A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Sunday, September 30, 2012

Sukar memahami abstract idea......lemah imaginasi


Matematik


                                 Matematik merupakan matapelajaran yang digemari Syahmi. Kebiasaannya subjek ini tidak menjadi masalah baginya untuk memperolehi gred A. Cuma jika dibuat analisis dari kertas ujian yang pernah dilaluinya dalam usia 10 thn di Tahun 4,  Syahmi mengalami masalah untuk memahami kehendak soalan yang berbentuk 'solving problem'.


                                 Sebenarnya kanak-kanak tipikal juga mengalami masalah yang sama. Inikan pula anak autisme yang kebanyakannya mengalami kekurangan semulajadi untuk berimaginasi. Kebiasaannya soalan Kertas II Matematik Tahun 4 mengandungi soalan 'solving problem' seperti di bawah yang bernombor 19 dan 20. Tanpa bantuan GAMBAR RAJAH  mahupun JADUAL,  memang anak ini merasakan kesukaran untuk memahami  dan kebiasaannya soalan-soalan sebegini Syahmi akan dapat 'pangkah besar'.


Contoh soalan Kertas II Matematik Tahun 4

                                   Bagi mengatasinya, kena perbanyakkan latihan. Tiada jalan mudah, semoga lama kelamaan masalah dapat diatasi. Peranan ibubapa sangat besar dalam membantu anak-anak istimewa untuk bersaing dengan anak-anak typikal di aliran perdana . Guru-guru di aliran perdana tidak harus diletakkan kesalahan kerana mereka juga tidak dilatih untuk murid-murid berkeperluan khas. Anggaplah anak kita hanya 'menumpang' di tempat orang, 'biar pandai menjaga diri'.

                                   Selagi termampu, kita ibubapanya harus berperanan sebagai  guru, pengurus, kawan dan sebagainya buat anak istimewa kita. InsyaAllah dengan izinNya jua, tiada usaha yang sia-sia......

                                 

Saturday, September 29, 2012

Dulu bersendirian...sekarang tidak lagi....

                           
                           Lima tahun dulu ketika anak saya didiagnose mengalami gangguan autisme, saya hanya bersendirian menempuhi cabaran mendidik anak istimewa kami. Ke sana ke mari bertanya-tanya dan tercari-cari sesiapa yang dapat membantu kami sekurang-kurangnya menjadi pendengar setia kepada sedu-sedan kami dan mengikhlaskan bahunya sebagai penampan ketika kami rebah.


                            Setelah bersama Autisme Malaysia kira-kira setahun yang lalu, saya tak rasa bersendirian lagi sebab hari-hari dapat berinteraksi dengan 'saudara mara' yang faham dengan situasi kita. Segala gerak  dikongsi bersama. Yang jauh, terasa dekat di hati. Dok kira mu orang Ganu ke, hang orang Penang ka, deme orang Perok ke mahupun orang  Sabah, Sarawak sekali pun,  alunan lagu kami tetap sama. Seia dan sekata.....suka dan duka bersama.


Syahmi dengan Uncle Wan (Kuala Lumpur)
Syahmi dengan Aunty Norizan (Kuala Terengganu)
Syahmi dengan Aunty Farrah (Shah Alam)
Saya dengan Afif - Anak autisme yang
berbakat dalam senilukis ( from Batu Pahat)
Syahmi dengan Aunty Ani Alfio Raldo (Temerloh)
Saya dan Syahmi diapit oleh Uncle Hasfizal Mukhtar dan
anaknya Umar Hasfizal -talented singer (Selangor)
Syahmi dan ibu bersama keluarga Aunty Suzilawati (Seremban)


                            Inilah antara wajah-wajah 'saudara mara' kami setelah bersama Autisme Malaysia yang sempat bergambar kenangan. Sebenarnya ribuan lagi 'saudara mara' yang bersama-sama berjuang untuk memberikan pendidikan terbaik buat anak autisme masing-masing. Walau lain ibu... lain bapa, namun kami tetap sehati dan sejiwa demi anak-anak autisme kami.

                            Semoga ikatan persaudaraan sesama kita berpanjangan......insyaAllah.

Thursday, September 27, 2012

Jangan Ambil Hati.....

                                 Dalam kehidupan seharian, perhubungan kita dengan insan sekeliling samada dengan anak-anak, suami dan isteri, jiran dan sebagainya kadang-kadang membuat kita terasa hati kerana disebabkan salah faham dalam perkara-perkara tertentu.

