A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Sunday, November 16, 2014

Kian Menghampiri....Selamat Tinggal SKSB II


Bermulanya di sini......Sek Keb Seri Budiman II

Cepatnya masa berlalu. Baru kelmarin dulu rasanya saya ke sana ke mari mencari pra sekolah yang menerima kehadiran anak saya untuk memulakan pembelajarannya. Lapan tahun yang lalu (2007), saya sangat bingung memikirkan hala tuju anak saya yang baru disahkan mengalami autisme.


Saya tidak pernah menyangka anak saya yang ini akan bersekolah di sini. Kebiasaannya ibubapa di daerah ini berebut-rebut untuk menyekolahkan anak masing-masing di sekolah-sekolah ternama seperti Sek Keb Sultan Sulaiman I (Sekolah Berprestasi Tinggi). Syawal, abang Syahmi juga bersekolah di Sekolah Keb Sultan Sulaiman 1 suatu ketika dulu. Syahmi juga saya daftarkan dia ke sekolah tersebut pada awalnya kerana ketika itu saya belum mengetahui bahawa dia anak istimewa.


Namun ketentuan Tuhan tiada siapa dapat menghalangnya. Hasil diagnosa doktor pakar telah 'memaksa' saya mencari sekolah yang mempunyai cabang Pendidikan Khas. Akhirnya Syahmi bersekolah di Sek Keb Seri Budiman II dari Pra PPKIBP hinggalah ke Tahun 6. Alhamdulillah.....walau berada di sekolah tidak ternama,  namun Allah telah menemukan Syahmi dengan sekolah yang mempunyai warga prihatin yang belum tentu dimiliki oleh sekolah-sekolah ternama. Apa ada pada nama?

         
Teman-teman Tahun 6 di aliran perdana...
               
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dan setiap permulaan juga pasti ada pengakhirannya. Terima kasih Sek Keb Seri Budiman II, anak saya akan meninggalkan sekolah ini dengan ilmu-ilmu berguna yang telah dicurahkan oleh guru-guru sekaliannya.


Hilang di mata namun di hati tidak akan lupa pada guru-guru yang pernah berperanan besar dalam membantu perkembangan penddikan Muhammd Syahmi Asyraff.....Cikgu Rosma Jasni (Guru Pra PPKIBP) Teacher Ling (bekas Guru PPKIBP), Puan Norliza (Guru Bahasa Melayu), Puan Zabedah (Guru Matematik) Puan Fatimah (Guru Sains) Sir Wahab (Guru Bahasa Inggeris), Ustazah Aluzza (Guru Pendidikan Islam) dan lain-lainnya. Semoga cikgu-cikgu semua sentiasa di berkati-Nya selalu....aamiin


Special thanks to Sir Wan Saiful Bahari, kerana dalam diam anda turut menyumbang kepada photo-photo yang menarik dalam setiap aktiviti yang melibatkan anak ini semasa bersekolah di SKSB II.


Terima kasih semua......

       
Guru-guru Sek Keb Seri Budiman II (2014)



         
                                                                                                                                                                                                                       

         

         
           
              

Wednesday, November 12, 2014

Majlis Graduasi PPKIBP SK Seri Budiman II



Alhamdulillah.... Majlis Graduasi tahun ini dibuat dengan begitu 'gah' di Auditorium Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada hari Khamis bersamaan 6hb Oktober 2014 yang lalu. Lapan belas pelajar akan melangkahkan kaki ke sekolah menengah, merupakan rekod 'graduan teramai' PPKIBP Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II setakat ini. Maka tahun hadapan, tiada kelihatan lagi muka-muka comel ini dari pandangan guru-guru. Tiada lagi Syahmi, tiada lagi Zahiruddin, tiada lagi Fawaz dan yang lain-lainnya.

Sepoi-sepoi angin bertiup dari Laut China Selatan
di sebelah kirinya...Auditorium Kesenian dan Kebudayaan Negara

Bukan mudah untuk melatih anak-anak Pendidikan Khas bagi menjayakan sebuah majlis yang seumpamanya. Namun, cacat cela di sana sini tidak menjadi hal kerana kita faham mereka anak-anak istimewa. Keletah mereka membuatkan kita terhibur.


