A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH

اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, August 31, 2015

Hormati Jalur Gemilang....



Jalur Gmilang

Dari kecil hingga kini, Jalur Gemilang menjadi kesayangannya. Dijaga, disimpan dengan baik agar tiada siapa berani mengacau-ganggunya. Namun, manusia tidak sama persepsi masing-masing dalam menafsirkan rasa sayang terhadap mu Jalur Gemilang.


Ada yang mengibarnya di halaman rumah, di kereta sebagai penghormatan. Tujuannya sama iaitu menunjukkan rasa cintakan pada negara. Namun, jangan lupa ada pihak lain pula yang membakar mu Jalur Gemilang di khalayak ramai sebagai tanda sayangkan tanahairnya.


Bagi anak istimewa ku Syahmi, jangankan dibakar, dilipat-lipat pun tidak dibenarkannya sama sekali sesiapa jua mengacau-ganggu Jalur Gemilangnya. Beberapa hari yang lalu, si ibu menjadi tidak keruan disebabkan si anak 'mengamuk' di sekolah kerana dikhabarkan Jalur Gemilang kepunyaannya yang menjadi hiasan di pintu masuk ke kelas di ganggu kawan-kawannya (gangguan yang dimaksudkan iaitu ditarik-tarik, hingga menginjak dari kedudukan asalnya).


Jenuh juga memujuknya, si ibu terpaksa bertemu kawan-kawan sekelasnya untuk menceritakan obsess si anak terhadap Jalur Gemilang. Mungkin niat kawan-kawannya hanya untuk bergurau senda, namun bagi anak autisme berbeza. Sesuatu yang menjadi obsessnya, tidak boleh dibuat bahan mainan. Jangan sesekali!


Selamat menyambut Hari Kebangsaan buat semua pengunjung blog ini. Sama-sama kita berusaha menyedarkan masyarakat supaya anak-anak autisme diterima dengan baik dan merasai nikmat kemerdekaan negara sebenar-benarnya.


Merdeka...Merdeka...Merdeka....



Merenung jauh si anak merdeka .....






Sunday, August 30, 2015

Kelmarin Dalam Sejarah...



Kelmarin hari Sabtu bersamaan 29hb Ogos 2015 telah diadakan Program Sarana Ibubapa Linus Pendidikan Khas di BTPN (Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri), Marang, Terengganu. Saya dijemput oleh Jabatan Pendidikan Negeri untuk berkongsi pengalaman dalam mendidik anak istimewa.

1st time dalam majlis yang sebesar ini dihadiri oleh 'orang kuat' JPN (pusat juga wakil dari negeri-negeri lain di Malaysia), membuatkan saya sedikit gementar. Ramai juga yang bagi petua penting bila berada di pentas, kata mereka ANGGAPlah di hadapan kita tiada siapa-siapa. Buat-buat tak nampak. Berkesan ke taktik yang ini??

Faktor usia mematangkan kita, alhamdulillah saya dapat menyampaikan pengalaman yang ada pada saya untuk dikongsikan bersama para tetamu (yang pada mulanya saya ANGGAP tiada...hihihi) yang terdiri dari wakil-wakil JPN negeri selain dari orang kanan JPNT sendiri, Pegawai PPD. Guru Penolong Kanan, Guru Penyelaras, guru-guru juga ibubapa  yang lain dengan lancar. Kekurangan di sana sini dalam penyampaian saya kelmarin merupakan kelalaian/kelemahan saya sendiri, yang bisa berlaku selagi kita bernama manusia.

Mententeramkan diri, berbual dengan teman di sebelah....