Jangan terasa hati..........

                                 Inikan pula bila kita berhubungan dengan insan autisme, terasa hati, jauh hati, memang menjadi lumrah bagi yang tidak memahami. Mereka yang berada di sekeliling, hendaknya janganlah terlalu 'ambil hati',  terhadap reaksi mereka. Inilah antara kekurangan semulajadi yang ada pada mereka dimana  ianya perlu kita perbaiki dari masa ke semasa walau ia tak semudah yang disangkakan.

Komunikasi sehala.......

                                 Perhubungan dengan insan autisme ibarat seperti komunikasi sehala yang tiada timbal baliknya. Mereka sukar membaca emosi pihak lain, membuat jenaka, memahami jenaka juga memahami kiasan. Reaksi mereka terhadap sekeliling amat sukar diramal dan berubah-ubah. Orang disekeliling perlu memahami kehendak mereka tapi sayang disebabkan gangguan neurologi yang ada, mereka gagal memahami kehendak pihak lain.

Bukan sombong atau angkuh.......

                                 Setiap kali saya menghantar Syahmi ke sekolah, kebiasaannya kelihatan murid-murid lain memberi salam bila bertemu guru sebagai tanda hormat. Tapi dalam kes anak saya, guru pulak yang menyapa mesra Syahmi, sedangkan dia buat tak tahu jer hingga kita sebagai ibubapanya kena perbetulkan keadaan. Inilah salah satu contoh bagaimana insan autisme tidak dapat membaca emosi dan reaksi orang lain terhadapnya. Tidak hairanlah ada yang menyangka mereka sombong dan angkuh.


                                 Sebagai golongan yang berpengetahuan  tentang masalah ini juga kepada sesiapa jua yang berhubung secara langsung dengan Syahmi.....maafkanlah dia dan fahamilah kekurangan yang ada padanya. Bukan disengajakan malah inilah yang membelenggu insan autisme sepertinya bila berhadapan dengan masyarakat.


                                  

Monday, September 24, 2012

Siapakah yang sudi?

                         Sebagai ibubapa, tertanya-tanya jua di hati adakah suatu hari nanti anak ku akan menemui jodoh yang sesuai buatnya insan autisme. Adakah insan yang sudi menjadi teman sepanjang jalan kehidupan setelah kami tiada lagi?

Siapakah yang sudi?
                           
                                Jodoh di tangan Tuhan, tiada siapa yang boleh mempercepatkan mahupun melambatkan walau seminit. Cuma sebagai ibubapa kami sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak kami. Masih jauh lagi perjalanan untuk membesarkan Syahmi supaya menjadi insan yang mampu berdikari. Semoga dipermudahkanNya......


Comel bakal menantu ku...hihihi
                       

                                Saya terpanggil untuk membicarakan topik ini setelah berbicara dengan  seorang pemuda autisme yang menyuarakan hasratnya untuk mencari-cari  pasangan yang sesuai buatnya. Terharu mendengarnya lalu terkenang bagaimana pula keadaannya anak teruna saya pula nanti?


                                Rahsia Allah......hanya Dia yang berhak menentukannya. Dengan berpegang kepada hakikat yang tersebut kita diperintahkanNya untuk berusaha. Kalau dah jodoh tak kan ke mana........



Ini bermakna bukan faktor autisme saja ramai rakyat Malaysia yang tidak
berkahwin.......banyak faktor lain juga menyumbang  kepada trend hidup membujang

                             

Friday, September 21, 2012

Faktor Genetik Ke?


     
               
                          Sejak akhir-akhir ini banyak kajian yang mendapati bahawa autisme adalah disebabkan juga oleh faktor genetik.  Harus diingat bahawa genetik hanya merupakan salah satu dari beberapa faktor yang dikaitkan menjadi faktor penyebab gangguan autisme selain dari komplikasi ketika bersalin, faktor vaksinasi, pengambilan makanan beracun yang tanpa disedari dalam kehidupan seperti pengawet, pewarna dan sebagainya.