Tetamu yang hadir merupakan ibubapa kepada anak-anak istimewa termasuklah Ustaz Azhar Idrus serta isterinya. Di auditorium yang selesa, berhawa dingin, majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat serta diikuti dengan penampilan khas bekas pelajar sekolah ini yang telah pun berusia 19 tahun dengan hafazan surah yang mengasyikkan. Adik Ahmad Fadhlur Ridhwan merupakan bekas Juara Hafazan Kebangsaan (Pendidikan Khas).


Aturcara Majlis
Adik Ahmad Fadhlur Ridhwan serta ayahnya Cikgu Sabri... 
Tetamu yang menjadi perhatian semua.....Ustaz Azhar Idrus dan isteri
Syahmi dipakaikan 'Selepang  Graduasi' serta menerima
cenderahati dari Pn Guru Besar....
Bergambar bersama-sama dengan guru-guru yang mendidik
selama 7 tahun bersekolah di PPKIBP SKSB II .....
Tayangan slide menunjukkan aktiviti PPKIBP sepanjang tahun 2014 antaranya
- Syahmi sedang menduduki peperiksaan -
Jamuan makan tengahari yang lazat....
Syahmi.....layan diri
Sempat lagi Syahmi tumpang glamour......bergambar
dengan Ustaz Azhar Idrus di luar auditorium

Sesungguhnya kemeriahan Majlis Graduasi ini, tidak dapat menyembunyikan kesayuan hati saya untuk mengucapkan selamat tinggal pada seluruh warga SKSB II setelah beberapa tahun si anak belajar di sini. Kerjasama ibubapa dengan para pendidik sepanjang 7 tahun, amat membantu perkembangan si anak. Terima kasih cikgu-cikgu dan PM semua, guru mahupun murid akan bersilih ganti. Namun budi dan jasa akan tersemat sampai bila-bila.


Mungkin anak saya tidak pandai hendak menyatakan rasa hatinya terhadap 'perpisahan' ini. Namun saya percaya, dia tidak akan melupakan tempat jatuh bangunnya, sendu sedannya, tawa rianya di sekolah ini bagi memperbaiki diri untuk menjadi manusia yang berguna suatu masa nanti....TERIMA KASIH CIKGU.....
           


             


Sunday, November 9, 2014

Mesti Lulus Yang Ini Dulu.....



Tahun depan anak ini akan melangkah ke sekolah menengah....

          Tahun depan, si anak akan melangkah ke sekolah menengah. Hala tuju anak ini seterusnya bergantung pada keputusan UPSRnya nanti. Namun, sebagai ibubapa kita kena fikirkan juga bahagian-bahagian tertentu yang masih belum dikuasai oleh si anak. Mungkin selama ini si anak telah terbiasa ibubapa yang sentiasa bersedia membantunya.


Pernahkah anda terfikir?

Kemahiran yang ini tidak harus dipandang ringan. Jika di sekolah rendah, mungkin 'tie sangkut' dibekalkan bagi kemudahan murid-murd. Namun apabila masuk ke sekolah menengah, tiada lagi 'tie sangkut' dibenarkan. Hendak atau tidak, tiap pelajar lelaki terutamanya dikehendaki memakai tie mereka yang dewasa. Semoga anak saya dapat menguasai kemahiran ini sebelum 2015 menjengah.

       
Sangat memudahkan.....gambar dari Mr Google

Bagaimana dengan kemahiran mengikat tali kasut? Anak istimewa autisme biasanya mengalami masalah fine motor skills. Semasa di sekolah rendah dulu mungkin kita menyediakan mereka dengan kasut sekolah berzap-on. Apabila di sekolah menengah, kebiasaannya pihak sekolah hanya membenarkan pelajarnya memakai kasut bertali. Mereka perlu ditunjukajar sedikit demi sedikit setiap kemahiran tersebut. Mungkin mudah bagi anak-anak yang tipikal, tapi agak sukar bagi seseorang anak istimewa untuk melakukannya.


