Rumah kampung di negeri Perak |
Balik kampung memang seronok! Tambah pulak bagi kami yang bermukim jauh beratus-ratus batu dari ayah bonda. Sekali sekala balik memang ramai yang sambut kepulangan kami dengan pelbagai cerita. Maklum ler orang tua-tua selalu kata, jauh bau bunga, dkat bau t**k!
Bagi kami yang nak balik ke kampung, kena juga bawa sedikit sebanyak buah tangan untuk orang kampung. Takkan nak berlenggang-kangkung jer, tak manis rasanya. Adab orang kita, kena dijaga. Biar semua gembira, tiada yang terasa atau terluka.
Rangup.....colek dengan lada! |
Kalau dah menetap di Kuala Terengganu sekian lama, buah tangan yang menjadi kebiasaannya dibawa untuk orang kampung tentulah keropok lekor mahupun keropok keping. Sekilo dua memang tak cukup, pokoknya "kalah yang membeli menang bagi yang memakannya" hehehe.... jangan terasa pulak. Begitulah hakikatnya kalau makan keropok memang terlagi-lagi hingga tak sedar berkilo-kilo dah habis, perut masih belum kenyang.
Ada yang sempat bergambar dengan gajah-gajah liar di Lebuhraya Timur Barat! |
Menyusuri perjalanan yang jauh lagi memenatkan dari Kuala Terengganu ke Kuala Kangsar melalui Lebuhraya Timur Barat dengan jaraknya kira-kira 400km memerlukan kenderaan yang tip top kondisinya. Servis dulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan, paling tidak tukar minyak hitamnya, balancing tayar kena dibuat tiada kompromi. Harus diingat perjalanan nanti akan merentasi tulang belakang negara, Banjaran Titiwangsa yang mencecah awan! Nyaman, tapi awas kadang-kadang segala jens binatang liar kita boleh jumpa semasa di perjalanan. Gajah, b**i hutan, monyet dan spesies burung kenyalang pun pernah kelihatan di udara semasa merentasi banjaran tersebut.
Semoga perjalanan kami dilindungiNya dari segala mara bahaya. Ayah bonda dan kaum kerabat di Kuale, lusa kami akan ke sana. Tunggu ketibaan kami sekeluarga untuk bercuti di kampung. Di kepala, laksa dan cendol semuanya dah terbayang untuk dirembat dan disebat. Walau bagaimanapun, air tangan mak juga tetap menjadi pilihan No 1!