                           Kajian menunjukkan bahawa ibubapa yang telah dianugerahi dengan anak autisme, maka kebarangkaliannya untuk melahirkan anak autisme yang berikutnya ialah 3 hingga 5 peratus.  Malahan bagi anak kembar seiras yang mengalami gangguan autisme akan memiliki kemungkinan 90%  saudara kembarnya juga mengalamai masalah yang sama.  Ini menyebabkan ramai pasangan yang mengelak untuk mendapatkan zuriat seterusnya kerana dibimbangi akan memperolehi anak yang juga bermasalah autisme.


                         Dalam tercari-cari kesilapan lampau, faktor genetik amat sensitif untuk diperkatakan. Ramai dari kita yang menafikan  faktor ini. Untuk mengaku kelemahan diri memang payah tapi cuba tenang dan berlapang dada.......lihat latar belakang keluarga mahupun diri sendiri. Kekadang kita akan nampak ciri-ciri autisme wujud pada diri sendiri walaupun tidak 100% menyamainya.

Berhujah bukan kepakaran ku......

                                  Pendiam adalah personaliti ku. Bila bercakap biasanya singkat dan tidak pandai mencelah jika sekumpulan kawan-kawan sedang rancak dengan perbualannya. Lebih suka berdiam diri dan menjadi pendengar setia. Untuk berhujah bukan aku  lawannya.....namun tak pasti samada zaman kanak-kanak lagi aku tergolong dalam kalangan yang 'berat mulut' atau lambat bercakap. Cuma yang pasti aku tidak berbahasa baku seperti mana insan autisme. Redhalah kalau anak ku Syahmi yang disahkan insan autisme masih berjuang untuk memperbetulkan gaya bahasanya kerana si ayah yang normal pun masih belum mahir berbahasa walau dah menghampiri setengah abad.

                         
                                 Harus diingat bahawa untuk mengklasifikasikan seseorang itu sebagai insan autisme adalah melalui syarat-syarat yang ditentukan  iaitu apabila seseorang itu menunjukkan 6 atau lebih dari 12 simptom yang disenaraikan dalam lingkungan tiga aspek utama perhubungan sosial, komunikasi dan tingkah laku. Bukan semudah-mudahnya untuk mengesahkan seseorang itu seorang insan autisme. Pemerhatian yang teliti oleh mereka yang berkepakaran seperti Perunding Psychiatry diperlukan untuk membuat keputusan yang tepat.

                                  Namun  jangan dicari-cari lagi kenapa, mengapa dan bagaimana hadirnya anak autisme dalam sesebuah keluarga.  Percayalah bahawa bila Allah berkehendak dan mengkehendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya 'Jadilah", maka jadilah ia. Begitulah ungkapan ayat-ayat kun (jadi) maka faya kun (jadilah) seperti mana dalam Al Quran. Yang penting kita jangan berlengah-lengah lagi, cepat mengorak langkah bagi membantu anak autisme kita untuk meminimakan permasalahan mereka demi masa depan.
                             
                                   Wallahualam bissawab..........



Tuesday, September 18, 2012

Autisme Malaysia di Masjid Putra, Putrajaya

Masjid Putra, Putrajaya

Beratus-ratus kilometre kami datang dari Kuala Terengganu untuk ke Masjid Putra bertemu 'sanak saudara' Autisme Malaysia.  Penat tak terhingga terubat jua dengan kemeriahan Majlis Aidil Fitri Persatuan Autisme Muslim Malaysia yang berlangsung di Dewan Makan Ibnu Khaldun, Masjid Putra, Putrajaya pada 16hb Sept 2012 yang lalu.


Selamat Datang Semua 


Keluarga ku

Tiada kata secantik bahasa yang sesuai untuk digambarkan suasana majlis tersebut. Cuma yang saya rasa......gembira teramat kerana walau sebelum ini antara kami ada yang belum pernah bertentang mata, kemesraan yang ditunjukkan bagai dah kenal lama. Mungkin beberapa saja yang tak dapat 'dicam' raut wajahnya, tapi tiada yang dapat menghalang kemesraan. Cuma masa yang membataskan segala. Namun tidak mengapa.... 'detik-detik' yang berharga akan tetap dikenang sampai bila-bila.


Dalam kemeriahan,  tak sedar ada yang ambil gambar kami suami isteri
               
Syahmi berpeluang untuk memperdengarkan Hafazan Surah A'Basa(80) Ayat 1-42 buat pertama kalinya berhadapan kamera TV3. Jika di peringkat sekolah dia sangat bersahaja, tapi kali ini dadanya berdebar kencang.  Alhamdulillah segalanya berjalan baik....walau suatu ketika dia dalam keadaan 'mute' namun dapat menyambung semula  hafazan surahnya hingga tamat.  Pendedahan yang sangat baik untuk masa depan Syahmi.


