A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, September 26, 2017

Mereka Sebaya Tapi Tak Setara



Haddul, Ayah Syahmi, Syahmi

Sekali pandang, tiada bezanya antara Syahmi dan Haddul. Mereka rakan setingkatan, 3 Al Tirmizi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek,  Kuala Terengganu. Ketinggian lebihkurang sama, cuma berbeza sedikit disebabkan Syahmi yang bertubuh gempal berbanding Haddul yang agak kurus.

Lepas menghadiri kelas tambahan, sempat kami 'kidnap' Haddul dari asrama sekolah untuk ke bowling center atas permintaan Syahmi sendiri. Mereka berdua dah bercadang nak main bowling sama-sama, melepaskan stress setelah sibuk dengan kelas tambahan tak sudah-sudah. Pt3 tinggal dua minggu sahaja lagi.


Lontaran yang tidak kurang hebatnya dari Syahmi

Pertama kali Haddul ke bowling center....mula-mula ke 'longkang' jua

Setelah beberapa ketika memerhatikan kedua sahabat ini berbual, bergurau senda, berkongsi pengalaman, kita akan sedar bahawa Syahmi masih terkebelakang dalam pergaulannya. Masih terselit jurang yang menampakkan perbezaan dia dengan sahabatnya itu walau mereka sebaya. Masih belum 'smooth' untuk masuk ke dalam 'rentak' perbualan. Kekadang nampak jelas keanak-anakannya.

Harap Syahmi boleh berubah, mahu menerima teguran ibu demi memperbaiki kekurangan ini. Tidak hairanlah jika mereka akan dianaktirikan dalam kelasnya. Hanya sahabat yang benar-benar sabar sahaja yang boleh mendampingi mereka. Disebalik pengalaman ini, ibu menangis di dalam hati memikirkan masa depan Syahmi. Bolehkah kamu  berubah? Masa berjalan dengan pantas. Dua tiga tahun lagi kamu akan belajar jauh dari mata ibu. Dapatkah kamu berdikari?

Kadang-kadang KETABAHAN ibu tercalar jua......


Selesai sudah....lain kali kita  ke sini lagi

Monday, September 25, 2017

Pemergian Yang Ditangisi...Al fatihah


Allahyarhamah Erda Zuliana

Seorang yang disayangi oleh anak-anak istimewa kerana khidmat baktinya. Seorang ahli Terapi Cara Kerja, kerjaya yang amat sesuai dengan personalitinya. Lemah lembut, senyum sentiasa. Disenangi anak-anak syurga dan ibubapanya, majikan, sahabat dan taulan, apatah lagi keluarganya.

Sabtu, bersamaan 23hb Sept 2017 dikhabarkan berita sedih tentang pemergiannya oleh para kenalan 'sekasut'. Pemergiannya kira-kira 4.40pm di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Jangan ditanya kenapa dan mengapa. Semuanya adalah perjanjian-Nya terhadap setiap hamba. Pendarahan dalam otak, jangkitan kuman semuanya hanya asbab kepada pemergiannya. Dalam usia 30 tahun, beliau telah dipanggil kembali oleh pencipta-Nya.

Bersama-samalah kita mendoakan agar rohnya aman di sana. Jasanya terhadap anak-anak istimewa di daerah ini amat besar, kebanyakan ibubapa kepada anak istimewa di sini amat mengenali Allahyarhamah yang tidak pernah lokek membantu.

Kelmarin, berkesempatan saya menjejaki kediamannya di Lorong Gong Kuin 2, Tok Jembal, Kuala Nerus. Kunjungan terakhir dari Kak Long tanda penghormatan buat insan yang banyak menabur bakti kepada anak-anak istimewa di daerah kami. Kak Long tidak akan melupai sokongan Erda atas kejayaan Syahmi selepas berjaya memperoleh 5A dalam UPSR 2014. Angpow paket berisi RM50 dari mu, membuatkan kami terharu kerana bagi Syahmi jumlah tu terlampau banyak.

