 |
| Mengekalkan kemenangan bukan perkara mudah! |
Akhirnya Muhammad Syahmi Asyraff bin Samsul Muariff diumumkan sekali lagi sebagai juara Tilawah Al Quran bagi kategori (BP Rendah) Lelaki peringkat Daerah Kuala Terengganu 2013. Rasa gembira memang ada, cuma impaknya tak sehebat tahun lepas dimana kali pertama Syahmi menyertai Tilawah Al Quran. Namun dipanjatkan rasa syukur kehadrat-Nya kerana nikmat yang tidak kunjung padam buat anak istimewa kami. Alhamdulillah.....
Kelmarin 2hb July 2013 diadakan Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Pendidikan Khas bagi daerah Kuala Terengganu. Berlangsung di Sek Men Pendidikan Khas (Pendengaran), Chendering, Kuala Terengganu.
 |
Sebagai peserta 1 memperdengarkan bacaan
Surah An Naba |
Dengan pengalaman yang ada, Syahmi melalui cabaran dengan bersahaja. Lebih relax, tanpa tekanan. Cuma kali ini Syahmi memasuki dua acara iaitu Tilawah dan Hafazan. Syahmi tidak begitu menyerlah dalam acara Hafazan. Hanya memperolehi tempat ke empat dari pesaing lain seramai 13 peserta. In Shaa Allah tahun hadapan kita cuba lagi.
Apa yang lebih menggembirakan, Syahmi telah pandai membawa diri. Makan bersama-sama, berbual-bual dan berjalan-jalan sekitar sekolah yang indah lagi permai bersama teman-teman. Tidak lagi hanya bergantung pada si ibu mahupun guru. Inilah yang membuatkan hati saya kembang mekar.
 |
Makan bersama-sama, makan dengan tangan adalah sesuatu
kejayaan bagi Syahmi |
 |
Membaca bersama-sama sambil menunggu giliran untuk
diuji dalam acara Hafazan
|
 |
Lokman dan Syahmi, keduanya murid di SK Seri Budiman II
(Pendidikan Khas), cuma Syahmi dinklusifkan di mainstream |
 |
| Kejayaan tercipta akhirnya! |
Perjuangan akan diteruskan untuk mengharungi pemilihan peserta bagi mewakili Negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan, iaitu selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti. Kita teruskan latihan untuk mendapatkan bacaan yang lebih bermutu....
Usaha hingga berjaya!
 |
Mengetuai bacaan doa semasa
perhimpunan di sekolah |
Bukan semua anak istimewa diberi kesempatan yang sebegini. Malahan, ramai antara mereka yang dipandang sepi oleh masyarakat sekelilingnya. Namun Syahmi amat bernasib baik kerana banyak peluang telah diberi oleh pihak sekolah dalam meningkatkan keyakinan dirinya sebagaimana yang diberi kepada murid-murid tipikal yang lain.
Syahmi akan naik ke pentas sebanyak 2 kali dalam tempoh sebulan untuk mengetuai bacaan doa semasa perhimpunan di sekolah. Sebenarnya tugas ini dilakukan secara bergilir-gilir oleh pengawas lelaki di sekolahnya. Sebagai ibubapa, kami turut berterima kasih di atas keprihatinan pihak sekolah terhadap peluang yang diberi. Sekurang-kurangnya ada wakil Pendidikan Khas yang diketengahkan untuk terlibat sama dalam aktiviti sekolah.
Semoga, Syahmi dapat mengambil tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya. Jangan dipersia-siakan peluang yang diberi.....selamat maju jaya Syahmi!
 |
| Inikah Yang Dinamakan Tamak???? |
Orang tamak selalu rugi..... begitulah perumpamaan Melayu lama. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Nauzu billahi min zalik.......Tidak terlintas langsung nak jadi ibubapa yang tamak dalam hal ini.
 |
Anak Istimewa Juga Diberi Kesempatan Menyertai
Acara Sebegini Untuk Mempamerkan Kebolehan Masing-Masing |
Tahun lalu, Syahmi hanya mewakili sekolah dalam acara Tilawah Al Quran. Dari pengalaman lalu, tahun ini kami masukkan namanya dalam acara Hafazan juga. Bermakna mahu mencuba nasib dalam 2 acara. Sebenarnya bagi saya Syahmi lebih sesuai dalam Hafazan sebab anak ini mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk menghafaz. Namun, guru-gurunya lebih cenderung untuk dia meneruskan cabaran dalam acara tilawah berdasarkan pencapaiannya tahun lalu.