Aturcara Majlis


Syabas anak ku.....ayah pun belum tentu
mampu menandingi mu
                                 
Pelbagai kerenah anak-anak autisme yang kecil mahupun remaja  membuatkan kami tersenyum lebar. Mungkin bagi mereka yang tidak memiliki anak istimewa autisme, tidak akan faham dengan situasi kami menerima keadaan ini. Namun kami jua insan terpilih untuk bersabar dengan aksi-aksi 'cantik' mereka. Mungkin inilah cara Allah memberi laluan pahala pada kami.


Penampilan Istimewa Oleh 5 Insan Istimewa Autisme Syahmi, Asma', Abg Jefri,
 Hazim dan Umar dengan kebolehan masing-masing

Kemeriahan bukan berlalu begitu sahaja, rasa keinsafan, kesyukuran,  kekeluargaan mengiringi kami semua dengan semangat untuk membesarkan anak-anak autisme kami sebaik mungkin. Yang penting kami tidak bersendirian menghadapi cubaan ini. Yang berpengalaman membantu mereka yang masih terpinga-pinga dengan ujian yang diterima supaya tiada yang tersesat di jalanan.

                                   
Berpegang tangan dalam erti kata saling bantu membantu supaya kita sama-sama  berjaya mengiringi anak syurga kita di sana nanti.....InsyaAllah...                          
                               


Liputan Oleh TV3 (MHI)

                               
                           

Friday, September 14, 2012

Syahmi di mata kami....


                             Tiada yang terlalu istimewa tentang anak ini walau dia dikategorikan sebagai insan istimewa. Sama seperti anak-anak lain, cuma suatu ketika sejarah pernah tertulis bahawa anak ini pernah membuat langkah kami sekeluarga terhenti seketika dengan pengesahan dia anak autisme.

Ketika usianya 3 tahun tiada siapa yang menjangka dia anak istimewa
                           
                            Namun kami sentiasa dipermudahkanNya dalam mengendalikan anak bertuah ini. Memang dia mengalami lewat perkembangan dalam beberapa aspek. Contohnya bermasalah dalam pertuturan dimana dia memulakan patah-patah perkataan yang nyata sebutannya ketika berumur 4 tahun lebih. Sebelumnya dia hanya bertutur dalam bahasanya yang sukar difahami. Kelebihannya dia tidak hyperaktif malahan sangat berdisiplin pendek kata 'perfectionist'.


                            Disebabkan dia lambat didiagnose oleh pihak hospital, maka Syahmi hanya mula bersekolah ketika umurnya 6 tahun di Pra Pendidikan Khas. Sebelumnya, dia hanya berada di rumah dididik oleh si ibu samada dari segi pertuturan mahupun pembelajarannya. Pengurusan diri juga seperti ke tandas adalah dibawah bimbingan ibunya. Pernah kami daftarkannya ke tadika biasa ketika usianya 5 tahun, namun ditolak dengan alasan dia anak istimewa.


Syahmi duduk ke 2 dari kiri ketika di Pra Pendidikan Khas


                            Semasa dia dimasukkan ke Pra Pendidikan Khas, anak ini telah pun dilengkapkan serba sedikit tentang pembelajaran asas ABC hingga Z serta huruf Jawi, sementara membilang nombor 123 hingga 50 juga pengurusan diri. Cuma di awal persekolahannya di Pra Pendidikan Khas, Syahmi enggan melakukan aktiviti mewarna dan menulis seperti kanak-kanak kebiasaannya. Namun  atas kerjasama gurunya, sedikit demi sedikit dia dapat didisplinkan untuk memberi fokus terhadap gerak kerja menulis.


Syahmi 'graduan' Pra Pendidikan Khas (2008)


                           Ketika umurnya 7 tahun, dia telah diserapkan ke aliran perdana secara inklusif atas nasihat Penolong Kanan Pendidikan Khas. 3 bulan pertama berada di dalam kelas inklusif, dia agak ketinggalan membuat kerja sekolah disebabkan kurang mahir menulis. Pernah gagal menjawab keseluruhan soalan peperiksaan bulanan. Pernah juga tertidur di kelas. Namun pengetahuannya tidak kurang hebatnya dibanding dengan rakan-rakan yang lain.


