A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, November 29, 2013

Akhirnya Kita Akan Sendirian Juga....



Cepatnya masa berlalu....14 tahun berulang-alik menghantar mahupun mengambilnya dari sekolah akhirnya Syawal Aiman menamatkan pembelajaran Tingkatan 5 dengan berakhirnya menjawab soalan Kertas Biologi (SPM) pada jam 3.30pm,  27hb Nov 2013 yang lalu.


Syawal Aiman ketika berusia 6 tahun
di Tadika St Theresa, Kuala Terengganu

Syawal Aiman, abang kepada Syahmi Asyraff adik yang istimewa autisme.  Jarak umur antara keduanya 6 tahun. Dalam banyak hal mereka tidak seirama mungkin kerana faktor usia, namun mereka tetap adik beradik. Kasih sayang tidak akan hilang maklumlah sedarah sedaging.


Senyum lebar, menamatkan pembelajaran
di Tingkatan 5 (SPM)...

Bila anak kian membesar, tiba masanya kita ibubapanya akan ditinggalkan. Itulah lumrah alam, putaran roda kehidupan. Dulu kita meninggalkan ibubapa di kampung untuk melanjutkan pelajaran. Sekarang tiba masanya, kita pula merasai sayu sendu ibubapa yang terpaksa melepaskan si anak untuk berjauhan dengan keluarga. Saya mesti bersedia untuk itu. Saya masih ada Syahmi untuk menemani kami yang tentu juga kesunyian tanpa usikan, gelak tawa abangnya.


Terimalah hakikat bahawa suatu masa nanti, kita semua akan sendirian juga. Jika ada 10 anak sekali pun,  tidak selama-lamanya mereka akan berada di sisi kita. Mereka juga ada kehidupan masing-masing yang harus dibina. Semoga mereka sentiasa 'ingat' pada orang tuanya walaupun kita telah bersemadi di sana.

Dulu 2007....Syawal dan Syahmi

Semoga kedua-dua anak kami, Syawal Aiman dan Syahmi Asyraff menjadi anak yang soleh untuk mendoakan kesejahteraan kami baik di dunia mahupun di akhirat kelak....aamiin
         
               
Sekarang 2013....Syawal dan Syahmi
Yang pasti, lambat laun kita akan sendirian juga. Tiada anak, tiada suami/isteri, tiada saudara mara yang akan menemani kecuali amalan kita di dunia.

Friday, November 22, 2013

Apakah FLAT FOOT?




Tapak kaki lengkungan
tinggi
Tapak kaki normal
                 
FLAT FOOT


Terdapat 3 jenis tapak kaki manusia yang biasa didapati iaitu, tapak kaki normal, tapak kaki lengkungan tinggi dan tapak kaki rata (Flat Foot). Kali ini saya ingin menumpukan kepada permasalahan Flat Foot dimana biasanya ia disebabkan faktor warisan keluarga. Namun faktor biomekanik pada bahagian kaki seperti gaya berjalan yang abnormal, tendon yang tercedera juga menyumbang kepada Flat Foot. Selain dari itu, terdapat punca lain yang berhubungkait dengan masalah ini seperti penyakit saraf (Cerebral Pulsy), juga faktor kelainan otot. Dikatakan 20% hingga 30% penduduk dunia mengalami masalah ini.


Mungkin kita tidak perasan tentang permasalahan ini di peringkat awal sehinggalah si penderita mengadu sakit bahagian belakang, pinggang, punggung, lutut dan beberapa bahagian kaki yang lain. Golongan ini juga sering mengadu sakit/tidak selesa apabila berdiri dalam jangka masa yang lama. Mereka juga sukar mendapatkan kasut yang sesuai dengan pelbagai alasan.