Pelbagai jenis ikatan tali kasut.....gambar dari Mr Google
         
Proses pembelajaran anak istimewa berbeza sekali jika dibandingkan dengan anak tipikal. Kesabaran kita mendidik anak istimewa akan  menjanjikan perkembangan yang memberangsangkan. Jangan dipandang ringan walau hanya sebesar zarah pencapaian mereka itu. Berikan sokongan dan penghargaan atas setiap pencapaian mereka yang sedikit itu, kerana yang sedikit itu lama-lama akan menjadi bukit.


Semoga anak saya dapat menguasai kemahiran asas ini dengan baik kerana persaingan mendatang akan lebih hebat lagi apabila berada di kalangan mereka yang tipikal di peringkat menengah nanti. Jika perkara-perkara asas yang ini pun belum lulus, bagaimanakah agaknya yang lain-lainnya?


Cepat, cepat jangan berlengah lagi...yang ini mesti lulus dulu!


         
           
                   

Wednesday, October 29, 2014

Hypotonia (Low Muscle Tone)


Otot lengan  individu yang biasa (kiri) dibandingkan dengan
 otot individu yang dibina dari aktiviti senaman juga amalan pemakanan yang betul (kanan)
(sekadar hiasan)


Hypotonia atau Low Muscle Tone merupakan masalah yang jarang-jarang sekali dibincangkan oleh masyarakat. Kita tidak menyedari bahawa hypotonia merupakan permasalahan yang tidak harus dipandang ringan dimana ia boleh memberi kesan terhadap bayi mahupun yang dewasa. Biasanya hypotonia hadir bersama syndrome-syndrome yang lain (underlying). Hypotonia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti :

                                 1. Cerebral Pulsy atau otak tidak mendapat oxigen secukupnya ketika
                                     proses kelahiran
                                 2. Masalah genetik seperti Down Syndrome, Achondroplasia (dwarfism),
                                     Prader-Willi, Fragile X Syndrome dan lain-lain masalah kromosom
                                 3. Gangguan otot atau saraf seperti Mascular Disorder
                                 4. Infeksi yang serius seperti Meningitis, Encephalitis
                                 5. Kecederaan spinal cord ketika proses kelahiran
                                 6. Endokrin atau masalah metabolik seperti Hypothyroidsm, Rickets


Bayi hypotonia sangat signifcant untuk mengalami masalah pembelajaran, lewat pertuturan, lemah dalam koordinasi motor, gangguan kognitif atau kurang fokus. Maka tidak hairanlah ada kajian oleh Autism Society menunjukkan bahawa 30% golongan autisme mengalami hypotonia.


Berhati-hatilah jika bayi anda sukar mengawal pergerakan kepalanya, sukar menyedut atau mengunyah, nafas pendek, proses pertumbuhan dan perkembangannya mengalami kelewatan atau tertinggal mana-mana fasa jika dibandingkan dengan yang semulajadi. Inilah antara tanda-tanda yang boleh dikesan bila seseorang bayi mengalami hypotonia dan perlulah mendapat rujukan lanjut dari pihak perubatan. Awas, apabila si bayi mengalami keadaan seperti :


Begini.....

........dan begini

Malangnya, kita amat kurang didedahkan dengan permasalahan ini. Hala tuju seterusnya, hendaklah mendapatkan diagnosis dari pihak yang berkepakaran. Kita akan disyorkan supaya membawa si anak untuk mendapatkan rawatan Pakar Perkembangan Kanak-kanak, Physical Therapist, Occupational Therapist, Speech Therapist dan lain-lain yang berkaitan dengan permasalahan.


12 tahun lalu, anak autisme saya lahir tanpa pemantauan kami ibubapanya. Saya 'selesa' dengan keadaan anak walau terdapat perbezaan nyata dalam perkembangannya. Semua ini disebabkan faktor kurangnya ilmu juga info dari persekitaran. Bertitik tolak dari itu, saya gali dan terus menggali ilmu agar dapat dimanfaatkan oleh ibubapa lain disamping saya membantu anak saya sendiri.


Semoga dapat dimanfaatkan......wallahualam


         
                               
            

Monday, October 27, 2014

Kerdil Juga OKU....





