Epilepsi lebih dikenali sebagai sawan di kalangan orang Melayu. Malangnya masyarakat kita kerap menghubungkan penyakit ini sebagai gangguan kuasa ghaib. Lebih malang lagi ada yang beranggapan bahawa penghidap epilepsi sebagai 'gila' atau terencat akal mahupun melibatkan masalah mental. Hakikatnya epilepsi adalah panggilan nama bagi pelepasan (cetusan elektrik) jirim kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak. TERDAPAT KAJIAN YANG MENUNJUKKAN 40% DARI MEREKA YANG MENGALAMI AUTISME ADALAH PENGHIDAP EPILEPSI.
Ada Yang Mengumpamakan Sebagai 'Ribut Elektrik' |
Kebanyakan pesakit epilepsi mempunyai tahap kecergasan otak yang normal dan ada kalanya yang melebihi purata normal. Mereka boleh bekerja juga menyertai aktiviti lasak cuma dengan syarat iaitu tidak mengendalikan senjata merbahaya, mengendalikan mesin atau jentera berat. Malahan mereka juga boleh berkahwin. Ramai yang menganggap bahawa penghidap epilepsi akan melahirkan zuriat yang cacat sedangkan hakikat yang sebenarnya SESIAPA SAJA boleh mendapat penyakit ini tidak kira ahli profesional doktor, jurutera dan sebagainya.
Sawan disebabkan oleh pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan dalam sekumpulan sel otak secara mengejut, selalunya dalam jangka masa yang pendek. Sewaktu sawan, neuron di dalam bahagian otak (topi sel-sel saraf menghasilkan pelepasan elektrik) boleh melepaskan sebanyak 500 kali sesaat, yang mana mengganggu aktiviti-aktiviti normal saraf, kelenjar dan otot.
Secara mudahnya ia boleh dikatakan sebagai satu gangguan di mana aliran isyarat di dalam otak menjadi celaru. Kebiasaannya seseorang penghidap epilepsi itu akan mengalami sentakan, menggigil dan terkejang-kejang, bunyi kuat seperti berdengkur atau rebah ke tanah, mahupun gabungan ketiga-tiganya sekali.
Kesan Serangan Terhadap Individu |
Sekiranya gejala-gejala kecil berulang terhadap seseorang individu biasanya berkelakuan pelik dengan menjerit-jerit tanpa sebab, termenung dan ada juga yang berlari tanpa pakaian (perlakuan yang tidak disedari) maka bawalah mereka ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Mereka perlu dibantu seawal mungkin. Keterangan ahli keluarga atau saksi lain yang berada di tempat kejadian amat diperlukan memandangkan ianya berlaku tanpa disedari oleh pesakit itu sendiri.
Tanda-tanda paling ketara membezkan epilepsi dengan masalah lain ialah apabila SAWAN BERULANG dan ada waktu bebas di antara kedua-duanya, pesakit kelihatan normal, serta sifat serangan yang serupa. Setiap kali selepas serangan, pesakit berasa bingung, termenung dan biasanya mengalami sakit kepala.
Doktor akan menentukan rawatan yang bersesuaian samada selepas temujanji pertama setelah maklumat lengkap diperolehi mahupun melakukan beberapa ujian selanjutnya samada EEG, rakaman video-EEG, CT scan, dan MRI. Bantulah golongan ini dengan mendapatkan rawatan awal oleh mereka yang berkepakaran.