabas anak ku.....ayah pun belum tentu
mampu menandingi mu
                                 
Pelbagai kerenah anak-anak autisme yang kecil mahupun remaja  membuatkan kami tersenyum lebar. Mungkin bagi mereka yang tidak memiliki anak istimewa autisme, tidak akan faham dengan situasi kami menerima keadaan ini. Namun kami jua insan terpilih untuk bersabar dengan aksi-aksi 'cantik' mereka. Mungkin inilah cara Allah memberi laluan pahala pada kami.


Penampilan Istimewa Oleh 5 Insan Istimewa Autisme Syahmi, Asma', Abg Jefri,
 Hazim dan Umar dengan kebolehan masing-masing

Kemeriahan bukan berlalu begitu sahaja, rasa keinsafan, kesyukuran,  kekeluargaan mengiringi kami semua dengan semangat untuk membesarkan anak-anak autisme kami sebaik mungkin. Yang penting kami tidak bersendirian menghadapi cubaan ini. Yang berpengalaman membantu mereka yang masih terpinga-pinga dengan ujian yang diterima supaya tiada yang tersesat di jalanan.

                                   
Berpegang tangan dalam erti kata saling bantu membantu supaya kita sama-sama  berjaya mengiringi anak syurga kita di sana nanti.....InsyaAllah...                          
                               


Liputan Oleh TV3 (MHI)

                               
                           

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...