A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Sunday, April 13, 2014

Perkhemahan Pulau Redang 10hb - 12hb April 2014



Pantai yang bersih dengan pasir yang memutih...

Perkhemahan di Pusat Kokurikulum JPNT, Pulau Redang sangat mencabar, sukar, menguji kematangan anak-anak sebenarnya.  Pertama kali menyertai program yang sebegini, membuatkan Syahmi mengalami kejutan kerana kurang bersedia. Bergelut dengan masalah sensory, anxiety menyebabkan si anak tewas sebelum berjuang. Melihat pada keadaan kediaman yang kekurangan kemudahan dan serba sederhana membuatkan Syahmi awal-awal lagi menangis hendak pulang ke rumah.


Penginapan serba sederhana.....berlatarbelakangkan bukit yang dikelilingi flora dan
 fauna termasuklah monyet-monyet yang berkeliaran

Nasib baiklah ibu pun turut serta dalam rombongan perkhemahan tersebut dan lebih arif untuk menangani masalah kamu. Ditunjukkan cara-cara untuk berkongsi bilik air dengan semua peserta, bertindak pantas untuk segera berada di lokasi dimana aktiviti dijalankan juga mengatasi situasi luar jangkaan dimana suatu ketika terputusnya bekalan air di tempat penginapan. Akhirnya Syahmi boleh menerima keadaan kesukaran tersebut dengan muka yang mencuka. Redha dalam keterpaksaan...hihihi


Berdikari menyenduk sendiri makanan,
kemudian mencuci pinggan dan gelas masing-masing

Berkumpul untuk mendengar taklimat serta mengaminkan doa agar
semua aktiviti berjalan lancar

Bangun seawal 5.15am untuk mandi lebih awal dari rakan-rakan yang lain. Segera ke surau untuk bersolat subuh. Kemudian 7.00am bergegas ke tapak perhimpunan bagi mendengar taklimat. Seterusnya, makan pagi beramai-ramai. Aktiviti bermula kira-kira jam 8.30am dengan acara snorkelling. Jika anda semua berada di Pulau Redang, maka janganlah memikirkan hal-hal selain dari meneroka alam marine. Tiada yang menarik berkenaan Pulau Redang selain dari alam marinenya yang masih terpelihara. Tidak perlu membawa pakaian yang pelbagai, cukup sekadar pakaian yang sesuai untuk berada di air berjam-jam.


Menaiki bot untuk ke destinasi  Taman Laut, Pulau Redang
bagi aktiviti snorkelling tepi pantai....

Suasana di Taman Laut, Pulau Redang....

Enggan menggunakan peralatan snorkelling, kerana masalah sensori,
enggan menggigit goggle, seperti hendak termuntah ......

Alam marin di Pulau Redang....

Menikmati pengalaman yang menakjubkan.......

Spesies ikan yang berwarna-warni....cantik....

Kehidupan di Pulau Redang bukan seperti kita di sini. Hanya beberapa kenderaan yang digunapakai oleh penduduk. Van, bas mini, kereta terpakai, motorsikal menjadi pengangkutan utama penduduk setempat. Jika kelihatan van mahupun bas mini yang canggih sedikit, tentulah ia dimiliki oleh resort-resort ternama untuk mengangkut para pelancong yang datang menginap di sana.


Perbelanjaan agak tinggi semasa di Pulau Redang, harga air mineral naik 100% jika dibandingkan dengan kita di tanah semenanjung. Ketika kami berada di sini, hanya van-van uzur juga lori 1 tan yang disediakan untuk mengangkut guru-guru dan pelajar ke lokasi aktiviti. Kita harus memahami budget kecil untuk anak-anak sekolah tidak mampu untuk menampung kos pengangkutan yang tinggi.


Syahmi pun berpeluang menaiki lori beramai-ramai....
Sama rasa, samada guru atau anak-anak murid
menaiki kenderaan yang sama.....

Menggunakan lori 1 tan sebagai pengangkutan utama.....