Mendengar pesanan dari Tuan Sukni sebelum naik ke pentas

Berdiri di rostrum.....20 minit rasa sebentar masa berlalu

Menerima cenderahati dari Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu

Bersama wakil JPN negeri Sabah, Penang dan Perak


Tuan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu bergambar bersama 'orang kuat' JPNT Sektor Pendidikan Khas
 juga wakil JPN dari negeri-negeri di seluruh Malaysia

Pengalaman bermakna kerana buat pertama kali diberi peluang untuk berucap di khalayak ramai. Semoga dapat memberi pengajaran berguna kepada ibubapa lain. Perjalanan kami anak beranak masih jauh untuk ke penamatnya. Kurniakanlah kesihatan yang baik kepada kami suami isteri Ya Allah, agar dapat kami meneruskan perjuangan bagi membesar dan membawa anak istimewa kami Syahmi menuju kejayaan di dunia mahupun di akhirat....aamiin

Monday, August 24, 2015

Qada dan Qadar-Nya





Tiap hari duit poket dengan jumlah tertentu dibekalkan buat si anak ketika ke sekolah. Tapi kelmarin, apabila diskodeng dompetnya ketika balik dari sekolah tiada berbaki walau sekeping RM1.00. Yang tinggal hanya duit-duit syiling di bahagian berzip bersebelahan.

Sengaja bertanya untuk mengetahui jawapan si anak. "Banyak belanja hari ni?" Jawab si anak, "Dah terpaksa sebab beli 'kepok' lekor dua kali, yang pertama, tak sengaja 'kepok' terjatuh ke lantai, jadi kena beli sekali lagi". "Tak ada rezeki, dah QADA dan QADARnya begitu" hujah si anak untuk  membela diri.

Wah, hebat kamu! Pandai berbicara sekarang. Tahniah..tahniah anakanda walau perasaan orang tua mu ini bercampur-baur, bangga ada, terkesima pun ada dan tak kurang juga hati bagaikan digeletek nak tergelak. Pokoknya macam-macam rasa ada....Yang nyata, masih jauh lagi perjalanan kehidupan mu, banyak lagi keadaan yang akan menguji keredhaan mu pada konsep rukun imam tersebut.

Syahmi ketika waktu rehat di sekolah memang kuat berbelanja untuk makanan. Minum hanya air kosong yang dibawa dari rumah. Nasi minyak atau nasi ayam merupakan menu wajib setiap hari. Ditambah pula dengan menu jajanan seperti  keropok lekor. Alhamdulillah, Syahmi dikurniakan selera makan yang baik.

Dalam usianya yang kian menghampiri 13 tahun September ini nanti, ketinggiannya telah menjangkau 163cm dengan berat badan 64kg. Ketinggian yang telah jauh mengatasi ibunya. Pejam celik pejam celik, dah besar anak ku....Syahmi



Saturday, August 22, 2015

Asma'Ul Husna






             Berikut adalah 99 nama Allah SWT (Asmaul Husna) beserta maknanya :

             1.  Ar-Rahmaan - Maha Pengasih, iaitu pemberi kenikmatan yang agung dan pengasih.

             2.  Ar-Rahiim - Maha Penyayang, iaitu pemberi kenikmatan yang di luar jangkaan dan
                  penyayang di akhirat.

             3.  Al-Malik - Maha Merajai/Menguasai/Pemerintah, iaitu mengatur kerajaan-Nya sesuai
                  dengan kehendak-Nya sendiri.

             4.  Al-Quddus - Maha Suci, iaitu tersuci dan bersih dari cela dan kekurangan.

             5.  As-Salaam - Maha Penyelamat, iaitu pemberi keselamatan dan kesejahteraan kepada
                  keseluruh makhluk-Nya.

             6.  Al- Mu'min - Maha Pengaman/Pemelihara Keamanan, iaitu siapa yang bersalah dan
                  makhluk-Nya itu benar-benar bersalah akan disiksa, sedang kepada yang taat akan
                  dipenuhi janji-Nya dengan pahala.

             7.  Al-Muhaimin - Maha Pelindung/Penjaga/Maha Pengawal serta Pengawas, iaitu
                  memerintah dan melindungi segala sesuatu.