                          Proses untuk menyesuaikan dirinya di aliran perdana mengambil sedikit masa. Kerjasama guru-guru di aliran perdana amat diperlukan untuk memahami kehendak anak istimewa ini. Kekadang wujud juga salah faham antara guru-guru dengan  anak ini kerana dia mempuyai persepsi yang amat rigid. Contohnya ketepatan masa, Syahmi akan gelisah sekiranya loceng telah berbunyi sementara si guru masih meneruskan pengajarannya di dalam kelas.


Syahmi kanan sekali bersama-sama rakan di sekolah
 ketika menyambut 'Merdekaraya'

                          Semenjak di Tahun 1 hingga kini dia berada di Tahun 4, perkembangannya amat positif. Dari segi pembelajaran, pencapaiannya seiring dengan rakan-rakan normal yang lain. Dari segi sosial masih ketinggalan, namun sesekali saya dapat melihat situasi dimana dia bersembang dengan rakan-rakan sekelasnya tentang topik yang diminatinya. Ketika waktu tamat sesi persekolahan harian, dia juga mampu tersenyum riang beriringan dengan yang lain menuruni anak tangga menuju ke kereta untuk balik ke rumah.


                           Mungkin bagi yang membaca post saya kali ini, dapat menggambarkan perkembangan anak ini berjalan semudah yang dicoretkan. Hakikatnya, episode-episode suka dan duka, gembira dan kecewa, bangga dan terhina sering bersilih ganti untuk sampai ke tahap ini.  Perjalanan masih jauh,  saya tidak meletakkan harapan yang menggunung pada anak ini. Hanya satu dipohon padaNya, bukan sainstist bukan jua ahli di bidang-bidang professional lain. Besarnya harapan semoga anak ini dapat berdikari dan mencapai apa yang terbaik yang dihajatinya serta menjadi pencetus semangat pada yang senasib dengannya. Sesungguhnya hanya pada Mu tempat kami meminta........

                       
                         
                            

Wednesday, September 12, 2012

Bagai Si Rusa Masuk Kampung!



Biasanya jika di kampung kita boleh tengok lembu, kerbau, kambing, ayam, itik dengan selambanya berkeliaran mencari makan......Kalau rusa sesat  masuk kampung, tentu tercangak-cangak lagaknya si rusa sebab biasanya keadaan di hutan  taklah seperti di kampung-kampung ler ni,  dah ada ceper astro, budak-budak dah tak main di tanah, dok dalam rumah mengadap media komunikasi alaf ini... internet.




Nampaknya begitulah diumpamakan saya sekeluarga bila ke Putrajaya untuk menghadiri Majlis Aidil Fitri Autisme Malaysia. Biasanya kami hanya berulang alik dari Terengganu ke Perak. Kalau ke Kuala Lumpur pun hanya kerana urusan pejabat.....40 minit dah sampai sebab terbang ikut jalan udara. Kali ini berkereta sendiri ke Putrajaya. Semoga pengguna jalanraya di sana bertimbangrasa dengan  'Si Rusa' yang baru belajar masuk ke bandaraya. Bagaimana agaknya nanti?

Kiri: Keadaan yang biasa bagi kami        Kanan: Keadaan yang asing bagi kami
                         
Kalau bukan kerana Autisme Malaysia, saya memang mengelak untuk ke Kuala Lumpur sebab kurang cekap dengan kesibukan di sana. Saya lebih suka memilih untuk ke utara tanah air jika bertujuan untuk pergi makan angin dengan keluarga. Disebabkan itu, saya lebih suka untuk  menetap di Kuala Terengganu selama 20 tahun walaupun saya boleh membuat pilihan untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Nampaknya kali ini,  'Si Rusa' kena membiasakan diri meredah hutan batu di Kuala Lumpur dengan kenderaan bertali arus.

                                   
Semoga segalanya berjalan lancar samada di perjalanan mahupun ketika Majlis Aidil Fitri itu berlangsung nanti. Anak saya Syahmi antara yang diundang bagi menyerikan majlis, akan tampil dengan hafazan surah ke 80 (Surah A'Basa) Ayat 1-42. Walaupun kebolehannya tak sehebat mana, cukuplah sekadar menjadi perangsang buat keluarga lain yang mempunyai anak autisme supaya percaya pada potensi anak masing-masing.


