A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Saturday, September 24, 2016

Abang...



Hampir sebulan Si Abang berhijrah nun jauh di Tanjung Malim, Perak. Alhamdulillah, dia sudah menyesuaikan dirinya dengan suasana baru di sana bersama-sama kawan serumah, sekuliah. Ternyata dia gembira di sana. Sememangnya dia mendambakan kehidupan tanpa keluarga di sisi, menguji kemampuan diri untuk hidup berdikari.

Walaupun dia pastinya merindui kehidupan kanak-kanak hingga remajanya di sini, demi untuk mencapai kepuasan dan keyakinan diri,penghijrahan ini memang kena pada masanya. Dia sudah dewasa, semoga dia sentiasa dilindungi-Nya. Belajar elok-elok abang, bukan senang nak tempuh cabaran masa hadapan. Persaingan sengit, graduan menganggur berlambak di pasaran.


Abang dah jadi 'Class Rep'...

Abang dah pandai bergaya...

Abang pergi kuliah naik bas...Kiffah

Persekitaran kolej pun cantik

Kawan-kawan sekuliah pun baik

Dewan kuliah selesa

Bersama roommates, Sabahan, Sarawakian, Kelantanese, Perakian....semua ada

Terkini, bersama roommates jalan-jalan menaiki komuter
dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur lalu singgah di KLCC

Tiada lagi alasan untuk tidak berjaya. Kuatkan usaha. Dapatkan keputusan yang terbaik. Ibuayah mendoakan dari jauh supaya kamu sejahtera di sana. Ibu dah mula rasa lega dengan perpisahan ini. Udah boleh menyesuaikan diri dengan ketiadaan kamu di rumah.

Bila terluang, baliklah. Jenguk-jenguk kami di sini. Tanjung Malim ke Kuala Terengganu tu agak jauh jaraknya, tapi jangan bimbang SP Bumi ada, Mahligai pun bersedia untuk membawa kamu balik ke mari. Balik ya...kesian Syahmi tiada teman bergurau senda di rumah.


Wednesday, September 21, 2016

Penyu Menangis Siapa Yang Tahu...



Juara Yang Hampir Dilupakan...

Dulu saya pernah memuja suaranya. Dia pernah bergelar juara dari sebuah pertandingan nyanyian di sebuah saluran TV ternama. Imejnya yang selamba, raut wajah Melayu, tidak terlalu cantik, namun manis tetap miliknya. Suara yang tidak terikut-ikut suara penyanyi wanita lain, mantap dan penuh perasaan.

Itu cerita dulu. Kini dia telah berusia lewat 40an. Bukan semua penyanyi bernasib baik sebagaimana Siti Nurhaliza. Bakat sahaja tidak mencukupi untuk dijulang di persada. Kemunculan dia di bidang ini kurang mendapat sambutan, Namun bagi saya kebolehan dia bernyanyi tetap mengagumkan.

Takdir menemukan kami di sebuah sekolah rendah 4-5 tahun lalu di mana kami masing-masing mempunyai anak autisme. Sama-sama berulang-alik menghantar anak bersekolah Pendidikan Khas. Dia tidak memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai nama suatu ketika dulu di bidang nyanyian. Penampilannya amat selamba. Namun, saya yang tersentak apabila mendengar lontaran suaranya apabila bertutur kata. Lantas mengingatkan saya kembali suara lunaknya ketika memenangi pertandingan nyanyian tersebut sekitar tahun 1990an.

Sedihhh....kini dikhabarkan dia telah beberapa tahun berpisah dengan suaminya. Saya tetap bersimpati dengan apa yang berlaku. Bukan senang seorang ibu yang mempunyai anak istimewa hendak mengimbangi kebahagiaan diri, suami, anak-anak dan masyarakat sekeliling dalam menempuh cabaran kehidupan. Namun dia tetap tabah menutup pahit getir kehidupannya.