             8.  Al-'Aziiz - Maha Mulia/Maha Berkuasa, iaitu kuasa-Nya mampu untuk berbuat
                  sekehendak-Nya.

             9.  Al-Jabbaar - Maha Perkasa/Maha Kuat/Yang Menundukkan segalanya, iaitu mencukupi
                  segala keperluan, melangsungkan segala perintah-Nya serta memperbaiki keadaan
                  seluruh hamba-Nya.

           10. Al-Mutakabbir - Maha Megah/Maha Pelengkap Kebesaran, iaitu yang melengkapi segala
                 kebesaran-Nya, menyendiri dengan sifat keagungan dan kemegahan-Nya.

           11. Al- Khooliq - Maha Pencipta, iaitu mengadakan seluruh makhluk tanpa asal  juga yang
                 menakdirkan adanya semua itu.

           12. Al-Baari' - Maha Pembuat/Maha Perancang/Maha Menjadikan, iaitu mngadakan sesuatu
                 yang bernyawa yang ada asal mulanya.

           13. Al-Musowwir - Maha Pembentuk/Maha Menjadikan Rupa Bentuk, iaitu memberikan
                 gambaran atau bentuk pada sesuatu yang berbeza dengan lainnya.( Al-Khaaliq adalah
                 mengadakan  sesuatu yang belum ada asal mulanya atau yang menakdirkan adanya itu.
                 Al-Baari' ialah mengeluarkannya dari yang sudah ada asalny, manakala Al-Musowwir
                 ialah yang memberinya bentuk yang sesuai dengan keadaan dan keperluannya).

           14. Al-Ghoffaar - Maha Pengampun, iaitu banyak memberi maaf-Nya dan menutupi dosa-
                 dosa dan kesalahan.

           15. Al-Qohhaar - Maha Pemaksa, iaitu menggenggam segala sesuatu dalam kekuasaan-Nya
                 serta memaksa segala makhluk menurut kehendak-Nya.

           16. Al-Wahhaab - Maha Pemberi/Maha Menganugerah, iaitu memberi banyak kenikmatan
                 dan selalu memberi kurnia.

           17. Al-Razzaaq - Maha Pemberi Rezeki, iaitu memberi pelbagai rezeki serta membuat juga
                 sebab-sebab diperolehnya.

           18. Al-Fattaah - Maha Membukakan/Maha Pembuka, iaitu membuka gedung penyimpanan
                 rahmat-Nya untuk seluruh hamba-Nya.

           19. Al-'Aliim - Maha Mengetahui, iaitu mengetahui segala yang maujud dan tidak ada
                 satu benda pun yang tertutup oleh penglihatan-Nya.

           20. Al-Qoobidth - Maha Pencabut/Maha Penyempit Hidup/Maha Pengekang, iaitu mengambil
                 nyawa atau menyempitkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

           21. Al-Baasith - Maha Meluaskan/Maha Pelapang Hidup/Maha Melimpah Nikmat, iaitu
                 memudahkan terkumpulnya rezeki bagi siapa yang diinginkan oleh-Nya.

           22. Al-Khoofidth -Maha Menjatuhkan/Maha Menghinakan/Maha Perendah/Pengurang, iaitu
                 terhadap orang yang selayaknya dijatuhkan akibat kelakuannya sendiri dengan memberi
                 kehinaan, kerendahan, kesiksaan.

           23. Al-Roofi' - Maha Mengangkat/Maha Peninggi, iaitu terhadap orang yang selayaknya
                 diangkat kedudukannya kerana usahanya yang gigih, termasuklah golongan kamu yang
                 bertakwa.

           24. Al-Mu'iz - Maha Menghormati/Memuliakan/Maha Pemberi Kemuliaan/Kemenangan, iaitu
                 kepada orang yang berpegang teguh kepada agama-Nya dengan memberi pertolonan dan
                 kemenangan.
               
