Lebih mudah untuk menggambarkan tentang 'Hidden Curriculum' |
Persekitaran kita dipenuhi dengan undang-undang. Semua manusia kena patuh pada undang-undang demi kemaslahatan masyarakat itu sendiri. Namun sedarkah kita wujudnya undang-undang tidak bertulis yang digunapakai oleh manusia tanpa perlu diajar kerana otak manusia yang normal berupaya untuk memprosesnya secara semulajadi. Inilah yang dimaksudkan sebagai 'hidden curriculum'.
'Hidden Curriculum' sangat luas skopnya iaitu merentasi umur, jantina, bangsa, persekitaran termasuk di sekolah, rumah, tempat kerja, masyarakat dan sebagainya. Mungkin kita tidak perasan bahawa 'body language' juga tergolong dalam 'Hidden Curriculum'. Begitu juga perkataan-perkataan tertentu yang mempunyai banyak makna/maksud. Ianya mesti diadaptasikan dalam kehidupan seharian bagi menjamin perhubungan sosial yang baik dan berkesan dalam masyarakat.
Seraut wajah dengan pelbagai makna! |
EMOSI
Emosi juga merupakan salah satu bentuk 'Hidden Curriculum' yang menjadi kesukaran bagi autisme untuk memahami secara semulajadi. Hanya dengan senyuman sahaja boleh menggambarkan pelbagai maksud. Ada yang senyum sumbing, ada yang senyum kambing, ada pula yang senyum tawar dan pelbagai lagi bentuk senyuman yang menggambarkan emosi yang berbeza. Tidak semua senyuman membawa maksud suka, gembira dan ceria kerana ada sesetengah orang sebenarnya senyum dibuat-buat tanda tidak ikhlas, dan ada yang senyum membawa maksud sindiran dan pelbagai lagi luahan emosi melalui sebuah senyuman.
PERKATAAN
Perkataan juga salah satu bentuk 'Hidden Curriculum' yang wujud tanpa kita sedari. Kekadang ianya berupa jenaka tapi dipandang serius oleh seseorang yang mengalami autisme. Contohnya dalam masyarakat Melayu, kebiasaannya ibu-ibu sering menegur anak-anak dengan perkataan yang baik-baik. Misalnya jika si ibu memarahi anak kecilnya yang melakukan kesalahan namun si ibu tetap berkata " Anak bertuah" bagi mengelakkan dari menyebut perkataan yang tidak baik terhadap anak-anak. Oleh itu, sebagai ibubapa kita kena lebih berhati-hati ketika menggunakan perkataan dalam berkomunikasi dengan anak-anak autisme kerana ditakuti mereka tersalah tafsir maksud yang tersirat dari perkataan-perkataan tersebut. Gunakanlah bahasa yang jelas supaya lebih mudah difahami.
Hidden Curriculum!! |
Contoh situasi yang menggambarkan 'Hidden Curriculum' dalam komuniti sekolah dimana tindakbalas yang berbeza boleh dikesan antara yang autisme dengan mereka yang normal :
SITUASI
Di sekolah, loceng berbunyi menandakan telah tamat waktu guru mengajar
bagi sesuatu subjek. Namun si guru masih meneruskan pengajarannya buat
beberapa ketika lagi bagi menyudahkan pembelajaran berkenaan untuk hari
tersebut.
Bila loceng berbunyi di sekolah..... |
Tindakbalas anak autisme :
Si anak mula gelisah lalu memaklumkan pada si guru
bahawa masa mengajar telah tamat kerana loceng telah
berbunyi. Mungkin si guru juga kurang senang dengan
tindakan si anak.
Tindakbalas anak tipikal :
Daya pemikiran mereka berupaya memproses secara
semulajadi situasi 'Hidden Curriculum' dimana seorang
guru kadang kala terpaksa melanjutkan sedikit masa lagi
bagi menyudahkan pembelajaran pada hari berkenaan.
Tidak bermakna loceng berbunyi, si guru meninggalkan
kelas serta merta.
Penerimaan mereka terhadap situasi 'Hidden Curriculum' sangat terbatas dan harus diberi kefahaman yang betul serta tidak dibiarkan begitu sahaja. Menurut kata pakar terdapat tip-tip tertentu untuk membantu golongan ini bagi mendapatkan kefahaman terhadap 'Hidden Curriculum' termasuklah :
- PEMAHAMAN SECARA BERTULIS ATAU SECARA DIRECT
Gunakan frasa-frasa yang sesuai seperti :
" Sepatutnya kamu tidak perlu diberitahu tapi,..........."
" Semua orang mengetahuinya..........."
- SECARA DETAIL
Jika tidak dibuat secara terperinci, pasti tidak sampai oleh
jangkauan akal mereka. Ajari mereka seumpama seseorang
yang baru belajar untuk menghayun kayu golf.
- PENCAPAIAN
Elakkan dari meletakkan sasaran terlalu tinggi. Satu pelajaran
dalam masa sehari, jangan tergesa-gesa.
Sesungguhnya, autisme itu suatu cabaran buat kita insan-insan normal di sekelilingnya untuk mencari dan menerokai kaedah baru dalam mendidik golongan istimewa ini. Mungkin mereka nampak pelik, kekadang nampak seperti lurus bendul, dan ada juga yang berkeadaan seperti anti sosial. Tapi, mereka juga berupaya membuat kejutan dengan kelebihan yang ada pada mereka jika digilap dengan betul. InshaAllah....