Mungkin ramai yang tidak endah tentang kehidupan mereka yang kerdil. Cuma sekali sekala berada di kalangan masyarakat, mereka akan menjadi perhatian terutama oleh kanak-kanak yang berasa pelik dengan fizikal golongan ini yang berbeza dari masyarakat umum. Snow White And Seven Dwarfs, merupakan buku cerita yang biasa dibaca di zaman kanak-kanak, namun anak-anak biasanya menyangkakan golongan ini wujud hanya dalam cerita-cerita fantasi.


7  Dwarfs......


 BILA SESEORANG ITU DIKLASIFIKASIKAN SEBAGAI KERDIL?


 Seseorang itu dkatakan kerdil apabila insan dewasa yang hanya berketinggian mencecah 147cm atau 4 kaki 10 inci atau kurang darinya. Purata ketinggian orang kerdil yang dewasa ialah 4 kaki (122cm). Terbahagi kepada dua kumpulan iaitu :


                                A) KERDIL DISPROPORTIONAL

                                   Keadaan fizikal yang tidak seimbang dimana sebahagian anggota badan
                                   mengalami saiz yang kecil mahupun biasa atau lebih dari biasa. Mereka
                                   yang tergolong dalam kes yang sebegini kebanyakannya tidak mengalami
                                   masalah intelektual. Terkecuali kes-kes terpencil yang didorong oleh faktor
                                   sekunder seperti hydrocephalus (berlakunya lebihan cairan di sekeliling otak).

                                   Terdapat beberapa gangguan yang boleh diklasifikasi di bawah Kerdil
                                   Disproportional termasuklah Achondroplasia (mewakili 70% dari golongan kerdil)
                                   dan Spondyloepiphyseal Dysplasia Congenita. Golongan kerdil ini
                                   mempunyai ciri-ciri yang tersendiri .


                                    Achondroplasia :

                                    1. Saiz dada dan abdomen seperti manusia biasa
                                    2. Kaki dan lengan yang pendek (terutama bahagian atas)
                                    3. Jari-jari yang pendek, jari hantu dan jari manis yang terpisah
                                        jauh (renggang) kedudukannya
                                    4. Pergerakan siku yang terhad
                                    5. Kepala besar, dahi yang menonjol dan bahagian atas hidung
                                        yang rata
                                    6. Kedua belah kaki yang cenderung membentuk 'bow' (bowlegs)
                                    7. Cenderung untuk mengalami 'swayback' (bahagian bawah belakang
                                        yang melengkung ke dalam)
                                    8. Ketinggian yang dewasa sekitar 4 kaki (122cm)


Jari-jari yang pendek, jari  hantu dan jari manis yang
terpisah jauh (renggang) kedudukannya

Ini yang dikatakan 'bowlegs'


                                    Spondyloepiphyseal  Dysplasia Congenita (Jarang-jarang berlaku)

                                    1. Bahagian dada dan abdomen yang pendek
                                    2. Leher yang pendek
                                    3. Tangan dan kaki yang pendek
                                    4. Tulang pipi yang agak rata
                                    5. Sumbing
                                    6. Tulang pinggul yang mengalami kecacatan menyebabkan
                                        tulang paha mengarah ke dalam
                                    7. Kedudukan kaki yang lari dari kedudukan biasa (twisted)
                                    8. Tulang leher yang tidak stabil
                                    9. Cenderung untuk mengalami 'swayback'  (bahagian bawah belakang
                                        yang melengkung ke dalam)
                                  10. Arthritis, masalah pergerakan sendi
                                  11. Masalah pendengaran dan penglihatan
                                  12. Cenderung membongkok bahagian atas tulang belakang
                                  13. Dada yang luas dan membulat
                                  14. Ketinggian dewasa antara 3 kaki (91cm) - 4 kaki (122cm)


                              B)  KERDIL PROPORTIONAL

                                   Keadaan dimana anggota badan yang mempunyai darjah yang seimbang
                                   saiz kerdilnya. Ia berlaku semenjak dari lahir atau muncul di awal usia kanak-
                                   kanak dimana gangguan menghadkan pertumbuhan keseluruhan individu tersebut.
                                   Namun tanda atau simptomnya kurang jelas kelihatan di peringkat awal.