           25. Al-Muzil - Maha Menghina/Pemberi Kehinaan, iaitu kepada musuh-musuhnya dan musuh
                 umat Islam keseluruhannya.

           26. Al-Samii' - Maha Mendengar

           27. Al-Bashiir - Maha Melihat

           28. Al-Hakam - Maha Menghukum/Maha Mengadili, iaitu sebagai hakim yang menetapkan/
                 memutuskan yang tiada seorang pun dapat menolak keputusan-Nya, juga tidak seorang
                 pun berkuasa merintangi kelangsungan hukum-Nya itu.

           29. Al-'Adl - Maha Adil, iaitu sangat sempurna dalam keadilan-Nya itu.

           30. Al-Lathiif  - Maha Menghalusi/Maha Teliti/Maha Lembut Serta Halus, iaitu mengetahui
                 segala sesuatu yang samar-samar, pelik-pelik dan kecil-kecil.

           31. Al-Khobiir - Maha Waspada/Maha Mengetahui.

           32. Al-Haliim - Maha Penyabar/Maha Penyantun/Maha Penghamba, iaitu yang tidak tergesa
                 -gesa melakukan kemarahan dan tidak pula gelojoh memberikan siksaan.

           33. Al-'Adzhiim - Maha Agung, iaitu mencapai puncak tertinggi dan di mercu keagungan
                 kerana bersifat dengan segala macam sifat kebesaran dan kesempurnaan.

           34. Al-Ghofuur - Maha Pengampun, iaitu banyak pengampunan-Nya kepada hamba-hamba
                 -Nya.

           35. Asy-Syakuur - Maha Pembalas/Maha Bersyukur, iaitu memberikan balasan yang banyak
                 sekali atas amalan yang kecil.

           36. Al-'Aliy - Maha Tinggi Martabat-Nya/Maha Tinggi serta Mulia, iaitu mencapai tingkat
                 yang setinggi-tingginya yang tidak mungkin digambarkan oleh akal fikiran sesiapa
                 pun dan tidak dapat difahami oleh otak yang bagaimana pandainya pun.

           37. Al-Kabiir - Maha Besar, iaitu kebesaran-Nya tidak tercapai oleh pancaindera atau akal
                 manusia.

           38. Al-Hafidz - Maha Pemelihara/Maha Pelindung/Maha Memelihara, iaitu menjaga segala
                 sesuatu jangan sampai rosak dan goyah. Juga menjaga segala amal perbuatan hamba-
                 hamba-Nya sehingga tidak akan disia-siakan sehingga sedikit pun untuk diberikan
                 balasannya.

           39. Al-Muqiit - Maha Pemberi Kecukupan/Maha Pemberi Keperluan, iaitu baik yang merupa-
                 kan makanan tubuh atau pun makanan rohani.

           40. Al-Hasiib - Maha Penjamin/Maha Mencukupi/Maha Penghitung, iaitu memberikan
                 jaminan kecukupan kepada seluruh hamba-Nya pada hari Qiamat.

           41. Al-Jaliil - Maha Luhur, iaitu yang memiliki sifat-sifat keluhuran kerana kesempurnaan
                 sifat-sifat-Nya.

           42. Al-Kariim - Maha Pemurah, iaitu mulia tanpa had dan memberi sesiapa pun tanpa diminta
                 atau sebagai penggantian dan sesuatu pemberian.

           43. Ar-Roqiib - Maha Peneliti/Maha Pengawas Maha Waspada, iaitu yang mengamat-amati
                 gerak-geri segala sesuatu dan mengawasinya.

           44. Al-Mujiib - Maha Mengabulkan, iaitu yang memenuhi permohonan sesiapa saja yang
                 berdoa kepada-Nya.

           45. Al-Waasi' - Maha Luas Pemberian-Nya, iaitu kerahmatan-Nya merata kepada segala
                 yang maujud dan luas pula ilmu-Nya terhadap segala sesuatu.