Bandingkan keadaan tapak kaki anda 

Tapak kaki berfungsi sebagai penyerap berat dari henjutan/hentakan ketika individu berjalan, berlari atau melompat. Betapa besarnya tugas bahagian kaki ini jika dibandingkan dengan keprihatinan manusia terhadap penjagaannya. Kita boleh mengeluarkan sebahagian besar wang untuk mencantikkan muka, rambut, namun untuk menjaga kesihatan tapak kaki biasanya jarang dititikberatkan.

Umpamakan Flat Foot seperti keadaan tayar yang
haus (makan sebelah) jika tidak dibuat allignment......


Flat Foot bukanlah permasalahan yang boleh disembuhkan secara total. Beberapa  kaedah yang disyorkan bagi membantu mereka yang menderitainya hanyalah sebagai jalan untuk mengurangkan rasa sakit. Antara kaedah yang disyorkan adalah  :


                     1. TERAPI ORTHOTIC
             

                     Mengacu alat yang dipakai di dalam kasut. Dengan berpijak pada orthotic
                     yang direka tepat kepada pemakainya maka akan dapat membantu menyokong
                     lengkungan tapak kaki individu tersebut disamping menghasilkan posisi berjalan,
                     berlari dan berdiri dengan lebih baik.



Bertindak sebagai penyokong tapak kaki


                      2.  MENGAWAL BERAT BADAN


                      Kekalkan berat badan unggul bagi mengelakkan tapak kaki dari bekerja lebih
                      kuat untuk menampung berat yang berlebihan itu. Hadkan aktiviti kepada yang
                      bersesuaian dengan kemampuan diri.


                      3.  UBAT-UBATAN


                       Ubat anti keradangan biasanya disyorkan apabila seseorang mengadu sakit
                       disebabkan masalah Flat Foot.


                      4.  PENGGUNAAN KASUT/SANDAL YANG DISYORKAN


                       Menggunakan kasut/sandal yang bersesuaian seperti yang disyorkan oleh
                       mereka yang berkepakaran dalam aktiviti seharian.


Kiri (1) adalah kasut sukan yang sesuai
untuk pemilik Flat foot

Direka khusus untuk menampung bahagian
lengkungan di tapak kaki


                      5. MENGUATKAN OTOT BAHAGIAN LENGKUNGAN TAPAK KAKI
                   

                      Beberapa aktiviti boleh dilakukan bertujuan untuk mengurangkan kesakitan yang
                      dialami seperti senaman 'one leg balance ' dimana lakukan kira-kira 30 saat bagi
                      kaki kanan dan beralih pula ke kaki kiri. Boleh juga dilakukan senaman dengan
                      menggunakan Wobble Board.


Wobble Board

Guli juga boleh digunakan sebagai alat bantu untuk
menguatkan  otot lengkungan kaki



                       6.  PEMBEDAHAN


                       Hanya dalam kes-kes tertentu sahaja, pembedahan terpaksa dilakukan seperti
                       mereka yang mengalami Rigid Flat Foot dimana bahagian tapak kaki yang rata
                       dan sangat kaku/tidak fleksible.



Fakta yang tidak kurang penting yang harus diketahui juga berhubungkait dengan Flat Foot ini iaitu, golongan ini tidak mendapat tempat untuk menceburi bidang ketenteraan mahupun pasukan beruniform yang lain. Berkawad dan berdiri lama antara bidang kerja wajib bagi pasukan beruniform yang amat bertentangan dengan keupayaan mereka yang mengalami Flat Foot.


Terimalah dengan redha segala kekurangan yang ada. Pandanglah pada mereka yang lebih serius diuji oleh-Nya. Sekurang-kurangnya kita masih dikurniakan kaki untuk meneroka alam ini dengan bebas....lihatlah pada mereka yang dilahirkan tanpa kaki, tanpa nikmat penglihatan dan sebagainya. Namun mereka tetap tabah melaluinya, apatah lagi kita!

Wednesday, November 20, 2013

Bila Syahmi Turun Gelanggang!