Kak Long percaya, walaupun Erda telah tiada bersama kami, namu mu tetap akan disebut-sebut oleh ibubapa kepada anak istimewa atas kebaikan mu menyantuni anak-anak syurga kami. Pasti anak-anak syurga ini juga merindui 'sentuhan' terapi mu. Semoga amal bakti mu diterima-Nya, ditempatkan roh mu bersama-sama mereka yang dikasihi...aamiin


Innalillahiwainnailaihirojiun...Al Fatihah


Thursday, September 21, 2017

Forum Anjuran LPPKN di IPG Kampus Dato' Razali



Keratan akhbar keesokkan harinya berkenaan seminar
 "Anak Istimewa Satu Anugerah"

Beberapa kali menjadi panel program yang seumpamanya, membuatkan saya tidak lagi gementar dengan suasana. Boleh tidur mlam seperti biasa walau esoknya akan berkongsi pengalaman di hadapan orang ramai. Tak perlu skrip yang bertulis. Cukup sekadar mengetahui soalan-soalan yang akan dikemukakan supaya kita tahu skop jawapannya supaya tidak berjela-jela bercakap hingga mengambil masa yang sememangnya terhad.

Alhamdulillah, semoga bermanfaat buat ibubapa yang senasib. Buat bakal-bakal guru dan guru-guru yang sedia ada, harap dapat menjadikan perkongsian kami sebagai pedoman dalam menghadapi kerenah murid-murid nanti. Tidak mustahil suatu masa nanti, cikgu-cikgu akan berhadapan dengan anak autisme di kelas masing-masing kerana jumlah golongan ini semakin ramai dikesan dalam masyarakat.

'Anak Istimewa Satu Anugerah' merupakan tajuk forum yang dipilih. Terima kasih kepada pihak yang berusaha terutamanya LPPKN dan kerajaan negeri Terengganu atas keprihatinan terhadap isu anak istimewa. Tidak ramai yang cakna tentang anak istimewa, biasanya kita mengambil mudah terhadap kehadiran mereka di persekitaran kita.

Sedangkan hakikatnya golongan inilah yang perlu dibantu kerana kekurangan mereka ini kekal hingga ke akhir hayat. Kalau bukan kita yang sihat, segar bugar ini, pada siapa lagi tanggungjawab hendak disandarkan? Forum yang berlangsung kelmarin membuktikan bahawa masyarakat mula membuka mata terhadap nasib insan-insan istimewa termasuk yang mengalami autisme. Syukran, syukran, syukran.....


Auditorium IPG Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit

Thursday, September 14, 2017

Kem PT3 Berita Harian (Kuala Terengganu)



Lama saya tak menjenguk ke sini. Bukannya disengajakan, cuma laptop yang 'meragam'. Banyak moment penting tentang Syahmi tak dapat saya update lately. Cuti sekolah hari tu, kalau tak silap 25hb-26hb Ogos 2017 (Jumaat dan Sabtu), kami hantar dia menyertai Kem PT3 Berita Harian di UMT, Gong Badak.

Tak ramai kawan-kawan sekolahnya yang menyertai kem berkenaan. Tapi saya tetap menuruti kehendaknya supaya dapat merasai pengalaman bersama pelajar lain dari sekolah-sekolah yang pelbagai di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Kira-kira 70 lebih pelajar lain menyertai kem berkenaan.

Tiada siapa yang menyedari bahawa dia seorang anak istimewa, kecuali kawan-kawan sekolahnya, Syahmi mengutip ilmu dari guru-guru yang dibawa dari luar tanpa segan silu. Tidak malu menunjukkan kemampuannya, membaca doa mengetuai pelajar-pelajar lain sebelum memulakan subjek Matematik. Syahmi juga dicabar guru Bahasa Inggeris untuk menyanyikan lagu Inggeris yang telah diubahsuaikan liriknya kepada yang lebih ilmiah. Akhirnya keberaniannya menyanyi telah mendapat tepukan kawan-kawan.

Jelas sekali kegembiraannya apabila diberi peluang dan ruang. Dia juga mampu melakukannya sebagaimana yang tipikal. Cuma masyarakat kita kurang memberi kepercayaan terhadap mereka yang dilabelkan sebagai OKU. Inilah perjuangan mereka insan-insan istimewa dalam berhadapan dengan kerenah masyarakat.

Semoga terus cemerlang Syahmi...InshaAllah

Senyum hingga ke telinga....

Kegembiraan yang jelas tergambar..
Syahmi bersama guru dan kawan-kawan yang menyertai kem PT3 selama 2 hari

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...