اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Thursday, April 5, 2012

Rain...rain...go away...


Musim hujan semuanya 'sangkut'...lalulintas sangkut di jalanan, masuk kerja lambat. Anak-anak ke sekolah pun sangkut, lambat sampai ke kelas. Kepayahan sebegini semua orang nampak dan semua orang faham sebab semua orang rasa tiada yang terkecuali.


Bagaimana agaknya kalau 'berhujan' di hati?  Bagi ibubapa yang mempunyai anak istimewa yang diinklusifkan seperti saya tentu nafas kita 'tersangkut-sangkut' jua walau cuba disembunyi kerana melihat anak istimewa kita berseorangan mengharungi cabaran dalam menyaingi rakan-rakan mereka yang normal di sekolah.  Dibuli, diketepi dan ditertawakan  tanpa sengaja berlaku pada bila-bila masa. Hujan di hati ibubapanya......siapa yang tahu? Sedangkan anak belum mengerti apa-apa......


Airmata Autisme Awareness!
     
 Sanggupkah kita melihat anak kita direject oleh kawan-kawannya. Kalau di kelas, ramai yang mengelak untuk bergandingan dengan anak istimewa kita jika melakukan aktiviti berkumpulan. Namanya lagi kanak-kanak, mereka masih belum memahami kekurangan yang ada pada rakan mereka yang istimewa ini. Maka terkontang-kantinglah anak istimewa ini 'menumpang' di tempat orang.


                     
Menginklusifkan anak autisme ke kelas arus perdana adalah kes-kes yang terpencil. Dek kerana terpencil, anak ini selalu dilupakan. Jika sebarang aktiviti dijalankan, maka anak yang diinklusifkan ini terbiar tanpa diberi perhatian. Kalau ada acara-acara tertentu seperti pertandingan nyanyian koir/nasyid umpamanya, pasti si anak ini tidak berada di dalam list untuk digandingkan bersama rakan-rakan lain, sebab tiada siapa yang nak support dan percaya pada kemampuan anak kita. Guru di aliran perdana tidak terlatih untuk mengendalikan anak istimewa sementara guru pendidikan khas berada nun jauh di balik sana. Sementara 'guru pengiring' yang diimpikan hanya omong-omong kosong. Yang menjadi mangsa, anak yang diinklusifkan tanpa ada usaha-usaha untuk menambahkan keyakinan diri anak tersebut.


Diketepi tanpa disedari!

Ada kalanya,  guru-guru di mainstream yang tidak terlatih untuk anak inklusif ini telah tersilap pendekatan untuk mengajar anak ini sehingga menimbulkan salah faham dan 'ketegangan' dengan tingkahlaku anak istimewa kita terhadap guru tersebut. Ini yang membuatkan kita ibubapanya 'kecut perut' dan'sejuk kaki' kerana risaukan ada pihak-pihak yang terasa hati.


Tiap hari amat mendebarkan bagi ibubapanya , sebab anak inklusif ini amat terdedah dengan perangkap yang dipasang oleh rakan-rakan yang agak nakal untuk menjadi 'kambing hitam' pada tiap kesalahan. Insiden seperti ini memang kerap berlaku, sebagai ibubapa kita kena mempunyai tahap kesabaran yang tinggi  untuk menanganinya. Cuma kadang-kadang 'terhujan' jua walau tak disengaja.


Inilah antara faktor  ibubapa kepada anak-anak yang diinklusifkan akan kerap 'berhujan' di hati,  malangnya pada siapa nak mengadu. Kes yang terpencil seperti ini.....membuatkan ramai pihak yang terlepas pandang! Semua orang hendak mendengar kejayaan, tapi berapa kerat yang ambil berat?  Hanya meluahkan kekesalan ........namun tetap ku kuatkan semangat demi anak tersayang..


Semoga suatu ketika ada pihak-pihak yang mendengar keluhan kami ini supaya potensi diri anak autisme ini tidak 'dibazirkan' kerana kelemahan sistem pembelajaran masa kini.

             

       


4 comments:

syida said...

Mudah2an akan ada kemajuan & penambaikkan dalam sistem pendidikan kita dalam masa terdekat. kesian kat anak2 kita yang kaya potensi dan kelebihan ni :(

Smsaroni said...

bengkak di hati tiada siapa yg tahu...

Hayati Jafar said...

Very well written - a very good piece for Autism Awareness Month. would like to share. TQ

Smsaroni said...

terima kasih Pn Hayati....kdg2 teremosi ckit!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...