Syahmi kurang beraktiviti, kurang melakukan senaman, jarang sekali nampak dia berpeluh kerana sebahagian besar masanya hanya menghadap lappy. Tubuh yang semakin berisi, stamina semakin menurun, nafas semakin pendek antara gejala yang terang lagi bersuluh apabila asyik memerap di rumah.

Cuti sekolah kali ini, ayuh kita turun gelanggang!

Kadang-kadang kena, kadang-kadang servis angin....

Tunduk, bangun mendapatkan bulu tungkis.....baru berpeluh

Kekadang boleh membalas servis dengan baik dan kekadang pula
terus menuju ke atap rumah jiran...hehehe

Sebulan lebih cuti sekolah kali ini, tentu Syahmi mempunyai kelapangan untuk melakukan aktiviti mengeluarkan peluh disamping mampu menguasai permainan badminton dengan lebih baik. Meningkatkan tahap koordinasi, keseimbangan, kelenturan dan aspek jasmani yang lain disamping membina minda yang cerdas.

Semoga langit di Batu Buruk ini, tidak mendung berpanjangan supaya kami penduduknya dapat menikmati aktiviti luar rumah dengan selesa....In sha Allah.

Sunday, November 17, 2013

Ada Berani Ke ???



Umpama Sang Gajah  dengan Sang Semut

"Aku orang kecil, engkau orang besar, kau ibarat gajah, ku hanya semut merah". Begitulah hakikatnya asam garam kehidupan manusia, rasa rendah diri apabila kita berada di bawah. Dalam keadaan tertentu, rasa rendah diri itu baik untuk diamalkan. Manakala dalam keadaan yang lain pula,  rendah diri boleh meruntuhkan semangat kita. Bagaimana pula Syahmi dengan prinsipnya, lurus tanpa berprasangka. Berani kerana benar!

Beria-ia Syahmi hendak mendapatkan tandatangan Guru Besar sekolahnya yang akan bersara. Dipujuk-pujuk supaya melupakan hasrat untuk mencelah orangramai  dalam Majlis Persaraan Puan Melah binti Manap hanya untuk mendapatkan sebuah  tandatangan. Dia tidak menghiraukan pujukan saya.

Terus bertemu guru pendampingnya Puan Rosma binti Jani untuk menyatakan hasratnya. Cikgu Rosma bertanya "Ada bawa pen tak?". "Tak ada, cikgu" kata Syahmi. Lalu guru pendampingnya, sudi meminjamkan dari guru lain sebatang pen untuk memuaskan hati anak didiknya. Dalam kesibukan majlis tersebut, sempat juga Syahmi menyelinap mendapatkan tandatangan dan kata-kata dorongan dari Puan Melah binti Manap.

Ternyata dia berpuas hati apabila memperolehi tanda tangan
 dan kata-kata dorongan dari seorang
bekas Guru Besar

Itulah Syahmi, seorang anak autisme.  Kalau sesuatu perkara yang difahaminya tidak  menyalahi 'undang-undang bertulis atau tidak bertulis' setakat yang diterima oleh kemampuan akalnya, maka dia akan meneruskan niat baiknya tanpa menghiraukan faktor-faktor lain. Nak jaga air muka, rasa rendah diri tiada dalam pertimbangannya. Janji, matlamatnya tercapai. Terima kasih pada Puan Melah binti Manap kerana sudi melayan kerenah anak didik yang istimewa ini.

Ibu ayah jadi gerun dengan keberanian Syahmi. Kalau ibu dulu-dulu, hanya menjadi penonton setia di barisan belakang, tersenyum-senyum dari kejauhan meraikan kemeriahan. Kamu memang berbeza.......Ya Allah! lindungilah anak ini dari pandangan kurang baik manusia di luar sana, lahirkanlah rasa belas dan kasih sayang mereka terhadap anak ini...aamiin


           
Semoga Syahmi menjadi Sang Semut
 yang berjiwa besar!    

           


           

Wednesday, November 13, 2013

Usah Kembang Tekak!