Jadi untuk mengimbangi kedua-dua pendapat, maka namanya dimasukkan dalam ke dua-dua acara. Dalam hati timbul juga kerisauan kerana dikhuatiri anak ini tidak dapat menerima cabaran ini. Tambahan pula komitmen dengan pembelajaran di sekolah yang kian menghimpit. Peperiksaan pertengahan tahun juga akan diadakan pada masa yang sama. Latihan bertubi-tubi dibekalkan oleh guru untuk dibuat di rumah. Mampukah seorang anak istimewa sepertinya menyahut cabaran ini?
 |
Surah Alam Nasyrah Ayat 5 Yang Bermaksud:
" Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" |
Meneliti firman Allah SWT yang bermaksud : " Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" (Surah Alam Nasyrah Ayat 5). Berpegang pada janji-Nya yang ini, maka kami mesti sentiasa menyokongnya bagi membantu Syahmi mengharungi cabaran. Masa untuk latihan tilawah dan hafazan, masa untuk membuat kerja sekolah, masa untuk membuat latih tubi bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun di samping mengikuti jadual persekolahan yang padat dari pagi hinggalah ke kelas KAFA di sebelah petangnya. Mesti ada kalanya mood si anak akan menjadi seperti ombak ganas di Pantai Batu Buruk ketika musim tengkujuh. Sungguh menguji kesabaran sebenarnya....
 |
Siapa Tahu Gelora Di hati Si anak Dan Ibubapanya Yang Bermatian
Demi Masa DepanYang Lebih Baik ...... |
Inilah dugaan sebagai ibubapa anak istimewa. Mungkin tiada siapa yang dapat menyelami ombak di hati kami. Berpanas dan berhujan, menebalkan muka berhadapan dengan masyarakat, meletakkan ke tepi kata-kata yag boleh melemahkan semangat dan pelbagai dugaan lagi bagi menggapai segunung harapan. Bukan tamak sebenarnya, tapi menggunakan peluang yang terbentang luas di hadapan......
Namun segalanya tetap di tangan Dia yang maha mengetahui. Kita hanya mampu merancang dan berusaha. Semoga apa yang diusahakan membuahkan hasil ....aamiin.
Sebenarnya dah lama saya mendengar desas-desus dari guru-guru Pendidikan Khas bahawa Syahmi akan di dedahkan dengan pertandingan pidato semenjak tahun lepas. Tapi ianya tidak menjadi sebab Syahmi enggan memberi kerjasama.
 |
| Tilawah Al Quran kali ini! |
Namun tahun ni, desas-desus itu bertiup lagi untuk membuka ruang kepada Syahmi bagi mengasah bakatnya dalam tilawah Al Quran pula di peringkat daerah Kuala Terengganu. Dek kerana ini merupakan perkara baru baginya, challenge yang paling getir buat saya dan isteri ialah untuk membina keyakinan diri Syahmi bagi berhadapan dengan orang ramai dalam suasana pertandingan.
Sebagai ibubapa, saya berasa lebih teruja dan tercabar untuk mencari pendekatan terbaik supaya Syahmi lebih berkeyakinan bagi mengawal emosi semasa pertandingan dijalankan. Harus diingat bahawa cabaran ini bukan terhadap anak-anak normal, tapi anak autisme yang memang diketahui mempunyai pelbagai kekangan semulajadi umpamanya masalah sensory.
Contohnya, kalau kita tidak selesa apabila mendengar kilat dan petir bila hari nak hujan, bagi Syahmi reaksinya agak berlebihan dibandingkan dengan kita insan normal. Bagaimana nanti agaknya keadaan dia yang akan naik ke pentas untuk berhadapan dengan hadirin buat pertama kalinya? Ya Allah ya tuhan ku....bantulah anugerah Mu ini apabila melalui situasi yang sebenarnya nanti.....hanya pada Kamu tempat ku meminta...amin.
 |
| Ayah tidak mengharap kamu sebaik Qari Kebangsaan ini! |
Semoga dipermudahkan olehNya terhadap cabaran yang akan dilalui oleh Syahmi. Tilawah yang akan berlangsung pada 10hb Mei 2012 nanti, akan membuka lembaran baru buat anak istimewa ini untuk membina keyakinan diri. Syahmi sebenarnya amat berkebolehan, cuma ianya belum terserlah dan perlu digilap. Diharap cabaran kali ini dapat diharungi hasil kerjasama ibu dan ayah serta guru-guru sekaliannya.
Kejayaan tidak datang dengan bergolek! Lebih manis untuk dikecapi jika ianya terhasil dari penat lelah dan usaha keras. Ayuh Syahmi! hari-hari kita berlatih untuk melancarkan bacaan Surah A'Basa supaya impian kita jadi nyata. Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya....InsyaAllah....