Saya sangat berterimakasih kerana adanya adik-adik peneraju Autisme Malaysia yang bertungkus lumus untuk merealisasikan majlis tersebut. InsyaAllah kita jumpa di sana......


Kiri: Biasa tengok Masjid Kristal        Kanan: Kali ini berkampung di Masjid Putra


                                        

Monday, September 10, 2012

10 tahun laa......

10 tahun pada 7hb September 2012
                         

                               Tiada kek harijadi untuk tahun ini. Syahmi menyambut harijadinya pada 7hb September 2012 yang lalu dengan ala kadar sahaja bersendirian tanpa si abang yang dimasukkan ke hospital.  Ibu dan ayah juga kelam kabut dengan keadaan kesihatan si abang yang kurang memuaskan di hospital.




                               Kesian Syahmi sebab harijadinya yang ke 10 ini tidak disambut seperti biasa.  Namun kami percaya, Syahmi pun faham dengan situasi. Semangat kami sekeluarga hilang entah ke mana buat seketika kerana si abang belum dikenalpasti  tentang masalah kesihatannya. Berkebetulan pula harijadi Syahmi yang jatuh pada 7hb September iaitu  ketika si abang masih berada di wad hospital.


                                Yang ada hanyalah suasana suram dan usik mengusik si adik dan si abang di katil hospital. Namun kasih sayang yang pastinya teruji dengan ujianNya ini. Keresahan dan kerinduan kami anak beranak nyata terasa di saat berada nun jauh dari keluarga. Hanya kenalan menziarahi dengan panggilan telefon bertalu-talu dari segenap penjuru oleh saudara mara yang jauh.


 Harijadi Syahmi hanya dengan menemani
 si abang di katil hospital


                              Hari ini segalanya telah berakhir, setelah 5 hari berkampung di hospital,  akhirnya si abang telah pun dibenarkan keluar dari wad dengan pengesahan bahawa kesihatannya baik setelah bebas dari jangkitan Pericarditis (jangkitan kuman di selaput jantung).

                   
                              Mungkin inilah hadiah yang lebih berharga buat kami sekeluarga. Nikmat yang Allah beri pada kita dalam pelbagai rupa. Begitu jua bentuk-bentuk ujian dariNya. Cuma kita manusia biasa yang selalu lalai bila nikmat dikecap dan mengeluh bila ujian menimpa.


                              Selamat harijadi Syahmi. Ayah dan ibu bangga dengan kamu, semoga hidup kamu diberkati olehNya selalu. 10 tahun penuh dengan cabaran mendidik kamu anak syurga anugerahNya. InsyaAllah jika semuanya telah benar-benar pulih, kita plan sesuatu yang menarik untuk kita sekeluarga raikan bersama-sama sebagai tanda kesyukuran kepadaNya.


Reaksi Syahmi yang begini tentunya ada sesuatu yang dipinta sebagai
 hadiah harijadi  -  wang kertas 'baru' RM100
                             

Sunday, September 9, 2012

Kami diberi suntikan baru olehNya.....

                          Siapa suka berada di hospital? Kalau sakit sikit, jadi bertambah-tambah sakit kerana persekitaran kita dengan ragam manusia yang ditimpa  pelbagai penyakit.  Hilang mood saya seketika bagi  menghasilkan sebarang post untuk Autism - A Gift From Heaven kerana dengan tiba-tiba anak sulung saya Muhammad Syawal Aiman  mengadu sakit di bahagian dada bila hendak menarik nafas serta keletihan yang amat sangat ketika balik dari sekolah.

Sakit dada!

                        Tanpa berfikir panjang si ibu terus menghubungi saya untuk dibawa anak kami ke klinik swasta bagi mendapatkan rawatan. Namun setelah beberapa jam keadaannya bertambah teruk dengan bermulanya demam panas serta sukar untuk tidur. Tanpa berlengah lagi kami terus ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan yang lebih memuaskan walau terpaksa beratur panjang.


                       Setelah dua jam mendapatkan rawatan, x-ray dan kemudiannya ECG (Electrocardiogram) test, didapati result ECG yang abnormal  menyebabkan anak saya ditahan di wad serta merta.  Ini yang membuatkan jantung saya juga berdegup kencang sambil mengimbas semula keadaan kesihatan anak ini sepanjang usianya. Dimana silap agaknya kami sebagai ibubapa hingga terleka dengan keadaan kesihatan anak-anak?