           46. Al-Hakiim - Maha Bijaksana, iaitu memiliki kebijaksanaan yang tertinggi, kesempurnaan
                 ilmu-Nya serta kerapian dalam membuat segala sesuatu.

           47. Al-Waduud - Maha Pencipta/Maha Menyayangi, iaitu yang menginginkan segala
                 kebaikan untuk seluruh hamba-Nya dan juga berbuat baik pada mereka itu dalam segala
                 hal dan keadaan.

           48. Al-Majiid - Maha Mulia, iaitu yang mencapai tingkat teratas dalam hal kemuliaan dan
                 keutamaan.

           49. Al-Baa'ith - Maha Membangkitkan, iaitu membangkitkan semangat dan kemahuan , juga
                 membangkitkan para Rasul dan orang-orang yang telah mati dari kubur masing-masing
                 nanti setelah tibanya hari Qiamat.

           50. Asy-Syahiid - Maha Menyaksikan/Maha Mengetahui keadaan semua makhluk.

           51. Al-Haq - Maha Haq/Maha Benar, iaitu kekal dan tidak akan berubah sedikit pun.

           52. Al-Wakiil - Maha Pentadbir/Maha Berserah/Maha Memelihara Penyerahan, iaitu
                 memelihara semua urusan hamba-Nya dan apa-apa yang menjadi keperluan mereka itu.

           53. Al-Qowiyy - Maha Kuat/Maha Memiliki Kekuatan, iaitu yang memiliki kekuasaan yang
                 sesempurnanya.

           54. Al-Matiin - Maha Teguh/Maha Kukuh atau Perkasa/Maha Sempurna Kekuatan-Nya, iaitu
                 memiliki keperkasaan yang sudah sampai di puncaknya.

           55. Al-Waliyy - Maha Melindungi, iaitu melindungi serta mengaturkan semua kepentingan
                 makhluk-Nya kerana kecintaan-Nya yang amat sangat dan pemberian pertolongan-Nya
                 yang tidak terbatas pada keperluan mereka.

           56. Al-Hamiid - Maha Terpuji, iaitu yang memang sudah selayaknya untuk memperoleh
                 pujian dan sanjungan.

           57. Al-Muhshii - Maha Menghitung/Maha Penghitung, iaitu yang tiada satu pun tertutup dari
                 pandangan-Nya dan semua amalan diperhitungkan sebagaimana wajarnya.

           58. Al-Mubdi' - Maha Memulai/Pemula/Maha Pencipta dari asal, iaitu yang melahirkan
                 sesuatu yang asalnya tidak ada dan belum maujud.

           59. Al-Mu'iid - Maha Mengulangi/Maha Mengembalikan dan Memulihkan, iaitu
                 menumbuhkan kembali setelah lenyapnya atau setelah rosaknya.

           60. Al-Muhyii - Maha Menghidupkan, iaitu memberikan daya kehidupan pada setiap
                 sesuatu yang berhak hidup.

           61. Al-Mumiit - Maha Mematikan, iaitu mengambil kehidupan (roh) dari apa-apa yang
                 hidup.

           62. Al-Hay - Maha Hidup, iaitu sentiasa kekal hidup-Nya itu.

           63. Al-Qayyuum - Maha Berdiri Dengan Sendiri-Nya, iaitu baik zat-Nya, sifat-Nya,
                 af'al-Nya (Ciptaan/Perbuatan-Nya). Juga membuat berdiri-Nya apa-apa yang selain Dia.
                 Dengan-Nya pula berdirinya langit dan bumi ini.

           64. Al-Waajid - Maha Penemu/Maha Menemukan, iaitu dapat menemukan apa saja yang
                 diinginkan oleh-Nya, maka tidak berkehendakkan pada suatu apa pun kerana sifat
                 kaya-Nya yang secara mutlak.