Khabarnya dia telah kembali mencuba nasib dalam bidang seni berbekalkan bakat yang ada walau kini berada di pertengahan usia. Namanya kembali menjadi sebutan setelah berjaya menjadi finalists sebuah pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh sebuah stesen TV beberapa tahun lalu. Semoga rezekinya bertambah baik.

Ingatan saya tetap terpahat bagaimana situasi dia mengurus anak istimewanya suatu ketika, bekejar ke sana ke mari bagi memastikan keselamatan si anak semasa di sekolah. Menjadi buah mulut masyarakat sekolah kerana kurangnya awareness tentang autisme.


Siapakah DIA.....

Siapakah dia? Biarlah menjadi rahsia saya. Jikalaulah namanya tersohor sebagaimana Zarina Zainuddin, Edry KRU mungkin juga jalan cerita kehidupan beliau bersama anak istimewanya menjadi buruan wartawan untuk dikongsikan dengan masyarakat. Sayang sekali dia hanya artis biasa.

Sesekali saya terkenang nasibnya, terasa bersyukur amat kerana ujian yang saya lalui tidak sehebat dirinya. Saya tetap mendoakan dia memperoleh sesuatu yang terbaik untuk kehidupannya yang mendatang...aamiin


Pemyu Menangis Siapa Yang Tahu?


Thursday, September 8, 2016

Dia Sudah Remaja...



Kelmarin 7hb September 2016, maka genaplah usia Syahmi 14 tahun. Kini dia sudah berada di usia remaja, makin banyak cabaran yang harus dilalui. Dengan keadaan fizikal yang semakin menjadi-jadi, makin tinggi dan berisi, jerawat tumbuh sebiji-sebiji di muka especially di pipi dan hidung.

Emosi juga berubah kini. kekadang dia udah berani mempertahankan diri dari usikan orang lain. Menyuarakan kemarahannya, jika orang lain melakukan sesuatu yang tidak disenanginya. Hormon remaja mula menguasai dirinya barangkali.

14 tahun berlalu, banyak perkara tercatit dalam diari harian kami sekeluarga. Kerana dia, kami menangis mencari sebab, kenapa dan mengapa dia mengalami autisme. Kerana dia juga, kami belajar memahami insan-insan lain yang senasib dengannya. Kerana dia, kami belajar berada di bawah. Kerana dia, kami lebih mendekatkan diri pada-Nya. Membuang rasa ego, melatih diri menjadi orang yang sabar.

Banyak hikmahnya apabila kita diuji dengan kesusahan, kesedihan dan kedukaan. Namun kita kena gali sendiri supaya sinar di hujung sana dapat kita temui.

Kembali memperkatakan tentang hari lahir Syahmi kelmarin, tahun ni ada sedikit kejutannnn....jeng jeng jeng. Inilah sehelai lembaran ucapan selamat hari lahir dari rakan sekelasnya, rakan muslimah pulak tu. Terima kasih anak-anak semua AQILAH, AMIRAH, ILYA, ADILAH AZMAL dan NURUL IZZAN IZZATI. Sesungguhnya kamu semua menghargai insan istimewa ini sebagai rakan sekelas. Kami sebagai ibubapa Syahmi amat menghargainya. Inilah hadiah bermakna buat Syahmi seorang insan autisme yang tidak semua orang mampu mendekatinya.


Coretan dari rakan-rakan muslimah Tingkatan 2 Al Tirmizi buat
Syahmi di hari lahirnya

Pada rakan-rakan lain yang turut mengucapkan Selamat Hari Lahir buat mu di facebook, terima kasih juga diatas perhatian anda semua pada Syahmi. Sekarang kami tahu Syahmi tidak bersendirian lagi. Telah ada insan-insan lain yang menganggapnya sebagai seorang kawan.

Selamat Hari Lahir Syahmi. Ibu dan ayah mendoakan kamu agar menjadi seorang anak yang soleh, sihat selalu, berbahagia di dunia juga di akhirat. Aamiin...



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...