Huhuhu.... |
Minggu ini banjir kilat melanda Sek Keb Seri Budiman II....airmata di sana sini menangisi pemergian guru-guru kesayangan. Ada yang bertukar sekolah dan ada juga yang bersara dari perkhidmatannya. Ketiga-tiga guru berkenaan dari aliran perdana. Harus diingat, walaupun Syahmi anak Pendidikan Khas tapi dia belajar di aliran perdana dan lebih dekat dengan guru-guru di sana.
Teacher Lee Hwee Lan memulakan persaraannya pada 1hb Julai 2012. Ramah, mesra dan penyayang membuatkan warga sekolah sayang padanya. Tidak sombong dan sentiasa mengambil berat tentang murid-muridnya. Awas! Jangan ambil kesempatan terhadap kebaikannya kerana beliau seorang yang tegas ketika mengajar.
Sementara itu, sekolah juga akan kehilangan seorang Penolong Kanan Ko-Kurikulum yang telah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Jenang, Marang, Terengganu iaitu Tuan Haji Husin bin Mat. Nampak garang tapi sentiasa dikerumuni murid-murid untuk bertanyakan itu dan ini serta sentiasa ikhlas menyambut salam anak-anak didik tak kira di mana berada.
Kehilangan juga dirasai dengan pertukaran guru Pendidikan Jasmani Encik Muhammad Sabran bin Mohamad Sharif yang mengajar Syahmi subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Tinggi lampai orangnya, beliau amat memahami Syahmi seadanya. Masih teringat kata-katanya "walaupun Syahmi tidak boleh menamatkan larian 100m, saya bagi dia berlari untuk 50m. Pokoknya dia mencuba". Tersentuh rasa, terkenang pada keprihatinannya terhadap Syahmi....terima kasih Cikgu Sabran.
Cikgu Muhammad Sabran (terkiri) Teacher Lee Hwee Lan (Tengah) |
Tiada guru, siapalah kita hari ini? Semoga Syahmi mendapat pengajaran berguna dari guru-guru cemerlang ini demi masa depan. Terima kasih kepada ketiga-tiganya. Perhatian tuan/puan terhadap Syahmi murid inklusif yang menumpang untuk menimba ilmu di mainstream amatlah dihargai.
Walau hilang di mata, jasa-jasa anda bertiga tidak akan dilupakan.
0 comments:
Post a Comment