Hari terakhir kami di sana, diadakan juga perlawanan bolasepak persahabatan antara SKSB II dengan Sek Keb Pulau Redang. Walaupun sekolah SKSB II hanya diwakili oleh beberapa orang pemain sekolah sementara yang lainnya hanyalah pemain bidan terjun, keputusan seri mampu melegakan keseluruhan kami. Sepakan penalti telah memberikan kemenangan kepada pasukan lawan dengan keputusannya SKSB II tewas 2-4.


Syahmi (kiri) menyaksikan rakan-rakannya beraksi di
padang....

Selesai perlawanan bolasepak, kami kembali semula ke penginapan. Bersiap sedia mengemas pakaian untuk pulang sebelum menjamu selera makan tengahari. Pukul 12.40pm kesemua peserta bergerak perlahan-lahan berjalan kaki ke Jetty Pulau Redang yang hanya terletak lebihkurang 300 m dari penginapan. Wajah ceria Syahmi mula terpancar kerana tidak sabar untuk balik ke rumah. Rindunya pada dunia mayanya sudah tidak terperi.....

                       
Wajah berseri-seri untuk kembali ke rumah...

Berjalan menuju ke Jetty Pulau Redang bagi menaiki feri
untuk pulang semula ke Kuala Terengganu

Tujuan utama perkhemahan, bagi membina kematangan anak-anak supaya dapat berdikari menempuhi cabaran dalam kehidupan. Bukan senang untuk melatih anak-anak masa kini dengan suasana kepayahan  seperti mandi berkongsi bilik air beramai-ramai, mencuci pakaian sendiri dan sebagainya. Bagaimana pula keadaan anak autisme saya semasa di sana?


Saya dapati dia mempunyai keinginan untuk bersama rakan-rakannya. Cuma dengan kekangan yang ada, kekadang rakan-rakan sukar menerima kehadirannya dalam kelompok tersebut. Topik yang menjadi minat anak autisme dengan anak-anak tipikal amat berbeza. Perbualannya juga tidak setara dengan rakan-rakan seusia. Rakan-rakan boleh berjenaka dengan hilai tawa, tapi si anak autisme agak terkebelakang untuk memahami sesuatu maksud yang diperbualkan rakan-rakan.


Keinginan tetap ada untuk bersosial dengan rakan-rakan.....

Membeli cenderahati untuk Guru Kelas dan
Guru Pendampingnya...

Walaupun sebagai ibubapa hati tetap terjeruk rasa dengan sesetengah keadaan yang berlaku, tapi usaha untuk mendedahkan si anak hidup bermasyarakat tetap harus dilakukan. Sampai bila kita hendak 'simpan' anak kita di rumah? Biarlah mereka hina di mata masyarakat yang masih kurang faham terhadap insan sepertinya, tapi Allah sentiasa melihat tanpa alpa terhadap usaha-usaha kita bagi membantu insan anugerah ini.


Keletihan yang berbaloi-baloi demi masa depan kamu....
(perjalanan pulang menaiki feri)

Apa-apa pun, saya gembira anak saya dapat menyertai program ini dan balik dalam keadaan selamat. Pengalaman yang seumpama ini sukar untuk diperolehi. Kecil pencapaian si anak, besar maknanya bagi saya.....alhamdulillah. Terima kasih cikgu-cikgu atas kerjasama yang diberikan. Tahun depan Syahmi akan naik ke Tingkatan 1 dan meninggalkan pelbagai kenangan manis semasa di SKSB II.

             
Kepada Cikgu Aniza, Cikgu Nurliza, Sir Saiful yang tidak secara langsung menyumbang kepada gambar-gambar indah anak-anak SKSB II di Pulau Redang juga cikgu-cikgu yang lainnya, budi baik anda akan tetap dikenang sampai bila-bila......terima kasih.
                     


Keseluruhan peserta perkhemahan termasuk 7 orang
pelajar PPKIBP













LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...