           65. Al-Maajid - Maha Mulia (sama dengan no.48 yang berbeza hanyalah tulisannya
                 dalam bahasa Arab, ejaan sebenarnya no.48 Al-Majiid, sedangkan no.65 Al-Maajid)

           66. Al-Waahid - Maha Esa

           67. Ash-Shomad - Maha Diperlukan/Maha Diminta/Yang Menjadi tumpuan, iaitu selalu
                 menjadi tujuan dan harapan orang di waktu ada hajat keperluan.

           68. Al-Qaadir - Maha Berkuasa/Maha Kuasa/Maha Berupaya.

           69. Al-Muqtadir - Maha Menentukan,

           70. Al-Muqoddim - Maha Mendahulukan/Maha Menyegera, iaitu mendahulukan sebahagian
                 benda dari yang lainnya dalam mewujudnya, atau dalam kemuliaannya,  selisih waktu
                 atau tempatnya.

           71. Al-Muakhkhir - Maha Menangguhkan/Maha Mengakhirkan/Maha Membelakangkan/Maha
                 Melambat-lambatkan, iaitu melewatkan sebahagian sesuatu dari yang lainnya.

           72. Al-Awwal - Maha Permulaan/Maha Pertama, iaitu terdahulu sekali dari semua yang
                 maujud.

           73. Al-Aakhir - Maha Penghabisan/Yang Akhir, iaitu kekal terus setelah habisnya segala
                 sesuatu yang maujud.

           74. Azh-Zoohir - Maha Zahir/Maha Nyata/Maha Menyatakan, iaitu menyatakan dan
                 menampakkan kewujudan-Nya itu dengan bukti-bukti dan tanda-tanda ciptaan-Nya.

           75. Al-Baathin - Maha Tersembunyi, iaitu tidak dapat dimaklumi zat-Nya, sehingga tidak
                 seorang pun dapat mengenal zat-Nya itu.

           76. Al-Waalii - Maha Menguasai/Maha Menguasai Urusan/Yang Maha Memerintah, iaitu
                 menggenggam segala sesuatu dalam kekuasaan-Nya dan menjadi milik-Nya.

           77. Al-Muta'aalii - Maha Suci/Tinggi, iaitu terpelihara dari segala kekurangan dan
                 kerendahan.

           78. Al-Barr - Maha Dermawan/Maha Bagus/Yang Banyak Membuat Kebajikan, iaitu banyak
                 kebaikan-Nya dan besar kenikmatan yang dilimpahkan-Nya.

           79. At-Tawwaab - Maha Penerima Taubat, iaitu memberi pertolongan kepada orang-orang
                 yang melakukan maksiat untuk bertaubat lalu Allah akan menerimanya.

           80. Al-Muntaqim -Maha Penyiksa/ Yang Maha menghukum, iaitu menghukum mereka yang
                 bersalah dan orang yang berhak untuk memperoleh siksa-Nya.

           81. Al-'Afuu - Maha Pemaaf/Yang Maha Pengampun, iaitu menghapuskan kesalahan orang
                 yang suka kembali untuk meminta maaf pada-Nya.

           82. Ar-Rouuf - Maha Pengasih/Maha Mengasih, iaitu banyak kerahmatan dan kasih
                 sayang-Nya.

           83. Al-Ahad - Maha Tunggal

           84. Maalikul Mulk - Maha Pemilik Kekuasaan/Maha Menguasai Kerajaan/Pemilik Kedaulatan
                Yang Kekal, maka segala perkara yang berlaku di alam semesta, langit, bumi dan
                 sekitarnya serta yang di alam semesta itu semuanya sesuai dengan kehendak dan
                 iradat-Nya.

           85. Zul-Jalaali Wal Ikraam - Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan/Maha Memiliki
                 Kebesaran dan Kemuliaan, Juga zat yang mempunyai keutamaan dan kesempurnaan
                 pemberi kurnia dan kenikmatan yang amat banyak dan melimpah-ruah.