ECG test 
                           
                       Sementara menunggu ujian Echo (ultra sound) dilakukan 3 hari kemudiannya disebabkan faktor cuti hari  minggu, maka doktor pakar jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dato' Dr Md Hashim menyimpulkan dari pemerhatiannya tentang keadaan anak saya serta sejarah lampau anak saya yang kerap mengalami radang tonsil, maka kemungkinan besar anak saya mengalami jangkitan kuman  yang menyerang hingga ke bahagian selaput jantung (Epicardium). Rawatan yang diperlukan untuk mengatasi sakit yang dinamakan PERICARDITIS ini adalah dengan  pengambilan  antibiotik secara teratur. Alhamdulillah hari ke 2 anak saya mula menampakkan tanda-tanda pemulihan.

Epicardium merupakan bahagian selaput jantung yang terkena
jangkitan kuman - menurut kata doktor pakar jantung

                         Ingatan buat diri sendiri juga semua yang membaca post ini supaya tidak memandang ringan pada permasalahan anak-anak seperti demam kerana radang tonsil mahupun masalah akibat food poisoning seperti cirit-birit. Ambil tindakan segera kerana ditakuti kuman samada virus, bakteria dan sebagainya merebak hingga menyerang ke organ dalaman lain seperti jantung, buah pinggang insan kesayangan kita yang boleh mengakibatkan sesalan. Jangkitan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ utama tersebut juga membawa maut.



Maka 5 hari si abang (Syawal Aiman) dan si adik (Syahmi Asyraff)  bertemu
 hanya di dalam wad dengan masa terhad.....
                 
                            Terharu melihatkan detik-detik kedua beradik ini terpisah, juga dengan ibu atau ayah yang bergilir-gilir bermalam menjaga abang di hospital. Sementara Syahmi di rumah sukar tidur malam kerana 'geng' bergurau di rumah dah masuk 'workshop'. Begitulah ujian Allah pada hambaNya bagi memperingatkan kita tentang kealpaan juga  menandakan kasih sayangNya  pada kami sekeluarga.


                            Terima kasih pada saudara mara, kawan dan para sahabat di Autisme Malaysia  kerana mendoakan kesejahteraan anak saya Muhammad Syawal Aiman. Jika  lima tahun lepas saya disuntik dengan berita Syahmi disahkan sebagai anak autisme, namun dengan 'suntikan' ke 2 ini, dapat mengeratkan lagi ikatan kasih sayang antara anak-anak yang menjadi cahaya penyinar bagi kedua ibubapanya.


Syukur pada Mu Ya Allah.......kerana memberi kesempatan buat
Muhammad Syawal Aiman  untuk terus tersenyum

Tuesday, September 4, 2012

Syahmi Kumpulan A....Diet Vegetarian..

Setitik darah amat bermakna.....

             Menurut Dr Peter J.D' Adamo dalam bukunya Eat Right 4 Your Type yang diterbitkan pada tahun 1996, diet bukan sahaja untuk mendapatkan penurunan berat badan yang seimbang malahan juga  sebagai cara mengawal alahan dan menghindarkan dari jangkitan penyakit supaya dapat menjamin kesihatan yang baik.

             Tindakbalas kimia berlaku antara sel- sel darah dengan jenis makanan yang diambil seseorang. Tindakbalas ini merupakan sebahagian dari warisan genetik yang disebabkan oleh faktor Lectin. Lectin merupakan sejenis protein dari pelbagai  protein yang terdapat dalam makanan samada sayuran mahupun dari sumber ternakan.

             Sebahagian Lectin adalah tidak baik bagi setiap individu. Contohnya lectin dari ekstrak kacang kastor yang mengandungi racun biologi dinamakan Ricin.  Manakala sebahagiannya pula, hanya sesuai kepada beberapa jenis kumpulan darah dan tidak sesuai kepada kumpulan darah yang lain. Lectin berfungsi seperti velcro kepada sel-sel darah. Jika kita makan buah-buahan yang mengandungi lectin yang serasi kepada kumpulan darah kita, maka ia akan melekat (agglutination) di sel-sel darah kita seperti yang digambar di bawah.