                                   Memandangkan gangguan ini memberi kesan secara keseluruhan maka
                                   kebanyakan mereka akan mengalami masalah dalam beberapa sistem badan.

                                   Kerdil akibat dari kekurangan horman pertumbuhan yang dikeluarkan oleh
                                   kelenjar pituitari seseorang kanak-kanak adalah termasuk dalam kategori
                                   Kerdil Proportional.


                                   Tanda-tandanya seperti :

                                   1. Mengalami pertumbuhan yang kurang jika dibandingkan dengan
                                       kanak-kanak biasa.
                                   2. Kadar pertumbuhan yang perlahan dibandingkan dengan usia
                                   3. Lewat atau tiada perkembangan seksual ketika remaja



Seniman lagenda Allahyarham Ibrahim Pendek (kiri), merupakan insan kerdil
yang berjaya di persada dunia lakonan negara juga pernah
berlakon di Hollywood

Ibrahim Pendek (kanan) bersama Burl Ives (kiri) dalam flem Hollywood
'The Spiral Road' 1962

Kerdil juga dikategorikan sebagai OKU di negara kita. Masalah genetik, kekurangan hormon merupakan antara faktor penyebab munculnya golongan yang unik ini dalam masyarakat. Jangan diperkecilkan mereka kerana percayalah bahawa setiap kejadian-Nya tiada yang sia-sia.

Wallahualam...

Friday, October 24, 2014

Kawan.....

     

Beberapa kali dia pernah menyuarakan  hasratnya untuk ke rumah kawan lepas waktu sekolah. Namun saya buat-buat tidak tahu. Kekadang rasa bersalah bersarang di jiwa, tapi disebabkan faktor penerimaan masyarakat terhadap insan sepertinya menyebabkan saya enggan melayan permintaan si anak.

         
Kali ini,  dia pula menjemput kawannya datang ke rumah. Menunggulah si anak seperti 'pungguk rindukan bulan'. Terlentang, tertiarap, menonggeng semua ada aksinya. Mengikut janji....jam 3.00 pm kawannya (Mustaqim) datang, 2.30 pm si anak dah menunggu di depan pintu.


Menunggu kawan di muka pintu....

Dia sangat suka berkawan dengan kawannya yang ini. Mustaqim, tinggal di kampung bersebelahan dengan tempat tinggal kami lebihkurang 1km sahaja jarak antaranya. Mustaqim sangat independent, dia boleh berbasikal ke sekolah dan ke mana-mana saja. Dia ada adik-adik yang masih kecil, sopan santun, beralah, sabar orangnya. Ciri-ciri yang sesuai untuk menjadi pendengar setia.


Basikal tua Mustaqim....

Senangnya hati bila Mustaqim tiba dengan basikal tuanya. Manis senyum, sopan tutur kata. Dijemput masuk oleh tuan rumah. Pertama-tamanya, pastilah si anak memperkenalkan kawan baiknya lappy kesayangan sambil memperlihatkan program kegemarannya 'flight simulator', truck simulator, orbiter space flight simulator dan macam-macam lagi. Mustaqim hanya menjadi pendengar setia....mungkin dalam hatinya ada rasa kehairanan dengan minat kawannya yang istimewa ini.

           
Leka  bermain.....

Gembiranya si anak di samping kawan yang memahami, bersabar dengan minatnya. Kemudian dia memberi peluang Mustaqim untuk menggunakan lappy yang satu lagi untuk si kawan explore minatnya melalui internet. Saya hanya menjadi pemerhati dari jauh, melihat perbezaan nyata antara keduanya. Minat Mustaqim lebih kepada melihat video-video cerita lama P.Ramlee, persembahan mencuit hati dari program TV.


Bila azan asar sayup-sayup kedengaran dari  surau berdekatan, si kawan meminta izin untuk balik ke rumah. Anak saya kurang senang untuk membiarkan si kawan balik awal kerana belum puas bersamanya. Sepantas kilat si anak mempelawa kawannya untuk bersembahyang di rumah bersama-sama (berjemaah). Bijak juga si anak untuk mencari idea yang terbaik supaya dapat menghabiskan masa yang lebih lama dengan kawannya.