           86. Al-Muqsith - Maha Mengadili/Maha Saksama, iaitu memberi kemenangan pada orang-
                 orang yang teraniaya dari tindakan orang-orang yang menganiaya dengan keadilan-
                 Nya.
                  
           87. Al-Jaami' - Maha Mengumpulkan/Maha Pengumpul, iaitu mengumpulkan pelbagai
                 hakikat yang telah bercerai-berai dan juga mengumpulkan seluruh manusia pada
                 hari pembalasan.

           88. Al-Ghoniy - Maha Kaya Raya/Maha Kaya serta Serba Lengkap, iaitu tidak berkehendak-
                 kan apa jua pun dari yang selain zat-Nya sendiri, tetapi yang selain-Nya itu amat
                 mengharapkan kepada-Nya.

           89. Al-Mughniy - Maha Pemberi Kekayaan/Maha Mengkayakan dan Memakmurkan, iaitu
                 memberikan kelebihan berupa kekayaan yang berlimpah-ruah kepada siapa saja yang
                 dikehendaki dari golongan hamba-hamba-Nya.

           90. Al-Maani'- Maha Membela atau Maha Menolak/Maha Pencegah, iaitu membela hamba
                 hamba-Nya yang soleh dan menolak sebab-sebab yang menyebabkan kerosakan.

           91. Adh-Dthoor - Maha Mendatangkan Mudharat/Maha Pembuat Bahaya/Maha Pemberi
                 Bahaya, iaitu dengan menurunkan siksa-siksa kepada musuh-musuh-Nya.

           92. An-Naafi' - Maha Pemberi Manfaat, iaitu meluaslah kebaikan yang dikurniakan-Nya
                 itu kepada semua hamba  masyarakat dan negeri.

           93. An-Nuur - Maha Pemberi Cahaya/Maha Bercahaya, iaitu menonjolkan zat-Nya sendiri
                 dan menampakkan untuk selain-Nya dengan menunjukkan tanda-tanda kekuasaan-Nya.

           94. Al-Haadi - Maha Pemberi Petunjuk/Yang Memimpin dan Memberi Petunjuk, iaitu
                 memberikan jalan yang benar kepada segala sesuatu agar berterusan adanya dan terjaga
                 kehidupannya.

           95. Al-Badii - Maha Indah/Tiada Bandingan/Maha Pencipta Yang Baru, iaitu sehingga
                 tiada contoh dan yang menyamai sebelum keluarnya ciptaan-Nya itu.
       
           96. Al-Baaqi - Maha Kekal, iaitu kekal hidup-Nya untuk selama-lamanya.

           97. Al-Waarith - Maha Membahagi/Maha Mewarisi/Maha Pewaris, iaitu kekal setelah
                 musnahnya seluruh makhluk.

           98. Ar-Rosyiid - Maha Cendekiawan/Maha Pandai/Bijaksana/Maha Memimpin, iaitu yang
                 memimpin kepada kebenaran, iaitu memberi penerangan dan panduan pada seluruh
                 hamba-Nya dan segala peraturan-Nya itu berjalan mengikut ketentuan yang digariskan
                 oleh kebijaksanaan dan kecendikiawan-Nya.

           99. Ash-Shobuur - Maha Penyabar, iaitu tidak tergesa-gesa memberikan siksaan dan tidak
                 juga cepat melaksanakan sesuatu sebelum masanya.



                                                                                   ********************

Friday, August 21, 2015

Doa Kesihatan Badan...




Mari Beramal........