Lectin - Yang berwarna putih
Di kiri sel darah yang sihat sementara di kanan sel darah
yang telah melekat
                     

            Apa kata kita lihat contoh individu yang berada di dalam kumpulan O dimana mereka yang berada di dalam kumpulan ini boleh makan beraneka jenis pisang.  Sedangkan bagi  mereka yang berada di kumpulan A dan AB mestilah menghindari dari memakan sebarang jenis pisang. Ini disebabkan lectin di dalam pisang  tidak melekat kepada sel-sel darah individu yang berada di dalam kumpulan O.


Gambaran yang lebih mudah difahami....


            Berita baik yang harus kita ketahui bahawa 95% dari lectin yang wujud tidak menakutkan kesannya kepada kehidupan manusia dan ianya boleh dilindungi oleh sistem immunisasi dengan dimusnahkan semasa proses penghadaman lagi. Namun 5% darinya yang masuk ke aliran darah akan memberi reaksi yang berbeza terhadap organ yang berbeza.

            Jadi apa kata kita lihat jadual pengambilan makanan yang sesuai untuk ke empat-empat jenis darah O, A, B dan AB. Mampukah kita mengikuti diet yang disyorkan serta mungkinkah konsep ini dapat memberi kesan positif terhadap insan-insan autisme juga?

                                                   

Kumpulan DarahProfile Diet  Diet Yang Dibenarkan Diet Dihadkan Makanan Yang Dielakkan Untuk Penurunan Berat Badan Makanan Yang Dapat membantu Penurunan Berat Badan
Darah Kumpulan OKandungan Protein Yang Tinggi
(Maging)
Daging
Ikan
Sayuran
Buah-buahan
Bijirin
Kekacang
Gandum
Jagung
kidney beans
navy beans
lentils

Kobis
Brussels sprouts
cauliflower
mustard greens
Rumpai Laut
Makanan Laut
salt
Hati
Daging Merah
kale
Bayam
brocoli 
Darah Kumpulan AVegetarianSayuran
Tauhu
Makanan Laut
Bijirin
Kekacang
Buah-buahan

Daging
Produk Tenusu
kidney beans
Gandum
Minyak Sayuran
Makanan berasaskan soya
Sayuran
Nanas
Darah Kumpulan BOmnivore yang seimbangDaging(kecuali ayam)
Produk tenusu
Bijirin
Kekacang
Sayuran
Buah-buahan

Jagung
lentil
Kacang
Bijan
seeds
buckwheat
Gandum
greens
Telur
Daging Rusa
Hati
licorice
tea
Darah Kumpulan ABPelbagai jenis makanan  (diambil secara sederhana)Daging
Makanan Laut
Produk Tenusu
Tauhu
Kekacang
Bijirin
Sayuran
Buah-buahan

Daging Merah
kidney beans
lima beans
seeds

Jagung
buckwheat
Tauhu
Makanan Laut
Produk Tenusu
greens
Rumpai Laut
Nanas
                    
Sumber Jadual Dari Laman Web Dr Lam http://www.drlam.com/blood_type_diet/#


Darah Kumpulan O :  Digalakkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi, rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang telah diolah) serta sayur-sayuran dalam kuantiti yang banyak juga kacang. Namun,  harus menghindari produk tenusu dan gandum. Jangan lupa dihadkan pengambilan buah-buahan.

Darah Kumpulan A  :   Harus mengambil diet vegetarian dan pengambilan lektin yang sedikit. Sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam dengan kuantiti yang terbatas. Dianjurkan juga mengambil produk tenusu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, keju, telur dari jenis organik atau ayam kampung, kekacang, susu kacang soya dan bijirin dengan jumlah yang terhad. Buah-buahan dan sayur-sayuran perlu diambil dalam kuantiti yang banyak.

Darah Kumpulan B :  Lebih fleksibel dan disarankan untuk menghindari makanan beku atau makanan dalam tin. Makanan yang digalakkan adalah yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi.

Darah Kumpulan AB :  Pola gabungan pemakanan jenis darah kumpulan A dan B.  Makanan laut amat dianjurkan, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu yang telah melalui proses penapaian, minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, semua jenis sayuran, taugeh dan cendawan serta semua jenis buah-buahan kecuali yang telah dijeruk.


            Bertujuan hanya untuk berkongsi maklumat dengan pengunjung laman ini. Semoga penyampaiannya mudah difahami.......

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...