A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, July 24, 2017

Letih Benar Dia



PT3 makin dekat, dua bulan sahaja lagi. Kelas tambahan hingga ke petang. Kerja kursus PT3 juga mendesak. Kerja kursus IB pun bertimpa-timpa. Kerja Kayu KH, Ujian Segak, semua datang dalam masa yang sama. Kesian dia, letih sangat nampaknya. Tidur malam lena, letak kepala di bantal terus bermimpi hingga ke negeri China lagaknya. Pada halnya, kerja sekolah masih banyak yang belum diselesaikan.

Apa yang ditanggungnya kini memang berat jika dibandingkan dengan usianya. Budak-budak masa kini dihantui dengan bebanan persekolahan yang melampau. Budak tipikal pun terasa akan kepayahannya, inikan pulak budak istimewa.

Bersabarah anak ku....ibu tahu kamu letih seletih letihnya kini. Sikit lagi nak, ibu ada untuk membantu kamu. Kita sama-sama harungi dua bulan penuh mencabar ini. Semoga kamu diberi kekuatan untuk melaluinya...aamiin



Bangun nak....

Sunday, July 9, 2017

Raya 6.....



Syahmi 

Selesai sudah dia berpuasa sunat enam kelmarin. Pertama kali dalam hidupnya dia menunaikan ibadah sunat yang ini. Walau panas terik menghantui kami di Kuala Terengganu, tetap digagahi jua untuk melakukan puasa sunat ini dengan redha. Alhamdulillah....hari ini dia menyambut Raya 6.

Ibu pernah memujuk dia untuk tidak berpuasa 6 ketika hari-hari persekolahan memandangkan cuaca yang panas terik sekarang juga cabaran menyaksikan kawan-kawan di sekolah yang tidak berpuasa. Rupa-rupanya ibu silap besar kali ini. Dia sudah remaja ibu. Dia sudah dapat menilai kemampuan diri sendiri. Dia bukan kanak-kanak lagi.

Semoga kamu terus istiqamah dalam melakukan perkara yang baik. Sesungguhnya mereka benar-benar 'lurus'. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam menyalurkan sebarang input supaya benar-benar difahami dan dapat diaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Maafkan ibu Syahmi, kali ini ibu salah menilai kamu.






Monday, July 3, 2017

Ziarah Mereka Yang Ditinggalkan



Jumaat, 23hb Jun 2017, perjalanan kami dari Kuala Terengganu bermula jam 2.30am menuju ke Kuala Kangsar untuk menyambut hari raya Aidil Fitri di kampung. Melewati jalan raya Timur-Barat beberapa jam, kami singgah sebentar di Kpg Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar bagi menziarah sahabat yang kehilangan anak tunggal mereka beberapa hari sebelum Ramadhan. Dingin suasana ketika itu, kami sampai di sana kira-kira jam 8.00am.


Genap sebulan pemergian IzOne, ziarah kali ini untuk menemukan Syahmi dengan ummi dan ayah arwah. IzOne dan Syahmi sebaya, lahir tahun 2002 dan sekarang berusia 15 tahun. Kedua-dua mereka anak istimewa autisme. Diharap dengan kunjungan ini dapat mengubat rindu dendam keduanya terhadap anak kesayangan mereka yang telah mendahului kita. Al fatihah.


Keceriaan terpancar biar pun kunjungan hanya seketika

Kemesraan terbina....

Sempat juga kami ke pusara ahli syurga ini (InshaAllah) untuk menghadiahi bacaan Yasin buatnya yang diketuai oleh Syahmi sendiri. Tak terlintas langsung sebenarnya ziarah kali ini hingga menjejakkan kaki ke tanah perkuburan Kg Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar tempat dimana bersemadinya jasad insan istimewa ini.


Semoga kamu berbahagia di sana....IzOne

Sebelum mengundur diri bagi meneruskan perjalanan ke kampung Syahmi yang terletaknya hanya lebihkurang lima kilometer sahaja lagi, sebuah pelukan mesra Syahmi buat ayah kepada arwah. Lusanya sambutan hari raya Aidil Fitri. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah keadaan suami isteri ini menghadapi hari kemenangan umat Islam ini tanpa anak tunggal mereka.


Sayu bagi yang menyaksikan detik ini.....

Semoga kamu suami isteri beroleh ganjaran pahala yang besar atas kesabaran dan keredhaan menerima ujian dari Nya. Kehilangan yang tiada berganti. Namun percayalah, Tuhan menguji dalam batas kemampuan hamba Nya. Mengikut kata si ayah, "Tiada siapa lagi yang kami tunggu kali ini, biasanya kawan-kawan dia datang ke rumah untuk beraya".

Ya Allah, Kau hapuskanlah kegundahan mereka suami isteri (jika ada) . Gantikanlah rasa ketenangan dan kedamaian yang abadi supaya mereka lebih bersemangat untuk menghadapi hari-hari mendatang. Aamiin.....




Bila Remaja Beraya...



Dia lebih suka menyendiri, kurang bercakap. Buat hal sendiri. Menonton TV, kemudian menghadap telefon (main games terutamanya). Lagi pun. di kampung tiada sepupu sepapat yang sebaya dengannya untuk dia berbicara. Dia cucu bongsu dalam keluarga. Sepupu yang lain ramai yang dah berumahtangga dan punya keluarga sendiri.

Pagi raya tetap ke masjid bersama ayah dan abangnya untuk solat sunat Aidil Fitri. Duit raya diterima dari saudara mara terdekat lalu disimpan dalam tabungnya. Tahun ini tidak lagi seperti dulu. Dia telah pandai menguruskan duit rayanya sendiri.

Cuti raya si ayah amat pendek tahun ini. Hari raya kedua, kami dah kena balik semula ke Terengganu sebab keesokkan harinya ayah dah mula bekerja. Jadi kemeriahan hari raya tahun ini terbantut disebabkan masa yang singkat berhari raya di kampung.


Di pagi raya, bergambar sekeluarga sebagai kenangan

Sesekali balik ke kampung, berposing sakan kita ....

Kedua-duanya, abang dan adik udah besar panjang

Berbaju Melayu sebagai busana pilihan di pagi raya

Keletah kanak-kanaknya telah berakhir. Usianya pun menjangkau 15 tahun September nanti. Dia telah mula menyesuaikan dirinya dengan beraksi sebagaimana orang remaja. Ayah dan abangnya menjadi ikutan. Begitu juga rakan-rakan sekelilingnya.

Tiada siapa yang perasan dia 'jejaka istimewa'.  Hanya yang benar-benar dekat dengannya sahaja yang tahu bahawa dia 'jejaka istimewa' dan sedikit berbeza dari mereka yang seusia.  Alhamdulillah...semoga dia terus bersemangat untuk memperbaiki kelemahan diri dan menjadi insan cemerlang di sisi-Nya dan insan-insan di sekeliling. Aamiin...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...