Doa Al-Ma'thurat Bagi Memohon Kesihatan Tubuh Badan
Dibaca pagi (selepas Subuh dan selepas Asar)

Friday, August 14, 2015

Malaikat Tidak Mampu Menuliskan Pahalanya



'Ya Rabbi, bagi Mu segala puji sebagaimana yang layak bagi kemuliaan wajah Mu
dan keagungan kekuasaan Mu'


Dari Abdullah bin Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bercerita kepada para sahabat bahawa salah seorang hamba di antara hamba-hamba Allah mengucapkan  'Ya Rabbi lakal hamdu kama yanbaghi li jalali wajhika wa azhimi sultanika.' (Ya Rabbi, bagi Mu segala puji sebagaimana yang layak bagi kemuliaan wajah Mu dan keagungan kekuasaan Mu).


Maka ucapan ini menjadikan dua malaikat bingung sehingga mereka tidak tahu bagaimana mereka harus mencatatnya. Maka, naiklah kedua-duanya kepada Allah lalu berkata " Ya Tuhan kami, sesungguhnya seorang hamba Mu telah mengucapkan suatu perkataan yang kami tidak tahu bagaimana harus menulisnya." Allah bertanya - padahal Dia Maha Mengetahui apa yang diucapkan oleh hamba-Nya- 'Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku?' Mereka menjawab, "Ya Tuhan kami,sesungguhnya dia mengucapkan 'Ya Rabbi lakal hamdu kama yanbaghi li jalali wajhika wa azhimi sultanika.'


Kemudian Allah berfirman kepada mereka, "Tulislah sebagaimana yang diucapkan hamba-Ku itu hingga dia bertemu Aku, maka Aku yang akan membalasnya."(HR Ahmad dan Ibnu Majah. Rijalnya tsiqat)


Wallahu'alam

Wednesday, August 12, 2015

Sambutan Hari Raya Bersama Sahabat Faqeh Terengganu (2015)



Tahun Ke 2 Berhari Raya bersama Sahabat Faqeh Terengganu

Jika tahun 2014, jumlah kehadiran sahabat ke Jamuan Hari Raya SFT hanya lebih kurang 10 buah keluarga. Namun Jamuan Hari Raya tahun ini yang berlangsung pada 7hb Ogos (Jumaat) yang lalu di Lagoon Kuala Ibai, mencatatkan kehadiran mencecah dua kali ganda. Itu belum termasuk sahabat-sahabat yang tidak dapat meluangkan masa kerana mempunyai urusan lain pada hari berkenaan.

Cuaca yang baik, memungkinkan acara berjalan lancar. Makan-makan, sembang-sembang, bertukar-tukar pengalaman, sambil mata ibubapa tidak lepas-lepas memerhatikan pergerakan anak istimewa masing-masing, demi memastikan keselamatan memandangkan persekitaran merupakan sebuah lagoon buatan manusia.

Memang meriahlah, makanan beraneka, nasi minyak, ketupat palas, rendang, sate, mee gorang, karipap, soto, spaghetti, laksa kuah masak, tepung pelita, tapai, puding dan macam-macam lagilah. Kerjasama sahabat amatlah dihargai. Masing-masing membawa makanan ikut citarasa sendiri, ikut kemampuan dan keikhlasan. Tak bawa apa-apa pun tidak mengapa, rezeki yang ada tetap dikongsi bersama, sedkit sama sedikit, banyak sama-sama merasa. Semoga ukhwah berpanjangan...aamiin

Makanan yang beraneka...

Syahmi bergaya dengan Baju Melayu merahnya...

Suasana majlis santai....SFT berhari raya....

Dimaklumkan juga di sini, Puan Pengerusi Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu iaitu Dr Norsuhaily Abu Bakar akan berangkat ke U.K pada hujung bulan Ogos ini bagi melanjutkan pelajaran beliau selama setahun di sana. Selamat maju jaya buat beliau, InshaAllah kami di sini akan terus menggerakkan persatuan ini seperti biasa. Selamat bertemu kembali Dr Sally....


Bergambar kenangan bersama Puan Pengerusi SFT Dr Norsuhaily Abu Bakar
 ( berbaju hijau lembut di tengah)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...