Berjemaah mereka untuk waktu asarnya.....

Benarlah kata-kata bijak pandai, jika kita mahu menjadi orang yang baik maka berkawanlah kita dengan orang yang baik-baik. Mustaqim memang anak yang baik, walau pembelajarannya di tahap sederhana, namun dia cemerlang mengaji Al Quran, menjaga solatnya juga baik tingkah lakunya.


Selesai solat, mereka menyambung semula bermain dengan lappy masing-masing buat seketika. Akhirnya, si kawan yang baik ini meminta diri dengan santunnya. Senyuman sentiasa di bibir, menyenangkan hati tuan rumah yang sebenarnya sangat kagum dengan sahsiah dirinya. Semoga kamu berjaya di dunia dan di akhirat Mustaqim....aamiin. Lain kali datang lagi ya!


Mustaqim (kiri sekali), Syahmi, Amin dan Zuhairi....ketika mereka
menduduki UPSR (2014)


           

Thursday, October 16, 2014

Anak Anda Kerap Hilang!



Anak-anak autisme, hyperaktif mahupun kategori anak istimewa yang lain kerap dilaporkan hilang dari jagaan penjaganya. Bukan hilang kerana diculik, tapi hilang merayau ke tempat-tempat yang menjadi favourite spotnya. Sebagai ibubapa anak istimewa,  kita boleh mencuba pelbagai kaedah untuk memastikan keselamatan si anak lebih terjamin.


Jika di rumah, mungkin kita lebih berhati-hati dengan mengadakan padlock alarm, mahupun CCTV bagi yang berkemampuan. Namun anak istimewa kategori ini boleh melakukan sesuatu yang di luar jangkaan kita. Mereka berupaya memloloskan diri keluar dari rumah dengan sedikit kealpaan penjaganya.


Penggunaan rantai tangan keselamatan dengan ID si anak merupakan sesuatu yang harus difikirkan. Ia memberi kemudahan kepada masyarakat untuk menghubungi ibubapa kanak-kanak tersebut jka terjumpa mereka  merayau-rayau seperti di pusat membeli-belah atau di kawasan-kawasan penempatan. Terdapat beberapa alternatif yang boleh didapati di pasaran seperti :

Rantai tangan keselamatan yang tercatit dengan info peribadi
si pemakai  termasuk no telefon untuk dhubungi

Yang comel ini dikira sesuai untuk kegunaan
anak-anak perempuan
Sementara yang ini pula sesuai untuk kanak-kanak
beraktiviti di pantai


Lebih selamat lagi bagi anak-anak istimewa ini menggunakan 'harness' ketika di khalayak ramai. Namun penggunaannya amat terhad di kalangan masyarakat kita, dan ada yang mengumpamakannya seperti merantai binatang peliharaan. Tanya pada diri sendiri, samada memilih untuk menanggung kerisauan apabila kehilangan anak ketika bershopping atau menebalkan muka berhadapan dengan penghinaan khalayak? Tepuk dada tanya selera.....


Pilihan yang sebegini nampak sangat menarik,
lengkap dengan backpack ....

Yang ini untuk anak perempuan......sweet dengan
 ladybird


Apabila melibatkan anak-anak istimewa autisme dan hyperaktif khususnya, kita harus memikirkan tentang kekurangan yang ada pada mereka seperti non verbal, mahupun pertuturan yang sukar difahami oleh pihak ke dua/ke tiga. Maka, langkah-langkah keselamatan seperti di atas merupakan jalan terbaik untuk diambil supaya 'nasi tidak menjadi bubur'...


Kejadian kehilangan kanak-kanak dewasa kini amat membimbangkan kita samada yang tipikal, apatah lagi bagi yang istimewa. Semoga Allah membuka pintu hati masyarakat kita untuk lebih prihatin terhadap kanak-kanak yang didapati merayau-rayau bersendirian tanpa arah tujuan. Dijauhkan mereka dari mata-mata jahat manusia yang ingin mengambil kesempatan terhadap golongan ini.


Beringat-ingat dahulu, supaya tidak menyesal kemudian....


             

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...