Bukan tiada tajuk lain yang hendak diperkatakan, tetapi sengaja mencuri perhatian dengan tajuk yang boleh membuatkan kita 'kembang tekak'. Namun, mahu atau tidak kita perlu tahu di mana kedudukan najis kita bagi memastikan kita berada dalam kesihatan yang terbaik.


Objek hanya sekadar lakaran.....
carta yang diperkenalkan oleh Lewis S.J dan Heaton K.W
dari University of Bristol, UK
         
               Mengikut carta  yang diberi, struktur najis manusia terbahagi kepada 7 jenis iaitu :


                           JENIS 1 :  Biji-biji yang agak keras (seperti tahi kambing)

                          JENIS 2 :  Bentuk seperti sosej, berpintal seperti rambut
                                           wanita dijalin                                      
                 
                          JENIS 3 :  Bentuk seperti sosej, namun strukturnya seolah-
                                           olah merekah

                          JENIS 4 :  Bentuk seperti sosej atau ular, licin dan lembut

                          JENIS 5 :  Gumpalan dengan potongan yang jelas bersisi

                          JENIS 6 :  Ketulan-ketulan kecil yang benyek (kembang)

                          JENIS 7 :  Cair, tiada ketulan

             
JENIS 1 dan JENIS 2 :

Najis begini, menandakan sembelit. Perlu dilakukan usaha bagi memulihkan  keadaan ini dari berterusan. Berlakunya keadaan ini disebabkan beberapa faktor seperti  kurangnya pengambilan buah-buahan mahupun sayur-sayuran dalam diet seharian, kurangnya  pengambilan air dan mungkin juga bagi mereka yang kurang bersenam.

Namun ada kes tertentu dimana wujudnya individu yang malas untuk membuang air besar dan sanggup menahannya hingga berhari-hari lalu menggalakkan najis sembelit ini terhasil.


JENIS 3 dan JENIS 4 :

Keadaan najis yang paling ideal. Hasil dari individu yang mengikut rutin jadual ke tandas seperti yang disyorkan iaitu sekali/2 kali dalam sehari serta pengambilan diet yang seimbang.


JENIS 5, JENIS 6 dan JENIS 7

Najis yang begini, kena diselia dengan berhati-hati kerana ditakuti menyirami bumi sebelum sampai ke tandas. Biasanya si penderita akan menanggung sakit perut yang memulas-mulas serta berangin (gas) dalam perut. Jika kerap berulang-alik ke tandas iaitu melebih 3 kali sehari, bermakna anda mengalami cirit-birit/diarrhea. Kemungkinan ia disebabkan keracunan makanan, atau pengambilan makanan yang tidak toleran oleh sistem penghadaman individu terbabit seperti laktosa, jangkitan virus, bakteria mahupun parasit.

Jangan dibiarkan diarrhea berlarutan kerana, ia boleh membawa maut jika berlaku dehidrasi. Dapatkan nasihat doktor.

Ingat, najis juga penting untuk dinilai tahapnya!


Tuesday, November 12, 2013

Berjaya Meloloskan Diri.......



Akhirnya Dia Berjaya....

Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sek Keb Seri Budiman II, Kuala Terengganu telah berlangsung pada 11hb Oktober 2013. Tahniah Syahmi, kerana buat pertama kalinya Syahmi berjaya meloloskan diri di kalangan anak-anak tipikal yang lain di aliran perdana untuk naik ke pentas menerima anugerah Pelajar Terbaik Bahasa Inggeris Tahun 5 berdasarkan Peperiksaan Akhir Tahun 2013 yang lalu.


Bukan senang sebagai anak Pendidikan Khas untuk memburu kejayaan bersaing dengan mereka yang tipikal. Namun tiada yang mustahil jika Syahmi berkemahuan. Lipat-gandakan usaha untuk menghadapi UPSR tahun hadapan. Buktikan kamu memang istimewa di mata semua....


                                                               Selamat Bercuti...

               

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...